Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Bot pelancong jeti Kilim
SUATU ketika dahulu, rata-rata penduduk Kampung Kilim di Langkawi bergantung kepada hasil tangkapan laut sebagai mata pencarian. Pendapatan mereka sebagai nelayan ketika itu cukup untuk menampung keperluan mereka. Atas kesedaran untuk mengubah nasib dan memastikan mereka mendapat kehidupan yang lebih baik, kumpulan nelayan itu telah mengambil inisiatif untuk meneroka bidang perniagaan ekoran kepesatan industri pelancongan di Langkawi. Sejak Ogos 2010, seramai 80 nelayan telah menubuhkan Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad dengan perniagaan pertama mereka menguruskan bot-bot pelancong untuk mengelilingi Kilim Geoforest Park Langkawi dan kawasan sekitarnya. Pengerusi koperasi itu, Ahmad Nizar Hanapiah berkata, usaha mereka ke arah penubuhan koperasi itu sebenarnya bermula sejak tahun 2000. Ia dimulakan dengan Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) menerusi idea Jabatan Perikanan. Di bawah KPSP mereka dipertanggungjawabkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) untuk menguruskan jeti dan mengutip sewa. Pada tahun 2008 mereka menubuhkan sebuah syarikat tetapi Lada telah menasihatkan mereka supaya menubuhkan koperasi untuk memudahkan mereka mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan. Naik taraf hidup "Pada tahun 2010 koperasi ini ditubuhkan dengan 80 anggota yang terdiri daripada nelayan. Kami mula beroperasi pada 1 Januari 2011. Tujuannya untuk menaik taraf kehidupan penduduk tempatan. Apatah lagi Kilim merupakan sebahagian daripada Langkawi Geopark," katanya ketika ditemui di Jeti Kilim, Langkawi baru-baru ini. Ahmad Nizar berkata, pada peringkat awal perkhidmatan bot pelancong dilakukan secara kecil-kecilan bermula dengan hanya tiga buah bot tetapi kini sudah ada 80 bot bagi membawa pelancong melihat kawasan paya bakau termasuk melawat Gua Kelawar, sangkar ikan dan melihat burung helang. "Sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama pada musim cuti sekolah. Kadang-kadang 80 buah bot pun tak cukup. Rekod perjalanan pernah mencecah lebih 300 sehari. Kami tak dapat penuhi semua permintaan," katanya sambil menambah tahun lalu pengunjung ke Kampung Kilim sahaja mencecah sekitar 200,000 orang. Perkhidmatan bot yang ditawarkan untuk tempoh satu hingga empat jam bayarannya ialah antara RM200 hingga RM500 bagi sebuah bot. Apa yang menarik ialah perkhidmatan membawa pelancong ini disediakan sendiri oleh anggota koperasi yang bertindak sebagai pentadbir keseluruhan. "Penubuhan koperasi ini bertujuan membantu anggota menjadi ahli perniagaan," katanya. Sebelum koperasi diwujudkan pendapatan penduduk Kampung Kilim sebagai nelayan tidak menentu iaitu sekitar RM600 hingga RM800 sebulan. Dengan adanya perkhidmatan bot pelancong, mereka boleh menambah pendapatan sebagai jurumudi bot yang mencecah sehingga RM1,800 sebulan. Bagi anggota yang memiliki bot sendiri, mereka boleh mendapat lebih RM2,000, manakala pada musim cuti sehingga RM10,000 sebulan. Selain bot, koperasi turut memperluaskan aktiviti perniagaan dengan mewujudkan rumah-rumah ikan untuk tempat memancing selain mewujudkan restoran terapung yang menyediakan makanan laut segar dan kedai menjual cenderamata yang kesemuanya dikendalikan oleh anggota koperasi. "Kini anggota kami yang terdiri daripada nelayan mampu menjadi pengusaha bot pelancongan dan pemilik restoran. Bahkan, ada yang menjadi agensi pelancongan," katanya. Kewujudan koperasi itu telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampung yang mempunyai kira-kira 1,700 penghuni. "Tidak ada anak kampung ini yang tidak mempunyai pekerjaan. Ramai yang tidak berpelajaran tinggi tetapi dengan menyertai aktiviti bot membawa pelancong membolehkan mereka pandai berbahasa Inggeris. Malah, ada yang pandai berbahasa Arab berikutan pertambahan jumlah pelancong Arab," katanya sambil menambah penduduk kampung yang terlibat dengan pelancongan turut menjalani kursus yang disediakan Kementerian Pelancongan. Menyedari kepesatan industri pelancongan di pulau peranginan itu, koperasi terbabit mahu terlibat lebih aktif dalam industri pelancongan. Bina penginapan "Kami kini dalam proses membeli tanah seluas 0.2 hektar untuk membina tempat penginapan. Dengan cara ini, kami dapat menarik lebih ramai pelancong. Kami juga berharap dapat memiliki sebuah pasar raya sendiri suatu hari nanti," katanya. Ahmad Nizar berkata koperasi itu masih baru, dan kejayaan yang mereka capai ketika ini banyak dibantu oleh jabatan dan agensi kerajaan seperti Lada, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. "Kami sebenarnya masih baru sebab itu kita perlu berhubung dengan SKM. Kami tiada kepakaran dalam kalangan kami dan belum mampu untuk mengambil pakar jadi kami perlukan bantuan daripada pihak berkaitan," katanya. Kejayaan koperasi itu sehingga kini disebabkan oleh kerjasama yang sedia terjalin antara penduduk kampung itu yang sama-sama membantu untuk menaik taraf kehidupan penduduk kampung. "Kami sama-sama bangunkan dan semua anggota beri sokongan. Begitu juga penduduk kampung," katanya. Sementara itu, seorang anggota koperasi itu memberitahu, idea mewujudkan perkhidmatan bot pelancong bermula apabila seorang nelayan kampung terbabit menggunakan botnya untuk membawa pelancong terutama pelancong asing ke kawasan sekitar Kilim. "Selepas menghias botnya untuk kelihatan menarik, Alhamdulillah usahanya membuahkan hasil," kata anggota koperasi tersebut. - Bernama | |
Posted: Tuah derma telefon lamaBERKAT menyimpan dan menderma telefon lama untuk kempen pemuliharaan alam sekitar, tiga pelanggan syarikat telekomunikasi mudah alih terkenal, DiGi Telecommunications (DiGi) diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah. Dalam cabutan bertuah pertandingan Deep Green Handset Recycling Campaign, dua pemenang yang berasal dari Kuala Lumpur, Joan Yap Leng dan Keow Wee King serta Fairuzhab Abdul Rahim dari Johor Bahru membawa pulang hadiah utama berupa sebuah peranti Samsung Tablet 8.9 siap terisi dengan DiGi Prepaid SmartPlan bernilai RM25. Sebagai tambahan, kupon isian semula bernilai RM100 juga turut dihadiahkan kepada mereka. Wee King berkata, dia terkejut dan dalam masa yang sama gembira kerana dipilih sebagai salah seorang pemenang pertandingan tersebut. "Saya berasa sungguh terharu ketika diberitahu bahawa saya ialah salah seorang penerima hadiah utama bagi pertandingan Deep Green Handset Recycling Campaign anjuran DiGi. "Ketika saya menyertai pertandingan ini, saya tidak terfikir langsung mengenai hadiah yang ditawarkan kerana saya hanya ingin menjalankan tanggungjawab saya untuk mengekalkan keindahan semula jadi alam sekitar. Terima kasih DiGi atas hadiah yang hebat ini," ujarnya ceria. Penyertaan bagi pertandingan Deep Green Handset Recycling Campaign yang diadakan dari 1 Ogos hingga 31 Oktober tahun lalu dibuka kepada semua pelanggan DiGi yang menyimpan telefon bimbit lama dan tidak digunakan lagi. Mereka hanya perlu menyerahkan telefon bimbit itu di mana-mana pusat penjualan DiGi atau Kedai Express DiGi di seluruh negara dan membawa pulang hadiah saguhati sebagai tanda sokongan terhadap kempen tersebut. Nama-nama pemenang utama pula dipilih berdasarkan cabutan bertuah yang dilakukan secara rawak. Pertandingan itu adalah salah satu inisiatif daripada pihak DiGi bagi mempromosikan kempen yang diberi nama Deep Green. Ia dilancarkan pada tahun 2008 bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perubahan cuaca dan masalah alam sekitar yang sering melanda dunia. Ketua Komunikasi dan Korporat DiGi, Joachim Rajaram memberitahu, sebagai syarikat telekomunikasi mudah alih di Malaysia, salah satu sebab utama berlakunya masalah perubahan iklim adalah disebabkan aktiviti penggunaan tenaga yang sangat tinggi. "Kami sedang berusaha untuk mengurangkan jejak karbon yang dikeluarkan oleh syarikat kami dengan memantau dan memperbaiki sistem penggunaan tenaga dalam aktiviti harian. "Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk melancarkan kempen seperti ini bagi memberi kesedaran kepada para pengguna mengenai pentingnya cara pengurusan sistem penggunaan tenaga yang betul. Pada masa yang sama, kami berusaha menjaga dan memulihara alam sekitar," katanya. Dalam pada itu, Joachim menambah, pihaknya sentiasa memberikan cara pendekatan yang sesuai bagi memastikan mesej tersebut sampai kepada pengguna. "Tanggungjawab korporat pihak kami adalah selari dengan aspirasi negara bagi memberikan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih berinternet terbaik kepada para pelanggan," katanya lagi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |