{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pendidikan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pendidikan


Program SMP-Utusan perlu diteruskan

Posted: 29 Sep 2013 11:42 AM PDT

Oleh Wahid Hashim
pendidikan@utusan.com.my

Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP-Utusan Malaysia berjaya merangsang murid luar bandar untuk memperkembang potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu.

SELEPAS dua tahun pihak Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) menaja dan menganjurkan program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi, didapati program itu bukan sahaja telah berjaya membina jenamanya yang utuh dalam pendidikan sokongan peringkat nasional, malah mengesahkan keberkesanan modul akademik-motivasi dalam mengatasi masalah ponteng.

Bagi SMP, program itu juga mencapai tahap peratusan tertentu memecahkan sindrom kepompong putaran keganasan kesederhanaan (3K), malu dan rendah diri yang menyelubungi anak kampung.

Sebelum bekerjasama dengan Unit Pendidikan Utusan Malaysia, SMP berhadapan dengan masalah kehadiran pada hari kedua apabila minat segelintir pelajar hilang selepas mengikutinya pada hari pertama.

Pengukuhan penjenamaan, keberkesanan modul dan memecah rendah diri itu berjaya dilaksanakan melalui komitmen SMP yang istiqamah dan bestari, publisiti yang mencukupi untuk memupuk kefahaman massa, serta teknik dan pendekatan penyampaian bahan akademik dan motivasi oleh pakar yang memahami kehendak dan naluri peserta.

Apakah rumus kepada kejayaan berkenaan?

Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin berkata, salah satu pendekatan yang dilakukan adalah memperkembang potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu.

Ujar beliau lagi , program itu bertujuan untuk merangsang pelajar luar bandar keluar daripada sindrom 3K - termasuk malu dan rendah diri.

"Kebanyakan pelajar luar bandar sering dilanda sindrom berpuas hati dengan pencapaian sederhana.

"Misalnya dalam kelas, murid-murid berebut-rebut duduk di belakang bukannya berebut-rebut duduk di depan, segan bertanya dan agak pasif dalam kelas,'' katanya baru-baru ini.

Apabila sudah terperangkap dalam sindrom 3K, murid-murid kerap hanyut dalam putaran ganas kesederhanaan dan kurang keyakinan untuk bersaing, ujar Noraini.

Oleh itu, katanya, melalui program ini sindrom 3K dapat dipecahkan agar murid-murid mendapat semangat baru dan muncul sebagai generasi gemilang dalam persada kerjaya masing.

"Contohnya apabila mereka menjadi guru, mereka akan menjadi guru yang cemerlang. Jika jadi peniaga pun mereka akan cemerlang dalam bidang tersebut,'' kata Noraini.

Dalam Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP-Utusan Malaysia, peserta mendapat kemahiran 'tiga dalam satu' untuk membebaskan mereka daripada belenggu 3K.

Tiga kemahiran tersebut adalah kemahiran insaniah, kemahiran penaakulan dalam menjawab soalan dan kemahiran mengenali potensi diri.

Kemahiran ini diterapkan kepada peserta dalam usaha mencorakkan kemenjadian mereka sebagai modal insan yang cemerlang dan terbilang.

Selain itu, peserta turut diberi kata laluan untuk melayari portal e-pembelajaran www.adap.com.my secara percuma.

Dari segi pencapai akademik , siri jelajah Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas terbukti berjaya membantu meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan para pesertanya - dengan menambah bilangan calon yang mendapat semua A, menambah baik peratusan semua lulus dan mengurangkan Gred Purata Sekolah (GPS).

''Sangat membantu, kalau boleh tahun ini buat lagi," kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Muhammad Yusof di Linggi, Negeri Sembilan, Ramli Othman.

Sekolah itu menjadi hos bagi program berkenaan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lepas.

Pada 2011 tambah Ramli, GPS PMR ialah 3.1, dan menjadi bertambah baik pada 2012, iaitu 2.7.

Katanya, peratus lulus semua mata pelajaran turut meningkat iaitu daripada 47 peratus pada 2011 kepada 67 peratus pada 2012.

Program telah berlangsung di 11 lokasi di seluruh negara bermula awal tahun lepas, yang mencakupi sekolah rendah dan menengah.

Jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat bagi program ini seramai 2,200 orang. Peserta UPSR seramai 600 orang, PMR (800) dan SPM (800).

Secara keseluruhannya, iaitu sejak program itu bermula pada 2010 di Kepala Batas, Pulau Pinang, jumlah sekolah yang telah mengikuti program berkenaan ialah 224 buah di Semenanjung Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 113 buah ialah sekolah rendah dan 111 buah ialah sekolah menengah.

Turut terlibat ialah sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan tujuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Keseluruhan pelajar yang terlibat adalah seramai 3,000 orang. Daripada jumlah tersebut, jumlah calon yang UPSR seramai 1,000 orang, PMR (1,000) dan SPM (1,000) orang.

Sambil beraktiviti, pihak Sekretariat Malaysia Prihatin turut melakukan tugas hakikinya menghulurkan sumbangan kepada pelajar miskin berbentuk barangan seperti beras, peralatan sekolah dan sebagainya.

Pihak penganjur mempunyai garis panduan dalam pemilihan peserta seperti calon yang sederhana pencapaian akademiknya tetapi berpotensi untuk maju.

Pemilihan juga berdasarkan tinjauan awal yang dibuat semasa program Kampung Prihatin.

Selain itu, sasaran penyertaan ialah pelajar kurang upaya atau kes-kes terpencil termasuk anak-anak yatim yang tinggal di rumah kebajikan kerajaan atau swasta.

Sementara itu, ketua program, Dr. Ismail Zain berkata, suntikan motivasi, panduan serta pengisian akademik melengkapkan keperluan program yang menyediakan peserta dengan persiapan menghadapi peperiksaan.

Peserta program bakal mendapat kemahiran tiga dalam satu, dalam usaha mencorakkan kemenjadian pesertanya sebagai modal insan 360 darjah.

"Tiga kemahiran itu ialah kemahiran insaniah, kemahiran penaakulan dalam menjawab soalan dan kemahiran potensi diri," jelasnya.

Rukun Negara pemangkin perpaduan rakyat

Posted: 29 Sep 2013 11:42 AM PDT

Murid prasekolah menyanyikan lagu patriotik sambil mengibar Jalur Gemilang dalam majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan dan Sayembara Puisi Merdeka Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) SMK Sultan Abdul Aziz Shah di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Setiap murid perlu menjadikan prinsip Rukun Negara sebagai satu amalan cara hidup yang berterusan bagi melahirkan generasi Malaysia yang memiliki jati diri, berwawasan dan bermaruah sejajar dengan wawasan negara.

Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat, Muhamad Radzi Abdullah berkata, lima prinsip yang terkandung pada Rukun Negara perlu difahami dan amat penting sebagai pemangkin perpaduan dan keharmonian rakyat.

"Prinsip itu juga menjadi penggerak terhadap daya usaha menyubur, mempertingkat kesedaran kerohanian dan kepentingan Rukun Negara sebagai asas norma kehidupan sejagat,'' katanya ketika berucap menutup majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Sayembara Puisi Merdeka, Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah di Kajang, Selangor baru-baru ini.

SMK Sultan Abdul Aziz Shah mempunyai murid berjumlah 2,385 orang yang terdiri daripada murid Melayu seramai 2,239, India 131 orang, dua murid Cina dan 13 orang murid bukan warganegara.

Selain itu, menurut Muhamad Radzi, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan sentiasa mengambil berat terhadap usaha-usaha meningkatkan program perpaduan di kalangan murid.

"Murid perlu dibentuk agar generasi muda saling hormat-menghormati dan memahami budaya dan pegangan agama pelbagai kaum malah kita harus menghakis sikap mengagungkan bangsa sendiri.

"Hal ini demikian kerana, sikap berkenaan hanya akan membawa kepada pemisahan dan ketegangan etnik yang tidak menguntungkan sesiapa," tegasnya.

Sementara itu, Penyelia Kanan Kokurikulum Pendidikan Daerah Hulu Langat merangkap penyelaras program, Razak Said berkata, setiap murid wajar mempraktikkan prinsip Rukun Negara kerana usaha itu menjadi kunci keharmonian dan kestabilan negara.

"Rukun Negara menjadi panduan bagi rakyat bertindak dengan memberi penekanan kepada matlamat untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan saintifik.

"Hanya dengan pemeliharaan identiti ini, rakyat berupaya menghadapi perubahan pantas dan dapat bertahan daripada kesan negatif globalisasi," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat