Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
| Posted: Generasi kelima tumbuk kalang
IRAMA muzik asli seperti gamelan dan caklempong memang sudah tidak asing dan sering diperdengarkan dalam majlis keramaian, namun bagaimana pula dengan irama tumbuk kalang, pernahkah anda mendengar iramanya? Mungkin ramai yang tidak dapat membayangkan bunyinya, namun bagi mereka yang pernah mendengarnya, ia boleh dianggap sesuatu yang menghibur dan menyeronokkan. Dikategorikan sebagai permainan rakyat di Negeri Sembilan, tumbuk kalang menghasilkan irama bunyi yang lunak hanya dengan menumbuk perlahan beberapa batang antan ke sebuah lesung kayu mengikut tempo tertentu. Terkenal khususnya di Tampin, Inas, Seri Menanti, Gunung Pasir dan Rembau, tumbuk kalang dimainkan oleh masyarakat pesawah pada zaman dahulu ketika mengemping padi terutama pada waktu malam bulan mengambang dan lagunya dinyanyikan oleh anak muda. Ketua kumpulan tumbuk kalang Sinaran Kalang di Kampung Gedok, Gemencheh, Bahari Silong, 66, berkata, setelah penat menuai dan membanting padi pada siang hari, masyarakat kampung lazimnya berkumpul pada sebelah malam untuk mengemping padi. Sambil-sambil itu mereka menikmati irama tumbuk kalang. Menurut Bahari, lesung dan antan untuk permainan tumbuk kalang itu diperbuat daripada kayu merbau atau halban kerana kayunya keras dan menghasilkan bunyi yang lantang. Setiap tumbukan di bahagian lesung akan menghasilkan bunyi yang berlainan. Tumbukan di hujung kiri lesung dinamakan mencincang, dengan menghasilkan bunyi tetap dan satu-satu. Sementara itu, tumbukan di hujung kanan yang tidak tetap dipanggil menganak atau meningkah. Tumbukan di sebelah tepi kiri atau kanan badan lesung pula dipanggil mengibu iaitu merujuk kepada tumbukan yang paling penting kerana ia menentukan lagu-lagu yang dimainkan. Akhir sekali ialah tumbukan di lubang lesung atau tepi lubang lesung yang dipanggil keriket untuk mengindahkan irama lagu. Kumpulan generasi kelima "Bunyi tumbuk kalang ini kuat. Kalau dibunyikan di sini, orang boleh mendengarnya dari jarak satu batu. Jadi, bila orang dengar bunyi tumbuk kalang ini mereka akan datang beramai-ramai dan di samping itu mereka boleh membantu mengemping dan kemudiannya makan emping. "Biasanya mereka akan berpantun dan mendendangkan lagu-lagu yang biasa dinyanyikan seperti lagu Tumbuk Emping, Kuda Berontak, Patah Lambung, Tebing Gurut, Petang-Petang, Kanding Putu dan Tupai Menegur. Tidak ketinggalan ialah lagu Siamang Tergegau, Gogar Bacang, Timang Kak Janda, Kang Kang kap dan Kambing Berlaga," jelas Bahari. Sebelum alunan tumbuk kalang ini dimainkan, terlebih dulu anak muda di kampung akan mempersembahkan kehebatan berpantun masing-masing. Bahari memberitahu, kumpulan tumbuk kalang Kampung Gedok telah lama wujud iaitu sejak 1958 lagi dan anggota kumpulan sekarang ini merupakan generasi kelima yang meneruskan warisan permainan rakyat itu. "Saya ikut arwah ayah main tumbuk kalang sejak berumur 12 tahun dan saya adalah generasi kedua tumbuk kalang. "Oleh kerana minat yang mendalam, saya telah menubuhkan kumpulan tumbuk kalang di Kampung Gedok ini pada tahun 1974," kata Bahari. Undangan serata tempat "Kumpulan Sinaran Kalang terdiri daripada 18 remaja berumur antara 11 dan 16 tahun. Kami mengadakan persembahan pada majlis keramaian dan perkahwinan, dan sambutan amat menggalakkan. "Kami turut mendapat undangan menyertai persembahan seperti di Citrawarna, Malaysia Fest, Pesta Port Dickson, Pesta Kelantan dan Melaka. "Selain kumpulan Sinaran Kalang, kami juga mempunyai satu lagi kumpulan tumbuk kalang untuk orang dewasa di Gemencheh yang bernaung di bawah Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Dewan Undangan Negeri Gemencheh dengan dianggotai 15 ahli," katanya. Adalah menjadi harapan beliau agar permainan tumbuk kalang dapat dikembang dan diketengahkan demi memartabatkan khazanah warisan bangsa. - Bernama | |
| Posted: Kaviti sifat bersama Faizal
SUNGGUHPUN jadualnya padat dan bergelut dengan masa bekerja yang tidak menentu, penyanyi, Faizal Tahir tetap tidak mengabaikan soal penjagaan gigi yang dikira amat penting dalam kerjayanya sebagai seorang penghibur. Baginya, senyuman yang manis dan menarik pastinya menjadi aset penting ketika melakukan sesi penggambaran mahupun sesi bergambar bersama peminat kerana ia merupakan 'kekuatan' dalam sesebuah gambar. Meskipun sibuk dengan kerja, selebriti sokongan bagi Kempen Bulan Kesihatan Mulut 2012 itu tetap tidak melupakan keluarga dan anak-anak yang berada di rumah. Sebagai seorang ayah, tanggungjawab mendidik anak-anak dalam menerapkan penjagaan gigi yang betul datang secara semula jadi. "Walaupun saya selalu pulang lewat malam, namun bila ada kesempatan, saya pasti akan memeriksa gigi anak-anak saya sebelum mereka masuk tidur. "Semua kanak-kanak termasuklah anak-anak saya sukakan makanan yang manis. Namun, saya tidak menghalang mereka menikmati makanan tersebut, cuma saya tegaskan bahawa pengambilan makanan-makanan tersebut secara kerap tidak bagus untuk gigi," katanya yang menggunakan pendekatan yang lembut dalam soal mengajar anak-anak tentang penjagaan gigi. Faizal memberitahu, sempena kempen Bulan Kesihatan Mulut tahun ini yang bertemakan Misi Kami: Kaviti Sifar, anak-anaknya mendapat pendedahan yang lebih menyeluruh tentang teknik-teknik penjagaan gigi yang betul. Matlamat kesihatan mulut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Start Early, Healthy Mouth for a Healthier Life (Mulakan Awal, Mulut Sihat Demi Hidup Lebih Sihat) turut selari dengan tema kempen yang telahpun memasuki tahun kesembilan ini. "Melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter, saya cuba menyebarkan kepada orang ramai tentang peluang mereka untuk mendapatkan pemeriksaan gigi secara percuma melalui klinik-klinik di bawah naungan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia. "Saya sedar betapa pentingnya pemeriksaan gigi dalam memastikan mulut saya dalam keadaan yang baik. Sukar untuk saya mencuri masa untuk berjumpa dengan doktor gigi kerana jadual yang ketat dan kerana itulah saya berada di sini. Bukan sekadar memberi peringatan kepada orang ramai, malah buat diri sendiri," ujarnya. Faizal turut menyuarakan sokongan mengenai usaha Colgate yang bekerjasama dengan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dan Bahagian Kesihatan Mulut Kementerian Kesihatan. Ia bertujuan memberi penekanan terhadap pendidikan seawal mungkin bagi penjagaan kesihatan gigi yang tepat dan amalan teknik-teknik penjagaan gigi yang betul. "Inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh Colgate dan MDA menunjukkan bahawa mereka berusaha keras untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kesihatan gigi," katanya. | |
| Posted: Manusia gemar bias balik diri![]() ADA segelintir manusia tidak mahu berkawan dengan orang asing kerana menjangkakan bahawa mereka tidak mahu berkawan dengan kita. - Gambar hiasan SETIAP daripada kita tahu bahawa agama melarang kita mengumpat atau memperkatakan hal buruk orang lain. Bagaimanapun, menceritakan keburukan orang lain selalu sahaja terjadi dalam kehidupan manusia. Kita cenderung untuk membincangkan keburukan pihak lain. Sebaliknya, jarang sangat manusia membincangkan keburukan diri sendiri. Dalam psikologi, hal ini dikenali sebagai bias balik diri (self-serving bias). Semua ini merupakan lumrah bagi sesiapa sahaja. Apabila kita dipuji majikan atau dinaikkan pangkat kerana prestasi yang baik, kita percaya bahawa penilaian yang dibuat majikan itu betul. Sebaliknya, kalau kita dinilai buruk, kita percaya bahawa majikan melakukan hal yang silap. Ahli sukan seperti pemain bola sepak terkenal dunia pun ada kecenderungan bias balik diri. Apabila mereka menjaringkan gol walaupun dalam keadaan ofsaid, tetapi dipersetujui oleh pengadil, mereka yakin bahawa pengadil membuat keputusan yang betul. Mereka seolah-olah percaya bahawa apa yang dilakukannya itu memang betul, apatah lagi apabila pengadil telah mengesahkannya. Begitu juga dengan pelajar. Apabila mereka lulus cemerlang, mereka tidak merasa sebarang cacat celanya dengan soalan peperiksaan. Mereka cenderung menerima keputusan itu. Sebaliknya, jika gagal mereka akan mengkritik pihak lain, misalnya guru yang tidak mengajar dengan baik. Ada juga yang menyatakan bahawa soalan peperiksaan yang diberikan terlalu susah. Banyak kajian dilakukan bagi melihat fenomena itu. Contoh kajian global 1. Majoriti usahawan merasakan mereka melakukan urusniaga mengikut etika yang betul, walaupun kenyataannya mungkin tidak begitu. 2. Di Australia, 86 peratus pekerja menilai prestasi mereka lebih baik daripada kebanyakan orang. Hanya 1 peratus sahaja menilai diri di bawah paras purata. 3. Di Belanda, kebanyakan pelajar sekolah tinggi menilai diri mereka sebagai lebih jujur, amanah, mesra dan boleh dipercayai berbanding purata pelajar lain. 4. Kebanyakan pemandu, bahkan mereka yang sedang berada di hospital kerana kemalangan jalan raya merasakan diri mereka lebih cekap dan selamat berbanding rata-rata pemandu lain. 5. Ramai orang percaya bahawa diri mereka lebih cerdik, kurang prejudis dan merasakan diri mereka lebih menarik berbanding ahli masyarakat lain. Perasaan dan ilusi Hakikatnya, ia hanya ilusi atau sebuah perasaan semata-mata. Semua ilusi ini sedang kita alami setiap hari lalu menjadikan manusia cenderung mencari kesalahan orang lain, berbanding mencermin diri sendiri. Kajian juga mendapati manusia tidak adil dalam menilai diri sendiri. Manusia cenderung menilai diri sendiri sebagai berubah-ubah mengikut keadaan, sebaliknya menilai orang lain sebagai bersifat kekal dalam sebarang keadaan sekalipun. Misalnya, apabila melihat salah laku atau kesilapan orang lain, manusia cenderung menyatakan bahawa orang tersebut mempunyai sifat negatif tadi dan ia wujud secara berkekalan. Sebaliknya, apabila diminta menilai diri sendiri, manusia akan menyatakan bahawa sifat negatif tersebut hanya wujud dalam keadaan tertentu. Sebagai contoh, sifat pemarah. Kita cenderung menyatakan bahawa kita hanya menjadi pemarah dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan. Semua ini menjadikan, dalam kehidupan sebagai manusia, kita lebih banyak menghabiskan masa dengan membincangkan keburukan pihak lain berbanding mencari kebaikan mereka. Manusia juga sibuk memperkatakan mengenai kehebatan diri sendiri berbanding memperkatakan tentang sifat buruk yang ada. Mengapa hal ini terjadi? Ini diasaskan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah ilusi positif iaitu manusia cenderung untuk mempunyai ilusi positif terhadap diri sendiri. Misalnya, kita tidak akan mati muda, walaupun kita tahu ramai orang lain yang mati muda. Kita juga percaya tidak akan diserang kanser walaupun kita kuat merokok. Bagaimanapun, kalau diminta menilai orang lain yang merokok, kita cenderung berkata mereka akan diserang penyakit. Kita juga cenderung menilai kita sebagai orang baik, walaupun orang lain mungkin menilai kita sebagai sombong. Sebaliknya kita menilai orang lain sebagai sombong, walaupun orang itu menilai diri mereka baik. Faktor kedua ialah penolakan majmuk. Misalnya, manusia cenderung untuk tidak mahu berkawan dengan orang asing (walaupun orang asing itu mahu berkawan dengannya) kerana manusia cenderung untuk menjangkakan bahawa orang asing itu tidak berminat dengan persahabatan. Namun begitu, pada masa yang sama, kita pula berkata bahawa kita ini sebenarnya seorang yang ingin bersahabat, cuma terpaksa tidak memulakannya kerana bimbang hasrat itu ditolak. Sebenarnya itulah yang telah terjadi dalam diri kita sebagai manusia. Sebab itulah, sebagai manusia kita tidak perlu terlalu berbangga dengan diri sendiri dan menghukum orang lain dengan label yang buruk. Hakikat sebenarnya, kita sebagai manusia hanyalah sebuah ilusi yang dimainkan oleh perasaan sendiri. |
| You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |





