{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Mengembalikan martabat Ayahanda

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Husain Al-Shahab (duduk, tengah) bersama Ayahanda-Ayahanda pertubuhan atau NGO Melayu bertaraf Ayahanda seluruh Malaysia pada sidang media Seminar Hala Tuju Ayahanda pada 23 November 2013. - Gambar ihsan Sinar Harian

GELARAN Ayahanda bukannya sesuatu yang baharu dalam gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu tetapi kebelakangan ini nama khas yang diwariskan kepada pemimpin komuniti Melayu ini telah mendapat gambaran buruk akibat perbuatan tidak bermoral sesetengah pihak.

Sebelum ini ada pihak dalam industri hiburan menggambarkan pangkat Ayahanda itu hanya untuk ketua samseng dan gangster, kemudian operasi terhadap penjenayah pula mengesan ada individu mempunyai 'kad kuasa' Ayahanda pertubuhan atau NGO tertentu.

Sememangnya wujud individu yang menggunakan gelaran ini untuk aktiviti tidak bermoral, malahan ada di antara mereka ini berbangsa Cina dan India yang tidak diketahui asal usul warisan gelaran yang digunakan itu.

Ada juga berpendapat usaha memburukkan gelaran Ayahanda merupakan kesinambungan memecahbelah NGO Melayu selepas kejayaan agenda perpecahan politik Melayu yang semakin teruk hari ini.

Perkembangan ini telah menjejaskan nama baik dan martabat institusi Ayahanda dan pertubuhan yang dipimpin mereka berikutan tiada garis panduan bagaimana menentukan kelayakan seseorang mewarisi mahupun menggunakan gelaran itu.

Tanpa definisi khusus, maka individu yang menggunakan gelaran Ayahanda juga tidak tertakluk kepada peranan mahupun tanggungjawab tertentu dan bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak peribadi.

Untuk menangani penyalahgunaan gelaran itu daripada terus melarat, Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS) dengan kerjasama pertubuhan dan NGO bertaraf Ayahanda lain di seluruh negara akan mengadakan seminar khas bagi menetapkan definisi, garis panduan, mekanisme kesinambungan dan lain-lain isu berkaitan.

Pengerusi Eksekutif YAS, Syed Husain Al-Shahab menjelaskan, seminar itu akan mengumpulkan kesemua Ayahanda daripada pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi membincangkan hala tuju kepimpinan mereka.

"Kita mahu dapatkan maklumat dan maklum balas melalui kupasan, soal jawab, penggulungan dan resolusi, khususnya tentang mekanisme untuk mengiktiraf, tatacara urus tadbir dan garis panduan gelaran Ayahanda.

"Ini termasuk pembentangan kertas kerja yang turut melibatkan ROS dan wakil polis Bukit Aman berikutan beberapa insiden yang mencemar nama baik institusi ini. Di hujung seminar, kita akan rumuskan sebuah resolusi untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri," katanya.

Beliau mendedahkan gerakan baiah golongan bertaraf Ayahanda sebenarnya bermula sejak zaman Rasulullah lagi tetapi ketika itu dengan gelaran khalifah dan kemudian turun kepada waris kepimpinan Islam berikutnya.

Beliau menyatakan di negara ini tiada nama pertubuhan sebelum merdeka tetapi gerakan kepimpinan melalui baiah itu tetap wujud sebelum gelaran khalifah itu ditukar kepada Ayahanda sekitar 1990-an dalam Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

"Saya merupakan antara pelopor gelaran Ayahanda bersama kepimpinan Pekida sekitar 1992 dengan sekitar 50 orang veteran diberikan gelaran itu. Ramai antara mereka juga sudah meninggal dunia.

"Gelaran khalifah tidak sepadan kerana perlu kelayakan cukup. Ketika itu gelaran Ayahanda dimonopoli Pekida tetapi selepas 2004 wujud lebih 40 pertubuhan berdaftar dan lebih 1,000 individu yang menggunakan gelaran tersebut," ujarnya.

Beliau sedih melihat hari ini begitu banyak individu menggunakan gelaran Ayahanda dengan tidak betul dan tidak diketahui asal-usul warisannya sedangkan 90 peratus Ayahanda yang 'sebenar' adalah di kalangan anak didiknya sendiri.

Syed Husain mendakwa ada elemen lain yang merosakkan institusi Ayahanda sehinggakan ada orang Cina dan India yang menggunakan gelaran itu, siap dengan kad nama buatan sendiri yang ditunjuk kepada polis jika mereka ditahan.

"Baiah kepimpinan Ayahanda itu janji dengan Allah, ia sangat kuat. Saya sendiri tidak pernah ditahan polis kerana saya tidak menyeleweng, ahli-ahli YAS juga tidak pernah ditahan.

"Tetapi elemen luar yang masuk sehinggakan bangsa lain menggunakan gelaran ini, entah datang dari mana, banyak sangat. Mereka buat pertubuhan baharu terus gunakan nama Ayahanda palsu," tegasnya.

Beliau mewakili Ayahanda-Ayahanda sebenar mahu penjelasan dari mana kumpulan 'Ayahanda baharu' itu mendapat gelaran tersebut kerana ia bukan boleh dicipta sesuka hati kerana perlu ada aturan, kesinambungan, sejarah dan syarat-syarat tertentu sebagai institusi yang sah.

Sekarang ini, beliau melihat semuanya sudah berkecamuk, tidak tahu datang dari cabang mana sehinggakan tidak boleh dikenal yang mana satu intan atau kaca.

"Sampaikan budak umur 18 tahun, kahwin pun belum sudah guna 'Ayahanda', sudah jadi merapu kategori mereka ini. Bila timbul isu-isu berikutan beberapa insiden, cemar nama baik semua pertubuhan Ayahanda

"Ayahanda ini gelaran amat baik, bukan seperti digembar-gemburkan. Isu iktiraf susah sikit, siapa boleh beri pengiktirafan itu? Kerana itu seminar ini kita mahu maklum kepada semua Ayahanda hadir untuk kemaskini dan bentuk garis panduan pengiktirafan itu," katanya.

Beliau melihat seminar itu sebagai satu platform asas bukan sahaja dalam mengembalikan martabat gelaran Ayahanda malahan untuk memaklumkan kepada kepimpinan tertinggi negara akan peranan, perjuangan dan sumbangan mereka kepada keamanan dan kesejahteraan negara.

Beliau juga berharap langkah itu akan menyemarakkan perpaduan, kemajuan dan keamanan dalam negara, lebih-lebih lagi sesuatu yang melibatkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu tanpa melupakan hak kaum lain.

"Menjadi harapan YAS agar usaha kita ini akan menjadi titik tolak ke arah memartabatkan institusi bertaraf Ayahanda khasnya, dan orang Melayu amnya.

"NGO Melayu bertaraf Ayahanda perlu peka dan bertindak mengikut lunas-lunas keadilan dan hak-hak yang terkandung dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh pejuang-pejuang terdahulu, serta perlu difahami dan diperakui semua bangsa berbumbungkan bumi Malaysia ini," ujarnya.

Individu dengan gelaran Ayahanda dijemput hadir ke Seminar Hala Tuju Kepimpinan Ayahanda itu yang akan diadakan pada 23 November 2013 dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 malam di Hotel Brisdale Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi talian 019-2158232.

SPR dan 'stigma' Sungai Limau

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Calon Barisan Nasional DUN Sungai Limau, Dr Ahmad Sohaimi Lazim melaungkan slogan "Berani Berubah" bersama Pemuda UMNO ketika sesi kempen berjumpa dengan penduduk Kampung Kuala Sala Sungai Limau dengan menaiki motosikal, baru-baru ini. - UTUSAN/ Safrizal Azmi

SETAKAT petang semalam di DUN Sungai Limau, Kedah, tidak ada insiden pelik sampai ke telinga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kalau ada pun yang pelik hanyalah pada hari penamaan calon 23 Oktober lalu. Waktu itu Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang turut ada di situ pun pening kepala. Mana tidaknya, semasa pegawai pengurus nak umumkan nama dua calon bertanding, masih membingit di telinga dekat kawasan Dewan Dato' Madi, Yan pusat penamaan calon itu penyokong dan pengikut pembangkang berceramah, bersyarah. Mereka guna pembesar suara.

Padahal ikut peraturan SPR, tidak dibenarkan bawa alat-alat muzik, hatta pembesar suara sekali pun. Tapi penyokong pembangkang ini tak ambil peduli meskipun kelihatan kelibat pemimpin-pemimpin mereka.

"Saya difahamkan pihak berkuasa sedang teliti kejadian ini dan bukti-bukti telah pun ada, mereka terlibat akan ditahan," kata Abdul Aziz ketika dihubungi penulis malam tadi.

Di Sungai Limau kala ini, poster-poster dan sepanduk parti-parti bertanding sudah mula naik banyak. Tetapi itu semua tidak membimbangkan Abdul Aziz yang cukup yakin kempen yang sejak beberapa hari lalu sudah berjalan dan akan disudahi pengundian Isnin 4 November ini, pasti berjalan lancar. Sebabnya di sekitar Yan banyak golongan belajar agama, banyak sekolah pondok. Mereka patuh undang-undang.

Apa yang diperhatikan Abdul Aziz cuma kehadiran penduduk Sungai Limau dan sekitarnya terhadap kempen ceramah terbuka tidak ramai. Kurang sambutan method kempen sebegini. Jarang mencecah ribuan orang.

Paling maksimum pun yang pernah dicatat kira-kira 150 hingga 200 orang, itupun hanya satu dua hari. Kalau tidak, hanya puluh-puluh. Kebanyakan strategi atau kaedah terarah pada kempen dari rumah ke rumah, tidak kira calon Pas mahupun Barisan Nasional.

"Di Sungai Limau, bajetnya tak tinggi, atas sikit RM1 juta. Tidak ada pengundi awal di sini. Tidak ada polis dan tentera di situ.

"Maknanya pegawai dan kakitangan SPR ini tidak akan sibuk uruskan diri sebagai pengundi pos," katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik yang juga mengetuai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pro-kerajaan dalam memerangi jenayah, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim yakin dengan kewibawaan pihak polis dan SPR mengendalikan proses perjalanan pilihan raya kecil itu.

"Saya difahamkan pihak SPR dan polis memantau dengan baik perjalanan kempen pilihan raya kecil itu. Saya juga dimaklumkan setakat ini hanya beberapa kertas siasatan dibuka di Yan berkaitan kempen pilihan raya di DUN Sungai Limau ini," katanya.

Mengenai peluang BN dalam pilihan raya itu, Ahmad Faris yakin sekiranya jentera pilihan raya BN terus bertahan dengan baik - menemui pengundi - sehingga hari terakhir kempen terutama pada hari pengundian, stigma bahawa Sungai Limau kubu kuat Pas, mampu dilenyapkan.

"Saya percaya angka jumlah pusat daerah mengundi yang dimenangi Pas dalam PRU-13 pada 5 Mei lalu dapat BN atasi. BN tempoh hari hanya menang di enam daerah mengundi tetapi dengan semangat yang saya kira begitu tinggi dimiliki jentera parti, apatah lagi dengan 'biduk lalu kiambang bertaut' setelah kumpulan-kumpulan pemimpin dan penyokong semasa proses pemilihan UMNO baru-baru ini sudah sepakat memandang ke hadapan, tidak mustahil kejayaan boleh dicapai," katanya.

Pada PRU-13, Pas menguasai 13 daripada 19 pusat daerah mengundi di DUN Sungai Limau. Pas menang di daerah mengundi Matang Buloh, Sungai Dedap, Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas dan Kampung Titi Batu.

"Saya harap BN akan memperkuatkan lagi kerja keras jenteranya di Bukit Choras dan Bukit Besar yang mana sokongan yang diraih Pas di dua daerah mengundi ini agak tinggi, dengan kedudukan Pas-BN adalah 458-81 dan 459-115.

"BN juga perlu mendekati seberapa ramai pengundi di enam pusat daerah mengundi yang mereka menang itu. Sebabnya kekalahan Pas ketika itu cuma tipis dengan kedudukan Pas-BN di Simpang Tiga, Selengkoh dan Sungai Daun dalam posisi 224-241, 233-331 dan 184-233. Begitu juga di daerah mengundi Dulang Besar, 241 (Pas)-323 (BN). Pas tewas teruk di Dulang Kechil dan Sungai Kering, dengan kedudukan 194-406 dan 70-248," kata Ahmad Faris.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat