{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Varia

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Varia


Galakan tutur bahasa Jawa

Posted:

Galakan tutur bahasa Jawa

Oleh ADLAN JAAFAR

ASYRAF (berdiri, empat dari kiri) turut sama menyertai acara Guyen Sore walaupun sebahagian besar para tetamu lebih tua daripada generasinya.


ASYRAF FAIQ MOHAMED ASHARI, 15, menyedari bahawa dia seorang remaja berketurunan Jawa. Dia juga sedar bahawa warisan elemen komunitinya itu semakin hilang akibat asimilasi dengan penduduk tempatan.

Asyraf yang boleh menuturkan rangkai kata mudah dalam bahasa Jawa, memberitahu, setiap kali dia pulang ke kampungnya di Teluk Intan, Perak, neneknya pasti berkomunikasi dalam bahasa itu tanpa mempedulikan sama ada dia faham atau tidak.

"Memang susah hendak faham pada peringkat awal tetapi lama-kelamaan ia sudah jadi biasa," katanya ketika ditemui di Riverstone Eco Resort, Ulu Yam, Selangor.

Selain di kampung, kedua-dua ibu bapanya, Hamidah Asararuddin dan Mohamed Ashari Sidik turut menggalakkan ahli keluarga bertutur dalam bahasa Jawa di rumah.

Bagaimanapun, setakat itu sahaja Asyraf dapat mempraktikkan bahasa nenek moyangnya.

Di sekolah, Asyraf terpaksa melupakannya. Bukan takut bakal diejek kerana berbahasa 'asing' tetapi masalah penutur yang sedikit dan rakan-rakan di sekelilingnya tidak dapat memahami apa yang diucapkannya.

Atas inisiatif tidak mahu bahasa leluhur komuniti Jawa di Malaysia hilang biarpun berlaku kacukan budaya, Persatuan Anak Jawa Selangor (AJS) dan Jawa Wilayah Persekutuan (Jawil) mengadakan acara Guyen Sore.

Guyen Sore yang bermaksud acara ramah mesra dan dibuat secara santai umpama majlis minum petang, menjadi tempat untuk rakyat Malaysia berketurunan Jawa berkenalan dan dalam masa yang sama dapat mempraktikkan bahasa itu.

Suara-suara individu bercakap dalam bahasa Jawa kedengaran di segenap ruang makan restoran Riverstone Eco Resort. Warga tua bertanya khabar kepada yang muda, lantas dijawab dalam bahasa Jawa dengan mudah.

Pengacara majlis pula bercakap dan berlawak dalam bahasa itu sambil disambut dengan hilai tawa hadirin menandakan bahasa tersebut masih mampu untuk dipertahankan.

Kasar dan halus

Secara am, Pak Lurah AJS, Zahrul Nizam Mahfuz, 45, berkata, bahasa Jawa terbahagi pada dua jenis iaitu kasar dan halus.

Pak Lurah adalah panggilan bagi masyarakat Jawa bagi ketua sesebuah kumpulan untuk jabatan atau organisasi mereka.

Masyarakat di Pulau Jawa menggunakan bahasa tersebut bagi melambang status iaitu jenis halus ditutur oleh orang muda kepada orang tua. Bahasa Jawa kasar pula lazimnya digunakan dalam kalangan penutur yang sama peringkat usia.

Ramah mesra bagi merapatkan tali persaudaraan menjadi antara matlamat AJS dalam menganjurkan Guyen Sore.


Bagaimanapun, hanya bahasa Jawa daripada jenis kasar digunakan di Malaysia tanpa mengira peringkat umur dan butir pertuturan di Malaysia masih lagi boleh difahami oleh penduduk Pulau Jawa.

Keunikan bahasa Jawa terletak pada perkataan khas yang apabila diterjemah dalam bahasa Melayu memerlukan paling kurang dua perkataan.

"Sebagai contoh, gelugu membawa maksud batang kelapa manakala pelarak bermakna pelepah kelapa," ujar Zahrul Nizam.

Pada majlis yang berlangsung pada petang bulan lalu itu, seramai 120 orang ahli berdaftar hadir. Setiap ahli membawa ahli bersekutu seperti isteri dan anak-anak menjadikan para hadirin yang datang lebih kurang 250 orang.

"Mereka terdiri daripada anak-anak Jawa seluruh Semenanjung Malaysia yang berdaftar dengan kumpulan anak Jawa di negeri masing-masing," kata Mohamed Ashari.

Antara kumpulan yang hadir ialah Wayang Orang Kabupaten Johor, Anak Jawa Perak, Anak Jawa Melaka dan Anak Jawa Johor selain ahli-ahli berdaftar dengan pihak pengajur iaitu AJS serta Jawil.

Makanan yang dihidangkan pada majlis tersebut ialah tawil, nasi ambeng dan sambal goreng selain makanan yang dibawa oleh ahli yang hadir.

Sebuah album bertajuk Guyupan yang memuatkan empat lagu yang tiga daripadanya dalam bahasa Jawa turut dilancarkan.

Jangan takutkan anak dengan hantu

Posted:

Jangan takutkan anak dengan hantu

PERBUATAN menakutkan anak dengan cerita hantu untuk membuatkan mereka berhenti menangis atau mengawal tingkah laku bukanlah satu tindakan yang wajar dalam mendidik si kecil.


HANTU dan puaka merupakan sebahagian daripada watak-watak yang selalu hadir di sekeliling kita. Ia diceritakan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Ini menjadikan seolah-olah hantu dan puaka itu seolah-olah selalu mengekori manusia.

Sungguhpun watak hantu telah ditafsirkan dengan pelbagai cara dan diceritakan daripada satu individu kepada individu yang lain, namun sangat jarang yang pernah melihatnya sendiri.

Banyak daripada watak hantu yang seram dan mengerikan itu bersumberkan daripada cerita orang lain.

Bagaimanapun, kerana ia menjadi cerita yang dipercayai, watak hantu telah menjadi sebahagian daripada perbualan masyarakat.

Disebabkan cerita hantu mampu menarik minat, mutakhir ini lambakan filem seram telah menguasai industri perfileman kita.

Walaupun filem hanyalah sekadar sebuah medium untuk berhibur, ia boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak.

Anak-anak percaya bahawa hantu atau watak seram itu benar-benar wujud di sekeliling mereka.

Dalam masyarakat Melayu khususnya, hantu telah menjadi sebahagian daripada simbol yang digunakan untuk menakutkan anak-anak yang sering menangis pada tengah malam atau mengawal kenakalan mereka.

Adakah itu cara yang betul dalam mendidik anak-anak? Hakikatnya, mendidik anak untuk takutkan hantu telah menanam konsep baharu ke dalam diri mereka. Ia telah membuatkan mereka percaya bahawa hantu itu sememangnya watak yang menakutkan dan boleh menyebabkan manusia ditimpa musibah.

Menanam kepercayaan awal

Malang sekali, kerana konsep hantu tersebut tidak dapat dibuktikan, ketakutan anak-anak itu terbawa-bawa sehingga mereka dewasa.

Mereka akan takut melalui kawasan kubur kerana kononnya ia menjadi tempat tinggal hantu atau enggan berada di tempat gelap walaupun di dalam bilik kerana kononnya ada hantu.

Sebenarnya, mendidik anak dengan konsep hantu terutamanya ketika anak-anak masih kecil hanya menjadikan mereka manusia yang penakut kepada sesuatu yang diragui kewujudannya.

Walaupun ia mungkin bukanlah pendekatan yang sesuai, tetapi menakutkan anak-anak dengan perkara yang boleh dibuktikan mungkin lebih baik daripada menakutkan mereka dengan cerita hantu.


MEMBIARKAN anak-anak menonton filem hantu di kaca TV sendirian boleh memberikan impak buruk kepada psikologi mereka.


Misalnya, kalau anak menangis, kita menakutkan mereka dengan harimau atau gajah. Apabila mereka dewasa, mereka akan tahu bahawa harimau atau gajah hanya berada di hutan atau setidak-tidaknya di zoo.

Sebaliknya, kalau kita menakutkan mereka dengan hantu dan ia tidak boleh dibuktikan, mereka akan menggambarkan hantu itu akan berada di mana-mana sahaja.

Hantu boleh berada di dalam bilik air atau pada malam hari. Hantu juga boleh muncul ketika kita tinggal berseorangan.

Sehubungan itu, ibu bapa harus berhati-hati apabila mendidik anak-anak mereka. Jangan mengambil jalan singkat untuk menghentikan anak-anak menangis, sedangkan perbuatan seumpama itu hanya merosakkan keyakinan diri mereka pada masa hadapan.

Apa yang terjadi, biasanya mereka yang menceritakan ternampak hantu itu adalah mereka yang takut kepada makhluk tersebut.

Adakalanya, hantu yang diceritakan itu bukanlah hantu yang sebenarnya, sebaliknya hanyalah imej lain yang pada sangkaan mereka ialah hantu.

Konsepsi mengenai hantu telah menyebabkan wujudnya nujuman penyempurnaan kendiri dalam diri seseorang.

Kita meramal dahulu dan membenarkan kemudian. Apabila ada plastik putih yang terbang pada waktu malam, mereka yang sudah sedia menanam kepercayaan konsep hantu ini segera membuat kesimpulan bahawa itu ialah hantu.

Sesekali, apabila terdengar ada bunyi asing pada tengah malam, mereka menyatakan bahawa mereka sedang diusik hantu.

Kepercayaan awal itulah yang menyebabkan kesimpulan mengenai hantu itu dibuat tanpa berfikir panjang.

Walaupun dalam Islam kita memang disuruh mempercayai kewujudan jin dan syaitan, tetapi tentulah ia bukan seperti yang digambarkan dalam cerita masyarakat kita.

Kepercayaan dan ketakutan yang keterlaluan masyarakat kita terhadap hantu telah mencetuskan watak hantu dengan pelbagai nama dan sifatnya.

Hakikatnya, daripada banyak cerita seram yang kita dengar itu jarang ada antara kita yang pernah menyaksikannya sendiri.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat