Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
| Bermula dengan sebilah gunting Posted: Bermula dengan sebilah guntingOleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
MEMILIKI butik pengantin dan salun D Ratu Sehari yang teletak di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor, Nur Amy Eika Daud, 46, atau lebih senang disapa dengan panggilan Eika Haizan, ceria memulakan tugas harian seawal jam 10 pagi. Menurut Eika Haizan, butik miliknya bukan hanya menyediakan busana serta dandanan kepada pengantin, malah beliau turut menawarkan segala keperluan untuk perkahwinan termasuk katering dan perkhidmatan kanopi. Menyingkap kembali latar belakang kehidupan Eika Haizan, sebelum bergelar usahawan butik pengantin dan salun, aktiviti menjahit dan mendandan rambut sememangnya sudah sebati dengan dirinya sejak zaman kanak-kanak lagi. Anak jati Kampung Parit Raja, Batu Pahat, Johor itu kemudian mempelajari teknik mendandan serta menggunting rambut secara profesional di Akademi Salun Thomas Guy di Johor Bahru pada tahun 1989. Menurutnya, setelah kematian ibunda tercinta, beliau nekad untuk berhijrah keluar dari kampung bagi mengubah nasib hidupnya. "Saya dilahirkan dalam keluarga yang agak susah. Setelah kematian ibu, saya kehilangan tempat bergantung. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berhijrah ke bandar," katanya. Berbekalkan sijil yang diperoleh di akademi tersebut, beliau berhijrah ke ibu negara untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan minatnya pada tahun 1993. "Setelah berhijrah ke ibu kota, pada awalnya saya bekerja di sebuah salun di Bangi. Di situ, saya menggunakan segala kemahiran ketika belajar. "Semasa bekerja di situ juga saya berusaha mengumpul sedikit simpanan bagi merealisasikan impian memiliki sebuah butik sendiri," kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu. Setelah mengumpul modal RM800, beliau telah berjaya membuka sebuah salun di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi pada tahun 1998.
"Saya mula menjalankan perniagaan tersebut dengan hanya membawa sebilah gunting. Dalam masa yang sama, saya juga mula mencuba menjahit baju pengantin," katanya lagi. Sepanjang 14 tahun beliau mengusahakan butik itu, terdapat pelbagai cabaran yang harus ditempuhinya. Menurutnya, cabaran yang paling perit yang dihadapinya adalah untuk berperang dengan hasad dengki manusia. Ketika ditanya ke mana hala tuju perniagaan butik pengantin, salun dan katering miliknya dalam jangka masa 10 tahun lagi, beliau ingin melebarkan perniagaannya dengan membuka cawangan di tempat lain. "Buat masa sekarang, saya hanya menguruskan sebuah butik sahaja. Jika dimurahkan rezeki, saya akan membuka cawangan di sekitar ibu negara," katanya. Kini, Eika Haizan tidak lagi menoleh ke belakang dalam mengorak langkah menuju kejayaan. Butik miliknya turut menaja beberapa perkahwinan beberapa orang artis tempatan. Pelakon tanah air, Fauzi Nawawi dan Lisdawati antara selebriti yang pernah menerima tajaan butik berkenaan sempena hari bahagia mereka. Paling terbaharu, dua penyanyi kumpulan Elite, Azza dan Watie turut memilih busana serta dandanan butiknya sempena perkahwinan mereka pada 1 Mei lalu," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. | |||
| Posted: Buah kiwi jaguh nutrisiOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR BUAH kiwi mengandungi dua kali ganda lebih banyak kandungan vitamin C berbanding buah oren. WALAUPUN kecil dari segi saiznya, buah kiwi mampu membekalkan cedokan harian yang lazat dengan khasiat kesihatan yang luar biasa. Pakar Nutrisi Pusat Perubatan Subang Jaya, Ho Wan Mi memberitahu, buah kiwi mengandungi dua kali ganda lebih banyak kandungan vitamin C berbanding buah oren dan lima kali ganda khasiat daripada epal. "Buah kiwi diakui mengandungi lebih banyak nutrien penting berbanding 27 jenis buah-buahan popular. Ia dibuktikan oleh kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Rutgers, Amerika Syarikat sekali gus dinobatkan sebagai perangsang kesihatan terulung. "Kandungan vitamin C yang tinggi berupaya mempertingkat sistem daya tahan secara semula jadi serta menyumbang kepada pembentukan kolagen selain fungsi normal tulang, rawan, gusi, kulit dan salur darah. "Ia juga membantu dalam penyerapan zat besi dan kalsium untuk menjaga kesihatan gigi serta gusi selain mampu mencegah simptom selesema," jelas Wan Mi ketika ditemui Kosmo! sewaktu pelancaran musim buah kiwi Zespri di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang baru-baru ini. Kiwi Zespri sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pencinta kiwi memandangkan ia antara jenama utama buah itu di peringkat antarabangsa. Menurut satu kajian yang dipapar dalam The American Journal of Clinical Nutrition, ia mengesahkan kandungan vitamin C dalam buah kiwi Zespri emas adalah lima kali ganda biowujud daripada vitamin C dalam makanan kesihatan tambahan. Malah, kedua-dua buah kiwi hijau dan emas mengandungi vitamin E dan folat yang boleh membantu pembentukan sel darah merah serta mencegah anemia. Tambah Wan Mi, buah kiwi merupakan sumber pemakanan serat yang bagus. Diet yang mengandungi banyak serat dapat mengurangkan paras kolesterol yang tinggi dan mengurangkan risiko serangan serta sakit jantung.
"Berbekalkan sumber kandungan serat yang unggul, buah kiwi Zespri membantu melancarkan perjalanan usus dan menyediakan persekitaran gastrousus yang sihat untuk menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam perut," ujar beliau lagi. Dalam pada itu, kajian yang diterbitkan The Journal of Agriculture & Food Chemistry pada tahun 2012 menunjukkan buah kiwi hijau mengandungi enzim protease (aktinidin) yang boleh membantu pencernaan di dalam usus kecil. Ia juga dapat mengurangkan rasa kembung selepas menikmati juadah yang kaya dengan lemak dan daging. Kiwi dari New Zealand Menyorot lebih lanjut tentang kiwi Zespri ia adalah antara hasil pertanian terpenting di New Zealand. Bahkan, Zespri merupakan peneraju pasaran buah kiwi apabila menguasai 30 peratus daripada jumlah perdagangan antarabangsa. Gabungan pelbagai rasa dan kandungan nutrien yang tinggi menyebabkan pengambilan buah kiwi secara konsisten setiap hari boleh menjadikan anda lebih sihat serta ceria. Dianggap sebagai jaguh nutrisi, buah kiwi Zespri boleh didapati dalam dua warna jenis iaitu hijau dan emas. Buah kiwi hijau boleh diperoleh di pasaran bermula bulan Mei hingga hujung tahun, manakala buah kiwi emas dari bulan Mei hingga Oktober. Kedua-dua buah kiwi sama ada hijau atau emas, padat dengan nutrien bermanfaat dalam memberikan perlindungan semula jadi. | |||
| Posted: Skuba Bomba Pulau MutiaraOleh MALINDA ABDUL MALIK ANGGOTA Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang sedia berkhidmat demi kesejahteraan ramai. TUGAS utama mereka adalah untuk memadamkan kebakaran. Namun, khidmat dan kepakaran mereka tetap ditagih apabila menerima panggilan kecemasan membabitkan mangsa lemas sama ada di laut, sungai, tasik atau kawasan takungan air. Dikenali dengan nama Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat, seramai tiga pegawai dan 21 anggota diletakkan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa di Balai Bomba Jalan Perak, George Town Pulau Pinang. Sebagai unit elit bomba negeri itu, tanggungjawab mereka meliputi seluruh negeri Pulau Pinang iaitu meliputi bahagian pulau dan tanah besar. "Anggota unit skuba atau unit selam ini umpama 'dua dalam satu'," ujar Penguasa Kanan Bomba II, Pegawai Operasi Negeri Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Wan Azmi Ahmad. Menurut beliau, mereka yang merupakan penyelam mahir juga perlu melakukan operasi memadam api seperti anggota bomba lain sekiranya tidak menerima panggilan kecemasan berkaitan kes lemas. "Jika menerima panggilan kes kecemasan mangsa lemas, tiga pegawai dan 21 anggota unit skuba bersiap sedia sepanjang masa," ujar Penguasa Kanan Bomba II, Pegawai Operasi Negeri, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Wan Azmi Ahmad. Bertindak selaku ketua unit khas tersebut, Wan Azmi memberitahu, anggotanya dibahagikan kepada tiga kumpulan yang akan digerakkan untuk tugasan mencari dan menyelamat. Setiap kumpulan bertugas selama 12 jam bagi satu syif iaitu bermula dari pukul 8 pagi hingga 8 malam dan seterusnya. Sebagai anggota unit khas, mereka dibayar elaun kerana bertugas melebihi waktu yang diperlukan. Tapisan ketat Menurut Wan Azmi, keanggotaan untuk menyertai Unit Skuba terbuka kepada semua anggota bomba, tetapi hanya mereka yang melepasi syarat dan ujian tertentu layak dipanggil bagi sesi pemilihan. Tegas beliau, proses tapisan ketat dilakukan oleh Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat di Putrajaya dan nama yang terpilih perlu menjalani ujian. "Calon terlebih dulu akan dihantar ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk menjalani ujian selama tiga hari dan diperiksa oleh Pegawai Perubatan Selam TLDM. "Ini penting bagi memastikan tahap kesihatan calon yang terpilih berada pada tahap yang memuaskan. Calon yang mengalami penyakit tidak akan dibenarkan menyelam kerana latihan yang perlu diikuti adalah mencabar. "Semua pelatih perlu menjalani dan melepasi ujian yang ditetapkan. Anggota penyelam harus memiliki mental dan fizikal yang tinggi kerana tugas ini memerlukan keberanian yang tinggi," katanya. Tambah Wan Azmi, anggota Unit Skuba perlu menjalani ujian renang yang meliputi ujian apungan selama 10 minit, memanjat tali dan Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK). "UKJK melibatkan larian sejauh 2.4 meter yang akan diambil masa, mendagu dan lompat statik. Semua pelatih perlu lulus kesemua ujian kerana jika gagal walau satu ujian, mereka tidak akan diterima sebagai anggota Unit Skuba.
"Seperti latihan anggota penyelam tentera misalnya Gerak Khas atau Pasukan Khas Laut, cabaran serupa juga digariskan pada pelatih-pelatih Unit Skuba Bomba untuk melepasi ujian. "Alasannya mudah, kerana tugasan mereka nanti melibatkan nyawa penyelam sendiri. Ujian merupakan penanda aras kebolehan penyelam dan oleh itu, ia bukan proses pemilihan main-main. "Tugas penyelam unit skuba bomba amat penting kerana tugas hakiki kita adalah menyelamatkan mangsa dan ia melibatkan nyawa," katanya. Bagi K. Sarawanan, 27, peluang menyertai pemilihan unit skuba merupakan saat paling dinanti-nantikan sejak bergelar anggota bomba pada tahun 2004. "Saya memperoleh lesen Juruselam Penyelamat Am (Public Safety Diver) pada tahun 2009. Apapun kerjaya, memang ada risikonya apatah lagi sebagai anggota penyelamat seperti kami. "Setiap kali melangkah ke gigi air, saya sentiasa berdoa agar dilindungi daripada bahaya dan lebih penting, dapat sempurnakan tugas terutamanya membabitkan kes seperti mangsa lemas," ujarnya. Latihan mencabar Bagi penyelam berpengalaman, Abdul Aziz Mohamad, 37, sama seperti rakan-rakan yang lain, beliau turut mengakui bahawa latihan untuk bergelar sebagai penyelam unit skuba cukup mencabar. Beliau yang menyertai bomba pada tahun 1996 sebagai anggota biasa sebelum menyertai unit itu pada tahun 1999 bersyukur kerana mendapat galakan tidak berbelah bahagi daripada isteri dan keluarga. Begitupun, adakalanya hati beliau tersentuh ketika melakukan operasi mencari mangsa-mangsa lemas selain sentiasa bertawakal agar Tuhan memudahkan tugas yang dipikulnya. "Bagi saya, walaupun tugas ini dianggap berbahaya, namun saya bangga kerana dapat berbakti kepada orang ramai yang berhadapan dengan sesuatu kejadian kecemasan," ujarnya. |
| You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |


