{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Graduan UMK berjaya tubuh 30 syarikat

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Roselina Ahmad Saufi (kiri) dan Fauziah Ibrahim (kanan) melawat salah satu gerai dalam Festival Usahawan Wanita Kelantan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 29 Jun - Sebanyak 30 syarikat telah berjaya ditubuhkan oleh graduan bidang keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sejak institusi pengajian tinggi (IPT) itu diwujudkan pada 2007.

Antara usahawan yang dilahirkan itu telah berjaya menjadi ikon dalam bidang masing-masing antaranya syarikat hartanah, multimedia dan penternakan kambing serta lembu.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMK, Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi berkata, sejak enam tahun penubuhannya, sebanyak lima peratus daripada 800 graduan telah terlibat dalam perniagaan sendiri selain bekerja makan gaji.

"Setakat ini seramai 800 graduan telah menamatkan pengajian dan lima peratus daripada mereka berjaya digilap sebagai usahawan dan telah menceburi perniagaan masing-masing.

"Di UMK, graduan bukan hanya ditekankan semata-mata untuk mendapat segulung ijazah dan makan gaji tetapi kami juga menyediakan mereka untuk menceburi bidang perniagaan sendiri," katanya kepada Mingguan Malaysia selepas Majlis Hi-Tea Amal sempena Festival Usahawan Wanita Kelantan di UMK Kampus Pengkalan Chepa di sini semalam.

Yang turut hadir isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah serta Pengerusi Persatuan Wanita UMK (Kawanita), Datin Dr. Fauziah Ibrahim.

Menurut Roselina, untuk tahun ini UMK telah meningkatkan sasarannya berbanding sebelum ini iaitu untuk melahirkan sebanyak 10 peratus graduan usahawan.

Katanya, untuk mencapai sasaran tersebut, pihak universiti telah menyediakan modul keusahawanan bagi membantu pelajar-pelajar supaya mereka lebih memahami selok-belok bidang perniagaan sebelum menjadi usahawan.

"Pada fasa pertama, pelajar akan dilatih dengan mewujudkan syarikat kecil secara dalaman di mana segala kelengkapan serta dana permulaan akan disediakan oleh pihak universiti.

"Selepas syarikat tersebut berkembang, mereka akan digalakkan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi fasa seterusnya," katanya.

Masa depan pelajar Terengganu terarah

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Oleh radhuan hussain
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 29 Jun - Bagi melahirkan pelajar yang terarah dan mempunyai masa depan gemilang, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bersedia melaksanakan Program Pelajar Terengganu (PPT) 2025 dalam waktu terdekat ini.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Zakaria Hussin (gambar) berkata, di bawah program itu, empat aktiviti teras akan dilaksanakan iaitu mewujudkan Pangkalan Data Rangkaian Pelajar Terengganu (Rapat) serta kempen-kempen Gerakan Kemenjadian Murid.

Dua lagi aktiviti utama, jelasnya, adalah taklimat enam aspirasi pelajar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan Kolokium Pelajar 2020 serta diari pelajar.

Menurutnya, Rapat merangkumi peringkat pertama membabitkan pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 bagi tahun ini manakala pelajar tingkatan 4 pula pada tahun-tahun berikutnya.

"Semua pelajar ini akan memasukkan data mereka menerusi Rapat di sekolah masing-masing dan mereka juga boleh mengemaskini data sepanjang masa sehingga ke hari tua," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada majlis pelancaran Gerakan Kemenjadian Murid Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib. Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPNT, Ngah Bidin.

Program itu dihadiri semua ketua sektor, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD), para pengetua, guru-guru besar serta guru penyelaras pendidikan khas seluruh Terengganu.

Zakaria berkata, JPNT sedang dalam proses mewujudkan sistem pangkalan data Rapat di bawah khidmat kepakaran sektor pengurusan maklumat dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Mengenai kempen Gerakan Kemenjadian Murid pula, katanya, kempen sifar ponteng sekolah akan diadakan sempena peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan awam.

Jelasnya, begitu juga kempen asrama yang 100 peratus bersih, ceria, kemas, selesa dan indah selain kempen kantin 5K iaitu kebersihan, keceriaan, kekemasan, keselesaan dan kepelbagaian serta kempen mencegah vandalisme pada hari akhir persekolahan dan peperiksaan awam.

"Program seumpama ini akan membolehkan kita mengenalpasti ke mana hala tuju para pelajar selepas mereka tamat persekolahan dan kita akan pastikan mereka ada masa depan serta bekerjaya," katanya.

400 pelajar sertai program Bakti Siswa

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

GUA MUSANG 29 Jun - Kira-kira 400 pelajar dari tiga buah sekolah di sini menyertai program Bakti Siswa bersama mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap.

Program yang bertemakan Menabur Budi Menuai Bakti yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Unit Kecemerlangan Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER) Kementerian Pengajian Tinggi UMK.

Selain itu, program yang diadakan selama dua hari bermula hari ini turut mendapat kerjasama daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang.

Ketua Unit Kecemerlangan ECER Kementerian Pengajian Tinggi UMK, Prof. Rosdi Ab. Rahman berkata, program itu menggabungkan pelajar-pelajar dari SMK Sungai Asap, Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh dan SK Renok Baru untuk bersama-sama kira-kira 80 mahasiswa dari UMK, UMS dan UPM.

Beliau berkata, pelajar yang dipilih menyertai program itu terdiri daripada pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting tahun ini iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu katanya, program berkenaan juga diadakan bagi menarik minat pelajar-pelajar itu untuk mendalami bidang akademik bersama mahasiswa terlibat sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

"Saya berharap dengan interaksi di antara pelajar bersama mahasiswa ini dapat menarik minat mereka untuk lebih bersemangat dalam bidang akademik dan persiapan untuk menduduki peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program berkenaan di SMK Sungai Asap di sini hari ini.

Program itu disempurnakan oleh Penolong Pengarah PPD Gua Musang, Wan Badrudin Wan Omar.

Tambah Rosdi, program yang diadakan itu sememangnya sangat unik kerana pelajar-pelajar akan berkampung semalaman dan tempoh itu mereka akan diisi dengan pelbagai aktiviti keilmuan yang disediakan mahasiswa-mahasiswa terlibat.

"Pelajar-pelajar ini juga akan diberikan ceramah, motivasi dan pelbagai aktiviti yang berupaya menguatkan jati diri mereka," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat