Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR PeNYERANG ATM, Marlon Alex James diasak pemain Kelantan pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. - utusan/Abd Razak Aid SEREMBAN - Kelantan bukan sahaja menafikan hajat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengukuhkan cengkaman pendahulu, malah kejayaan membenam naib juara Piala Malaysia itu 3-2 di di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam membuka laluan kepada Selangor untuk merampas teraju Liga Super. Walaupun berjaya menunjukkan kebangkitan hebat selepas ketinggalan 0-2 di babak pertama, namun ATM akhirnya terpaksa akur dengan jaringan lewat minit Mohd. Nor Farhan Muhammad untuk terlepas sekurang-kurangnya meraih satu mata berharga. Malah, tuan rumah harus menyalahkan diri sendiri selepas Marlon Alex James gagal menyempurnakan sepakan penalti seawal minit pertama, apabila dijatuhkan oleh penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat. Kelantan bermula garang apabila membuka jaringan menerusi Indera Putra Mahiyuddin, yang mudah menyepak bola ke gawang yang kosong pada jarak 30 meter pada minit ke-27, berpunca daripada kesilapan antara Md Safwan Hashim dan penjaga gol tuan rumah, Farizal Harun. Penyerang import Red Warriors, Keita Mannjou menambah perit ATM apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-33. ATM yang cuba bangkit turut mendapat peluang keemasan melalui pemain sayap, Venice Elphi yang melepaskan rembatan kencang, namun cubaannya diselamatkan Khairul Fahmi pada minit ke-40. Sebelum tamat separuh masa pertama, Hairuddin Omar hampir menjaringkan gol pertama melalui hantaran Bruno Marteloto, bagaimanapun sepakannya terus ke arah dakapan Khairul Fahmi. Pada babak kedua perlawanan, Kelantan hampir menambah derita tuan rumah melalui rembatan kencang Keita Manjou pada minit ke-49, tetapi diselamatkan Farizal. ATM kemudian berjaya merapatkan jurang gol pertama melalui jaringan Alex James yang merembat kencang selepas menerima sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-54. Seminit selepas itu, ATM hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Christeejayaseelan, namun terkena tiang pasukan pelawat. Pada minit ke-67, Alex James berjaya menyelamatkan maruah ATM selepas menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti. Farizal yang beraksi tangkas seharusnya diberi pujian apabila menyelamatkan banyak percubaan dan asakan Kelantan. Pada minit ke-90, Mohd Norfarhan muncul wira apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menjaringkan gol kemenangan Kelantan. Keputusan kekal 2-3 jaringan sehingga wisel penamat ditiup pengadil Mohd Zamzaidi Katimin pada minit ke-94. |
Posted: 29 Mar 2013 12:47 PM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Mahali Jasuli (kuning) berjaya merampas bola daripada pemain Felda United, Shafizan Hashim pada perlawanan Liga Super di Stadium Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI PETALING JAYA - Selangor terselamat daripada asakan Felda United pada babak kedua, menamatkan permainan dengan 10 pemain dan seri 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya semalam, namun hari malang Red Giants akhirnya diceriakan dengan kejayaan merampas takhta Liga Super selepas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tumpas 2-3 kepada Kelantan. Keputusan seri cukup untuk membantu anak-anak buah Irfan Bakti merampas teraju liga dengan kelebihan satu mata mengatasi ATM selepas mengumpul 19 mata daripada 11 perlawanan. Pertahanan import Felda, Carlos Junior, meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-24 melalui sepakan penalti selepas Mohd. Syazwan Zainon dikasari oleh pertahanan Selangor. Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila ketua pasukan Selangor, Mohd. Amri Yahyah menyamakan kedudukan tiga minit kemudian apabila mudah memperdayakan Mohd. Helmi Eliza melalui sepakan lambung. Apabila Adib Aizuddin Abdul Latif dilayangkan kad merah pada minit ke-63 selepas mengutip dua kad kuning, Felda tampak menguasai sebahagian besar perlawanan namun beberapa peluang keemasan yang gagal disudahkan oleh Mohammed Ghaddar. Selangor yang turun tanpa khidmat kedua-dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Peter Chrappan yang masih digantung perlawanan tidak langsung dilihat beraksi di bawah kemampuan. Irfan menerima keputusan dengan positif memandangkan pasukannya dipaksa bertahan selepas kehilangan Adib di samping terpaksa meratapi ketiadaan Forkey Doe. "Saya tetap berpuas hati dengan keputusan ini tambahan kita turun tanpa dua pemain import dan pemain mampu beraksi dengan baik. "Susah kita hendak menang kalau tidak begitu tajam di depan gol tambahan kita perlu beraksi dengan 10 pemain. "Forkey Doe sepatutnya tiba pagi ini (semalam) tetapi difahamkan penerbangannya dari Paris ditunda dan itu punca utama dia tidak ada pada perlawanan ini, " katanya. Sementara bagi K. Devan, dia kecewa kerana tahap penyudah para penyerangnya masih belum meningkat dan situasi itu terus meresahkan Felda dalam usaha keluar daripada zon penyingkiran liga. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |