{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rekreasi

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rekreasi


Berpakaian sekolah di puncak Tahan

Posted: 29 Mar 2014 05:48 AM PDT

Pendaki berpakaian sekolah di puncak gunung Tahan.

Berketinggian 2187 meter dari paras laut (dpl), Gunung Tahan yang terletak di Taman Negara Pahang dan di bawah pengurusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjadi tumpuan pendaki khususnya pada cuti perayaan yang panjang.

Pada cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lalu, sekumpulan pendaki dari Kelab Pendaki Budak Chap Ayam (BCA) telah menganjurkan ekspedisi mendaki gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia itu. Pendakian itu disertai oleh 24 orang dan diiringi dua penunjuk arah dari Perhilitan, Zulkifli Daud, 41, dan Zainal Abidin Mohd Zin,31.

Bertemakan Nostalgia Zaman Sekolah, para pendaki dikehendaki membawa pakaian seragam sekolah untuk dipakai ketika sesi bergambar di puncak gunung tersebut. Berikut catatan pendakian kami.

Hari Pertama

Rombongan kami tiba di pejabat Perhilitan di Sungai Relau,Merapoh,Pahang pada pukul 8 pagi.Selepas pemeriksaan barangan dilakukan, kami mendengar taklimat yang disampaikan oleh penunjuk arah. Kemudian kami menaiki kenderaan pacuan empat roda (4x4) menuju ke Santuari Ikan Kelah Kuala Juram.

Selepas solat Zohor, langkah mula diatur menuju ke Kem Kor sejauh 13.5 kilometer. Kami melalui beberapa kawasan seperti Lata Bunian, Kem Kuala Luis dan Lata Luis. Dalam perjalanan itu, kami menyeberangi sungai yang paras airnya mencecah pinggang.

Perjalanan ke Kem Kor memang mengasyikkan. Tidak hairanlah Gunung Tahan sentiasa menerima kunjungan pendaki dari dalam dan luar negara. Tepat pukul 7 malam, kami tiba di Kem Kor. Selepas solat Maghrib, para peserta termasuk ketua ekspedisi, Mohd Nazri Mohd Nazair, 32,bergotong-royong menyediakan makan malam dengan menu tom yam yang cukup istimewa.

Hari Kedua

Selepas mendengar taklimat, kami bergerak menuju ke Kem Botak. Kami melalui tapak perkhemahan Kem Permatang, Kem Kubang, Kem Belumut dan Kem Bonsai. Pendakian lebih sukar dengan jarak perjalanan 16 kilometer. Trek yang dilalui amat mencabar dan kebanyakannya curam.Beberapa pendaki mula mengalami masalah kekejangan dan kecederaan otot.Mereka terpakasa berehat seketika di Kem Bonsai yang dikelilingi pepohon rendah yang cantik.

Penulis sempat bergambar di sebatang pohon yang agak rendang dekat situ.Pemandangan gunung-ganang sekitar Taman Negara dapat dilihat dari kawasan ini. Hari semakin menuju senja.Panorama matahari terbenam dapat dilihat semasa kami hampir sampai di Kem Botak.Dalam kegelapan malam, beberapa pendaki yang mengalami kekejangan otot dan terseliuh terpaksa memerah kudrat menuju ke Kem Botak. Tepat pukul 9 malam, barulah mereka tiba. Kem Botak sentiasa terdedah pada tiupan angin sejuk. Walaupun musim kering, suhu mencecah 10 darjah celcius, membuatkan kami menggigil kesejukan. Begitupun, kami masih gagah menyediakan hidangan makan malam. Sumber air agak terhad memandangkan musim kering dan tiada hujan sejak dua bulan lalu. Ini membuatkan kolam air berhampiran Kem Botak mempunyai air yang mengalir sangat perlahan. Justeru, kami hanya menggunakan air tersebut untuk memasak sahaja.

Hari Ketiga

Mengikut perancangan asal, kami akan bergerak ke puncak Gunung Tahan dan bermalam di Kem Gedung. Namun disebabkan beberapa pendaki mengalami kecederaan otot, maka kami menukar rancangan iaitu bermalam di tempat yang sama iaitu Kem Botak. Disebabkan itu, perjalanan ke puncak Gunung Tahan dan Kem Gedung serta berpatah balik ke Kem Botak agak mudah. Ini kerana kami hanya memikul beg galas kecil yang ringan. Akhirnya selepas dua jam mendaki, kami tiba di puncak Tahan.

Pemandangan yang indah dan menghijau dapat dilihat dengan jelas dari puncak. Riak wajah kegembiraan jelas terpancar pada wajah setiap pendaki. Kami kemudian menukar pakaian dengan mengenakan pakaian seragam sekolah. Tema pakaian sekolah sengaja dipilih sebagai tanda kenangan zaman persekolahan dahulu. Pakaian seragam sekolah seperti baju ketua pengawas,pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber serta pakaian guru disiplin turut ditonjolkan bagi menceriakan lagi suasana dalam sesi bergambar di puncak.

Selepas tamat sesi fotografi bertemakan pakaian sekolah,kami menyarung semula pakaian mendaki untuk menyambung perjalanan ke Kem Gedong.Tidak semua pendaki ke sana kerana mereka ingin menemani rakan pendaki yang masih belum pulih daripada kecederaan otot di Kem Botak. Hanya 15 pendaki termasuk seorang penunjuk arah membawa kami ke Kem Gedong. Kem itu terletak di banjaran yang bersambung dari puncak Gunung Tahan dan mempunyai sisi pemandangan yang cukup indah di kiri dan kanan denai.

Selain itu,daya tarikan lain yang membawa kami ke sana adalah bangkai pesawat tentera British yang masih terdapat di lereng berhampiran puncak gunung.Setelah hampir tiga jam berjalan sejauh tujuh kilometer dari puncak Tahan, akhirnya kami sampai di kawasan pesawat tersebut. Kami merakamkan foto berlatarbelakangkan bangkai pasawat dan pemandangan berhampiran untuk kenang-kenangan sebelum berpatah balik ke Kem Botak untuk bermalam.

Hari Keempat

Seawal pagi dan setelah selesai berkemas, kami bergerak turun menuju ke Kem Kor. Seperti sebelum ini, kami menempuh Kem Bonsai,Kem Belumut,Kem Kubang dan Kem Permatang. Perjalanan banyak menurun dan kami diminta berhati-hati semasa menempuh laluan yang agak curam.Suasana bermalam di Kem Kor agak meriah kerana ini adalah malam terakhir kami di dalam hutan. Sesi suai kenal dikendalikan oleh Mohd Nazri bersama semua pendaki sambil beramah mesra dan berkongsi pengalaman dalam aktiviti rekreasi.

Hari Kelima

Setelah berkemas, kami bergerak keluar menuju ke Santuari Ikan Kelah Kuala Juram. Setibanya di situ, sesi berjinak-jinak dengan ikan kelah pun bermula. Kami turun ke sungai dan seorang penunjuk arah membuat demonstrasi memanggil ikan kelah dari lubuk berdekatan.Dari kejauhan, kami ternampak kelibat sekumpulan ikan kelah keluar dari lubuk dan melawan arus menuju ke arah kami. Seronoknya dapat memberi ikan kelah makan. Penulis dan beberapa rakan pendaki sempat menangkap beberapa ekor ikan kelah untuk bergambar dan kemudian melepaskannya semula ke dalam sungai. Setelah puas bermain air, kami menaiki semula kenderaan 4x4 menuju ke Pejabat Taman Negara Pahang, Sungai Relau dan kemudian menaiki bas pesiaran untuk pulang ke Kuala Lumpur. Ekspedisi ini telah meninggalkan banyak kenangan suka dan duka kepada kami yang pastinya tidak akan dilupakan. - FAIZAL SAMAT

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat