Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Promosi Festival Hantu LaparOleh ZAKI SALLEH
DENGAN status destinasi pelancongan yang popular, Pulau Pinang tidak pernah ketandusan daya tarikannya malah negeri tersebut kerap meneroka segmen pelancongan baharu. Kepelbagaian budaya dan warisan etnik yang masih diamalkan di Pulau Pinang sememangnya berpotensi untuk diketengahkan, seterusnya dikomersialkan dalam pakej pelancongan. Justeru, Tourism Malaysia mengenal pasti tiga tarikan baharu bagi melonjakkan lagi tarikan pelancongan sedia ada di destinasi dengan jolokan nama Pulau Mutiara itu. Tarikan tersebut adalah Festival Hantu Lapar, berbasikal dalam bandar dan musim durian. Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab berkata, ketiga-tiga program tersebut bukan sahaja mempunyai nilai komersial yang tinggi, malah mempunyai keistimewaan tersendiri. Menurut beliau, pendekatan pihaknya ketika ini adalah meneroka segmen pelancongan kreatif dan inovatif di Pulau Pinang yang selama ini dikenali sebagai pusat makanan, beli-belah dan pelancongan warisan. "Festival Hantu Lapar yang disambut masyarakat Cina di sini sepanjang bulan Ogos hingga September cukup meriah dan keunikannya berpotensi menarik pelancong dari luar serta boleh dipelbagaikan. "Persembahan opera Cina, permainan patung tradisi serta upacara sembahyang yang diadakan sepanjang bulan itu adalah nilai kebudayaan yang mampu menarik kunjungan pelancong," ujarnya. Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Majlis Taklimat Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) kepada pengusaha dan pengendali pelancongan di Pulau Pinang di sebuah hotel di sini baru-baru ini. Pulau Pinang menjadi destinasi pertama sesi penerangan oleh Tourism Malaysia itu selepas pelancaran TMM 2014 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Putrajaya pada 19 Januari lalu. Tourism Malaysia Pulau Pinang juga cuba menjadikan negeri itu sebagai hab durian (kepada pelancong) dan percubaan kali pertama tahun lalu berjaya menarik 700 pelancong Taiwan dan Hong Kong. BANYAK lokasi menarik di Pulau Pinang boleh diterokai bersama keluarga dan teman-teman. - Gambar hiasan Sasaran tahun ini untuk menarik kira-kira 1,000 pelancong menerusi kerjasama dengan syarikat penerbangan Cathay Pacific terutamanya dalam kalangan penggemar durian Musang King dari negara tersebut. Tarikan eksotik "Walaupun semua negeri ada durian terbaik masing-masing, tetapi kelainan di Pulau Pinang ialah tarikan eksotiknya selain kebanyakan kebun-kebun duriannya terletak tidak jauh dari bandar. "George Town yang merupakan bandar terbesar didiami masyarakat Cina di luar Tanah Besar China juga memberi kelebihan untuk menarik pelancong dari Hong Kong, Taiwan dan China ke sini," jelasnya. Bercakap lebih lanjut, Mirza memberitahu, segmen berbasikal dalam bandar pula menepati dengan kehendak semasa sama ada pelancong luar ataupun domestik yang menjadikan aktiviti berbasikal sebagai gaya hidup baharu. Katanya, pengiktirafan George Town sebagai bandar warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) menawarkan kelebihan bagi segmen tersebut. "Tourism Malaysia akan menganjurkan program Jelajah Berbasikal Pulau Pinang di Balik Pulau pada April nanti serta Berbasikal Menyusuri Tapak Warisan Dunia George Town. "Buat pertama kali juga, kita akan anjurkan Bicycle Heritage Hunt iaitu program mencari harta karun dengan para pesertanya mesti berbasikal. Ia adalah program yang pertama seumpamanya di negara ini," ujarnya. | |
Posted: Beriani asli katering SKDPABDULLAH (kiri) dan Mohamad Saiful menunjukkan nasi beriani asli daripada dapur Selera Kampung Daun Pisang. PERNIAGAAN katering bukan terjadi dalam masa sehari, ia memerlukan masa yang lama daripada menu yang sudah pasti sedap dan menepati kehendak semua lapisan masyarakat sehinggalah layanan terbaik untuk pelanggan. Semua itu telah ditempuhi oleh Abdullah Mail, 57, yang berasal dari Sungai Besar, Selangor. Pengalamannya bermula dengan perniagaan kecil-kecilan menjual soto, laksa dan lontong di sebuah gerai. Selain tiga jenis hidangan tersebut, nasi lemak yang dimasak oleh isterinya juga menjadi makanan yang begitu terkenal pada waktu itu. "Kami perlu menanak nasi lebih kurang 16 gantang dalam sehari dan pasti kesemuanya habis dijual. Nasi lemak kami beralas daun pisang. Nama katering kami bersempena dengan alas pisang itu," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur. Nama syarikat katering milik keluarga Abdullah ialah Selera Kampung Daun Pisang (SKDP) yang kini diuruskan oleh pasangan itu dan tiga orang anak mereka. Selepas mendapat maklum balas yang positif dan saranan daripada rakan-rakan, dia membuka sebuah restoran. Namun, hari tidak selalunya indah, restorannya di Padang Jawa, Selangor dirobohkan demi memberi laluan pembinaan jalan raya. Tidak berputus asa, Abdullah dan isteri, Umi Kalsum Suratman, 56, berniaga di kafeterina, kilang CCM Fertilizer selama 11 tahun. Ketika itu muncul idea dalam diri bapa tujuh orang anak itu untuk memulakan perniagaan katering. "CCM Fertilizer kerap mengadakan acara makan-makan dan meminta kami menyediakan hidangan. Melihat peluang yang ada saya perlahan-lahan menceburi dunia katering," katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini. Menurutnya, rasa makanan yang sedap merupakan inti pati sesebuah perniagaan yang melibatkan makanan sama ada restoran, katering mahu pun gerai kecil-kecilan. Ujarnya: "Saya sentiasa berasa iri hati dan mahukan masakan saya sentiasa sedap." Lantaran itu, rasa iri hati tersebut diambil secara positif olehnya dengan mengembara sehingga ke Batu Pahat, Johor untuk mempelajari sendiri masakan nasi beriani asli dari negeri itu. Anaknya yang juga pengurus operasi SKDP, Mohamad Saiful Apandi Abdullah, 31, berkata, nasi beriani mereka menggunakan resipi asli dan dalam masa yang sama diberikan penambahbaikkan. "Kami tidak menanak nasi seperti resipi asal, tetapi nasi dikukus menghasilkan butiran nasi lebih muai dan berderai," ujar Mohamad Saiful. Tambahnya, nasi beriani yang dikukus bukan tugas mudah kerana nasi dan rempah-ratus perlu diasing terlebih dulu serta tempoh mengukus yang lama iaitu kira-kira empat jam. Selain nasi beriani, masakan kampung seperti ikan keli berlada, sambal goreng Jawa dan nasi ambeng turut menjadi identiti SKDP. Kambing golek barbeku SKDP juga merupakan keistimewaan katering milik keluarga Abdullah itu dengan gaya masakan yang dapat mengekalkan rasa dan aroma kambing. Kerja-kerja penyediaan makanan seperti memotong daging dan menanak nasi sehingga mengaul dilakukan oleh ramai individu kerana kuantiti yang besar memerlukan banyak tenaga. Namun, ibu Mohamad Saiful menjadi satu-satunya individu yang mengawal rasa setiap hidangan yang dimasak termasuk sewaktu menumis rempah-ratus. Katering SKDP turut menyediakan perkhidmatan lain seperti majlis keraian, seminar dan majlis perkahwinan yang terdiri daripada kad jemputan, pelamin, andaman serta kompang. Daripada bajet, Mohamad Saiful dapat memberi cadangan yang bersesuaian untuk bilangan tetamu, menu atau memerlukan penambahan modal. "Bajet paling ideal buat masa sekarang lebih kurang RM12,000 untuk 1,000 tetamu," ujarnya. Khidmat nasihatnya tidak dikenakan sebarang caj. - ADLAN JAAFAR |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |