Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Hudud semakin hampir jadi kenyataan Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT NIK Abdul Aziz Nik Mat memperkatakan sesuatu kepada Asyraf Wajdi Dusuki di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Irwan Majid KOTA BHARU 29 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membayangkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan yang diperjuangkan oleh parti itu selama ini semakin hampir menjadi kenyataan. Tanpa berselindung, beliau menaruh keyakinan tinggi hudud bakal dilaksanakan ekoran menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak mengenai undang-undang Islam itu sejak akhir-akhir ini. Dalam sehari dua ini, berita-berita baik sedang dirasai oleh jiwa saya. Masyarakat, insya-Allah akan terima (hudud) dengan baik," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini. Pertemuan selama sejam itu merupakan sebahagian daripada program lawatan Asyraf Wajdi untuk bertemu tokoh-tokoh terawal yang pernah memimpin Yadim, termasuk Nik Abdul Aziz yang merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang pertama. Kelmarin, bekas Menteri Besar Kelantan itu turut melahirkan rasa gembira apabila menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediamannya di Pulau Melaka, di sini. Mengulas mengenai cadangan Muhyiddin supaya sebuah jawatankuasa teknikal khas di peringkat kebangsaan diwujudkan bagi membincangkan hudud dengan terperinci, Nik Abdul Aziz memberitahu, beliau menyambut baik saranan itu. Beliau bagaimanapun menegaskan, tidak mahu terlibat dengan jawatankuasa tersebut dan menyerahkan urusan itu sepenuhnya kepada kepimpinan negeri yang baharu. Saya pandang baik (cadangan), saya berasa gembira sehari dua ini memandangkan hudud sebelum ini ditentang," katanya. |
Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT Kiri Mah Siew Keong, Liow Tiong Lai KUALA LUMPUR 29 April - Gerakan dan MCA menentang keras usaha Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, Jun ini bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Ketika menyatakan pendirian parti itu, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong menegaskan, pihaknya menghormati agama Islam, tetapi merasakan hukuman itu tidak sesuai dilaksanakan di negara yang berbilang agama, budaya dan kaum seperti Malaysia. Beliau mendakwa, pelaksanaan hukum hudud di negara ini bercanggah dengan prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah terbukti berjaya membawa kemakmuran di negara ini sejak lebih 56 tahun lalu. Bagi kami di Gerakan, ini sangat penting kerana jika Pas berjaya laksanakan hudud di Kelantan, mereka akan sebarkannya ke Terengganu, Kedah dan akhirnya Malaysia dan tidak akan berpatah balik. Saya tahu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom dari UMNO kata mereka mungkin sokong hudud, tetapi saya menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua Ahli Parlimen UMNO untuk tidak menyokong rang undang-undang persendirian yang akan dibawa oleh Pas ini," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti Gerakan di sini hari ini. Bagi membincangkan lebih lanjut isu tersebut, Siew Keong berkata, beliau akan berjumpa dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pas yang akan bawa usul ini, kenapa tidak bercakap terus dengan Abdul Hadi. Kami mahu jumpa Abdul Hadi untuk menyatakan pandangan kenapa kami rasa hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini. Saya sedia berjumpa dengan Abdul Hadi di mana sahaja dan kalau perlu, kami akan pergi ke ibu pejabat Pas. Ia bukan satu masalah kerana masa depan negara ini lebih penting. Kami mahu selesaikan perkara ini kerana kesan kepada anak cucu kita dan sekarang bukan masa untuk berpolitik," katanya yang berharap dapat bertemu Abdul Hadi sebelum Parlimen bersidang Jun ini. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Antara Agama Gerakan, Datuk Gooi Hoe Hin mendakwa, pelaksanaan hukum Islam itu mencabuli prinsip-prinsip utama dalam Perlembagaan Persekutuan dan asas-asas yang telah dibentuk selama ini. Kenapa hendak perkenalkan undang-undang yang akan memecahbelahkan rakyat negara ini kepada kelompok-kelompok keagamaan? Kenapa perlu ubah struktur asas negara seperti yang terkandung dalam Perlembagaan? Hudud tidak praktikal untuk dilaksanakan dan akan menimbulkan kekeliruan serta huru-hara kepada rakyat kerana ada dua sistem perundangan. Apa akan berlaku jika kesalahan jenayah melibatkan umat Islam dengan penganut agama lain? Adakah adil sekiranya hanya umat Islam dikenakan hukum hudud manakala bukan Islam pula undang-undang jenayah sivil," tambahnya. Hoe Hin menegaskan, DAP dan PKR perlu bertanggungjawab daripada segi politik dan moral bagi menghalang sekutunya itu daripada membawa rang undang-undang persendirian tersebut ke Parlimen. Menyuarakan nada sama, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pakatan pembangkang perlu menjelaskan mengenai pendirian mereka berhubung rancangan Pas itu kerana mereka kini dilihat terumbang-ambing dalam mencapai kata sepakat berhubung perkara itu. Abdul Hadi kata macam ini, Kit Siang dan Tian Chua pula berkata macam itu. Jadi mana satu yang mereka setuju? Ketidaksepakatan mereka ini menyebabkan rakyat yang keliru apakah pendirian mereka sebenarnya. Bagi MCA pula, kita menolak hudud oleh Pas ini kerana ia akan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat. Bukan bermakna kita menentang Islam tetapi perkara ini perlu kata sepakat oleh semua pihak jika mahu dilaksanakan," katanya. Dalam perkembangan lain, Tiong Lai berkata, MCA akan membincangkan keputusan parti itu berhubung calon Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |