{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Beliawanis: Rebut peluang perniagaan melalui ICT

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Shahaniza Shamsuddin (duduk, tengah) bersama sebahagian peserta yang mengikuti Seminar Puteri Dalam ICT - Klik Dengan Bijak dan Get Malaysian Business Online Bersama Beliawanis Pahang di Kuantan, semalam.

KUANTAN 29 Jun - Golongan belia di negeri ini disaran sentiasa peka dan bijak mengambil peluang menerusi bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutama dalam menerokai perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, mereka terutama golongan beliawanis seharusnya menjadikan ICT sebagai medium yang memberi banyak manfaat dan menguntungkan selain melayari laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan blog.

"Peluang meningkatkan kemahiran terbentang luas dengan menguasai bidang ICT, contohnya perniagaan dalam talian yang mendatangkan hasil cukup lumayan.

"Perkara ini telah terbukti apabila terdapat golongan belia menggunakan laman sosial tersebut untuk meningkat ekonomi serta kelangsungan hidup dengan menjadikan internet sebagai medan perniagaan," katanya dalam Seminar Puteri Dalam ICT - Klik Dengan Bijak dan Get Malaysian Business Online Bersama Beliawanis Pahang, di sini hari ini.

Seramai 250 peserta wanita terdiri daripada pelajar dan penduduk setempat bagi berkongsi maklumat berhubung penggunaan internet secara positif bersama panel jemputan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Shahaniza, faedah dalam penguasaan ICT turut membantu belia mencari pekerjaan seperti kewujudan laman JobStreet dan JobSeeker selain menjana pendapatan lumayan.

"Bagaimanapun, golongan belia perlu berwaspada dan bijak dalam membuat penilaian atau pertimbangan kerana di samping kebaikan terdapat juga keburukan jika ICT disalahgunakan.

"Kita tidak mahu belia terpesong dan tersalah tafsiran kerana dihidangkan dengan maklumat yang nampak cantik sedangkan palsu dan fitnah semata-mata," katanya.

Katanya, belia tidak terpedaya dan perlu mengelak daripada terjebak dengan penyalahgunaan internet yang boleh membawa kepada ancaman jenayah siber.

"Melalui seminar ini, saya harap dapat memberi kesedaran dan iltizam baru untuk golongan beliawanis menerokai bidang ICT dalam memajukan diri," katanya.

Pendidikan fatwa kesihatan dilaksana

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 29 Jun - Usaha mendidik dan memberi panduan kepada masyarakat mengenai fatwa berkaitan kesihatan yang diputuskan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan umat Islam benar-benar faham dan mematuhi perkara tersebut.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Norhizan Ismail berkata, situasi yang berlaku pada masa kini menampakkan bahawa umat Islam sangat memerlukan panduan dan bimbingan daripada mereka yang arif tentang disiplin ilmu Islam.

Beliau berkata, setiap masa umat Islam sentiasa dihambat dengan cabaran yang amat hebat daripada sudut pemikiran dan pengalaman agama.

"Perkembangan teknologi dan ilmu dalam bidang kesihatan amat merumitkan dan memberi cabaran bagi memahami sesuatu isu seterusnya mencari penyelesaian," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan Peringkat Negeri, di sini kelmarin.

Kira-kira 500 peserta menyertai seminar terbabit yang terdiri daripada penjawat awam, doktor, jururawat dan orang awam.

Sebanyak enam sesi pembentangan kertas kerja diadakan bagi mengupas tiga isu fatwa kesihatan iaitu berkaitan merokok, pelalian dan pengguguran.

Norhizan berkata, penganjuran program itu perlu diperbanyakkan dan disuburkan dengan mempelbagaikan lagi isu dan topik yang dibincangkan.

"Kerjasama dan hubungan erat di antara institusi fatwa dan institusi kerajaan perlu diteruskan serta dipertingkatkan bagi memberi impak lebih besar kepada umat Islam," katanya.

Sementara itu, katanya, seminar tersebut dianjurkan untuk meningkatkan pengetahuan peserta mengenai amalan cara hidup sihat dan aspek kesihatan.

"Program ini dapat menjelaskan keputusan fatwa mengenai permasalahan kesihatan semasa agar difahami oleh masyarakat,'' katanya.

Beliau berkata, keputusan muzakarah yang diputuskan banyak berkait rapat dengan kepentingan nasional dan masyarakat yang perlu diberi perhatian dan dipatuhi.

Perbanyak jumlah pengusaha IKS

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

MARAN 29 Jun - Kerajaan negeri berusaha meningkatkan jumlah usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bumiputera di negeri ini dalam pelbagai sektor perniagaan yang selari dengan transformasi ekonomi negara.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Penggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin (gambar) berkata, terdapat lebih 800 pengusaha IKS di negeri ini menjalankan pelbagai perniagaan dalam skala kecil.

Menurutnya, kebanyakan golongan bumiputera yang gagal dalam IKS disebabkan faktor kewangan, ruang berniaga, kelemahan pengurusan dan kekurangan tenaga kerja.

"Semua masalah itu akan cuba diatasi sebaik mungkin oleh kerajaan melalui agensi terlibat bagi memastikan lebih ramai usahawan bumiputera berwibawa menceburi bidang IKS.

"Agensi kerajaan yang terbabit dengan IKS perlu mengambil pendekatan mesra rakyat iaitu menemui golongan sasar dalam menyampaikan maklumat mengenai pelbagai faedah serta manfaat diperoleh mereka," katanya dalam mesyuarat agung Koperasi Pekebun Kecil Getah Daerah Kuantan dan Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini kelmarin.

Menurutnya, golongan itu perlu diberikan bimbingan, perhatian dan pendedahan tentang cara sektor IKS boleh maju dan berdaya saing.

Katanya, sebahagian besar golongan berkenaan sudah lama menceburi bidang tersebut dan wajar diberi pelbagai bantuan sebagai pemangkin kemajuan dalam perniagaan.

Beliau memberitahu, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka tetapi disebabkan kurang mendapat penerangan, maka golongan itu tidak mengetahui kemudahan serta manfaat tersebut.

"Saya berharap dengan majlis penerangan yang diadakan seperti ini akan dapat memberi bimbingan kepada pengusaha terbabit untuk terus maju ke hadapan.

"Langkah ini akan mendorong peniaga lebih berdikari sekali gus memajukan perniagaan masing-masing selaras dengan matlamat kerajaan melahirkan lebih ramai pengusaha IKS," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat