Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Malang gorila gunung Virunga
RUMAH untuk gorila pergunungan yang terkenal di taman negara tertua Afrika, Demokratik Republik Congo (Congo) kini berhadapan dengan penaklukan kumpulan bersenjata. Peperangan bukan sahaja menyebabkan banyak hidupan liar terbunuh, bahkan turut menakutkan para pelancong. Pengarah Taman Belgium yang berasal dari Congo dan kini berada di taman negara berkenaan, Emmanuel de Merode mengakui, ia adalah waktu genting bagi renjer di Taman Negara Virunga. Pada bulan lalu, Merode dan renjer taman itu telah dipaksa untuk menghabiskan sepanjang hari berlindung di bilik bawah tanah apabila tentera dan pemberontak saling menyerang di kawasan berdekatan dengan tempat lawatan mereka. "Pemberontak dan anggota tentera memberitahu bahawa kami bukan sebahagian daripada konflik mereka lantas menghalau kami dari situ. Persoalannya bagaimana dengan nasib haiwan di sana?" soal Merode, 42, seorang lelaki Afrika berkulit putih. Dia juga menambah, rumah tetamu untuk pelancong di taman tersebut kini menjadi sebuah bangunan kosong disebabkan pertempuran yang berlaku. Habitat gorila gunung Berpusat di sepanjang Congo, Rwanda dan Uganda, kawasan pemuliharaan gunung berapi Virunga juga adalah rumah kepada lebih 480 daripada 790 gorila pergunungan yang masih tinggal di dunia. Gorila inilah yang pernah dipopularkan oleh zoologi Amerika Syarikat, Dian Fossey yang mati dibunuh pada tahun 1985. Tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berpuluh-puluh haiwan berkenaan telah dibunuh oleh kumpulan bersenjata termasuk tentera Congo terutamanya akibat peluru sesat. Menurut kenyataan sekumpulan aktivis alam sekitar, kepupusan gorila di taman tersebut bertambah genting apabila pemburuan haram juga tambah berleluasa.
"Mereka hanya mengambil masa beberapa bulan untuk membunuh segala-galanya, sedangkan kita memerlukan 40 tahun untuk membina kembali sebuah habitat selesa untuk gorila," kata Merode. Badak air, cimpanzi, gajah, antelop, burung dan singa juga turut menjadi mangsa sejak pertempuran tercetus. Dibuka pada tahun 1925, Taman Negara Virunga adalah rumah kepada Lake Edward, yang mana pada tahun 1980 adalah lokasi perlindungan badak air paling utama di dunia dengan mempunyai 27,000 badak air. Kini terdapat kurang daripada 300 badak sahaja mengikut pengiraan Merode. Virunga hilang pelancong Pada bulan Julai, semasa pertempuran sedikit kendur para renjer mencari enam keluarga gorila gunung yang terancam. Keluarga gorila gunung itu tidak pernah dilihat sejak pertempuran meletus pada bulan April antara tentera kerajaan dan militan M-23 diketuai oleh ketua pemberontak. Dalam usaha untuk memulakan pencarian terhadap haiwan primat yang hilang itu, Merode terpaksa mendapatkan persetujuan daripada tentera dan pemberontak M23. Lebih separuh daripada gorila gunung yang dikhuatiri hilang ditemui kembali dan dua kelahiran telah direkodkan. Ia satu berita gembira buat renjer-renjer taman berkenaan di sebalik kebimbangan baki gorila yang tidak ditemui berkemungkinan mati. Pertempuran tersebut telah menghapuskan industri pelancongan di kawasan tersebut. Bagi memastikan taman itu terus beroperasi, satu sumber derma terpaksa diusahakan demi memastikan renjer yang bekerja terus bergaji. "Pada waktu-waktu terbaik sekalipun, adakalanya pendapatan yang diperoleh sukar untuk membayar semua gaji pekerja. "Tetapi selepas ketiadaan ekonomi pelancongan disebabkan oleh pertempuran, ia telah menjadi hampir mustahil," tulis Merode dalam blognya. | |||
Kotaj Inggeris sentuhan Norliza Posted: Kotaj Inggeris sentuhan NorlizaOleh NORAZLINA ISMAIL BERMULA dengan minat, hari ini Norliza menukar hobinya itu sebagai sebuah bisnes. SIAPA sangka dengan hanya merujuk video tutorial di internet, seorang kakitangan di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang kini mahir menghasilkan barangan dekoratif berkonsepkan kotaj Inggeris (English cottage). Lebih mengagumkan, Norliza Md. Zain, 42, yang juga pemilik blog Jija's Lovely Cottage kini mampu menjana pendapatan sampingan sekitar RM3,000 sebulan melalui hasil jualan barangan tersebut menerusi perniagaan atas talian. Menurutnya, minat terhadap rekaan barangan hiasan kotaj Inggeris itu bermula selepas beberapa kali melihatnya di internet lalu terdetik di hatinya untuk mencuba sendiri. "Saya mula mempelajarinya melalui video tutorial di YouTube. "Kemudian, hasil rekaan sendiri itu saya muat naik dalam blog. Tidak sangka ia berjaya menarik minat penggemar barangan kotaj Inggeris dan mula bertanya untuk membuat tempahan. "Apabila sudah ada tempahan, saya tanpa ragu-ragu cuba menyiapkannya untuk pelanggan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pauh Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini. BAKAT dalam bidang seni kotaj Inggeris menjadi penambah rezeki Norliza apabila ia mendapat sambutan dari dalam dan luar negara. Katanya, sejak tahun 2009 sambutan terhadap hasil rekaannya semakin hangat dan turut menerima tempahan dari Sabah, Sarawak dan Singapura. "Barangan yang sering mendapat tempahan adalah seperti hiasan di dapur, bekas tisu, bekas biskut dan sangkar telur. "Harga kesemua barangan tersebut bergantung kepada saiz bermula dari harga RM40 hingga RM200 dan semua tempahan dikirim kepada pelanggan secara pos. "Ada juga pelanggan yang tinggal di Pulau Pinang atau Kedah datang ke rumah mengambilnya sendiri dan dari situ hubungan antara pelanggan bertukar menjadi erat pula sebagai rakan," ujarnya. Rekaan motif bunga Ditanya dari mana beliau mendapat idea untuk menata hias lukisan pada barang-barang tersebut, Norliza memberitahu, ia berdasarkan kepada kehendak pelanggan yang kemudian dilakar di atas kertas. "Biasanya saya akan mengikut cita rasa pelanggan, tetapi agak sukar tidaklah secara total. Ini kerana, kadang-kadang pemilihan warna dan lakaran hiasan yang dibuat mungkin tidak sepenuhnya mengikut kehendak mereka," jelasnya. Selain itu, bagi menjaga kualiti setiap hasil karyanya, dia amat mengambil berat soal pemilihan serta penggunaan bahan seperti cat. Jelasnya, dia menggunakan cat warna yang dibeli dari United Kingdom kerana lebih pekat dan tahan lama. "Semasa menghias barangan pelanggan, saya akan menganggap barangan tersebut seperti barangan saya sendiri walaupun pelanggan membayar kerja tangan itu. DUA buah kerusi "Jadi, saya akan berusaha untuk memberikan sentuhan terbaik supaya barang yang ditempah pelanggan menarik dan memuaskan hati," katanya. Norliza menambah, barangan kotaj Inggeris yang dihasilkannya mendapat sambutan ramai kerana mempunyai kelainan berbanding pengusaha lain. "Di Jija's Lovely Cottage, saya sentiasa menampilkan rekaan terkini serta penggunaan motif bunga dan konsep belang. "Saya juga gemar menggunakan warna pastel yang lebih lembut dan sesuai untuk diletakkan di setiap sudut kediaman," tambahnya. Selain itu, Norliza turut menganjurkan bengkel untuk wanita yang ingin mempelajari seni kotaj Inggeris. Mereka yang ingin membuat tempahan atau berminat untuk mempelajari teknik kotaj Inggeris boleh melayari blog http://jija-craft.blogspot.com. | |||
Posted: Anggun lawan maskulinCitizen x Toyota APABILA bercakap mengenai jam tangan, setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri. Sama seperti pakaian, jam tangan dengan elemen penuh bergaya turut mempengaruhi penampilan pemakainya. Jam tangan Citizen dari Jepun antara label terkenal yang telah sekian lama bertapak dalam industri jam tangan. Gabungan fusion dan keanggunan menjadi tarikan Citizen untuk pembelinya. Terbaharu Citizen meneruskan kesinambungan koleksi Citizen Eco-Drive yang dimulakan sejak tahun 1995 dengan beberapa lagi model terkini iaitu Citizen L, Siri Super Titanium dan Citizen x Toyota 86. Dengan bertatahkan berlian, jam tangan Citizen L pasti menggoda peminat aksesori jam tangan Hawa. Dihiasi berlian di bahagian bawah dengan bentuk seakan-akan bulan sabit, jam tangan tersebut mengutamakan definisi keanggunan. Bagi koleksi si Adam pula bagi tahun 2012 ini, Siri Super Titanium dan edisi terhad siri kolaborasi, Citizen x Toyota 86 antara yang terhangat.
Kehebatan teknologi Citizen yang terutama sekali dengan kuasa Eco-Drive adalah kemampuan mengubah sebarang bentuk sumber cahaya kepada tenaga. Semenjak pelancaran jam tangan analog berkuasa cahaya pertama pada tahun 1976, konsep penuh wawasan Eco-Drive menerima sambutan hebat. Selaku jam tangan yang memberikan kepuasan lengkap dengan komitmen kepada mesra alam sekitar, rangkaian koleksi terkini Citizen pasti menyerlahkan penampilan anda. - NIZHA PERIASWAMY |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |