{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Ekspektasi Emma, Zizan, Hafiz

Posted:

Ekspektasi Emma, Zizan, Hafiz

Ekspektasi Emma, Zizan, Hafiz

MENDAKAP mesra kenangan 2013 yang hampir melabuhkan tirai, Kosmo! memilih tiga bintang paling popular tahun ini. Emma Maembong, nama yang mula dikenali selepas membintangi drama rantaian Kau Yang Terindah hujung tahun 2012 dan mendapat perhatian sepanjang tahun 2013.

Selain introduksi nama keluarga yang unik, Emma turut dihantui kontroversi beberapa kisah silamnya termasuk spekulasi cinta bersama pelawak tersohor, Zizan Razak.

Begitu juga Zizan, namanya tidak pernah lekang daripada bibir peminat sepanjang tahun 2013. Deretan kejayaan dan anugerah diraih tidak melunturkan api sensasi yang melingkari kariernya.

Kecemerlangan bidang nyanyian, kejayaan mengadakan konsert sulung pertama tahun ini dan tahun paling banyak merangkul anugerah membuktikan Hafiz Suip penyanyi paling progresif 2013.

Ikuti perkongsian tawa dan tangis sepanjang tahun 2013 dan jangkaan perkembangan tahun mendatang Emma, Zizan dan Hafiz.

Emma menggapai mimpi

Menoleh kembali setahun ke belakang, Emma Maembong atau empunya nama penuh Fatimah Rohani Ismail, 21, langsung tidak terduga akan berada pada tahap ini.

Bahang populariti adakalanya memusnahkan masa privasinya dan mengundang pelbagai cerita tidak enak. Kisah peribadi dikorek dan dijadikan bahan ulasan, kelemahan dijadikan sasaran, pantang peluang ada saja ingin menghentam.

"Betulkah saya menjadi tumpuan? Apabila difikirkan semula, Emma sebenarnya masih Emma yang dulu dan seperti orang lain mahukan kehidupan yang sederhana.

"Alhamdulillah, kalau dibandingkan dengan masa silam Emma rasa ini satu mimpi yang langsung tidak pernah terduga. Emma percaya keberadaan dalam industri ini untuk mencari rezeki, walau ada yang cuba menjatuhkan Emma anggap itu sekadar cabaran

HAFIZ, Emma dan Zizan mahu meraih lebih banyak kejayaan pada tahun 2014 yang bakal menjengah tidak lama lagi.


"Diserang kontroversi tidak mematahkan semangat sebaliknya Emma cuba berfikir positif, reda dan selesaikan masalah sebaik mungkin," ulasnya serius.

Permulaan kerjaya Emma lewat tahun 2012 dipacu dengan fotografi sulungnya bersama Kosmo!, ketika itu khalayak mula memandang pesona seorang Emma Maembong.

"Impian Emma membantu keluarga telah terlaksana, orang ramai sudah semakin mengenali nama keluarga Maembong dan Emma sudah membuktikan tidak semestinya tiada pelajaran tidak boleh berjaya.

"Tahun 2014 mengundang debaran buat Emma, ibaratnya Emma baru saja mendapat lesen untuk berlakon dan kalau mahu pecut laju-laju takut terbabas pula," kiasnya yang menyasarkan untuk terjun dalam bidang pengacaraan dan berlakon teater.

Zizan pasang azam

Juara Maharaja Lawak Mega 2012, bintang filem KL Gangster 2 dan Bikers Kental, pengacara rancangan Melodi dan Akademi Fantasia 2013, melancarkan single kedua Infiniti Cinta bersama Kaka Azraff selain trofi pelbagai anugerah tersusun indah bukti Zizan Razak wajah terlaris 2013.

Mengulas fenomena menjadi kegilaan ramai sejak Raja Lawak musim pertama hingga kini, pemilik syarikat pengurusan artis Wire Fame Entertainment itu masih mencari resipi baharu saban tahun.

"2013 berjalan lancar, sedar tak sedar sudah masuk bulan Disember dan jadual kerja memang padat tapi berbaloi. Saya juga terkejut banyak anugerah dirangkul tahun ini dan terharu masih ada peminat yang tidak putus-putus menyokong saya.

"Untuk meletakkan diri sebagai selebriti paling laris sebenarnya bergantung pada rezeki dan penyampaian. Saya masih mencari-cari sesuatu yang baharu untuk dipentaskan.

"Yang penting ikhlas dan belajar daripada kesilapan. Ramai lagi yang laris cuma kurang menonjol tapi saya sentiasa menanamkan prinsip saya bekerja dan mencari ilmu, kalau letak sebagai tempat cari glamor susahlah," jelasnya yang tidak lekang dihujani pertanyaan spekulasi hubungan dengan Emma.

Berlakon, menyanyi, mengacara dan menjadi usahawan. Apa lagi yang Zizan Razak mahukan dalam kerjaya?

"Saya tidak pernah meletakkan gred dalam karier dan sejujurnya saya selalu melihat diri lemah serta selalu berusaha.

"Kadangkala saya takut dengan pujian dan saya sendiri tidak tahu dimanakah kedudukan saya sekarang. Yang penting pandai bawa diri dan sentiasa mencari kelemahan dan kekuatan kita.

"Tahun 2014 saya harapkan semakin banyak kejayaan saya tempa dan tidak dinafikan industri kita perlukan lebih banyak bakat," tutur Zizan yang sedang mencanai bakat di pentas teater.


TIGA figura ini memiliki pesona bintang yang tersendiri.


Hafiz tidak leka

Kitar hayat penyanyi berbakat besar, Hafiz Suip dalam industri hiburan tanah air baru sahaja bermula. Langkahnya diatur menyelusuri setiap liku yang ditempuh semakin laju tatkala bakat yang dipertaruhkan mudah diterima serta sering diberikan pengiktirafan.

Biarpun kejayaan yang ditempa sepanjang tempoh tersebut begitu besar maknanya buat anak muda kelahiran Bumi Kenyalang ini, namun begitu, akuinya, masih banyak yang perlu dipelajari bagi memperbaiki diri dalam perjuangan melentur karier ke peringkat yang lebih tinggi.

"Alhamdulillah, rezeki yang saya terima setakat ini berkat hasil usaha bersama pihak pengurusan dan juga para peminat yang tidak pernah putus memberikan sokongan dan dorongan terhadap saya.

"Apa yang telah saya kecapi sepanjang tahun 2013 membawa erti yang cukup besar terhadap perkembangan karier ke peringkat yang lebih tinggi," ujar Hafiz yang menggungguli Anugerah Industri Muzik Ke-20 (AIM 20) yang berlangsung baru-baru ini.

Tahun 2013 sekali lagi menyaksikan Hafiz memonopoli penganjuran anugerah-anugerah berprestij dalam dan luar negara antaranya Anugerah Planet Muzik, Anugerah Bintang Popular serta Shout! Awards.

Bersyukur dengan setiap pengiktirafan yang diterima, Hafiz memberitahu, jangkaan dan harapan para peminat turut meningkat seiring dengan lambakan anugerah yang diterimanya sejak kebelakangan ini.

"Walaupun sering menerima anugerah, saya perlu sedar itu bukan tiket untuk bersenang-lenang. Apa yang pasti ia menjadi tanda aras untuk saya lebih kuat berusaha dalam memberikan yang terbaik kepada peminat," katanya yang banyak menerima nasihat daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Aiman reda jika tiada jodoh dengan Fathia

Posted:

Aiman reda jika tiada jodoh dengan Fathia

Aiman reda jika tiada jodoh dengan Fathia

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

FIGURA tinggi lampai ini bakal muncul dengan single keduanya yang berjudul, Buatmu Cinta.


HUBUNGAN mesra yang terjalin antara pasangan pelakon muda, Nur Fathia Latif dan Aiman Hakim Ridza bukan lagi rahsia, meskipun masing-masing tidak mengaku sebagai pasangan kekasih.

Mula rapat ketika sama-sama membintangi drama bersiri Diandra, Aiman atau Fathia tidak pernah mendedahkan secara terbuka status sebenar mereka kepada umum, sama ada masing-masing sedang melalui fasa percintaan atau sebaliknya.

Bertemu dengan Aiman pada majlis pelancaran Drama Festival KL baru-baru ini, pelakon itu sekadar menyatakan, hubungannya masih lagi kekal sebagai teman rapat.

Menurutnya, istilah percintaan itu adalah sesuatu yang agak klise dan beranggapan tiada gunanya jika dia menggambarkan dirinya dan Fathia sebagai pasangan bercinta.

Kosmo!: Adakah hubungan Aiman dan Fathia sekarang ini sudah memasuki alam percintaan atau kekal berkawan seperti biasa?

AIMAN: Sehingga kini hubungan kami masih rapat seperti biasa, tetapi ia tidak bermakna yang kami ini bercinta. Rasanya tiada faedah kalau saya nyatakan yang Fathia merupakan kekasih saya.

Sama ada kami ini bercinta atau tidak, buat masa ini masanya masih lagi belum sesuai kerana cinta akan hadir sekiranya kami ada jodoh dan ditakdirkan berkahwin suatu hari nanti.

Apakah yang membuatkan Aiman begitu berat untuk memperkatakan status sebenar hubungan kamu berdua?

Pertama sekali, saya dan Fathia ada keluarga dan kami perlu menjaga hati keluarga masing-masing. Apa yang boleh saya jelaskan yang kami masih lagi dalam proses untuk kenal dengan lebih rapat lagi.

Mungkin ada yang sukar untuk menerima penjelasan yang dibuat ini, tetapi saya berpendirian sebegini kerana belajar daripada pengalaman kisah saya yang lalu dan menjadikan saya lebih berhati-hati.

AIMAN mengakui Fathia merupakan gadis pertama yang dibawa berjumpa keluarganya.


Bagaimanakah penerimaan Aiman sekiranya Fathia dikaitkan mempunyai hubungan dengan lelaki lain?

Dalam hal ini, saya tidak ada hak untuk memberikan sebarang komen sekiranya ia benar-benar berlaku. Ini kerana dia bukanlah milik saya selagi belum berkahwin. Saya juga reda sekiranya memang tiada jodoh antara kami nanti.

Bagaimanakah penerimaan keluarga terhadap hubungan rapat kalian berdua?

Sebenarnya, saya dan Fathia sudah berjumpa dengan keluarga masing-masing dan mereka tidak menghalang hubungan kami. Saya akui, Fathia merupakan gadis pertama yang saya bawa berjumpa dengan keluarga.

Kalau boleh, dalam hubungan yang terjalin ini saya tidak mahu meminggirkan keluarga. Jadi, sebab itu saya bawa Fathia berjumpa dengan mereka.

Adakah anda mempunyai sebarang sasaran untuk mendirikan rumah tangga?

Usia saya baru sahaja mencecah 24 tahun dan buat masa ini tiada sebarang sasaran yang diletakkan. Saya hanya akan berkahwin sekiranya sudah betul-betul kuat dan bersedia serta mampu menjaga diri sendiri.

Selain berlakon, adakah anda masih lagi aktif dalam bidang nyanyian?

Setakat ini tawaran berlakon yang diterima agak banyak, terutamanya sepanjang tahun 2013, tetapi saya akan muncul dengan single kedua saya bertajuk Buatmu Cinta.

Alex Subryn bantu penghidap HIV

Posted:

Alex Subryn bantu penghidap HIV

Alex Subryn bantu penghidap HIV

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ALEX menggunakan duit sendiri sebanyak RM12,000 bagi menerbitkan album sulungnya yang berjudul, Subryn.


BOLEH dilabelkan sebagai pendatang baharu dalam dunia nyanyian tempatan, namun minat Alex Subryn untuk menjadi seorang penyanyi sudah bermula sejak 10 tahun lalu ketika menuntut dalam bidang teknologi maklumat di Australia.

Sepanjang melanjutkan pelajaran di Universiti Edith Cowan sejak 2003 hingga 2005, dia memang aktif bermain muzik serta mencipta lagu serta pernah terbabit dalam pembikinan album Ella Greatest Hits pada tahun 2007 ketika pulang ke Malaysia selama setahun.

"Selepas tamat belajar saya menetap selama setahun di Australia dan mendapat status penduduk tetap. Kemudian, pada 2007 saya pulang seketika ke tanah air dan kembali semula ke Australia pada tahun 2009.

"Kemudian pada tahun 2010 hingga 2011 saya bekerja di Exxon Mobil dan dalam tempoh tersebut saya berusaha untuk mengumpul duit dalam usaha mahu menghasilkan album baharu," ujarnya pada majlis pelancaran album sulungnya, Subryn baru-baru ini.

Menurut pemenang Artis Baharu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-20 pada 14 Disember lalu, dia mengambil masa selama tiga tahun menghasilkan album yang mengandungi lagu-lagu seperti Leave Me Alone, Look Into The Sky, Kajilah, Everything Reminds Me Of You, I Don't Understand You dan Meredah Belukar Masa.

Jelas Alex, 33, selain mengambil masa yang lama untuk menyiapkan album tersebut, dia juga terpaksa menggunakan wang sendiri agar impiannya untuk bergelar seorang penyanyi tercapai.

"Melihat kepada perkembangan industri hiburan sekarang, saya tidak boleh mengharapkan syarikat rakaman untuk album ini. Jadi, saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM12,000," ujar pemuda kelahiran Kuala Lumpur ini.

MAHU masyarakat mengubah persepsi terhadap penghidap HIV Alex sendiri berusaha mendekati golongan tersebut.


Dengan meletakkan harga album berkenaan iaitu RM20, penyanyi itu menyatakan RM3 daripada setiap penjualan album itu akan disumbangkan kepada tiga buah rumah kebajikan iaitu Positive Living Community, Welcome Home dan Rumah Ozanam yang terletak di Rawang, Selangor.

"Ketiga-tiganya merupakan rumah yang menempatkan pesakit-pesakit yang menghidap HIV dan idea untuk membantu mereka bermula ketika saya menjadi sukarelawan di ketiga-tiga buah rumah berkenaan selama enam bulan.

"Tujuan saya menjadi sukarelawan kerana ingin mendekati mereka dengan lebih dekat dalam usaha saya untuk menyiapkan video muzik bagi salah sebuah lagu dalam album saya yang berjudul Leave Me Alone," jelasnya.

Video muzik

Bercerita lebih lanjut tentang pembikinan video muzik Leave Me Alone, pada mulanya dia terfikir tentang konsep yang ingin diketengahkan dan akhirnya timbul idea berbentuk dokumentari tentang mendekati golongan yang menghidap HIV.

Menurut Alex, padanya mula untuk lagu tersebut dia mahu memaparkan tentang percintaan, tetapi akhirnya dia menukar keputusan agar terdapat kelainan yang boleh ditampilkan.

"Melalui perbincangan dengan beberapa orang rakan, mereka mencadangkan supaya memaparkan tentang penghidap HIV. Kemudian, saya melihat ia merupakan satu cadangan yang agak unik.

"Bagi saya, ini merupakan salah satu langkah yang boleh membuka mata masyarakat supaya mengubah persepsi negatif mereka terhadap golongan tersebut yang sering kali diabaikan," ujarnya.

Mengambil masa selama dua bulan untuk menghasilkan video muzik berkenaan, Alex memberitahu, antara cabaran yang terpaksa dilalui ialah cuba untuk mendekati beberapa pesakit yang boleh berkongsi pengalaman mereka.

"Pada mulanya saya berasa agak risau apabila ditanya tentang tujuan saya mendekati mereka. Setelah diberikan penjelasan, barulah mereka memahaminya dan sanggup memberikan kerjasama yang baik," jelasnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat