{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Syiah di Johor dipantau rapi

Posted: 13 Dec 2013 10:10 AM PST

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 13 Dis. - Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sedang memantau rapat beberapa kumpulan yang dipercayai menyebarkan ajaran Syiah walaupun golongan tersebut memperlahankan aktiviti sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abdul Mutalip Abdul Rahim berkata, JAIJ menjalin kerjasama rapat dengan pihak polis dalam usaha pemantauan tersebut dan telah mengenal pasti beberapa anggotanya yang mempunyai kerjaya profesional, termasuk penjawat awam.

"Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas sekiranya kumpulan ini tidak berhenti menyebarkan Syiah di Johor. JAIJ telah mengadakan sesi dialog, malah turut memberikan kaunseling kepada anggota kumpulan itu, namun mereka masih lagi meneruskan kegiatan tersebut.

"Penyebaran Syiah adalah bahaya kerana akan menyebabkan pecah belah dalam komuniti Islam di Johor dan kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat agar tampil menghubungi pihak berkuasa," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas selesai menghadiri Majlis Multaqa Ulama dan Ilmuan Darul Takzim kali ketiga yang diadakan bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini semalam.

Abdul Mutalip bagaimanapun enggan mengulas sekiranya terdapat mana-mana ahli politik atau individu tertentu yang menganggotai kumpulan tersebut dan menegaskan bahawa siasatan masih lagi dijalankan.

Bantuan RM200 kepada setiap keluarga mangsa banjir

Posted: 13 Dec 2013 10:10 AM PST

MOHAMED Khaled Nordin (kanan) menerima replika cek RM100,000 untuk bantuan mangsa banjir daripada Zainudin Abdul Hamid (dua dari kiri) di di Kota Iskandar, Nusajaya, Johor, semalam. - BERNAMA

NUSAJAYA 13 Dis. - Kerajaan negeri akan memberi bantuan sebanyak RM200 bagi membantu mereka yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bantuan tambahan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk meringankan bebanan 9,600 mangsa daripada 2,300 keluarga yang terlibat.

"Bantuan ini merupakan tambahan kepada bantuan sebanyak RM500 yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

"Keluarga layak menerima bantuan yang disediakan kerajaan Pusat akan layak menerima bantuan tambahan ini," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan bagi membantu mangsa banjir daripada beberapa syarikat korporat di pejabatnya di Kota Iskandar di sini hari ini.

Pada majlis itu syarikat pengeluar keluli, Kiswire Malaysia menyerahkan sumbangan berjumlah RM100,000 manakala RM46,535.18 disumbangkan oleh Khazanah Nasional Berhad, Iskandar Investment Berhad, Iskandar Waterfront Holdings dan UEM Sunrise Berhad serta orang ramai melalui Iskarnival yang berlangsung di sini minggu lalu.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Kiswire, Zainudin Abdul Hamid.

Sementara itu, Mohamed Khaled memberitahu, keadaan banjir di negeri ini semakin pulih dan kebanyakan mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata, pada waktu ini, hanya 74 mangsa daripada 20 keluarga di Segamat masih ditempatkan di dua pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Spang Loi dan Balai Raya Gemerih IV.

Beliau turut berterima kasih kepada semua agensi, jabatan kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat membantu mangsa banjir di negeri ini.

MIDF tawar dana kecemasan untuk usahawan perusahaan kecil sederhana terjejas banjir

Posted: 13 Dec 2013 10:10 AM PST

JOHOR BAHRU 13 Dis. - Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) menawarkan program pinjaman khas dikenali sebagai Dana Kecemasan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada usahawan PKS yang terjejas teruk akibat banjir di negeri ini.

Pengarah Urusan MIDF, Datuk Mohd. Najib Abdullah berkata, menerusi dana itu, pinjaman mudah untuk pembiayaan pembelian mesin dan peralatan, pembaikan premis terjejas serta keperluan modal kerja seperti pembelian bahan mentah disediakan.

Menurutnya, jumlah pinjaman ditawarkan adalah dari RM50,000 hingga RM100,000 dengan kadar faedah yang rendah iaitu 3 peratus setahun dan tempoh bayaran balik selama lima tahun dengan peratus pembiayaan sehingga 90 peratus daripada kos diperlukan PKS.

"PKS yang terlibat boleh memohon pinjaman khas ini sekiranya perniagaan mereka terjejas akibat bencana alam seperti banjir, taufan, kemarau, hakisan pantai mahu pun tanah runtuh sekali gus MIDF komited untuk membantu golongan usahawan ini.

"MIDF bersedia membantu memulihkan semula perniagaan mereka yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, PKS yang beroperasi di kawasan diisytihar sebagai kawasan bencana oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menyediakan bukti melalui surat dikeluarkan pejabat daerah atau salinan laporan polis jika mahu memohon dana tersebut.

Tambahnya, MIDF yakin PKS akan terus menjadi di antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dan mampu memainkan peranan sebagai tulang belakang kepada pertumbuhan perindustrian negara sekali gus MIDF akan sentiasa memberi sokongan.

"Mereka yang terjejas di negeri ini boleh berkunjung Pejabat MIDF Wilayah Selatan di Lot 15-6, Tingkat 15, Menara TH, Jalan Ayer Molek, 80000 Johor Bahru, Johor atau hubungi talian 07-2232727 atau emel ke johor@midf.com.my," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Najib berkata, MIDF juga menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman kerajaan untuk membantu PKS memperbesarkan perniagaan mereka dengan pembiayaan harta tetap seperti tanah, bangunan kilang, premis perniagaan dan mesin.

Bagi mereka yang berminat, tambahnya, boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana khas tersebut dengan melayari laman sesawang MIDF di www.midf.com.my atau emel ke inquiry-feedback@midf.com.my atau hubungi Jabatan Jualan Ibu Pejabat MIDF di 03-21738888.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat