Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Boleh tempah menu sendiriOleh MAZLINA ABDUL MAJID
KEPADA kaki makan di Johor waima pelancong dari Kota Singa, Restoran Selera Senibong Seafood (SSS) yang terletak di Kampung Senibong, Johor Bahru lazimnya menjadi pilihan untuk singgah makan malam. Populariti premis itu dapat diukur dengan kehadiran keluarga, rakan taulan, rakan bisnes, pasangan kekasih malah individu yang 'membayar' kepenatan dengan menikmati makanan lazat, memenuhi setiap ruang restoran itu pada hari- hari biasa atau hujung minggu. Pemilik restoran, Mohd. Fauzi Saadon, 44, bersama adiknya Hasbullah, 43, berkata, mereka tidak menang tangan untuk melayan pelanggan yang terlalu ramai menunggu giliran. "Kepada pelanggan yang masih mahu makan di restoran saya dan demi menjaga hati mereka, saya akan memujuk mereka dengan meminta mereka berjalan-jalan ke gerai-gerai jualan dulu dan tinggalkan nombor telefon. "Bila ada meja kosong, saya akan hubungi mereka. Namun kadangkala saya mencadangkan kepada mereka untuk singgah ke restoran bersebelahan," kata mereka senada. Servis pantas Apakah tarikan Restoran SSS? Barangkali hasil laut segar yang menepati cita rasa ramai. Restoran yang terletak di pesisir pantai yang menghadap Sembawang dan Senoko, Singapura menjadikan Restoran SSS lebih terserlah. "Di samping menikmati makanan hasil air tangan lapan tukang masak yang kesemuanya lelaki dan berkebolehan, pelanggan kami leka melihat keindahan pantai negara seberang. "Pemandangan para nelayan yang berulang-alik, feri yang membawa penumpang ke Batam dan kapal-kapal dagang yang berlabuh di situ akan menjadikan kunjungan mereka ke premis ini sesuatu yang cukup istimewa," katanya. Bagaimanapun, antara faktor yang menarik orang ramai ke restoran ini ialah servis yang pantas dan keramahan 40 orang pekerjanya. Justeru, tidak hairanlah, jika Restoran SSS menjadi pilihan beberapa tetamu penting seperti Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang juga merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Jaya, Tan Cher Puk. Bercerita tentang menu Restoran SSS membuatkan sesiapa saja rambang mata untuk memilih. "Semua hasil laut seperti udang kara, ketam pelbagai saiz, udang kara, udang kecil, sotong, ikan jenahak, ikan siakap dan macam-macam lagi boleh dibakar, digoreng atau dijadikan variasi lauk. "Namun, apa yang istimewa di RSS ialah jika lauk yang dicadangkan tidak tersenarai dalam menu, kita juga akan memenuhi permintaan pelanggan untuk memasak resipi yang mereka ingini," kata Hasbullah sambil memberitahu mereka mendapatkan bekalan laut dari Pontian, Sedili, Mersing dan kadangkala dari Sabah dan Sarawak. Pada kunjungan Kosmo! baru-baru ini, Restoran SSS menghidangkan satu masakan baharu yang sangat menyelerakan iaitu udang galah stim lemak cili padi tanpa santan. Sebaliknya, chef SSS menggunakan susu cair menggantikan santan. Dengan membayar udang kara yang berharga RM120 untuk sekilogram, anda tidak akan menyesal. Kepada peminat siput gonggong yang lazimnya banyak terdapat di Johor, anda boleh mencuba masakan siput gonggong cili kering. HASBULLAH menunjukkan udang kara segar yang boleh dimasak mengikut resipi pengunjung. Naik taraf Begitu juga dengan ketam lada hitam yang berharga antara RM60 hingga RM90 sekilogram. Itu tidak termasuk dengan udang goreng mentega, sotong goreng tepung, lala masak sambal dan kupang bercili. Jangan lupa kepada signatur makanan Restoran SSS ini. Ikan siakap kukus limau yang dicipta oleh pemiliknya Mohd. Fauzi beberapa tahun lalu menambat hati pelanggan-pelanggan tegar. Dalam sehari, beritahu Hasbullah, mereka akan menyediakan 40 kilogram (kg) ketam, 50 kg (udang) dan pelbagai jenis ikan lebih 80 ekor. "Pada hujung minggu atau cuti am, kuantitinya akan digandakan," katanya. Mohd. Fauzi dan Hasbullah mahu terus menggembirakan pelanggannya. Dengan rezeki yang semakin bertambah, mereka menaiktaraf restoran yang semakin menjadi tumpuan terutama dari Singapura, Jepun dan Asia Barat. "Alhamdullillah, dahulu tak berbumbung, kita tambah bumbung, dahulu cuma ada lapan meja, namun kini ada 90 meja yang boleh memuatkan 500 orang pada satu-satu masa," katanya yang melakukan ubah suai dekorasi restorannya baru-baru ini. Kedua-dua beradik ini sepakat memilih konsep Minang kerana kata mereka, corak kesenian pada tiang, anjung dan lantai yang menggunakan kayu teruntun lebih menonjol. Mereka bercadang untuk menambah keluasan restoran dengan konsep terbuka yang lazimnya digemari oleh pengunjung. Di sebalik kejayaan pasangan beradik yang membangunkan perniagaan makanan laut, mereka belum bercadang mengembangkan bisnes tersebut ke luar Johor kerana mahu mengekalkan keaslian makanan tersebut. | |
Posted: Pencarian Duta HerbaLineOleh NIZHA PERIASWAMY ANTARA wajah-wajah peserta yang bersaing untuk gelaran Pencarian Duta Kecantikan Untuk Semua 2013. MENURUT penyelidikan Statistics Brain pada Mac 2012, sebanyak 100,000 pertandingan ratu cantik diadakan di Amerika Syarikat setiap tahun. Di Malaysia juga, kita tidak ketinggalan dalam menganjurkan pertandingan ratu cantik, namun kesemuanya hanya mengutamakan kecantikan fizikal. Buat pertama kalinya, HerbaLine menganjurkan Pencarian Duta Kecantikan Untuk Semua 2013 yang tidak terhad kepada kecantikan fizikal. Pertandingan itu juga dibuka kepada wanita dan lelaki daripada semua peringkat umur. Menurut Pengarah Urusan HerbaLine, C.K. Low, pencarian duta itu adalah salah satu cara HerbaLine mengiktiraf kecantikan sejati dan memberi ganjaran kepada peserta yang mempunyai nilai-nilai kecantikan sejati. Acapkali apabila kecantikan ditakrif, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah penampilan fizikal seperti kecantikan paras rupa dan potongan badan. Begitupun, penyelidikan dan pengertian sebenar mengenai makna kecantikan pula berbeza. Kecantikan ditakrif sebagai kombinasi ciri seseorang atau benda yang menyeronokkan perasaan dan menceriakan minda. "Ini sekali gus membuktikan bahawa kecantikan adalah sangat individualistik dan boleh dinilai melalui pelbagai faktor seperti ciri-ciri perwatakan dan daya tarikan unik. "Selain itu, jangan sekali-kali memperkecilkan faktor X yang membezakan seseorang daripada orang lain," kata Low. Beliau menambah, pencarian tersebut adalah untuk mencari kualiti yang unik dan semangat yang tidak terbatas oleh usia. Ia boleh ditemui sama ada pada seorang remaja yang periang dan penuh bertenaga atau wanita berkerjaya yang mempunyai keyakinan dan semangat jati diri. "Jika anda dalam usia 60-an, kualiti kecantikan boleh dinilai dalam bentuk kematangan, semangat anda yang berhati muda dan kecergasan yang setanding dengan remaja. " Bagi lelaki pula, peribadi yang kami nilai termasuk keberanian, karisma dan tingkah laku yang menawan," tambah Low lagi. Bagi mereka yang berminat, boleh menyertai pencarian duta tersebut dengan mengunjungi laman web www.herbaline.com.my. Pada akhir peraduan ini, HerbaLine akan memilih 12 finalis untuk menyertai sesi bergambar dan pengundian untuk memilih duta akan dibuka kepada orang ramai. Hadiah Utama bagi empat duta Herbaline setiap seorang termasuk lawatan sehari ke Kuala Terengganu Heaven Spa (termasuk tiket penerbangan dan pengangkutan pergi-balik lapangan terbang), pasport rawatan muka peribadi tahunan sehingga 18 kali setahun dan juga pelbagai produk bernilai RM1,000. Nilai hadiah untuk setiap pemenang berjumlah RM3,999. Jika anda rasa anda mencerminkan ciri kecantikan sejati dan anda ingin menyertai atau ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila kunjungi laman web www.herbaline.com.my atau hubungi talian 03-5121 5055. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |