Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
- Perbaiki bacaan melalui teknik mendengar
- Sehelai baju amat bermakna
- Samsung Tech Central di Rumah Sayangan
Perbaiki bacaan melalui teknik mendengar Posted: Perbaiki bacaan melalui teknik mendengarOleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
BULAN Ramadan adalah bulan yang sungguh luar biasa keistimewaannya berbanding dengan sebelas bulan yang lain. Selain melakukan ibadah puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, umat Islam juga digalakkan melakukan pelbagai amalan mulia di sepanjang bulan ini dengan penuh keikhlasan dan pengharapan untuk mendapat keampunan dari Allah SWT. Salah satu amalan yang boleh dilakukan ialah membaca al-Quran. Namun, niat itu sering kali terbantut disebabkan kekangan masa dan tugas, sedangkan pembacaannya boleh dilakukan pada bila-bila sahaja. Revolusi terkini teknik pembelajaran al-Quran kini menjadi lebih mudah dan berkesan dengan kehadiran al-Quran digital di pasaran. Salah satunya yang boleh dijadikan pilihan ialah al-Quran Rasm Uthmani yang dipasarkan oleh Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN). Menurut Pengarah Projek MAPAN, Mahmud Hishamuddin, idea untuk memasarkan al-Quran digital itu bertujuan membudayakan pembacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak sekolah. "Pemilik al-Quran ini bukan sahaja dapat mempelajari bacaan ayat-ayat suci al-Quran tetapi proses pembelajaran dapat dilakukan di mana-mana sahaja. "Proses pembelajaran melalui teknik mendengar juga lebih berkesan kerana penggunanya dapat memperbaiki kelancaran bacaan dengan lebih cepat," katanya. Ujar Mahmud, pada pandangan mata kasar setiap halaman muka surat al-Quran digital tiada bezanya dengan al-Quran biasa, hakikatnya setiap muka surat kitab suci itu memiliki kod-kod tertentu yang bertindak balas dengan pen pintar yang disediakan. PEMBELAJARAN al-Quran kini menjadi lebih mudah dan berkesan dengan kehadiran al-Quran digital. "Ia sangat mudah digunakan dan tidak perlu pengalaman teknikal. Pengguna hanya perlu meletakkan pen pintar ini pada mana-mana surah yang diinginkan dan pen akan mengeluarkan bacaan. "Menariknya, setiap helaian al-Quran digital ini mempunyai pilihan menu pintar sekali gus menjadikan pembacaan dan pengajaran lebih interaktif," ujarnya. Telah diperakui dan mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri, Mahmud berkata, al-Quran digital itu menyediakan audio bacaan seluruh juzuk yang disampaikan oleh Qari terkenal Mesir, Sheikh Abdul Baset Abdu Essamad. "Pengguna tidak perlu berasa ragu-ragu kerana bacaan dan tafsiran yang terkandung dalam kitab elektronik itu dijamin sempurna dari segi tajwid dan maknanya," ujarnya. Ujarnya, al-Quran digital itu turut mempunyai terjemahan penuh yang disediakan di dalam bahasa Melayu dan Inggeris. "Selain itu, pengguna juga boleh memperbaiki bacaan dan mempelajari Muqaddam, doa-doa harian serta surah-surah lazim di dalam solat yang disertakan bersama," ujarnya. Dijual pada harga RM450 bagi setiap set, al-Quran digital itu dilengkapi fon telinga, kit pengecas bateri dan jaminan selama setahun. Bagi yang berminat menjadi pengedar atau mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh menghubungi MAPAN di talian 03-4252 2871/2872/2817. | |
Posted: Sehelai baju amat bermaknaOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
MERAIKAN Aidilfitri tanpa memakai pakaian baharu pasti mengundang rasa syahdu bagi empunya diri terutama golongan kanak-kanak. Apatah lagi jika melihat penampilan rakan sebaya begitu menawan pada pagi Syawal. Yang berkemampuan sudah pasti tidak berdepan sebarang masalah mendapatkan tiga atau empat pasang baju raya untuk anak masing-masing. Namun, bagi anak-anak yatim atau golongan kurang berada, sehelai baju pun mungkin susah untuk diperoleh. Menyedari hakikat itu, sekumpulan sukarelawan tampil menjalankan satu kempen yang dikenali sebagai Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata. Mula dianjurkan sejak tahun 2010, kumpulan tersebut bertindak mengumpul baju-baju baharu untuk disumbangkan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim yang terpilih. Pengerusi penyelaras program amal itu, Sophia Othman berkata, kempen tersebut sebenarnya bermula sekadar suka-suka untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan berhari raya dengan pakaian baharu. "Pada awalnya, kami menjadikan laman sosial Facebook sebagai platform untuk membuat pengumuman tentang kempen itu di samping mengumpul koleksi baju yang diperlukan. Pasukan kami ketika itu terdiri daripada rakan-rakan Facebook sahaja. KECERIAAN jelas terpancar pada wajah anak-anak yang menerima sumbangan baju raya baharu. "Alhamdulillah, lama-kelamaan program amal yang dijalankan ini terus mendapat perhatian ramai yang memasuki tahun ketiga penganjurannya," ujar Sophia ketika ditemui di Rumah Amal Permata Hatiku di Gombak, Selangor sewaktu menyampaikan sumbangan baju raya baru-baru ini. Hanya kumpul baju baharu Menariknya, kempen Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata itu tidak mengumpul wang, sebaliknya baju kurung atau baju Melayu baharu untuk diberi kepada anak-anak yatim yang tinggal di rumah atau pusat jagaan serta anak-anak fakir miskin asnaf di seluruh negara. "Pada tahun 2010 dan 2011, pasukan kami telah berjaya mengumpul lebih daripada 7,000 pasang baju raya baharu yang kemudian diagih-agihkan kepada lebih 30 rumah anak yatim dan fakir miskin asnaf di sekitar Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang," jelas Sophia sambil menambah tahun ini kempen itu dijalankan bermula dari 20 Mei hingga 10 Ogos 2012. Golongan sasaran yang menerima bantuan tersebut terdiri daripada anak-anak yatim dan anak fakir miskin berusia antara satu hingga 18 tahun. Penyerahan baju pula dilakukan dengan cara menghubungi Ahli Jawatankuasa Penyelaras di Facebook atau terus menghantar sendiri ke pusat pengumpulan melalui pos. Apa yang pasti, inisiatif yang dilakukan pasukan sukarelawan Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata mengundang reaksi positif daripada penerima. KEMPEN unik Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata hanya menerima sumbangan baju baharu untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan pada Hari Raya Aidilfitri. Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Permata Hatiku Kuala Lumpur dan Selangor, Mohd. Dhiyauddin Abd. Rahman berkata, pihaknya melahirkan rasa bersyukur di atas keprihatinan kumpulan tersebut. "Sumbangan yang dibuat mereka amat besar maknanya bagi anak-anak yang berada di bawah jagaan kami. Insya-Allah, dengan adanya baju baharu untuk mereka, Aidilfitri menjadi lebih berseri," ungkap Mohd. Dhiyauddin sambil memberitahu terdapat 30 kanak-kanak yang kurang bernasib baik bernaung di bawah pertubuhan tersebut. Sementara itu, seorang anak yatim, Fatin Fathhiyyah Mohd. Nor Azman, 11, turut berkongsi rasa gembira kerana mendapat baju kurung baharu bagi meraikan bulan Syawal yang mulia. "Saya rasa seronok kerana dapat baju raya yang cantik. Terima kasih kepada pihak yang memberi. Walaupun sehelai, tetapi ia tetap berharga bagi saya," tutur Fatin. Untuk maklumat lanjut mengenai program itu anda boleh melayari laman Facebook/kempensehelaibajubuatmenyapusiairmata. | |
Samsung Tech Central di Rumah Sayangan Posted: Samsung Tech Central di Rumah SayanganOleh ADLAN JAAFAR SETIAP sukarelawan diberi tunjuk ajar dan latihan yang cukup untuk membantu Samsung mencapai sasaran dalam program khidmat baktinya. SAMA seperti kanak-kanak lain yang teruja apabila diberikan gajet canggih seperti telefon pintar atau tablet, kanak-kanak penghuni Rumah Sayangan di Taman Billion, Cheras dekat Kuala Lumpur juga begitu. Salah seorang penghuninya, Esther Wong, 12, berkata, dia amat teruja ketika tempat perlindungannya itu mendapat bantuan daripada Samsung dalam bentuk pemberian peralatan terkini. Samsung baru-baru ini melancarkan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) di rumah kebajikan tersebut. Bukan setakat Esther, yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah pada tahun ini, berasa gembira dengan pemberian itu. Pengurus rumah itu, Susan Looi berkata, semua kanak-kanak yang berada di situ turut ghairah mencuba kelengkapan baharu tersebut. "Perasaan itu terserlah pada hari gajet-gajet itu tiba di Rumah Sayangan. Mereka percaya ia boleh mengubah masa hadapan mereka nanti. "Menggunakan peranti-peranti terkini, penghuni boleh mendapat lebih banyak pengalaman berbanding cara belajar sebelum ini," kata Susan. Turut hadir pada majlis penyerahan gajet itu baru-baru ini ialah Pengarah CyberCare, Cheong Yuk Wai, Pengarah Urusan Samsung Malaysia, Kwon Jae Hoon dan Pengarah Pemasaran Samsung, Wong Fatt Weng. Bertemakan Harapan Samsung Untuk Kanak-Kanak, premis yang digunakan sebagai tempat belajar para penghuni rumah tersebut telah diubah suai menjadi sebuah pusat yang kondusif dan menarik. Memakan masa lebih kurang enam bulan, projek pendedahan kepada teknologi itu diberi nama Samsung Tech Central. Sebanyak 50 buah gajet diberikan dan antaranya kamera, televisyen, komputer riba, tablet dan pencetak. Berbanding syarikat-syarikat lain yang hanya memberikan peralatan elektrik dan kemudian meninggalkan mereka tanpa memberi sebarang bantuan atau tunjuk ajar, kempen CSR Samsung itu melakukan sesuatu yang lebih mulia. Mereka turut menyediakan sebuah pasukan sukarelawan seramai 15 orang yang terdiri daripada kakitangan Samsung sendiri. Setiap sukarelawan terlatih itu akan menjaga dan mendidik dua orang penghuni Rumah Sayangan. Mereka akan menghabiskan masa bersama-sama sukarelawan selama empat jam sehari dalam seminggu. Hari Sabtu dipilih untuk interaksi itu berlangsung. DUA orang kanak-kanak Rumah Sayangan termasuk Esther (dua dari kiri) bergambar bersama Jae Hoon (dua dari kanan) dan Fatt Weng. Personaliti Melalui kerjasama dengan Organisasi Belia Cybercare (Cybercare), program CSR Samsung tersebut merangkumi tiga tahap dalam membentuk personaliti dan perkembangan kanak-kanak di rumah perlindungan yang dihuni seramai 19 orang itu. Tahap pertama adalah dengan melengkapkan kanak-kanak tersebut dengan peralatan pembelajaran dan teknologi maklumat. Tahap kedua pula melibatkan penglibatan sukarelawan Samsung iaitu dengan memberi pendidikan kepada penghuni mengenai cabaran hidup sebenar. Paling akhir pula adalah mengadakan projek komuniti bagi menggalakkan interaksi para penghuni dengan masyarakat sekeliling. "Pelancaran ini merupakan permulaan pada komitmen kami terhadap kanak-kanak tidak bernasib baik di Malaysia. "Samsung akan mengembangkan usaha ini kepada lebih ramai lagi kanak-kanak di tempat-tempat lain di negara ini," kata Pengurus Kanan Sambung Malaysia Electronics (Samsung), Elaine Soh. Tambahnya, pusat yang sama akan dibuka di beberapa kawasan di Johor dan Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun akan datang. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |