{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


Penduduk bantah projek baharu

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Seorang penduduk, Jerry Chan menunjukkan laluan utama ke projek pembangunan baharu yang sedang dibina oleh pemaju dikhuatiri akan menjejaskan landskap semula jadi dan mengakibatkan tanah runtuh di kawasan perumahan Templer Villa di Selayang, Selangor semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

SELAYANG 24 Nov. - Penduduk 10 buah taman perumahan sekitar Taman Templer bimbang sebuah projek pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan mereka bakal membawa risiko tanah runtuh dan mengancam keselamatan penduduk berdekatan.

Mereka turut berasa kecewa apabila kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberi kelulusan kepada pemaju untuk meneruskan projek tersebut biarpun mendapat bantahan daripada penduduk.

Presiden Persatuan Pemilik dan Penduduk Templer Villas, Thay Peng Kee berkata, bantahan itu dibuat setelah jurutera luar yang membuat kajian tanah mendapati kawasan itu berisiko untuk runtuh jika diteroka.

"Hasil kajian tersebut mendapati, tahap kecerunan di tapak projek kebanyakannya adalah pada tahap tiga dan empat. Pemaju didapati tidak mematuhi syarat-syarat Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan dan Tanah Tinggi Negeri Selangor, 2010.

"Apabila berada pada tahap empat seharusnya tiada apa-apa projek pembangunan dibenarkan kerana tanah di situ berisiko besar untuk runtuh. Kami tidak faham mengapa kerajaan negeri dan MPS tidak semak perkara ini dengan teliti," katanya dalam sidang akhbar semasa mempengerusikan mesyuarat agung persatuan tersebut di sini hari ini.

Menurutnya, selain faktor keselamatan kawasan tersebut juga memiliki dua tempat rekreasi iaitu Taman Rimba Templer dan Air Terjun Kanching yang dipenuhi khazanah alam termasuk pelbagai spesies flora dan fauna yang perlu dipelihara dengan baik.

"Jika projek tersebut masih diteruskan akan memberi kesan buruk kepada tempat rekreasi ini yang pastinya mencemarkan kawasan hijau yang telah dijaga sejak sekian lama.

"Pelaksanaan projek ini jelas tidak telus dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan-persatuan Penduduk Templer Park dan ahli Kelab Golf Perangsang Templer (PTGC), Datuk Mukhtar Ismail berkata, kawasan itu perlu dikekalkan sebagai zon hijau sehingga 2020 seperti yang diwartakan oleh MPS pada 1998.

"Jika dibangunkan maka musnahlah harapan untuk melihat kawasan ini kekal hijau. Taman Rimba Templer yang dihadiahkan Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah pada 1954 juga merupakan kawasan tadahan air yang dikhuatiri akan terjejas sekiranya pembangunan tersebut dilaksanakan.

"Oleh itu kami minta supaya kerajaan negeri dan MPS mengkaji semula pelaksanaan projek itu yang membawa lebih keburukan daripada kebaikan," jelasnya.

90 peratus penduduk Kg. Baru sudah setuju

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Sebanyak 90 peratus daripada keseluruhan pemilik hartanah di Kampung Baru telah bersetuju untuk membangunkan tanah masing-masing sebagaimana dirancang bersama dengan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB).

Persetujuan itu diperoleh menerusi maklum balas yang diterima daripada borang kaji selidik yang diedarkan kepada kesemua 1,381 pemilik dan waris lot tanah di kampung itu.

Di samping itu, sebanyak 80 peratus responden mahu segera berunding dengan PKB bagi tujuan pembangunan semula kawasan tersebut.

Timbalan Pengerusi PKB, Datuk Seri Matshah Safuan berkata, melalui empat Siri Taklimat Pembangunan Kampung Baru oleh PKB sebelum ini, majoriti penduduk telah bersetuju dan bersedia untuk mengkomersialkan lot-lot tanah mereka.

"Walaupun ada sedikit halangan apabila 50 peratus daripada status tanah penduduk kampung itu masih lagi bermasalah tetapi itu bukan penghalang kepada kami untuk membantu penduduk membangunkan Kampung Baru.

"Malah, telah terdapat lima kumpulan dalam kalangan penduduk sudah mula membangunkan tanah masing-masing dengan menggunakan pelbagai insentif pembangunan yang ditawarkan melalui PKB," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat terakhir daripada empat siri kepada kira-kira 600 waris dan pemilik tanah Kampung Atas A, Kampung Atas B dan Kampung Pindah di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru semalam.

Terdapat tujuh buah kampung dalam kawasan Kampung Baru. Empat kampung lain ialah Kampung Hujung Pasir, Kampung Periok, Kampung Masjid dan Kampung Paya.

Sesi taklimat itu dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharudin Abdullah, dan turut dihadiri Pengerusi PKB, Datuk Astaman Abdul Aziz.

Mat Shah berkata, bagi merancakkan lagi proses pembangunan semula Kampung Baru, PKB akan mula memanggil pemilik-pemilik lot tanah untuk digabungkan bagi menjadi tapak projek-projek yang bersesuaian untuk dibangunkan.

"Terpulanglah apa juga bentuk cadangan yang mereka ingin majukan atau menyerahkan kepada pihak pemaju yang berdaftar dengan PKB tetapi yang pasti pembangunan semula Kampung Baru bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk dijayakan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, PKB tidak dapat menghalang penduduk daripada menjual tanah mereka kepada pihak tertentu tetapi mereka perlu memastikan penjualan tersebut mestilah memenuhi syarat ketat.

"Mereka perlu sedar bahawa Kampung Baru merupakan tanah kurnia dan hak milik kekal Melayu yang dikenakan sekatan kepentingan.

"Sekatan kepentingan ini secara jelas menyatakan tanah tersebut tidak boleh dijual dan tidak boleh diduduki oleh orang bukan Melayu. Oleh itulah ditubuhkan PKB bagi memastikan seluruh 124.37 hektar keluasan tanah milik Melayu di Kampung Baru ini tidak akan jatuh kepada mana-mana pihak yang tidak berkenaan," jelasnya.

Menurutnya, sebagai tanah kurnia hak milik kekal Melayu, pemilik tanah di Kampung Baru menikmati cukai pintu sebanyak dua peratus sahaja.

"Jadi apabila mendapat tahu bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menaikkan kadar cukai tersebut pada 1 Januari akan datang, diharap tidak akan menjejaskan kadar cukai pintu yang selama ini dinikmati penduduk Kampung Baru.

"Jika selama ini penduduk hanya membayar RM20 dan RM30 setahun, memang ada akan terkejut apabila mendapat taksiran yang naik sehingga 200 hingga 300 peratus, jadi perkara ini bakal dibawa kepada DBKL," katanya.

Tingkatkan kebersihan ibu negara

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Tengku Adnan Tengku Mansor (dua dari kanan) turut cuba mengendalikan corong penyedut sampah milik Alam Flora sambil dibantu oleh Mohd. Zin Hassan sempena Kempen Kebersihan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Semua pihak termasuk peniaga dan orang ramai diminta menitikberatkan aspek kebersihan bagi memulihkan imej Kuala Lumpur yang dilabel sebagai sebuah bandar raya yang kotor.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerjasama warga kota bersama pihak berkuasa amat perlu untuk memastikan Kuala Lumpur menjadi contoh kepada bandar-bandar lain.

"Sikap suka membuang sampah merata-rata serta mementingkan diri perlu diubah kerana tiada gunanya jika kerajaan menyediakan kemudahan kelas pertama tetapi tidak digunakan dengan betul.

"Masih ramai yang mempunyai pemikiran kelas ketiga dalam aspek kebersihan dan pengguna sendiri harus mengelak daripada berkunjung ke premis makanan yang kotor sebagai langkah mendidik peniaga supaya menjaga kebersihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Kebersihan Wilayah Persekutuan yang bertemakan Bersih dan Ceriakan KL di Lanai Seni, Jalan Tuanku Abdul Rahman, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Adnan Md. Ikshan dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zin Hassan.

Tambah Tengku Adnan, kementeriannya turut memperkenalkan Skuad Pendidikan Penguatkuasaan (SPP) melalui Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meningkatkan lagi kebersihan.

Ujarnya, skuad itu berperanan memberi kesedaran kepada warga kota tentang tanggungjawab menjaga kebersihan, khususnya di kawasan tumpuan ramai.

"Skop tugas mereka juga adalah untuk membina hubungan yang baik antara warga kota dengan DBKL bagi mendidik dan menasihati orang ramai untuk mematuhi undang-undang.

"SPP juga akan menerangkan kepada orang ramai mengenai undang-undang yang diguna pakai dan akibat daripada kesalahan yang dilakukan," ujarnya.

Sementara itu, kempen tersebut disertai agensi kerajaan dan swasta termasuk DBKL, Alam Flora Sdn. Bhd., Persatuan Penjaja Kecil Masjid India, Persatuan Penjaja Kecil Lorong Tuanku Abdul Rahman dan para pelajar.

Antara aktiviti yang dijalankan di bawah program itu ialah kempen pembasmian tikus dan pemeriksaan ke premis perniagaan makanan, selain mengadakan sesi pertemuan dengan penjaja, peniaga dan penduduk untuk menggalakkan penyertaan warga kota dalam setiap kempen yang dijalankan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat