Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Schmid dilantik pengarah teknikal Posted: Schmid dilantik pengarah teknikalOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
PENOLONG jurulatih Austria, Fritz Markus Schmid menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM yang baharu. Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin semalam. Menurut Hamidin, Schmid yang dijadualkan tiba Jumaat ini akan bertanggungjawab untuk memantau prestasi jurulatih-jurulatih di bawah naungan FAM untuk tempoh selama tiga tahun. Selain itu, pengendali kelahiran Switzerland itu juga memiliki tugasan untuk memantau prestasi skuad Harimau Muda A, B, dan C termasuk aspek pembangunan bola sepak FAM. "Benar, beliau (Schmid) dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu FAM. Dia akan tiba di sini (Malaysia) pada Jumaat ini untuk memulakan tugasan baharunya. "Beliau akan bertanggungjawab memantau prestasi jurulatih termasuk jurulatih kebangsaan selain melihat prestasi para pemain serta pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi. "Malah, beliau juga memiliki kuasa untuk terlibat memberikan pandangan dalam sesi pemilihan jurulatih kebangsaan tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Schmid, 54, pernah bertugas sebagai penolong jurulatih kelab Tottenham Hotspur, FC Basel 1893 dan FC Aargau selain menjadi pengurus kelab SC Kriens, Team Aargau U21, Grasshopper Club Zürich II dan Racing Club Zürich. Dalam perkembangan lain, Hamidin turut menjelaskan bahawa FAM akan mengumumkan jurulatih baharu skuad Harimau Malaya selepas Kongres FAM ke-50 pada 25 Mei nanti. Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM hampir-hampir melantik Phillipe Troussier sebagai jurulatih baharu tetapi tidak meneruskan perjanjian tersebut selepas bekas jurulatih Jepun itu menuntut permintaan melampau, Januari lalu. Sejak insiden tersebut, FAM mengambil pendekatan kunci mulut dan ramai dikatakan berminat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pengendali, Datuk K. Rajagobal termasuk bekas pemain Chelsea, Marcel Desailly. "Selepas kongres itu nanti, FAM akan umumkan nama jurulatih baharu. "Sebenarnya, kita sudah mengadakan perbincangan (jurulatih baharu Harimau Malaya) di dalam dan luar negeri. Kalau saya bagitahu calon, nanti ada spekulasi lagi," katanya yang enggan mengulas lebih lanjut. Buat masa ini, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan. | |
Posted: 'Jangan biarkan bebas'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya segera mengambil tindakan terhadap bekas pengurus Johor Darul Takzim (Johor DT) II, On Jabbar. Khairy berkata, sikap membisu FAM berhubung perkara itu dikhuatiri memberi kesan negatif kepada mana-mana penyokong bola sepak sekali gus terdedah kepada budaya hooligan (samseng). Ini kerana menurut beliau, setiap pegawai dan pengurus pasukan sewajarnya menjadi teladan yang baik bagi mana-mana pihak. "Serang pengadil tidak membantu menyelesaikan masalah, pegawai dan pengurus sepatutnya menjadi contoh. "Masalah hooligan ini sepatutnya jangan dibiarkan merebak. Jika pengurus boleh tumbuk, penyokong pun boleh. "Jadi, (FAM) harus mengambil tindakan cepat terhadap pengurus Johor DT II (On)," katanya kepada pemberita semalam. Pada 19 April lalu, On didakwa bertindak menumbuk muka pengadil, Sukri Abdul Rahman gara-gara tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan ketika aksi Liga Premier berdepan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. On kini disiasat mengikut Perkara 2.4 dan 2.5 Kod Tatatertib kerana mendatangkan kecederaan terhadap mana-mana pegawai dan berdepan hukuman penggantungan seumur hidup jika sabit kesalahan. Beliau akhirnya dipecat oleh PBNJ selain didenda RM25,000 ekoran tindakan keterlaluannya itu. Namun, On tetap disiasat Jawatankuasa Tatatertib FAM selain kes itu juga masih berada dalam siasatan pihak polis. Sehingga kini, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak masih belum bersidang bagi menentukan nasib On. Mengulas lanjut, Khairy juga percaya FAM perlu menambah baik sistem dan mutu pengadilan sedia ada yang sering dikecam ramai pihak sebelum ini. "Ia (mutu pengadilan) antara punca yang sering membangkitkan perasaan tidak puas hati ramai pihak, jadi ia harus dipertingkatkan. "Saya juga percaya FAM sedang giat bekerjasama bersama PDRM (Polis Diraja Malaysia) bagi membanteras keganasan dalam kalangan penyokong. "Ini bukan benda baharu, sudah banyak kali saya bangkitkan perkara ini. "Saya harap FAM lebih serius kerana perkara ini di bawah seliaan mereka dan bukannya KBS (Kementerian Belia dan Sukan)," kata beliau. | |
'Terbuka Malaysia tetap berkualiti' Posted: 'Terbuka Malaysia tetap berkualiti'Oleh SHANIKA ABDULLATIB BINTANG boling dalam pembikinan, Syimir Abdul Razak percaya kualiti dan saingan pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia yang berlangsung dari 2 hingga 10 Mei nanti tidak akan tergugat tanpa kehadiran pemain ternama Eropah dan Amerika Syarikat. Juara bertahan dalam kategori Terbuka Lelaki itu yakin, saingan kali ini tetap sengit kerana ia merupakan persediaan buat skuad boling negara menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September nanti. "Saya juga menjangkakan semua pemain telah menggandakan usaha mereka untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan ke Korea Selatan itu nanti," kata Syimir yang meraih status pemain elit pada tahun ini. Cabaran pada edisi ke-37 yang diadakan di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, Petaling Jaya turut disahut oleh Adrian Ang, Alex Liew, Muhd. Rafiq Ismail, Mohd. Syafiq Ridhwan, Isaac Russel Paul, Mohd. Nur Aiman, Hee Kar Yen dan Siti Safiyaj Amirah. Malah, kehadiran pemain boling dari Singapura, Indonesia, Filipina. Taiwan, China serta India turut dilihat sebagai cabaran baru buat pemain negara dalam merebut hadiah kemenangan bernilai RM40,000 bagi kategori lelaki dan RM15,000 bagi wanita. Menurut jurulatih kebangsaan, Holloway Cheah, pretasi terkini pemain negara terutama Zulmazran Zulkifli (juara 2012) dan pendatang baharu, Timmy Tan mampu meletakkan skuad negara di kedudukan teratas. Tidak ketinggalan, pemain wanita berpengalaman, Sin Li Jane, Esther Cheah dan Shahlin Zulkifli yang menunjukkan pretasi memuaskan sejak kebelakangan ini. Untuk rekod, kejohanan tahun ini dijangka disertai lebih 400 pemain boling yang terdiri daripada 180 negara dengan 300 daripadanya adalah pemain tempatan yang akan beraksi dalam sembilan kategori yang dipertandingkan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |