Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Latihan kesediaan kru feriOleh ZAKI SALLEH
LOCENG kecemasan yang berbunyi berulang-ulang kali menyebabkan puluhan penumpang feri Pulau Angsa yang sedang menuju ke Jeti Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay, George Town terpinga-pinga. Kegusaran mereka yang berpandangan sesama sendiri bagaimanapun terjawab apabila melihat api menjulang dari ruang anjungan feri yang turut membawa bersama kira-kira 20 kenderaan itu. Menerusi corong pembesar suara, kapten feri meminta para penumpang tidak cemas kerana berlaku kebakaran di salah satu bahagian anjungan serta meminta mereka mengikut arahan daripada kru feri. Beberapa kru feri pantas mengagihkan jaket keselamatan kepada para penumpang selain bersedia menurunkan bot getah untuk menyelamatkan penumpang sekiranya keadaan bertukar buruk. Pada masa sama, empat kru feri bergegas naik ke anjungan bersama hos pemadam api untuk memadamkan kebakaran yang mula mengeluarkan asap hitam. Api yang marak menyukarkan mereka untuk melawan kebakaran. Kira-kira dua minit kemudian, sebuah bot pemadam api milik Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) merapati feri lalu memuntahkan buih-buih putih manakala sebuah lagi bot bersiap untuk memindahkan para penumpang. Situasi cemas tersebut adalah sebahagian daripada Demonstrasi Latihan Kecemasan Feri Pulau Pinang yang diadakan di Pangkalan Sultan Abdul Halim baru-baru ini di atas feri Pulau Angsa. Mengawal situasi Latihan tersebut meliputi cara-cara menyelamatkan penumpang yang terjatuh dari feri, memadam kebakaran menggunakan hos air dan bantuan bot tunda selain menurun serta menaikkan sauh feri. Selain kru feri, latihan bersepadu itu turut melibatkan anggota dari Balai Bomba Pelabuhan dan pegawai dari jabatan-jabatan berkaitan seperti keselamatan dan perubatan PPSB. Ketua Unit Perkhidmatan Feri, Fisnol Ainon Mahmud berkata, latihan menghadapi situasi cemas yang dilakukan secara berkala perlu bagi memastikan mereka mahir mengendalikan kelengkapan yang disediakan. Tambah beliau, semua kru feri Pulau Pinang dilatih supaya bersedia dengan langkah keselamatan sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran dalam pelayaran. "Walaupun kita sentiasa memastikan feri dalam keadaan baik untuk kegunaan setiap hari, tetapi kemungkinan berlaku kejadian tidak diduga misalnya kebocoran atau kebakaran tidak boleh diduga sama sekali. "Justeru, kemahiran serta kesiapsiagaan yang tinggi hanya boleh dipastikan sekiranya kru feri sentiasa dilatih berulang-ulang di samping mengikut prosedur standard operasi," ujarnya. Latihan yang mula dijalankan sejak 2008 itu merangkumi aspek keselamatan penumpang semasa naik dan turun serta ketika berada di atas feri. Feri tertua Feri Pulau Pinang merupakan perkhidmatan feri tertua di Malaysia yang menghubungkan terminal feri di Butterworth ke Jeti Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay, George Town. Setiap hari, perkhidmatan feri bermula pukul 5.30 pagi sehingga 1 pagi bagi perjalanan yang mengambil masa antara 20 hingga 30 minit untuk menyeberang selat sepanjang 3.2 kilometer. Dalam pada itu, Fisnol Ainon memberitahu, latihan sedemikian perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa kerana ia dapat meningkatkan kecekapan dan ketangkasan petugas feri selain dapat mengenal pasti kelemahan-kelemahan untuk diperbaiki. SEORANG kakitangan menyempurnakan cara menurun dan menaikan sauh dalam siri latihan kecemasan bagi penumpang feri Pulau Angsa. "Perkara ini penting bagi memberi keyakinan kepada penumpang supaya merasakan diri mereka sentiasa di bawah pemantauan kakitangan PPSB terutama kru feri. "Di samping latihan, baru-baru ini kami turut mengedarkan 1,000 risalah kepada pengguna perkhidmatan feri bagi meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan. "Ia bagi menyedarkan pengguna feri tentang larangan di kawasan operasi feri seperti jangan merokok, memancing, membuang sampah dan perlu mematikan enjin kenderaan. "Pengguna feri yang disabit kesalahan itu boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya," katanya. Sementara itu, seorang kru feri, Muzameer Khan Abdul Majid Khan, 35, berkata, latihan itu merupakan satu langkah terbaik mendedahkan latihan praktikal kepada semua kakitangan yang bertugas di atas feri. Katanya, kecekapan itu dapat digunakan serta membantu lain-lain kakitangan PPSB jika berlaku kecemasan. | |
Mencari tenaga mahir berkualiti Posted: Mencari tenaga mahir berkualitiOleh MAZLINA ABDUL MAJID KARNIVAL Kemahiran diadakan untuk membuka mata orang ramai terhadap peluang kerjaya dalam industri binaan. PENDEDAHAN awal Anis Amirah Mohd. Yunus, 18, dalam bidang kemahiran sejak menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkal Meleret, Kelantan telah mendorong dirinya untuk mendalami bidang itu dengan lebih lanjut. Tanpa perlu berfikir panjang, Anis Amirah lantas memilih Akademi Binaan Malaysia (ABM) untuk menambahkan kemahiran diri. Dia melihat ABM sebagai sebuah institusi berkredibiliti dalam melahirkan tenaga mahir mengikut kehendak pasaran semasa. Secara ringkasnya, ABM ialah sebuah pusat latihan bagi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam pembangunan dan peningkatan kemahiran dalam kalangan personel binaan. "Saya sudah sebulan mengikuti kursus lukisan dan mengecat di sini. Dalam masa empat bulan lagi saya akan menamatkan kursus dan memperoleh Sijil Kemahiran Kecekapan. "Selepas itu saya berhasrat untuk membuka syarikat yang menawarkan servis mengecat bangunan," kata Anis Amirah penuh semangat. Ya, kedengaran kerjaya yang dipilih anak kelahiran Kelantan itu, tidak glamor. Namun, sama ada percaya atau tidak, pendapatan yang boleh diraihnya setiap bulan berupaya menandingi gaji yang diperoleh daripada kumpulan profesional. Hakikat itu diakui oleh Pengarah CIDB Johor, Zaini Jalil. Ujarnya, perolehan pendapatan dalam industri pembinaan berskala besar terutama mereka yang terlibat dalam bidang minyak, gas, keselamatan dan kimpalan. "Gaji bukan satu masalah, tapi kadang-kadang persepsi masyarakat yang menjadikan bidang ini kurang diminati," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Jelas Zaini, secara keseluruhan pihaknya menggariskan tujuh objektif bagi memenuhi peranan institusi itu. Namun, yang paling signifikan adalah untuk mewujudkan lebih ramai personel binaan berkemahiran penuh dan berkemahiran separa tempatan bagi mengurangkan pergantungan negara kepada pekerja asing. "Selain itu, kita juga mahu menghasilkan dan memberi ruang bagi tenaga kerja tempatan yang terlatih untuk dieksport ke peringkat antarabangsa," katanya. Terdapat dua jenis latihan kemahiran yang ditawarkan di ABM iaitu latihan kemahiran belia untuk lepasan sekolah dan latihan kemahiran untuk pekerja binaan tempatan. Karnival Kemahiran
Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Selatan, Supian Musa juga sependapat dengan Zaini. Katanya, bidang kemahiran di Malaysia dipandang sepi masyarakat. Jika di luar negara, sebanyak 20 hingga 25 peratus tenaga mahir digilap, namun di Malaysia hanya sekitar 5 hingga 8 peratus sahaja. Melihat kepada senario itu, CIDB dengan kerjasama ABM dan Kementerian Kerja Raya bakal menganjurkan Karnival Kemahiran sempena Pertandingan Kemahiran Malaysia yang ke-21. Ia berlangsung selama tiga hari bermula 5 Julai ini di Kompleks CIDB Johor, Jalan Tampoi, Johor Bahru dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat. "Program ini antara lain bertujuan mendedahkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), institut pengajian tinggi (IPT) dan para penggiat industri untuk mengetahui prospek yang lebih luas dalam sektor pembinaan ini. "Barangkali ibu bapa juga boleh mendapat idea untuk melibatkan anak mereka dalam industri ini," ujar Supian. Terdapat pelbagai acara sampingan lain yang disediakan oleh pihak penganjur. Antaranya ialah seperti seminar kontraktor, kursus induksi keselamatan dan kesihatan pekerja binaan serta acara padang. Pengunjung juga boleh melawati 40 buah gerai dan ruang pameran yang berkaitan dengan bidang kemahiran seperti telekomunikasi serta kimpalan. Mengenai Pertandingan Kemahiran Malaysia pula, Supian memberitahu, seramai 130 pelajar akan bersaing di peringkat akhir dan mereka yang berjaya akan membawa bendera Malaysia ke Pertandingan Kemahiran Peringkat Asia Tenggara di Jakarta pada 10 hingga 16 Jun ini. | |
Kisah hikayat dari kaca mata Zalina Posted: Kisah hikayat dari kaca mata ZalinaOleh ROSMALINA ABD. KADIR
PADA zaman ini cerita epik percintaan pahlawan dan srikandi Tanah Melayu sudah jarang dikisahkan buat anak-anak muda milenium baharu. Sedangkan suatu ketika dahulu, kisah-kisah itulah yang menjadi kegemaran bukan sahaja kanak-kanak, bahkan orang dewasa. Inilah yang dirasai penulis buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms, Zalina Abdul Aziz, 47, sehingga mendorongnya membuat keputusan untuk mengumpulkan cerita-cerita tersebut dan menghimpunkannya semula dalam sebuah buku. Dibesarkan dengan buku-buku hikayat milik datuk dan neneknya pada zaman kanak-kanak, Zalina tidak pernah bosan kerana adanya buku-buku hikayat yang menjadi bacaan hariannya. "Buku hikayat pertama yang saya baca ialah Puteri Hijau. Ketika itu saya masih di sekolah rendah, tetapi buku kegemaran saya berjudul Panji Semerah. "Selepas itulah, minat terhadap buku-buku hikayat semakin mendalam dan saya mula membaca lebih banyak buku tersebut yang dikumpul dari arwah datuk di sebelah ibu saya, Jaafar Awang Pekan yang juga bekas guru besar. Antaranya Puteri Gunung Ledang dan Mayang Sari," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor minggu lalu. Zalina yang menggunakan nama pena Ninotaziz berkata, buku nukilannya itu memaparkan pelbagai kisah hikayat termasuk kisah-kisah paling popular seperti Awang Sulong Merah Muda dan Hikayat Malim Deman serta kisah puteri-puteri mitos dalam legenda wayang kulit dan makyung. "Kisah-kisah ini turut memuatkan puisi-puisi dan prosa selain lagu-lagu rakyat lama, pantun dan gurindam yang diturunkan dari generasi ke generasi. "Melalui buku ini, saya berharap lebih ramai pembaca termasuk orang luar dapat menghayati kisah-kisah tersebut kerana ia ditulis dalam bahasa Inggeris," katanya yang merupakan bekas graduan sains komputer daripada Universiti Carleton, Kanada. Penulis yang dilahirkan di Hobart, Tasmania, Australia itu memberitahu, selain kisah-kisah hikayat, keistimewaan buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms juga terletak kepada ilustrasinya yang dijelmakan oleh pelukis Malek Rahim. Lukisan pada kulit buku pula diilhamkan oleh Raduan Man. "Buku ini mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan memandangkan saya perlu membuat banyak kajian mengenai kisah-kisah legenda dan hikayat sebelum menterjemahkan dan menyampaikannya semula dalam bahasa Inggeris," jelasnya yang juga merupakan Pengarah Eksekutif TiE Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang mempromosikan bidang keusahawanan di Asia Tenggara dan negara ini. Tambah Zalina, buku tersebut sangat bermakna bagi beliau kerana ibunya, Kamariah Jaafar juga bertindak sebagai salah seorang penyunting. "Minat yang mendalam terhadap kisah-kisah pahlawan dan srikandi Melayu lama sudah sebati dalam keluarga saya memandangkan ia diturunkan dari generasi ke generasi. "Saya harap melalui buku ini, lebih ramai rakyat Malaysia akan menghargai hikayat Melayu lama kerana kisah-kisah ini turut mendapat sambutan dalam kalangan kenalan saya yang berbangsa asing terutamanya dari Perancis," ujar Zalina. Buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms kini boleh didapati di kedai-kedai buku utama dan boleh dibeli secara dalam talian di laman web www.mybooks.com.my. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |