{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Galak pelajar kitar semula

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

ZAINAL Fitri Ahmad (kiri) bersama para pelajar menyusun surat khabar dan kertas terpakai untuk dijual sempena Kempen Kitar Semula di SMK Permas Jaya 3, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, Johor, semalam. - utusan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 24 Sept. - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri ini menganjurkan Program Habitat Moment di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 3 di sini sebagai langkah menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar.

Pengarahnya, Zainal Fitri Ahmad berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama pihaknya dengan Kementerian Pendidikan sempena sambutan Hari Habitat Sedunia yang akan diraikan pada Isnin minggu pertama bulan depan.

Beliau berkata, program itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kepentingan menjaga bumi dengan menjadikan kebersihan sebagai aspek utama selain menyemai semangat untuk mengurangkan penghasilan jumlah sisa pepejal melalui amalan kitar semula.

Sebanyak 45 sekolah rendah dan menengah di Semenanjung Malaysia terpilih untuk menjayakan program ini, lima daripadanya merupakan sekolah dari Johor dan pemilihan sekolah ini dibuat berdasarkan komitmen mereka dalam pengurusan amalan kitar semula sepanjang tahun lalu hingga kini.

Lima sekolah di Johor ialah SMK Permas Jaya 3, SMK Datuk Penggawa Barat, Pontian; Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria, Johor Bahru; SK Bandar Batu Pahat dan SK Datuk Wan Idris, Segamat," katanya ketika ditemui hari ini.

Zainal Fitri berkata, semua sekolah yang menyertai program itu akan melaksanakan semua aturcara yang sama pada hari tersebut bermula pukul 7.30 pagi dengan aktiviti bacaan ikrar diikuti dengan pengumpulan barangan kitar semula di sekolah.

Beliau berkata, aktiviti itu diteruskan dengan menimbang sebelum barangan kitar semula itu dijual.

Bagi memeriahkan program ini, semua pelajar digalakkan untuk membawa barangan kitar semula ke sekolah dan menjual barangan tersebut. Hasil jualan barangan itu akan disumbangkan kepada sekolah bagi menjalankan aktiviti lain pada masa akan datang," katanya.

Lapan pembeli tidak pindah

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

YAAKOB Salleh menunjukkan surat jual beli rumah berlatar belakangkan rumah di Taman Seri Temenggong yang didakwa tidak disiapkan mengikut jadual di Jalan Temenggong Ahmad, Muar, Johor, semalam.

MUAR 24 Sept. - Sebanyak lapan keluarga yang membeli rumah di Taman Seri Temenggong, Jalan Temenggong Ahmad di sini, kecewa kerana masih tidak dapat berpindah ke kediaman itu berikutan jalan dan longkangnya yang bermasalah.

Mereka mendakwa rumah tersebut yang setiap seunit berharga RM280,000 sepatutnya siap sepenuhnya pada 21 Julai lalu, namun hingga kini masih tertangguh.

Seorang pembeli, Yaakob Salleh berkata, keluarganya merancang untuk berpindah ke taman tersebut pada bulan Syawal lalu.

"Saya sudah beberapa kali menghubungi pihak pemaju bertanyakan status rumah ini. Ini kerana saya sudah mula membayar ansuran di bank sejak lapan bulan lalu melalui pemotongan gaji tetapi rumah yang diimpikan masih belum siap sepenuhnya.

"Saya diberitahu tentang beberapa masalah yang dihadapi pemaju seperti aliran longkang dan tangki septik yang masih belum sempurna selain masalah pengambilan tanah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yaakob mendakwa, projek perumahan fasa kedua yang lebih besar di kawasan bersebelahan perumahan itu menjadi antara punca utama taman tersebut lambat disiapkan sehingga terpaksa ditangguh beberapa kali.

Katanya, sekiranya pembeli dibenarkan berpindah dalam masa terdekat dan kenderaan berat masih keluar masuk melalui kawasan itu, keadaan berkenaan amat tidak sesuai dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk.

Menurutnya, pemaju berjanji akan menyerahkan kunci rumah kepada para pemilik selewat-lewatnya hujung tahun ini namun apabila diminta memeterai perjanjian tentang perkara itu, pemaju enggan berbuat demikian.

"Apa yang kami harapkan supaya rumah ini dapat diduduki secepat mungkin dan minta Pejabat Tanah Daerah serta Majlis Perbandaran Muar dapat meneliti permasalahan sebenar taman ini serta mencari puncanya," katanya.

30% dewasa enggan periksa kesihatan

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

SEGAMAT 24 Sept. - Kira-kira 30 peratus penduduk kampung berusia 18 tahun ke atas di negeri ini enggan melakukan pemeriksaan saringan kesihatan untuk mengesan sama ada mereka menghidapi penyakit diabetes dan darah tinggi.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Fatimah Othman berkata, kebanyakan mereka memberi alasan enggan berbuat demikian kerana bimbang tidak dapat menerima kenyataan sekiranya didapati menghidapi penyakit berkenaan.

"Sekiranya mereka terus bersikap demikian, usaha yang dijalankan oleh kerajaan bagi menangani peningkatan jumlah penghidap kedua-dua penyakit itu tidak akan mencapai matlamat dan menjadi sia-sia.

"Pada tahun lalu, sebanyak 12,808 kes baru diabetes direkodkan seluruh negeri ini, manakala hingga Ogos lalu sebanyak 7,941 kes baru dikesan," katanya pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Diabetes dan Gaya Hidup Sihat peringkat Parlimen Segamat di Dewan Orang Ramai Buloh Kasap di sini.

Kempen berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat. Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr. Mokhtar Ahmad.

Dr. Fatimah berkata, bagi daerah Segamat pula, sebanyak 892 kes baharu penyakit diabetes dicatatkan bagi tempoh lapan bulan iaitu peningkatan sebanyak 2.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagi penyakit tekanan darah tinggi pula sebanyak 875 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes penyakit tersebut yang direkodkan sebanyak 108,427 kes di seluruh negeri sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, Segamat mencatatkan peningkatan 682 kes baharu hingga Ogos lalu, menjadikan jumlah pesakit tekanan darah tinggi di daerah ini berjumlah 7,949 orang.

"Bagi menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit, Jabatan Kesihatan negeri melaksanakan pelbagai program termasuk melakukan saringan bagi penjawat awam yang berusia 40 tahun ke atas untuk mengesan penyakit tersebut di peringkat awal.

"Selain itu, Kementerian juga memperkenalkan Program Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit 1Malaysia (NCDP1M) yang menyasarkan setiap klinik menjalankan dua projek saringan dan intervensi di sekolah, jabatan kerajaan dan komuniti," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat