{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Kedudukan Azmin semakin rapuh?

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei nanti terus menyaksikan babak-babak menarik khususnya bagaimana sebuah keluarga menjadi penentu kepada perjalanan parti tersebut.

Bermula dengan si suami menjadi Penasihat parti, si isteri menjadi Presiden dan si anak menjadi Naib Presiden, kini percaturan itu akan terus kekal sekurang-kurangnya untuk sepenggal lagi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun menghantar borang pencalonan untuk mencabar jawatan Presiden yang diduduki oleh isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail manakala anak mereka yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah sudah mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Anwar sudah memberikan penjelasan atau lebih tepat lagi mengesahkan teori bahawa pencalonan beliau sekadar cubaan memandangkan beliau sedang menanti rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Pokok Sena, Sabtu lalu, Anwar menegaskan, jika beliau dihalang bertanding jawatan itu disebabkan keputusan mahkamah, maka Wan Azizah sudah bersedia.

"Andainya saya tidak boleh bertanding, Azizah bersedia. Maknanya bukan ada hasrat bertanding antara saya dan Azizah, katanya yang turut menjelaskan, tidak timbul soal perwakilan mahu pilih beliau atau Wan Azizah pada pemilihan kali ini dan menganggap teori itu hanyalah permainan politik pihak tertentu dalam UMNO.

Bagaimanapun penjelasan Anwar tidak akan mampu menutup spekulasi dan tafsiran bahawa sememangnya ada perancangan rapi supaya PKR terus dikuasai oleh ahli keluarga Anwar. Kalaupun Anwar disumbatkan ke dalam penjara, isteri beliau akan terus menerajui parti biar pun sebelum ini Wan Azizah dilihat hanya sekadar `penghias organisasi sahaja.

Sebenarnya, PKR ingin meneruskan politik meraih simpati dengan meletakkan Wan Azizah sebagai Presiden.

Meraih simpati sememangnya sudah menjadi agenda politik PKR dengan menjadikan apa yang berlaku terhadap Anwar sebagai modal. Rakyat akan terus disogokkan dengan tohmahan bahawa Anwar mangsa penganiayaan, fitnah dan konspirasi oleh parti pemerintah. Sebab itulah Anwar menjelajah ke seluruh negara untuk mempertikaikan hukuman mahkamah ke atas beliau.

Justeru politik raih simpati ini akan diteruskan dengan meletakkan Wan Azizah yang kini sudah bergelar YB sebagai Presiden parti. Tidak usahlah sesiapa pun dalam PKR berusaha untuk menduduki jawatan itu, kalau pun ada ia hanyalah sia-sia.

Sebelum ini ada desas-desus Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali akan mencabar Wan Azizah bagi jawatan Presiden, bagaimanapun apabila Anwar mencalonkan diri untuk bertanding jawatan tersebut, Azmin dikatakan terpaksa mengalah, biarpun mungkin beliau sendiri mengetahui bahawa Anwar bergantung kepada keputusan mahkamah.

Bagaimanapun sebagai seorang pengikut yang setia, Azmin tidak memberontak atau berkeras, beliau sebaliknya bersedia mempertahankan kerusi Timbalan Presiden dan akan berhadapan dengan musuh ketat politiknya iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pertembungan itu bukan sekadar soal hubungan Azmin dan Abdul Khalid tetapi juga terkait sama dengan Wan Azizah yang semua orang tahu `tidak sebulu dengan Azmin.

Keadaan itu mewujudkan senario bahawa pemilihan PKR kali ini adalah pertembungan antara kumpulan Wan Azizah yang turut disertai oleh Khalid dan kumpulan Azmin. Walaupun Azmin dilihat orang kesayangan Anwar namun dalam percaturan kali ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa (ADUN) itu berada di ambang kekalahan.

Sebelum ini, dari segi moral politiknya, penyokong-penyokong Azmin telah menganggap beliau sudah kecundang apabila terpaksa akur dengan keputusan Anwar untuk meletakkan Wan Azizah sebagai calon PKR dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.

Penyokong-penyokong Azmin memahami apabila Wan Azizah memenangi kerusi itu ia bermakna terkuburlah harapan terhadap sebarang usaha untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Dan kini kedudukan politik Azmin dalam PKR semakin getir apabila beliau bukan sahaja akan berhadapan dengan Abdul Khalid tetapi juga empat calon lain. Tidak dipastikan sejauh manakah Azmin akan mampu bertahan tetapi apa yang jelas, harapan beliau untuk menjadi pemimpin utama dalam PKR semakin samar.

Kalau pun Azmin kekal sebagai Timbalan Presiden, beliau tidak akan mampu berbuat apa-apa kerana bosnya adalah Wan Azizah. Dan ADUN Kajang itu dilihat lebih banyak sahamnya untuk meneruskan kesinambungan agenda perjuangan politik raih simpati PKR. Tambahan pula, dalam PKR Anwar juga mempunyai Nurul Izzah yang semua orang tahu berkongsi sentimen yang sama dengan Wan Azizah terhadap Azmin.

Keadaan itu sudah tentulah memungkinkan Azmin berada dalam keadaan tersepit dan terpaksa mengikut sahaja apa juga agenda politik yang akan ditentukan oleh Anwar dan mungkin selepas ini oleh Wan Azizah.

Oleh itu ramai pemerhati politik melihat Azmin telah melakukan percaturan politik yang salah apabila mahu terus kekal sebagai Timbalan Presiden, kata mereka Azmin sepatutnya mempunyai keberanian luar biasa untuk mencabar Wan Azizah.

Ini kerana berbanding Wan Azizah, Azmin jauh lebih berwibawa dan berkemampuan untuk memimpin PKR ke arah lebih cemerlang jika Anwar tidak dapat meneruskan karier politiknya.

Bagaimanapun, Azmin dilihat akur atau terperangkap dengan percaturan politik Anwar sebab itulah bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru, Zulkifli Noordin berkata, walaupun Azmin dianggap banyak pihak sebagai anak emas Anwar tetapi sebenarnya Wan Azizah lebih boleh dipercayai.

"Apa pun saya sebenarnya bersimpati dengan nasib Azmin. Sudahlah impian beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor terbantut akibat mainan politik licik Anwar, sekarang harapan mencabar Wan Azizah turut terhalang sekali lagi kerana mainan licik sandiwara politik Anwar, katanya.

Sememangnya, siapa sebenarnya Azmin di mata Anwar tiada siapa pun dapat menduga. Sebelum ini Azmin dilihat hampir memenangi pertarungan dengan Abdul Khalid, apabila Anwar bersedia melakukan Langkah Kajang dengan matlamat untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, tetapi impian itu tidak tercapai apabila Anwar terpaksa menarik sebagai calon dan meletakkan Wan Azizah sebagai penggantinya.

Langkah Kajang itu dilakukan bagi menamatkan krisis politik antara Abdul Khalid dan Azmin, buat seketika ia nampak akan berjaya apatah lagi ramai pemimpin-pemimpin PKR dikatakan menyokong usaha menggantikan Abdul Khalid.

Namun begitu senario kini sudah berubah apabila Wan Azizah memenangi kerusi DUN Kajang dan akan mempertahankan jawatan Presiden PKR.

Oleh itu Azmin perlu menerima hakikat bahawa dalam politik ia berkaitan kuasa dan kedudukan, jika itu mahu diambil kira sudah pasti kedudukan Azmin paling rapuh dalam PKR sekarang. Sama ada benar atau tidak teori ini, hanya Azmin ada jawapannya.

Media Malaysia perlu bersifat melindungi

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Oleh ABD AZIZ A'ZMI

TAJUK muka depan akhbar tabloid Britain yang mempersendakan kehilangan MH370

BARANGKALI tajuk artikel ini dilihat seperti mengkritik peranan media di Malaysia khususnya media arus perdana. Namun, percayalah bahawa catatan ini adalah satu perkongsian rasa kebanyakan rakyat Malaysia apabila melihat laporan dan liputan media mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370.

Kita telah menjadi perhatian seluruh dunia. Media asing memberikan liputan meluas tentang perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat tersebut. Malangnya atas nama kebebasan media yang dilaung-laungkan Barat, laporan media asing berdasarkan perspektif kebebasan media' tanpa memikirkan sensitiviti pihak yang terlibat dalam krisis ini. Mereka cenderung mencipta tanggapan negatif, berat sebelah dan berniat jahat. Malah, mereka dilihat sengaja cuba mengaibnegara kita.

Jika kita teliti laporan televisyen mahupun akhbar dari Barat, antaranya, mereka mengaitkan punca tragedi malang yang menimpa pesawat ini disebabkan juruterbang dan pembantu juruterbang beragama Islam. Apakah masalahnya dengan penganut agama Islam?

Media Barat masih lagi bermain dengan sentimen Islamophobia, yang rakus memberi gambaran negatif terhadap agama Islam dengan mengaitkannya dengan keganasan dan ekstremisme. Walhal masyarakat dunia sebenarnya lebih matang untuk membuat penilaian mengenai sesuatu isu dan bukannya membiarkan diri termakan hasutan dan propaganda media.

Lebih malang, wujud laporan akhbar yang menyerang peribadi pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, sebagai playboy pilot. Gambar Fariq bersama beberapa wanita disiarkan di dada akhbar untuk menggambarkan bahawa beliau sering menyalahi etika kerja dengan membenarkan penumpang masuk ke dalam kokpit pesawat dan gemar berfoya-foya.

Ini merupakan suatu perbuatan biadab dan tidak boleh diterima khususnya kita sebagai masyarakat Timur dan beragama Islam. Di kala pesawat belum ditemui dan kita amat bimbang dengan nasib yang menimpa mangsa, media Barat mengaibkan Fariq - rakyat Malaysia beragama Islam, dengan berita berunsurkan gosip dan skandal.

Selain memainkan sentimen agama dan menyerang peribadi, sebuah akhbar tabloid Britain melaporkan berita dengan tajuk "Missing plane found on the moon". Dijumpai di bulan? Tidak pasti adakah ini merupakan sindiran, gurauan atau apakah motif sebenar laporan sebegini?

Yang pasti, pada pengamatan kita secara rasional, ia satu laporan yang tidak serius, tidak masuk akal dan menafikan keupayaan fikiran logik manusia. Ini satu kebebalan yang ditunjukkan oleh media Barat dalam membuat liputan kehilangan MH370.

Ya, mungkin budaya troll dan sarkastik sudah menjadi viral di laman sosial masa kini, namun ini bukan masa yang sesuai untuk bergurau senda.

Laporan akhbar sedemikian boleh dianggap mempermainkan dan meremehkan usaha pasukan SAR yang bertarung nyawa untuk mengesan pesawat tersebut. Misi pencarian belum berakhir tetapi media Barat telah menyiarkan penemuan yang lucu' dan mengarut! Pastinya kita boleh menilai dan mempersoalkan tahap kredibiliti media berkenaan.

Tidak terkecuali, MAS dan kepimpinan kerajaan yang bertanggungjawab mengendalikan krisis ini dilabel tidak cekap, menyembunyikan fakta dan pelbagai lagi lemparan tuduhan negatif. Nyata, etika, sensitiviti dan ketepatan maklumat bukan keutamaan media Barat. Tidak ada rasa empati, malahan spekulasi dan berita picisan dijadikan modal untuk mensensasikan misteri kehilangan pesawat ini.

Setelah kita lihat sendiri permainan media Barat yang banyak menyerang dan memprovokasi Malaysia, maka kita harus mencari jalan untuk mematahkan laporan dan berita dangkal mereka.

Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Datuk Dr. Agus Yusoff, yang juga penganalisis politik, dalam catatan di laman Facebooknya berkata, beliau kagum dengan cara Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman memberikan sidang media walaupun pada awalnya jadual dan suasana sidang media agak kelam kabut.

Antara petikan daripada catatan beliau, "...Tapi keesokan harinya, hati saya lega. Saya mengkagumi semua usaha yang dibuat oleh negara. Sidang media menepati masa, kenyataan oleh tiga hero' cukup tenang dan menyakinkan. Biarpun didesak oleh wartawan untuk mengesahkan maklumat khabar angin dan cakap dengar, hero' kita tetap tidak mengesahkannya sehinggalah berita yang sahih dari agensi yang berkaitan diperolehi. Inilah kenyataan yang bertanggungjawab."

Agus telah membela usaha yang diambil oleh MAS, DCA dan kerajaan Malaysia di sebalik kritikan media Barat yang mengatakan "Malaysian officials the worst i've seen" ketika mengendalikan krisis kehilangan pesawat MAS MH370.

Ini merupakan satu pendekatan yang perlu kita lakukan setiap masa dalam menyeimbangkan laporan berat sebelah media Barat.

Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada rakyat, agama, kerajaan dan negara kita, lalu kita perlu mempunyai media yang bersifat membela dan melindungi (protective) dalam menangani tohmahan tersebut.

Ketika kita berasa duka dan berkongsi sentimen yang sama, kita diserang dengan pelbagai berita mengaibkan seperti yang telah dinyatakan di atas. Menariknya, melalui komen-komen di media sosial kita dapat lihat kebanyakan rakyat Malaysia bersatu mempertahankan negara kita daripada laporan media yang tidak adil.

Malahan ada di antara mereka yang menyerang balas dengan fakta-fakta mengenai ketidakadilan media Barat dalam menyiarkan isu-isu keganasan, perkauman dan keagamaan.

Demikian juga media arus perdana, satu pendekatan tegas dengan membela dan melindungi perlu diambil dengan menyiarkan laporan balas yang mempertahankan imej dan kepentingan negara selagi misteri kehilangan pesawat ini belum terurai. Sikap ini amat diperlukan sebagai langkah counter-attack terhadap laporan-laporan bongkak dan mengarut media Barat.

Namun, malang sekali kerana segelintir rakyat Malaysia di media sosial terikut-ikut rentak alunan media Barat yang menyebabkan mereka bersikap sinis terhadap kerajaan. Ini bukan masanya untuk berpegang kepada fahaman politik. Walau berbeza ideologi politik, tunjukkan kesatuan kita apabila berhadapan dengan media seluruh dunia.

Kita sedang melalui detik-detik yang sukar dengan menghadapi tekanan antarabangsa dan emosional rakyat yang tidak menentu. Kita telah melakukan yang terbaik dan tidak mungkin kita mengambil mudah atau sambil lewa untuk menyelesaikan krisis sebesar ini.

Media tempatan adalah pihak yang bertanggungjawab untuk membetulkan persepsi salah yang dicipta media asing dan segelintir pihak tertentu di negara ini.

Ironinya, dalam keghairahan media Barat bermain provokasi, dalam satu lintas langsung Cable News Network (CNN), media ini menyiarkan lokasi laporan wartawannya dari "Kuala Lumpur, Indonesia". Sementara itu laman Twitternya pula telah tersilap menamakan Perdana Menteri Malaysia sebagai "Najib Rahman". Kita hanya mampu tersenyum. Ini merupakan satu lagi kebebalan yang dipamerkan secara tidak sengaja.

Memang benar ia cuma kesilapan kecil, mungkin ada yang berpendapat ia tidak perlu diperbesarkan. Jika kesilapan itu dianggap sebagai dosa kecil', adakah ia perlu dibiarkan dengan alasan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan? Bagaimana pula dengan dosa besar' mereka yang memutarbelit, memecahbelahkan dan mencipta persepsi negatif terhadap pihak lain secara sengaja dan terancang? Semoga Allah SWT tunjukkan kebenaran.

ABD AZIZ A'ZMI

Jabatan Pengajian Umum

Fakulti Sastera dan Sains Sosial

Kolej Universiti Islam Melaka.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat