{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Berita Harian: Ratu

Posted by Tanpa Nama

Berita Harian: Ratu


Gadis Everest

Posted: 28 Jun 2013 04:45 PM PDT

Semangat luar biasa Siti Hanisah tawan Gunung Everest

"BIARPUN mengalami masalah akut gunung (AMS) yang berisiko mengakibatkan kematian, tangan saya tetap menuding ke arah puncak. Ketika itu mengangkat kepala pun sudah tidak mampu selepas mengalami pening, muntah dan gayat di ketinggian 5,700 meter.

"Meskipun otak bercelaru, letih, tidak bermaya dan kesejukan, bayangan kata-kata akhir ibu bapa hadir memberikan rahmat serta semangat untuk saya meneruskan pendakian selepas dua hari terkandas," luah pendaki muda wanita pertama memecahkan rekod pendakian di puncak Everest, LK 1 KOM Siti Hanisah Sharuddin, 23, baru-baru ini.
Letih terlampau disusuli tekanan AMS, saya tertidur kira-kira sejam di zon maut. Nasib baik panggilan kawan-kawan mengejutkan kami, jika tidak mungkin ajal menjemput. Keadaan tangan berpeluh semakin menyukarkan apabila ia mudah kebas, beku dan mengecut." Siti Hanisah

Selain anak kelahiran Felda Jelai 1, Gemas, Negeri Sembilan itu, turut menyertai rombongan Projek Everest-FELDA 2013 adalah Mohd Nasuha Shamsudin, 21, dari Felda Tersang 3, Raub, Pahang; Mohamad Asyraf Mohd Halim, 25, (Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, Johor); Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, (Felda Chini Timur 1, Pekan, Pahang); Myrza Fasha Md Hamyrudin, 25, (FELDA Tersang 3, Raub, Pahang) berserta dua jurulatih; Zainudin Lot, 37 dan Muhammad Illham Ishak, 37.

Berbicara panjang lebar ketika temu bual bersama INSPIRASI di Balai Berita, wanita berjiwa cekal yang mesra dipanggil Anis menegaskan hanya individu 'gila', cekal dan sanggup berdepan risiko kematian berjaya menyahut cabaran menawan puncak tertinggi di dunia itu.

Buktinya, pelbagai rintangan ditempuhi antaranya cabaran bertahan lebih 60 jam di zon maut (ketinggian 8,000 meter), mengekalkan stamina, angin kuat, salji serta terpaksa bergelut menahan kelaparan selepas makanan mereka dicuri di Kem 3.

Menemaninya, sherpa Jambling Bhote (suku kaum berkemahiran mendaki gunung sebagai pemandu arah di pergunungan Himalaya dan tinggal di sempadan Nepal dan Tibet) terpaksa berkongsi sebungkus mi segera bagi mengisi perut, mengumpul tenaga sekali gus meneruskan kelangsungan hidup.
Anis berkata, kedegilannya meneruskan pendakian meskipun berdepan laluan sukar hampir meragut nyawanya selepas tertidur kira-kira sejam di kawasan zon maut.

"Letih terlampau disusuli tekanan AMS, saya tertidur kira-kira sejam di zon maut. Nasib baik panggilan kawan-kawan mengejutkan kami, jika tidak mungkin ajal menjemput. Keadaan tangan berpeluh semakin menyukarkan apabila ia mudah kebas, beku dan mengecut.

"Kegagalan meneruskan perjalanan ke puncak Everest meninggalkan kesan dalam hati saya. Bayangkan, seorang demi seorang kawan-kawan bergembira dapat menjejakkan kaki di puncak Everest manakala saya masih bergelut di Kem 4.

"Memikirkan peluang hanya datang sekali dan jaminan meneruskan misi kali kedua menawan puncak, saya menyuruh Jamling menutup talian walkie talkie. Saya mahu bertenang dan kuatkan azam menjejakkan kaki di puncak berkenaan," ujarnya.

Ternyata semangat luar biasa anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyaksikannya berjaya menempuh laluan Yellow Band dan Hillary Step (12 meter), antara dua laluan mencabar tanpa masalah sekali gus menjulang bendera kebanggaan negara di puncak dikenali sebagai Sagarmatha di Nepal dan Chomolangma atau Qomolangma (Tibet).

Ketukan baldi tanda meraikan kemenangan sampai ke kemuncak serta kata-kata keramatnya, "Assalamualaikum semua, Anis dah sampai ke puncak dunia" menjadi petikan hangat semua stesen televisyen dan media yang melaporkan kejayaan anak kelima daripada tujuh adik beradik menawan puncak Everest jam 7.41 pagi, 23 Mei 2013 lalu.

Gurauan jadi kenyataan

SIAPA sangka, gurauan bertukar kenyataan. Episod menyahut cabaran jurulatih, Mohd Azam Abu Hashim mempelbagaikan bakat selain kemahiran berjalan kaki 20 kilometer (km) mewakili negara menjadi detik pembabitan Siti Hanisah dalam Projek Everest-FELDA 2013.

Justeru, dia nekad mencipta kelainan dalam diri dan pertemuan dengan bekas pendaki Everest merangkap Pengerusi KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (Qobin) umpama satu tuah.

Kebetulan, ketika itu Qobin dalam proses pencarian bakat muda FELDA menyertai misi menawan puncak pendakian Everest yang dilaporkan bermusim sekali setahun, iaitu antara April dan Mei (sebelum pertukaran monsun musim panas).

"Perkenalan dengan Qobin sudah lama kira-kira 15 tahun ketika ekspedisi kayuhan basikal. Pertemuan tidak diduga setahun lalu, dan gurauan menyahut cabaran mendaki memudahkan perjalanan saya hingga terpilih lima peserta utama galas misi Everest sekali gus bergelar ketua kumpulan.

"Tempoh tujuh bulan latihan penentu kejayaan kami menyertai misi ini. Sukar dilupakan apabila kesemua gigi atas saya pecah dan patah selepas tergelincir ketika mendaki puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus.

"Biarpun, kehilangan aset terpenting dan menahan sakit lebih empat hari namun, saya kuatkan semangat berjuang mengharumkan nama negara dan FELDA," kata anak kepada pasangan peneroka, Sharuddin Ahmad, 56 dan Rubiah Abd Rahman, 52.

Berterima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi TLDM, Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang sentiasa prihatin dan mengikuti segala perkembangan mengenai program itu, penat lelah Anis menggadai nyata berbaloi apabila namanya makin dikenali ramai.

Hasrat terkininya, mahu berkongsi pengalaman bernilai menawan puncak pendakian dikongsi secara lisan dan dibukukan untuk tatapan serta rujukan pembaca, kelak.
Malah, beliau berhasrat merealisasikan impian Projek Ekspedisi 7 Puncak 7 Benua 7 Nilai dan Program Jelajah 1Malaysia ke tanah rancangan FELDA seluruh negara.

Manja, gila-gila

Ada pepatah menyatakan, jangan menilai individu daripada luarannya. Buktinya, pertemuan bersama Siti Hanisah menggambarkan perwatakannya kasar dan serius namun setelah mengenalinya dia sebenarnya manja dan gila-gila.

Mengakui hal berkenaan, abang merangkap pembantu peribadi Anis, Mohd Osman, 29 berkata, adiknya suka bergurau, gemar bermanja dengan ahli keluarga terutama ibu, dan agak sensitif.

"Kami sekeluarga sentiasa bergurau senda dan berkumpul jika ada kelapangan. Aktiviti kesukaan kami adalah berebut giliran memeluk ibu dan makan.

"Anis ada maklumkan, dia rindukan ibu dan masakannya memandangkan kami masih tidak berkesempatan pulang ke kampung dek kesibukannya," katanya.

Kejayaan :
*Ikon Belia Felda Negeri Sembilan
*Ikon Belia Kolej Universiti Tun Abdul Razak (Unitar)
*Atlit 20km jalan kaki mewakili negara

Bujang tak berapa senang

Posted: 28 Jun 2013 04:38 PM PDT

Gemar berhutang atas alasan tiada tanggungan, mahu berseronok, boros berbelanja

Selalunya sesetengah orang bujang tidak mahu berfikir panjang apabila ada banyak duit. Mereka tidak mahu fikir sangat pasal menguruskan duit.

Maklumlah orang bujang. Tanggungjawab tak banyak. Kalau ada pun, mungkin membayar ansuran kereta atau pinjaman pelajaran seperti PTPTN. Selebihnya, selagi ada duit di tangan, mereka akan berbelanja mengikut kehendak hati. Menukar telefon atau gajet baru berharga yang kadang-kadang tidak diperlukan sangat, membeli pakaian atau aksesori berjenama mahal.

Bagi orang bujang lelaki, kerana hendak menunjuk dirinya ada banyak duit, mereka akan belanja makan teman wanita di tempat eksklusif.

Soal hendak membuat simpanan kadang-kadang tidak terlintas dalam fikiran segelintir orang bujang.

Jadi, atas sebab itulah, orang bujang adalah antara golongan yang paling banyak berhutang berbanding mereka yang berkeluarga.

Berikut ada cerita yang menggambarkan kehidupan orang bujang yang berjaya tetapi boros.
Ia mengisahkan Dr Azam, lelaki muda dan berjaya. Pada umur 33 tahun, dia hampir memiliki kesemuanya; dua kereta mewah, tinggal di kondominium mahal dan mempunyai kerjaya membanggakan.

Dr Azam berasakan dia berhak memiliki gaya hidup serba mewah kerana sudah bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi seorang doktor pakar. Dia yakin mampu membeli apa saja yang diinginkan.

Dr Azam terlalu banyak bergantung kepada kad kredit. Dia berpendapat dengan gaji lima angka sebagai doktor pakar, tidak perlu bimbang dengan masa depannya. Apa yang penting ialah keseronokan serta merta dengan membeli semua kehendaknya menggunakan lima kad kredit yang dimiliki.

Dr Azam tidak ada bajet untuk menjejak aliran tunainya. Lama kelamaan, dia tidak mampu membayar ansuran dua keretanya dan hampir tidak dapat membuat bayaran minimum untuk semua kad kreditnya. Keadaan semakin meruncing apabila sewa kondominium juga tertunggak selama tiga bulan.

Berhadapan dengan tindakan pengusiran, Dr Azam didesak semua pemiutang supaya membayar hutang dengan segera. Sebuah keretanya ditarik oleh pihak bank. Tanpa disedari, Dr Azam dibelenggu hutang yang sudah mencecah RM120,000. Takut akan diisytiharkan bankrap, dia mengambil keputusan mendapatkan bantuan AKPK.

Pengajaran daripada cerita Dr Azam ini ialah jangan ghairah hidup mewah atau memikirkan keseronokan saja semata-mata masih bujang, bergaji besar dan kerjaya bagus. Hutang juga tidak mengenal mangsa.

Oleh itu adalah penting untuk menguruskan bajet kita. Jangan ghairah sangat memiliki kad kredit. Kalau perlu sangat, cukuplah memiliki satu dan tidak lebih daripada dua kad kredit. Sebaik-baiknya ada satu saja.

Adalah dicadangkan menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan. Lebih baik kalau kita boleh simpan 15 peratus hingga 20 peratus daripada pendapatan bulanan (gaji) kerana kita akan mempunyai lebih banyak duit pada masa depan.

Panduan memupuk tabiat menabung

1. Menabung sebelum berbelanja
* Menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji atau pendapatan kita
* Menabung secara automatik dengan menggunakan skim potongan gaji, auto debit atau cara lain sepertinya.

2. Dorong diri dengan sasarkan matlamat
* Tetapkan matlamat yang bermakna dan penting untuk menggalakkan diri kita menabung.
* Kita boleh menetapkan matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang.

3. Jadikan tabiat
* Selepas membuat simpanan 10 peratus daripada gaji kita, cabar diri untuk meningkatkan tabungan secara beransur-ansur.

4. Simpan sebahagian 'durian runtuh'
* Setiap kali terima duit seperti bonus atau hadiah wang tunai, masukkan sebahagian wang itu ke dalam akaun simpanan.
* Kalau kita menerima kenaikan gaji, tingkatkan jumlah simpanan bulanan kita.

Menabung untuk kecemasan

Dalam kehidupan seharian, kadang-kadang kejadian tidak diduga boleh menyebabkan kita hilang keupayaan untuk mencari pendapatan. Ada kalanya kita mungkin memerlukan jumlah duit yang banyak dalam masa singkat untuk menangani masalah yang kita hadapi.

Kebiasaannya, tabungan kecemasan digunakan untuk menampung perbelanjaan kalau kita kehilangan pekerjaan atau mengalami masalah kesihatan serius dengan tiba-tiba atau akibat kos membaiki kerosakan rumah atau kereta. Kalau kita atau pasangan kehilangan pekerjaan, semua bil masih perlu dibayar.

Dalam keadaan begini, adalah penting bagi kita mempunyai tabungan untuk menanganinya. Sebagai panduan, kita perlu mempunyai simpanan yang boleh menampung perbelanjaan asas kita selama tiga hingga enam bulan. Keadaan akan bertambah buruk jika kita perlu meminjam untuk mengatasi yang timbul.

Selain menabung untuk tujuan kecemasan, bajet atau perancangan perbelanjaan jua boleh membantu kita menyimpan untuk pembelian barangan atau perkhidmatan yang bernilai besar.

Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat