Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Lemang To'Ki hangat diperkataOleh NURUL AIN AIMA MOHD ZAKI
BERMULA dengan minat untuk mempelajari, mendalami teknik-teknik membaiki dan menjahit kasut pada usia remaja, Mazlan Ramli, 47, sering mencari jalan bagi mencari duit poket sendiri. Menganggap masa itu emas, dia merasakan bahawa dirinya perlu melakukan sesuatu bagi meringankan kesusahan yang menghimpit keluarganya. Anak kepada Ramli Noh dan Noriah Idris itu terpaksa bekerja bagi menampung kos pengajiannya di Kolej Politeknik Mara Kuantan, Pahang. Usai pengajian dalam bidang Kemahiran Mekanikal sekitar tahun 1985, ketika usianya baru mencecah 20 tahun, Mazlan membuka kedai barangan kulit dan membaiki kasut di Bentong. Sungguhpun begitu, perniagaan tersebut tidak menjanjikan pendapatan lumayan bagi memberikan kehidupan selesa buatnya sekeluarga dan dia bertekad mahu mencari lubuk rezeki yang lain. Dapat ilham "Semuanya berubah apabila suatu petang saya melihat saudara kepada adik ipar sedang bertungkus-lumus membakar lemang. "Ketika itu timbul idea untuk menceburi perniagaan menjual lemang," katanya ketika ditemui di gerainya baru-baru ini. Berbekalkan tekad dan iltizam, Mazlan gigih belajar daripada sumber inspirasi beliau iaitu saudaranya sendiri mengenai kaedah membuat lemang daripada awal hingga akhir pemprosesan. Dia kemudian mencuba sendiri selama tiga tahun. ANTARA para pelanggan yang singgah di kedai Lemang To'Ki untuk menikmati kenakan lemang yang diusahakan Mazlan. Berkat kesungguhannya, lelaki yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu berniaga lemang secara kecil-kecilan di hadapan rumah sebagai persediaan awal untuk membuka perniagaan yang lebih besar. Tidak jemu menimba pengalaman, Mazlan memberanikan diri membuka gerai di hadapan lebuh raya yang merupakan laluan utama Bentong-Kuala Lumpur dan Bentong-Kota Bharu dengan modal RM500. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Jualan lemangnya setiap kali tiba bulan Ramadan dan Syawal memberikan pulangan yang lumayan. Keuntungan diperoleh berlipat kali ganda jika dibandingkan dengan modal permulaan. Sambutan yang memberangsangkan pada musim tertentu membolehkan Mazlan memperoleh hasil jualan yang mencecah RM20,000. "Idea menggunakan nama Lemang To'Ki tercetus secara tidak sengaja ketika menuntut ilmu daripada guru saya yang berasal dari Perak. "Orang Perak menggelarkan orang yang lebih tua sebagai Tok, manakala bagi orang Pahang pula panggilannya Aki dan To'Ki ialah gabungan kedua-dua nama tersebut," ujarnya. Mazlan berpendapat, lemang sememangnya digemari oleh pelbagai kaum. Ia bukan sahaja menjadi hidangan utama pada Hari Raya Aidilfitri, malah turut dihidangkan ketika perayaan kaum Cina dan India serta dijamah pada hari biasa. Semakin dikenali Lokasi strategik yang berdekatan dengan laluan utama Bentong-Kuala Lumpur dan Bentong-Kota Bharu juga menjadi penyumbang utama lemangnya semakin dikenali bukan saja di sekitar Pahang malah dalam kalangan pelancong luar. Lebih membanggakan premisnya turut menjadi tumpuan kerabat Diraja Permaisuri Pahang, Tengku Mariam. Saat diajukan soalan mengenai kelebihan lemang To'Ki jika dibandingkan dengan lemang-lemang lain, Mazlan hanya berkata ringkas: "Sendiri rasa sendiri tahu. Bila dapat rasa, baru tahu". Tidak mengandaikan lemang air tangannya lebih enak berbanding lemang buatan peniaga lain, dia lebih suka meletakkan soal pilihan kepada pelanggannya. Selain lemang, tidak lengkap sekiranya ia dinikmati begitu sahaja tanpa diiringi rendang ayam mahupun daging. Mazlan turut menjual hidangan sampingan itu pada harga RM5 bagi satu bekas kecil. Rasa lemak Salah seorang pelanggan tetap Lemang To'Ki, Suhaimi Hamzah, 34, memberitahu, dia membeli lemang di situ kerana rasanya yang enak dan lemak selain dijual pada harga yang berpatutan. Sementara itu, Tan Ah Chi, 33, menjelaskan, walaupun dirinya berketurunan Cina tetapi dia suka memakan lemang. Baginya, Lemang To'Ki menjadi pilihan dan dia tidak membeli di tempat lain. "Rasanya sangat sedap dan saya selalu menikmatinya bersama rendang ayam atau daging. Tambahan pula, premisnya tidak jauh dari rumah," katanya. Bagi meluaskan empayar perniagaan lemangnya, Mazlan berhasrat untuk mempelbagaikan lemang dan menambah produk jualannya yang melibatkan proses membakar seperti ayam panggang, satar, sate, keropok lemang dan cendol lemang. "Pada masa akan datang, saya mahu mengkomersialkan lemang ini dalam bentuk sejuk beku supaya ia dapat menembusi pasaran antarabangsa meliputi negara Asia, Arab Saudi, China, India dan sebagainya. "Saya juga mahu mewujudkan satu sudut galeri yang menyimpan alatan turun-temurun membuat lemang dan mempamerkan koleksi gambar kenangan daripada awal perniagaan sehingga kini," ujarnya yang tidak sabar menanti premis baharunya beroperasi sepenuhnya. Bagi mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut atau membuat tempahan Lemang To'Ki, boleh menghubungi Mazlan di talian 016-953 0544. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |