Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Dihsar Lubda Haqifa mahu bebas menulis Posted: Dihsar Lubda Haqifa mahu bebas menulisOleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
SEJAK berada di tingkatan tiga, Afiqah Abdul Rashid, 23, mula berjinak-jinak menghasilkan cerita-cerita pendek kategori komedi dan ngeri untuk mengisi masa lapangnya. Pada masa yang sama, beliau juga banyak membaca puluhan novel bersiri antarabangsa hasil karya penulis dari Amerika, R.L. Stine iaitu Goosebumps. Kecintaannya terhadap bidang penulisan semakin mekar apabila Afiqah melanjutkan pelajaran dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka pada tahun 2006. Menurutnya, bidang yang diceburi ketika berada di menara gading itu turut menuntut beliau untuk lebih kreatif dalam bidang penulisan. "Ketika itu saya telah menghasilkan puluhan cerita pendek dalam bahasa Inggeris. "Saya juga mula mencuba untuk menulis cerita-cerita cinta setelah membaca novel Sweet Valley hasil karya Francine Pascal," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Mengikuti arus perkembangan teknologi, Afiqah turut menulis beberapa cerita pendek dan novel di laman blog miliknya tanpa mendedahkan nama beliau. Hasil karyanya itu turut mendapat perhatian penggemar-penggemar cerita pendek dan novel dalam negara. Segala-galanya berubah setelah beliau menjalani latihan industri di sebuah syarikat penerbitan buku, Jemari Seni Sdn. Bhd. sebagai pereka grafik pada semester terakhir peringkat sarjana muda pada penghujung tahun 2010. Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Penerbitan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Shah Alam itu, ketika menjalani latihan industri di syarikat tersebut, beliau telah diberi peluang untuk menerbitkan novelnya sendiri. Tanpa berfikir panjang, Afiqah terus menerima tawaran tersebut dan beranggapan ia merupakan rezeki untuk mengembangkan bakatnya sejak kecil. "Pada masa itu, saya telah menghasilkan sebuah novel kanak-kanak. Namun, masih belum ada tajuk. Pada saat-saat akhir novel tersebut mahu dicetak, barulah saya memberi tajuk Alahai Jijah," jelas anak kelahiran Kuantan, Pahang itu. Setelah setahun menceburi bidang penulisan secara profesional, Afiqah kini sudah mempunyai tiga naskhah novel kanak-kanak iaitu Alahai Jijah, Beruno dan Kerana Basikal Biru. Imaginasi Menurut Afiqah, setiap novelnya itu mempunyai kekuatan yang tersendiri dengan jalan cerita yang berbeza-beza. "Alahai Jijah mengisahkan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun yang sering didera oleh ibu dan kakak tirinya. Beruno pula berkisar tentang imaginasi keadaan sebuah kampung yang menjalankan kegiatan makan orang atau kanibal, manakala karya terbaharu saya yang bertajuk, Kerana Basikal Biru pula menceritakan kisah misteri anak patung beruang putih yang tiba-tiba boleh berkata-kata dan ketawa. "Setiap karya saya mempunyai persamaan dengan kehidupan dan imaginasi yang sering bermain-main dalam fikiran saya sendiri," jelasnya. Ketika ditanya mengenai penggunaan namanya, Afiqah Abdul Rashid yang diterbalikkan menjadi Dihsar Lubda Haqifa sebagai nama pena, beliau memberitahu penggunaan nama tersebut merupakan satu identiti yang dicipta berbeza dengan dirinya. "Saya sering rasa takut apabila dikritik. Saya seorang yang mudah tertekan sekiranya orang lain mengkritik hasil karya saya dan perasaan tersebut juga boleh menyebabkan saya berhenti menulis. "Dengan adanya identiti Dihsar Lubda Haqifa, secara tidak langsung perhatian hanya tertumpu kepada identiti tersebut dan saya juga tidak akan merasa kecewa sekiranya dikritik atau gembira kerana menerima pujian. "Saya hanya mahu menjadi penulis yang bebas menghasilkan karya-karya terbaik untuk bacaan kanak-kanak mahupun golongan dewasa," kata pereka grafik sepenuh masa di syarikat penerbitan dan pengedaran JS Adiwarna Sdn. Bhd. di Bandar Baru Bangi, Selangor itu. | ||
Posted: Festival budaya MADFestPELBAGAI seni tarian dan muzik disatukan dalam MADFest menjadikan ia sebuah festival yang pasti meriah. KECINTAAN yang tinggi terhadap budaya tradisi, sekumpulan belia menganjurkan satu festival muzik dan tarian yang dikenali sebagai MADFest. Festival itu merupakan salah satu cara mendekatkan orang ramai dengan kebudayaan tempatan dan luar negara secara percuma. Festival yang diadakan di Auditorium Sivik, Petaling Jaya, Selangor itu akan menjemput beberapa kumpulan kebudayaan untuk mempersembahkan persembahan mereka kepada para tetamu yang terdiri daripada anak-anak yatim dari beberapa buah rumah kebajikan di sekitar Petaling Jaya. "Festival ini diadakan rentetan daripada kejayaan MADFest pada tahun 2010. Kami menerima permintaan untuk mengulangi festival ini kerana ia bukan sekadar acara hiburan, tetapi memberi peluang kepada pengunjung mengenali seni daripada latar berbeza," kata pengarah projek MADFest, Kihraan Shiva, 21. MADFest yang dijadualkan diadakan pada 30 Jun ini bermula pada pukul 5 petang hingga 8 malam. Acara itu menyenaraikan aktiviti seni tari dan muzik seperti Okestra The Regal mewakili budaya Cina, Nadi Tradisi (Melayu), Mehr (Parsi) dan Apna Punjab Bhangra Malaysia (Punjabi).
Pada masa yang sama, tarian Orang Asli kaum Mah Meri, AUCapoeira (Brazil), tarian Bharathanatyam (India) dan Qawwali oleh Persatuan Penganut Viswa Nirmala Dharma Malaysia. "Kami masih membuka peluang jika ada badan kebudayaan atau tarian dan muzik yang mahu mengembil peluang dalam MADFest," kata Kihraan. Pihaknya amat mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk memenuhi auditorium yang boleh memuatkan 800 orang pengunjung itu pada satu-satu masa. "Kami berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong festival ini termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Yayasan Vijayaratnam, Persatuan Pure Life dan Nur Damai melalui pelbagai sumbangan," kata Kihraan. Untuk maklumat lanjut mengenai festival itu, sila hubungi pihak jawatankuasa MADFest melalui e-mel madfest2012@gmail.com atau laman sosial MADFest di Facebook atau hubungi talian 016-2057 226 (Sanjeavan). – NIZHA PERIASWAMY |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |