{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pendidikan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pendidikan


Rahsia jadi PIBG cemerlang terbaik

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

MOHD. Nordin Mohamad (berbaju biru) dan Omar Ahmad memegang replika cek sebanyak RM30,000 sambil bergambar bersama-sama pelajar sekolah selepas merangkul Anugerah PIBG Cemerlang Terbaik Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2012/2013 baru-baru ini.

SEREMBAN 23 April - Hubungan baik antara ibu bapa dan guru serta komitmen tinggi untuk melihat pelajar cemerlang dalam pendidikan dan kegiatan kokurikulum, telah menempatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tuanku Ja'afar dekat sini sebagai unik dan terpuji.

Apa tidaknya, segala aktiviti yang dirancang dan dilakukan, telah mendapat kerjasama erat antara kedua-dua pihak sehingga menjadikan sekolah itu sentiasa dicontohi, bukan sahaja dalam aspek kecemerlangan pendidikan, tetapi kokurikulum serta pelaksanaan kepelbagaian kempen kesedaran.

Maka atas dasar itulah PIBG sekolah berkenaan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah PIBG Cemerlang Terbaik Sekolah Menengah peringkat kebangsaan semasa Konvensyen dan Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berlangsung di ibu negara Sabtu lalu.

Dengan kejayaan itu, PIBG sekolah menerima wang tunai RM30,000, piala dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga selaku Menteri Pendidikan.

Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Datuk Mohd. Noordin Mohamad berkata, anugerah yang diperoleh itu bukan sahaja kebanggaan kepada pihak sekolah, malah turut dikongsi oleh para ibu bapa dalam memberikan sokongan padu dan jitu bagi memastikan kecemerlangan bidang pendidikan.

``Gandingan kerjasama ini sentiasa membolehkan apa juga perancangan yang dilakukan dengan jayanya. Ia bukan sahaja telah mencapai matlamat bahkan turut memberikan manfaat kepada para pelajar di sekolah ini.

``Pengiktirafan ini sebenarnya membuktikan bahawa peranan semua pihak penting kerana apa yang menjadi keutamaan adalah menjadikan sekolah ini sebagai sebagai pusat kecemerlangan pelajar pada masa depan,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Mohd. Noordin, kejayaan itu turut disumbangkan hasil daripada kerjasama beberapa syarikat swasta yang selama ini banyak membantu dalam membolehkan sebarang bentuk aktiviti sekolah dapat dilaksanakan untuk manfaat pelajar.

``Sebagai PIBG, kita turut melibatkan komuniti setempat, yang sama-sama membantu pihak sekolah dalam menyalurkan apa juga maklumat berkaitan pelajar dan keperluan pendidikan.

``Umpamanya dalam kempen yang dilakukan bersama PIBG dan pihak sekolah seperti kempen atasi gejala ponteng dan hisap rokok, yang mana komuniti serta ibu bapa seringkali menyalurkan maklumat dalam memastikan aspek disiplin pelajar dijaga. Ini amat membantu dan memberikan kejayaan besar kepada PIBG dan sekolah dalam membentuk sahsiah diri pelajar,'' tegasnya.

Jelasnya lagi, penglibatan syarikat korporat dengan pihak sekolah pula turut meningkatkan prasarana di sekolah seperti apa yang dilakukan oleh pihak KPJ Healthcare Bhd. dengan menjadikan satu bilik di sekolah ini sebagai bilik rawatan kecemasan pelajar.

Pihak industri seperti Samsung pula menyumbang lebih 10 peralatan komputer bagi kegunaan pelajar dan pihak sekolah.

Apa yang menarik, PIBG itu juga membangunkan blog mereka sendiri untuk menyalurkan segala aktiviti dan perancangan yang boleh dicapai oleh semua ibu dan bapa serta orang ramai pada bila-bila masa.

Jelas dalam piagam pelanggan PIBG SMK Taman Tuanku Jaafar itu tertera kesungguhan apabila mereka sentiasa bersedia membantu pihak sekolah melaksanakan proses pendidikan; menjadi pemangkin pengembangan bakat dan potensi pelajar dalam akademik dan kokurikulum serta mengurus dan menggunakan peruntukan kewangan yang diterima untuk faedah sekolah.

Sementara itu, Pengetua sekolah berkenaan, Omar Ahmad menjelaskan, anugerah berkenaan bukan titik noktah bagi pelengkap usaha baik itu, bahkan ia adalah motivasi kepada semua pihak untuk bekerja lebih keras memastikan kecemerlangan pelajar terus diutamakan.

Malah kata beliau, menerusi inisiatif Kementerian Pendidikan mewujudkan program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah telah berjaya menunjukkan perkembangan positif dalam perkongsian ilmu antara kedua-dua pihak berkepentingan itu.

``Usaha ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang mahukan lebih penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak serta menggalakkan penyertaan komuniti dengan sekolah.

``Malah kita amat berbangga dengan penerimaan anugerah ini sekaligus memperlihatkan sekolah ini menjadi contoh kepada pelaksanaan Sarana Ibu Bapa kerana PIBG sekolah aktif menggerakkan program bersama sama ada pihak sekolah, ibu bapa, komuniti termasuk pihak swasta,'' katanya

Antara program yang dilaksanakan sekolah berkenaan kata beliau termasuklah Unit Peronda Ponteng Sekolah, penganjuran pertandingan golf amal sekolah, kenduri PIBG dan pelajar, Sarana bersama pelajar MSU dan Cosmopoint, hari graduasi termasuk penglibatan komuniti dengan media elektronik.

Tidak ketinggalan penganjuran Program Larian Amal sekolah berkenaan yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pada Februari lalu yang mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 1,200 orang.

Tradisi ganding bahu lonjak SMK Kampung Selamat

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

MOHD. FIRDAUS ISMAIL

ZAINI Ahmad dan Wan Chik Ahmad melihat tiga pelajar menjalankan aktiviti penjagaan pokok pokok herba.

TASEK GELUGOR 24 April _ Tidak banyak sekolah yang membuka ruang seluas-luasnya kepada ibu bapa untuk turut sama dalam proses pengajaran dan pembelajaran bersama anak-anak mereka seperti yang diamalkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Namun, siapa menyangka tradisi itu yang diamalkan sejak sekian lama menyumbang kepada peningkatan prestasi sekolah berkenaan sehingga dipilih menerima Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar.

Pengiktirafan itu diberikan sempena Anugerah PIBG Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012/2013 pada 19 April lalu.

Menerusi pendekatan itu, pihak pengurusan sekolah berkenaan membuka peluang kepada ibu bapa membantu guru-guru dalam aktiviti seperti menunjukkan cara mengawet serangga dan tumbuh-tumbuhan herba kepada para pelajar.

Pendekatan itu ternyata dapat mewujudkan hubungan erat antara guru dan PIBG sekolah berkenaan sekali gus memberi manfaat kepada pelajar sekolah berkenaan.

Pengetuanya, Zaini Ahmad berkata, kerjasama sejak beberapa tahun lalu itu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar di sekolah berkenaan.

Menurutnya, pendekatan itu juga membolehkan sekolah berkenaan mencatat prestasi akademik membanggakan selain tidak menyaksikan berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar yang serius.

Lokasi sekolah ini terletak di kampung yang dikelilingi ladang kelapa sawit menyebabkan perlunya untuk kedua-dua pihak bekerjasama termasuk dalam aspek keselamatan pelajar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah berkenaan hari ini.

Menurut Zaini, pihak sekolah bersama PIBG juga secara konsisten menganjurkan pelbagai aktiviti melibatkan komuniti seperti program santai dan kenduri rakyat untuk mengenali masyarakat setempat.

Mereka juga, katanya, mengadakan kutipan derma untuk membantu beberapa keluarga miskin termasuk pelajar di sekolah berkenaan.

Tambahnya, pelaksanaan program berkenaan menghasilkan maklum balas positif apabila ibu bapa tidak lagi 'segan' untuk datang ke sekolah dan berkongsi pendapat.

Keadaan itu, ujarnya, berbeza berbanding sebelum ini yang mana kelibat ibu bapa di sekolah hanya boleh dilihat ketika mesyuarat PIBG atau ketika mengambil buku laporan anak masing-masing.

Kini ibu bapa turut bekerjasama dan memberi sumbangan dalam mencantikkan kawasan sekolah dengan membina taman herba dan zoo mini untuk manfaat pelajar," katanya.

Dalam aspek pencapaian akademik pula, katanya, SMK Kampung Selamat yang baru berusia 11 tahun menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan.

Dengan kekuatan seramai 65 orang guru dan 16 kakitangan, sekolah ini berjaya berada pada kedudukan 347 daripada jumlah keseluruhan 2,215 buah sekolah menengah di seluruh negara.

Pencapaian dalam subjek Bahasa Inggeris juga baik kerana mencatatkan kelulusan 86.29 peratus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lepas selain dua calon berjaya mendapat 9A dan enam calon berjaya mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK Kampung Selamat, Wan Chik Ahmad berkata, pihaknya berusaha menjayakan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan.

Antaranya kita bekerjasama erat dengan ibu bapa, komuniti, sektor swasta secara meluas.

Masyarakat juga akan membantu melaporkan kepada pihak sekolah jika ada aktiviti pelajar yang mencurigakan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Chik memberitahu, pihaknya turut merancang program santai, ceramah agama dan kelas motivasi membabitkan penyertaan masyarakat setempat sebelum Ramadan ini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat