{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Retorik UMNO ada batas

Posted: 13 Dec 2013 10:10 AM PST

DATUK ABDUL RAHMAN DAHLAN ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

AHLI UMNO bersemangat sewaktu mengikuti ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui skrin besar di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Kuala Lumpur, 7 Disember lalu. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

Perhimpunan Agung UMNO yang baru seminggu berlalu, besar kesannya terhadap saya secara peribadi yang pertama kali duduk di kerusi Ahli Majlis Tertinggi (MT). Perhimpunan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetapi lebih besar daripada itu.

Ia adalah perhimpunan pemimpin Melayu bagi mencorak masa depan anak bangsa. Ia merupakan pertemuan peribadi bagi sekalian yang hadir memenuhi segenap ceruk Dewan Merdeka.

Saya kira, hanya pemimpin, ahli dan penyokong parti yang benar-benar memahami peri pentingnya pertemuan keluarga besar UMNO itu. Tidak mengapa kerana yang utama, kita tahu mengapa kita berada di sana.

Segala yang berlaku sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2013 mempunyai kepentingan tersendiri- tidak kiralah gerai yang berakhir dengan lelongan bagi menarik pelanggan, kumpulan makcik yang setia mengikuti ucapan dan perbahasan sambil bersila di depan layar besar di Aras 2 PWTC, atau sesi teh tarik tanpa henti bersama rakan-rakan sepanjang persidangan.

Semua itu, yang berlaku di luar dewan, sama penting dengan ucapan, keluhan, teguran dan cadangan perwakilan yang bergema di dalam Dewan Merdeka.

Kita bersua muka di luar dewan dan pantas bersalaman serta berpelukan sambil bertanya khabar selepas lama tidak berjumpa. Kemesraan itu menenggelamkan tinggi atau rendahnya jawatan kita dalam parti kerana yang terlintas di hati hanyalah keseronokan bertemu ahli keluarga selepas sekian lama.

Tanpa disedari, jabatan tangan dan pelukan dalam suasana kemeriahan itu turut mengukuhkan parti. Ketua bahagian dan ahli akar umbi saling berbual dan bertukar pandangan tanpa banyak protokol, malah ada kalanya Presiden parti turut menyapa kerana seperti saya katakan, ini adalah pertemuan adik-beradik UMNO.

Saya ada terbaca komen sinis sesetengah pihak yang mengatakan Perhimpunan Agung UMNO 2013 tidak lebih daripada retorik. Jawapan saya mudah. Mereka melihatnya sebagai retorik, saya melihatnya sebagai menyuntik semangat perjuangan.

Bagi kepemimpinan UMNO, Perhimpunan Agung UMNO adalah medan terbaik bagi kita menaikkan suhu semangat perjuangan ahli di semua peringkat. Ini adalah sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dalam tempoh empat tahun. Percayalah, empat tahun bukan tempoh yang panjang.

Kita jangan emosional atau hipokrit apabila membicarakan soal retorik. Semua parti politik di dunia bergantung kepada retorik sebagai penyambung perjuangan dan isu retorik jugalah yang menjadi pengisian dalam setiap perhimpunan agung parti masing-masing.

Ini boleh dilihat dalam Konvensyen Tahunan Parti Demokrat dan Republikan di Amerika Syarikat, Parti Buruh dan Konservatif di Britain dan di kampung halaman kita sendiri setiap kali Pas, DAP dan PKR mengadakan muktamar serta konvensyen tahunan. Justeru, apa perlu dihairankan apabila Perhimpunan Agung UMNO dipenuhi retorik kerana satu dunia melakukannya!

Pun demikian, retorik UMNO ada batasnya. Harus diingat, banyak isu yang dibangkitkan dan idea baru dikembangkan dalam setiap Perhimpunan Agung UMNO. Kombinasi idea baru dan retorik parti ini mencetuskan semangat luar biasa dalam diri ahli setiap tahun, malah mereka meninggalkan perkarangan PWTC di akhir perhimpunan dengan tekad untuk terus berjuang demi parti disayangi.

Susur galur ini mungkin tidak difahami penggerak laman web yang bagai tidak menang tangan mengecam UMNO. Pelbagai tohmahan dan kritikan dilempar terhadap Perhimpunan Agung UMNO kali ini tetapi tidak mengapalah kerana bagi saya, setiap orang berhak meluahkan pandangan dan mereka boleh terus berbuat demikian.

Bagaimanapun, mereka lupa bahawa ada idea dan cadangan yang dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini boleh dibincang ke peringkat Majlis Tertinggi dan dengan kelulusan parti selepas diperhalusi sedalam-dalamnya, dibawa pula ke peringkat Kabinet. Itu cara UMNO atas nama perjuangan untuk semua.

Ada juga laporan media online mendakwa UMNO kini dilihat lebih bersifat berhaluan kanan sejak PRU-13, dan lebih cenderung kepada proses Islamisasi atau radikalisme. Saya juga terbaca tweet pemimpin DAP, Lim Kit Siang, yang memetik analisis berita portal online mengenai dakwaan ini.

Pandangan saya mudah. UMNO adalah parti yang menghormati proses demokrasi yang didukungi kuasa majoriti. Oleh kerana golongan majoriti Melayu/bumiputera terus menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), maka seharusnyalah UMNO mendengar suara majoriti serta mengkaji dasar-dasar yang setimpal dengan kehendak golongan majoriti berkenaan.

Kita harus menghormati kaedah ini kerana ia memenuhi tuntutan proses demokrasi. Rakyat memberi undi dan menjadi tanggungjawab UMNO serta BN untuk menghormati sepenuhnya kepercayaan itu selepas mereka memilih kerajaan sedia ada bagi mengekalkan kuasa.

Secara peribadi, saya berpendapat Lim Kit Siang harus menyalahkan diri sendiri kerana cuba 'mengaburi' mata pengundi bukan bumiputera untuk tidak menyokong BN. Di akhirnya, golongan berkenaan yang menanggung akibatnya berikutan kekurangan wakil mereka dalam kerajaan.

Ditakdirkan 'Green Party' bertapak di Malaysia dan menjadi kuasa politik utama yang membantu mengekalkan UMNO sebagai parti nombor satu Malaysia, pastinya rakyat akan mendengar mengenai dasar dan desakan mereka melaksanakan dasar yang mapan serta mesra alam.

Bagaimanapun, dalam konteks Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu, semua saranan dan desakan supaya dasar lebih tegas serta radikal dilaksanakan parti akan dikaji secara mendalam di peringkat MT UMNO, selain turut dibincang bersama rakan komponen dalam BN. Asasnya ialah kita mesti mendengar suara majoriti!

PAU 2013 turut peranan lebih besar yang digerakkan sayap Pergerakan Wanita dan Puteri dalam parti selama ini. Saya setuju dengan saranan Wanita supaya ahlinya yang berusia bawah 35 tahun menjadi ahli Puteri UMNO secara automatik sebelum diserap sebagai ahli Wanita UMNO sebaik melepasi usia 35 tahun. Percaturan itu agak sistematik dan harus digalakkan bagi membantu usaha mengukuhkan kedua-dua sayap.

Saya berpandangan keanggotaan dalam Puteri UMNO harus dikekalkan sehingga mereka berusia 40 tahun. Pada usia iu, ahli yang menyertai Wanita UMNO memiliki kelayakan dan pengalaman politik sewajarnya untuk dijadikan bekalan berkecimpung di peringkat lebih tinggi.

Saya juga gembira melihat sayap Pemuda, yang saya pernah anggotai tidak lama dulu, kekal menjadi sayap penting UMNO dalam mendokong dasar-dasar kritikal untuk agama dan bangsa.

Inilah indahnya UMNO. Keluarga besar ini tidak pernah sunyi daripada pelbagai ragam dan kerenah namun semuanya diterima sebagai sebahagian daripada proses yang mendewasakan parti. Saya yakin 3.4 juta ahli UMNO sayangkan parti ini kerana ikrar perjuangan kami tidak pernah berubah.

Atas nama agama, bangsa dan negara, perjuangan keramat UMNO akan dipelihara selama-lamanya.

Menyusun semula GLC

Posted: 13 Dec 2013 10:10 AM PST

Rohami Shafie
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia

ARTIKEL saya bertajuk 'Ke manakah ekonomi bumiputera?' (Utusan Malaysia, 10 Disember 2013) mendapat maklum balas pelbagai pihak. Ada antaranya rakan-rakan saya yang bekerja sebagai eksekutif kanan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Isu yang disentuh oleh saya mengenai GLC ini adalah isu yang dari dahulu sehingga kini mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu dan kaum bumiputera.

Selari dengan isu yang dibangkitkan, saya tertarik dengan berita yang mengatakan bahawa China sedang bercadang untuk menyusun semula pelaburan GLC-GLCnya. Diberitakan juga bahawa syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Malaysia (GLIC) juga banyak membuat pelaburan di luar negara. Antaranya seperti Tabung Haji.

Berita-berita mengenai GLC dan GLIC bukan sahaja menarik minat rakyat Malaysia tetapi juga rakyat negara-negara lain. Sudah semestinya banyak kajian akademik telah dibuat mengenai GLC dan GLIC di seluruh dunia.

Sebenarnya sudah ada langkah untuk mentransformasikan GLC, tetapi sejauh manakah kesannya ke atas pembangunan dan kemajuan negara umumnya, dan ekonomi bumiputera, khususnya?

Tindakan yang dibuat oleh China bertujuan untuk memperkukuhkan GLC tetapi pada masa yang sama kerajaan China masih menguasai kepentingan GLC. Acuan syarikat pelaburan Singapura dijadikan contoh. Adakah acuan yang sama perlu dilaksanakan oleh GLC Malaysia?

Bagi saya, tidak semestinya menggunakan sepenuhnya acuan yang sama. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan mengubahsuai acuan tersebut bertepatan dengan polisi untuk memajukan ekonomi bumiputera.

Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah dengan meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi. Pendekatan ini sesuai untuk meningkatkan produk-produk terbaharu GLC bagi meningkatkan daya saing GLC di samping memastikan aset-aset GLC tidak terlepas ke tangan orang lain.

Sememangnya ada antara GLC-GLC ini diintai oleh pihak-pihak tertentu, kalau tidak masakan ada pihak mengesyorkan agar syarikat berkeuntungan tinggi seperti Petronas disenaraikan di Bursa Malaysia. Tujuan mereka untuk menguasai kepentingan syarikat sebegini yang merupakan syarikat mega bertaraf dunia.

Kerajaan perlu menumpukan kepada industri yang boleh menjana keuntungan tinggi di samping memberi impak besar kepada kepentingan ekonomi kaum bumiputera. Malangnya terdapat rungutan dalam kalangan eksekutif kanan GLC yang mengatakan bahawa GLC tidak boleh bersaing sepenuhnya kerana adanya 'tangan-tangan ajaib'.

Akhirnya GLC kelihatan seperti tidak membantu kaum bumiputera, tetapi hanya membantu pihak-pihak yang 'terpilih' sahaja. Rungutan ini merupakan rahsia umum yang merupakan antara barah lama yang berlaku sejak dahulu lagi.

Kerajaan perlu mengambil kira keluh-kesah ini kerana untuk menyalahkan sepenuhnya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah satu tindakan yang tidak akan menyelesaikan isu GLC dan ekonomi bumiputera.

Ramai antara mereka ini merupakan CEO-CEO yang hebat-hebat belaka, jika tidak masakan ada antara mereka sebaik sahaja tidak menjadi CEO-CEO GLC dilamar terus oleh syarikat-syarikat lain termasuklah syarikat luar negara. Sayang sekali kita kehilangan mereka.

Jadi, tanggungjawab untuk memperkukuhkan ekonomi bumiputera bukan setakat terletak di bahu CEO-CEO sahaja tetapi juga melibatkan semua pihak terutamanya lapisan pentadbiran tertinggi GLC. Inilah keluh kesah yang dibawa oleh rakan-rakan saya dalam GLC dan luar GLC sebagaimana sudah menjadi rahsia umum kepada rakyat.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan langkah pembangunan vendor agar mereka ini benar-benar berdaya saing. Vendor-vendor ini mestilah mereka yang benar-benar terbukti berkualiti atau sekurang-kurangnya mempunyai minat mendalam untuk berjaya dalam perniagaan. Tiada lagi vendor yang hanya mahukan keuntungan sekelip mata dengan bantuan kerajaan.

Dengan kata lain, usahawan tulen yang berkualiti tinggi yang benar-benar berjiwa membantu ekonomi bumiputera perlu dikenal pasti. Kerajaan perlu memantau prestasi-prestasi vendor ini agar mereka ini benar-benar berada pada paras vendor berprestasi tinggi.

Usah ambil mudah perkara ini kerana jika tidak ia boleh menjejaskan kualiti ekonomi dan perniagaan kaum bumiputera dan kesannya ekonomi bumiputera masih lagi di takuk yang sama. Bagi vendor-vendor yang tidak menunjukkan prestasi yang terbaik, kerajaan perlu menyantuni mereka dengan cara tidak merugikan ekonomi bumiputera.

Ekonomi kaum bumiputera tidak akan ke mana jika masih ada lagi golongan yang inginkan keuntungan sekelip mata demi kepentingan peribadi. Ayat mudah, mahu cepat kaya! Maka, timbullah isu ketirisan di sana sini apabila ada di antara golongan 'terpilih' ini menjual atau menyewa lesen perniagaan kepada kaum lain dan warga negara asing.

Sebab itulah Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera tidak boleh sesekali memandang sepi perkara ini.

Kerajaan perlu melibatkan semua golongan kaum bumiputera terutamanya setiap institusi ekonomi bumiputera seperti GLC dan GLIC perlu bergerak dengan sistematik, menyusun semula strategi dan tumpukan sepenuhnya polisi membantu bumiputera tanpa meminggirkan keuntungan jangka masa panjang untuk negara. Tanganilah perkara ini sebelum terlambat.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat