Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Perubahan ekonomi pengaruhi pekerjaan Posted: Perubahan ekonomi pengaruhi pekerjaanPERASAAN gembira dan puas menyelubungi Mohammad Syukri Suparman, 24, setelah berjaya menggenggam segulung diploma dalam Pengurusan dan Teknologi Pejabat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Kejayaan tersebut diharap dapat menjadi tiket kepadanya untuk memohon jawatan yang menawarkan gaji yang lebih besar bagi membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapanya. Namun, apakan daya setelah hampir setahun menamatkan pengajian dan selepas berpuluh-puluh permohonan kerja diisi, dia masih gagal mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang dan kelulusannya. Rentetan itu, Shukri mengambil keputusan untuk menghadiri temu duga terbuka jawatan Penguatkuasa, gred N17 di sebuah institusi awam dengan menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Akhirnya, dia ditawarkan bekerja di tempat tersebut dengan gaji permulaan sekitar RM900 sebulan. Itulah dilema yang dilalui oleh Shukri dan sebahagian besar lagi siswazah lepasan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara iaitu terpaksa bekerja tidak mengikut bidang dan taraf kelulusan. Bagi anak kelahiran Simpang Renggam, Johor itu dia tidak mempunyai masalah untuk bekerja di luar bidang dan taraf. "Zaman ini bukanlah waktu yang sesuai bagi seseorang siswazah seperti saya memilih kerjaya mengikut bidang pengajian dan setaraf dengan kelulusan. "Sebaliknya, saya bersyukur kerana telah mempunyai pekerjaan tetap. Ini kerana masih ramai lagi siswazah di luar sana yang masih menganggur," katanya. Ujar Shukri, para siswazah harus membuang pemikiran 'lebih baik menganggur selagi tidak menemui pekerjaan yang sesuai' kerana ia bukan sahaja merugikan mereka, malah negara. Menurut anak kelima daripada tujuh orang adik-beradik itu, sekiranya seseorang siswazah itu mempunyai mentaliti untuk bekerja mengikut bidang pengajian dan setaraf dengan kelulusan sahaja, ia dikhuatiri akan menyebabkan masa menganggur mereka menjadi lebih lama. KEADAAN ekonomi semasa memaksa lepasan universiti untuk tidak memilih kerja dalam meneruskan kelangsungan hidup. - Gambar hiasan "Kalaulah saya menolak tawaran kerja ini dan menunggu kerja yang sama dengan bidang dan kelulusan, mungkin sampai sekarang saya masih menganggur," katanya. Sementara itu, bagi Hidayatul Syabiha Zaidi, 24, dia memilih kerjaya berlainan daripada bidang dan taraf kelulusannya disebabkan dorongan untuk mendapat pengalaman bekerja. Hidayatul merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari universiti awam tempatan. Dia kini bertugas sebagai seorang jurujual barangan kosmetik di sebuah syarikat swasta di Dungun, Terengganu. Tiada panggilan "Saya mendapat tawaran kerja ini sebelum keputusan peperiksaan akhir keluar, oleh itu saya terima saja kerja ini, sekurang-kurangnya dapat juga pengalaman kerja," katanya. Setelah mendapat segulung ijazah dalam majlis konvokesyen universiti pada tahun lalu, dia mula mencari pekerjaan lain yang bersesuaian dengan kelulusan dan bidang pengajiannya. Malangnya sehingga kini dia masih belum menerima sebarang panggilan untuk bekerja. Menurut anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu, kegagalan tersebut menyebabkan dia terpaksa meneruskan pekerjaan yang telah dilakukannya sejak setahun lalu itu walaupun dengan pendapatan tidak setimpal dengan kelulusannya. "Gaji bersih saya ketika ini RM1,500 saja, walaupun tidak berbaloi, namun saya perlu meneruskan kerja ini kerana ini rezeki saya. "Hasil pendapatan yang diperoleh ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa saya," katanya yang memperoleh ijazah kelas kedua atas. Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, siswazah pada masa kini harus bersedia untuk bekerja di luar bidang pengajian mereka. SUATU masa dulu, ekonomi negara banyak disumbangkan oleh sektor pertanian. Ujar beliau, antara faktor berlakunya fenomena tersebut adalah disebabkan perubahan dalam struktur ekonomi negara. "Ekonomi negara kita sedang mengalami perubahan, pada tahun 1990-an pendapatan negara banyak disumbangkan daripada sektor pembuatan, pertanian dan pembinaan. "Namun, data terkini Keluaran Dalam Negara Kasar menunjukkan hampir 60 peratus pendapatan negara diperoleh daripada sektor perkhidmatan," ujarnya. Perubahan tersebut menyebabkan siswazah dalam bidang tertentu seperti pembinaan, pertanian dan pembuatan terpaksa beralih mencari pekerjaan dalam bidang lain. Di samping itu, beliau juga tidak menafikan bahawa kebanyakan bidang pengajian yang ditawarkan di IPT negara ini tidak lagi mempunyai permintaan di pasaran kerja. "Kebanyakan IPT di negara ini masih menawarkan bidang-bidang pengajian yang tidak lagi mempunyai peluang pekerjaan. Ini sesuatu yang sangat merugikan," katanya. Beralih pekerjaan Antara faktor lain yang menyebabkan siswazah terpaksa bekerja di luar bidang adalah peningkatan had umur persaraan pekerja iaitu daripada usia 55 tahun kepada 60 tahun yang telah diumumkan oleh kerajaan dalam pembentangan bajet pada tahun 2012. Menurutnya, sebelum ini dianggarkan hampir 180,000 pekerja sektor swasta bersara pada setiap tahun. Namun selepas umur perasaan ditingkatkan pihaknya menjangkakan jumlah tersebut akan berkurangan. "Peningkatan umur persaraan merupakan salah satu punca siswazah terpaksa melakukan pekerjaan di luar bidang. Ini kerana peluang untuk mereka bekerja semakin tertutup. "Pengurangan pekerjaan makan gaji ini menyebabkan para siswazah terpaksa beralih mencari pekerjaan sendiri seperti menjadi usahawan," ujarnya. Sementara itu, mengulas mengenai punca utama para siswazah sering mengalami kegagalan dalam proses temu duga ialah masalah komunikasi.
Ujarnya, kebanyakan syarikat swasta kini lebih mementingkan penguasaan bahasa Inggeris yang baik kerana skop perniagaan mereka lebih bersifat global. "Kebanyakan siswazah kita tidak boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris. Sebagai majikan kami bimbang ia akan menyukarkan mereka mendapat peluang pekerjaan dalam sektor swasta. "Hasil kajian menunjukkan hampir 80 peratus siswazah yang boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris mendapat pekerjaan di sektor swasta," katanya. Selain itu, antara faktor yang menyukarkan siswazah baharu mendapat pekerjaan pada masa kini ialah disebabkan kurangannya kemahiran dan pengalaman bekerja. Tambahnya, kebanyakan majikan dalam bidang profesional lebih memilih calon yang mahir dan berpengalaman berbanding siswazah baharu. Rata-rata majikan terutamanya dalam sektor swasta enggan mengeluarkan kos tambahan melatih pekerja baharu kerana matlamat utama mereka untuk memaksimumkan keuntungan. | |
Laman web porno ancam moral awam Posted: Laman web porno ancam moral awam
HUBUNGAN seks luar nikah atau penzinaan bukan satu amalan yang diterima secara terbuka di Korea Selatan. Walaupun menjadi antara negara termaju di benua Asia, soal sosiobudaya dan norma masyarakat sangat dijaga malah seseorang boleh dipenjarakan sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan melakukan seks luar nikah. Undang-undang negara itu yang disifatkan konservatif oleh Barat telah tercabar dengan pelancaran sebuah laman web lucah di negara tersebut pada bulan lalu yang berpangkalan di Kanada. Laman web porno itu mempunyai lebih 25 juta pelanggan dari 35 buah negara. Laman web tersebut dilihat tidak mempunyai perkaitan dengan undang-undang di negara berkenaan, namun slogannya, Hidup ini singkat, jalinlah hubungan secara sulit secara tidak langsung menyeru pengikutnya untuk menjalinkan hubungan sulit dengan sesiapa sahaja selain daripada pasangan yang sah. Diharamkan Pegawai Eksekutif laman porno tersebut, Noel Biderman menyasarkan keahlian kira-kira 500,000 orang atau satu peratus daripada jumlah penduduk Korea Selatan untuk menyertai laman web itu. "Dalam tempoh seminggu, seramai 46,000 orang telah mendaftar untuk menyertai kami. "Negara ini mengamalkan undang-undang yang ketinggalan zaman. Ramai yang takutkannya dan tidak menghadiri majlis pelancaran kami," katanya. Pelancaran laman porno tersebut di Korea Selatan dikenakan syarat statut 1953 berkaitan dengan jenayah lucah. Laman porno itu sudah menapak di Asia kerana sudah dilancarkan di beberapa negara seperti Jepun, India, dan Hong Kong. Seperti Korea Selatan, Singapura juga begitu konservatif dalam hal berkaitan sosio budayanya terutama yang melibatkan penggunaan internet. Pihak Berkuasa Pembangunan Media Singapura telah mengharamkan laman web itu pada November lalu kerana menyifatkannya sebagai satu ancaman terhadap nilai-nilai keluarga dan moral awam. Korea Selatan pula telah memadam kira-kira 23,000 laman web tempatan dan 63,000 laman web luar negara telah disekat atas arahan Suruhanjaya Standart Komunikasi Korea (KCSC), sebuah badan yang dilantik oleh kerajaan negara itu. Laman web yang disekat memfokuskan aktiviti pornografi, pelacuran dan perjudian. Menurut seorang pegawainya, Song Myung-Hoon, KCSC kini dalam proses memantau laman web tersebut untuk mengenal pasti sebarang aktiviti yang boleh disabitkan dengan undang-undang di negara itu sejak ia dilancarkan. "Kita tahu laman ini bermasalah dan sedang membincangkan secara khusus tentang perkara yang perlu dilakukan dengannya kerana secara lahiriahnya web ini tidak boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah," jelas Myung-Hoon. KOREA SELATAN adalah antara negara maju yang masih mengamalkan budaya yang ketat dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan. Apabila aduan dilakukan, seseorang pesalah akan didakwa dan perkara tersebut akan dilupakan sebaik sahaja plaintif dijatuhkan hukuman. Pada tahun 2004 seramai 216 pesalah dipenjarakan atas kesalahan berkaitan manakala pada tahun 2008, bilangannya menurun kepada 42 orang sahaja. Undang-undang tersebut masih belum dipinda walaupun telah banyak rujukan yang dibuat untuk semakan kepada Mahkamah Perlembagaan negara itu dan tiada satu suara yang kuat untuk memindanya. Seorang paderi telah dipenjarakan tiga tahun lalu setelah seorang lelaki mengemukakan aduan bahawa paderi tersebut telah menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya. Paderi tersebut pernah menjadi perasmi majlis perkahwinan pasangan tersebut dan dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan. Jenayah zina Sementara itu, kumpulan aktivis konservatif, Kesedaran Sivik dan Keluarga Sihat Seoul telah mengutuk laman web porno versi bahasa Korea yang dilancarkan di negara mereka. Salah seorang ahlinya, Lee Kum-Sook berkata, perkara tersebut sama sekali tidak masuk akal, sama ada dari segi undang-undang atau moral. "Perbuatan zina adalah satu jenayah yang boleh dihukum di sini. "Walaupun ada yang melakukannya secara rahsia, mempromosikannya secara terbuka di internet akan membuatkan masalah bertambah parah," ujar Kum-Sook. Biderman pula menggunakan alasan wujudnya hubungan sulit dalam kalangan orang yang sudah berkahwin untuk membawa laman web porno itu di negara tersebut. Dia juga menafikan bahawa laman web itu bertanggungjawab dalam isu golongan isteri yang curang dengan teman baharu yang ditemui dalam laman tersebut. "Mereka tetap menjalinkan hubungan sulit sama ada secara terbuka atau rahsia. Jadi mengapa kita tidak memberikan mereka satu jalan yang mudah untuk mereka lakukannya? "Laman ini sebagai alternatif kepada mereka. Sebarang masalah di tempat kerja yang berlaku seperti penghinaan dan pemecatan atau sebarang tindakan yang diambil, kami akan melindungi mereka di luar mahkamah," jelas Biderman. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |