Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Rumah Terbuka Malaysia Krismas eratkan perpaduan Posted: Rumah Terbuka Malaysia Krismas eratkan perpaduanOleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA
CUACA mendung di sekitar kawasan Dataran Merdeka tidak menjadi halangan bagi warga kota untuk sama-sama meraikan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2012 dan sekali gus meraikan Perayaan Tahun Baharu 2013 yang dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan baru-baru ini. Sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2012 yang bermula seawal 4 petang itu dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum dari pelbagai latar belakang agama. Para pengunjung yang hadir pada petang itu dijamu dengan pelbagai jenis hidangan dari menu popular tempatan antaranya nasi ayam dan juga kek cawan comel pelbagai warna dan perisa. Sambil menjamu selera dan beramah mesra, para pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan daripada artis-artis terkemuka tanah air termasuklah Datuk David Arumugam dan Faizal Tahir. Suasana ceria di Dataran Merdeka bertukar gamat apabila ketibaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim dengan penuh simbolik. Ketika berjalan menuju ke pentas utama, Muhyiddin diiringi kereta kuda yang dihias mengikut tema perayaan Krismas, lengkap dengan seorang penunggang yang berpakaian Santa Claus. Membina negara Muhyiddin dalam ucapan perasmiannya berkata, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan semua rakyat untuk berfikir dan bergerak sebagai satu bangsa untuk membina sebuah negara yang aman, maju dan makmur serta mampu bersaing di persada dunia. "Tanpa mengira apa jua latar belakang kaum dan anutan agama, kita sebenarnya berkongsi masa depan bersama di negara yang kita cintai ini. "Justeru, marilah kita berganding bahu dan berpadu tenaga mencipta masa depan yang lebih gemilang buat negara kita dengan mengekalkan keamanan dan keharmonian yang berteraskan toleransi dan penerimaan antara masyarakat berbilang kaum dan agama," katanya. Dalam pada itu, beliau menambah, jika semua rakyat di Malaysia berkongsi prinsip yang sama tidak mengira agama ataupun bangsa, sebarang cubaan untuk mewujudkan prasangka negatif dalam kalangan masyarakat berlainan pegangan agama dapat dielakkan. Katanya lagi, dengan penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Krismas tersebut, hubungan baik antara masyarakat di negara ini dapat dieratkan sekali gus memupuk semangat cintakan negara. "Mudah-mudahan dengan sambutan rumah terbuka seperti ini, kita akan dapat menyimpul erat jalinan ikatan perpaduan yang terbina dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita yang tercinta ini agar kita dapat memacu kejayaan ke arah negara membangun pada tahun 2020," katanya. Pada petang itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Rumah Good Hope, Gereja Lutheran, Persatuan Penggerak Seni Budaya Kuala Lumpur, Persatuan Peminat Opera Cina dan Muzikal Cina Kuala Lumpur serta Kelab Silamban Juara Kuala Lumpur. Pada sebelah malamnya pula, suasana ceria di dataran bersejarah itu ditambah dengan sorakan dan kemeriahan pertunjukan bunga api selepas Muhyiddin dan isterinya mengira detik ke pukul 12 malam bersama-sama dengan para pengunjung. | |
Suasana kolonial di Coliseum Cafe Posted: Suasana kolonial di Coliseum CafeMAKANAN laut seperti udang (kiri) dan ketam turut berada dalam senarai menu Coliseum Cafe. MELANGKAH kaki ke dalam ruang Coliseum Cafe and Grill Room (Coliseum Cafe), serta-merta mood pengunjung seperti berada pada tahun 60-an. Perhiasan terdiri daripada gambar dan kemasan lantai masih lagi terpelihara sejak ia dibuka pada tahun 1921. Tiada muzik latar menyambut kedatangan para pelanggan pada waktu makan tengah hari, cuma bunyi kipas lama kedengaran berkeriuk. Namun, ia menambahkan lagi suasana kolonial di Coliseum Cafe. "Amat susah untuk menjaga sebuah restoran lama supaya ia terpelihara. Lantai sahaja perlu dilap sebanyak tiga kali sehari," kata pengurus operasinya, Kenneth Abdullah ketika ditemui di restoran yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Bukan sahaja suasana, menu hidangan sebanyak 75 jenis tidak pernah berubah sejak dahulu lagi, manakala tukang masak sekarang sudah berkhidmat lebih 60 tahun. Terkenal dengan gaya masakan cantuman Hailam dan kolonial Barat. Tidak mungkin orang ramai dapat menikmati hidangan yang terdapat di Coliseum Cafe di tempat-tempat lain sama ada di Pulau Hainan, China atau Eropah. Hidangan yang menjadi identiti Coliseum Cafe ialah stik sizzling yang didatangkan sama ada dengan kuah lada hitam, cendawan atau sos coklat dan bawang putih. Harga stik sizzling antara RM35.90 hingga RM63.90 bergantung pada jenis daging yang dipilih. Terdapat juga stik yang dimasak dengan gaya biasa. Cara terbaik untuk menikmati stik adalah dalam keadaan dimasak pada tahap medium kerana ia masih lagi memiliki jus dan rasa stik daging. "Kepada mereka yang tidak suka aliran jus itu, lebih baik mencuba stik yang dimasak pada tahap medium well. Apabila dimasak pada tahap tersebut, masih lagi terdapat satu garisan merah pada keratan rentas daging tetapi tiada lelehan jus," terang Kenneth. Tip nikmati stik Lelaki yang telah berkhidmat dalam bidang makanan selama 26 tahun itu turut memberi tip cara untuk mengenali kekerasan daging yang dimasak pada tahap tertentu. Caranya adalah dengan menekan jari telunjuk pada tapak tangan. Kekerasan dirasai itu menyamai stik yang dimasak secara medium. Pemilihan bahagian daging untuk menikmati stik bergantung sama ada mahu yang tiada lemak langsung atau sedikit berlemak. Jika tidak mahu lemak, pilih daging filler meat (daging pengisi), seperti daging batang pinang, semua lemak dibuang. Bagi yang gemar sedikit berlemak, bahagian tulang T (T-bone) merupakan pilihan yang tepat. Pencuci mulut yang terdapat di Coliseum cafe juga sangat menarik seperti puding kastard karamel, pisang goreng dengan krim dan popia pisang bersama coklat dengan aiskrim vanila. Pisang goreng dengan krim memiliki lapisan rangup nipis bahagian luar, manakala bahagian dalam pisang sangat lembut dan halus. Ia diselaputi madu bagi memperkaya rasa yang terdapat pada pisang tersebut. Puding kastard karamel di Coliseum Cafe pula tidak terlalu manis kerana dimasak sedikit hangus. Selepas menikmati pencuci mulut, secawan kopi Hainan yang dibancuh secara tradisional cukup untuk menutup majlis makan tengah hari. "Rasa pahit dan sedikit keras yang berkekalan dalam mulut selepas menghirupnya memberi perasaan yang tenang kepada peminum," ujar Kenneth sambil meletakkan cawan kopinya ke atas meja. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |