Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 28 Apr 2014 08:34 PM PDT KUALA LUMPUR 29 April - Parti Gerakan hari ini menentang hasrat Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Presidennya, Datuk Mah Siew Keong berkata, Gerakan menghormati Islam tetapi menganggap hukum hudud tidak sesuai dengan negara majmuk seperti Malaysia dan bakal menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat jika dilaksanakan. Beliau berkata, paling penting pelaksanaan hukum hudud bercanggah dengan asas-asas dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Di samping itu, Siew Keong melahirkan kebimbangan sekiranya hudud dibenarkan dilaksanakan di Kelantan akan membuka jalan bagi hukum tersebut dilaksanakan di negeri-negeri lain dan akhirnya di negara ini. Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya tidak menyokong rang undang-undang persendirian tersebut yang akan dibentangkan oleh Pas itu. Siew Keong berkata, parti tersebut berharap dapat berjumpa dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meyakinkan beliau kenapa hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini. "Kita harap dapat jumpa Abdul Hadi sebelum Parlimen bersidang Jun ini," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
Pas yakin DAP akan terima hudud Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT KOTA BHARU 28 April - Dewan Ulama Pas Kelantan yakin DAP akhirnya akan menyokong pelaksanaan hukum hudud di negeri ini. Ketuanya, Datuk Hassan Mohamood (gambar) berkata, pada masa ini mungkin DAP menolak undang-undang Islam itu namun dengan penjelasan dan pemahaman yang cukup, mereka pasti akan faham. Katanya, pimpinan Pas Pusat merancang mengadakan pertemuan dengan DAP bagi memberi penjelasan mengenai hukum hudud supaya mereka dapat memahami dengan jelas. "Bagi saya insya-Allah DAP akhirnya akan terima (hudud) setelah penjelasan dan penerangan diberikan. DAP juga ingin mencari kebaikan sudah pasti ia akan menerimanya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Program Penerangan Hudud pada 30 April ini. Program tersebut yang akan menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat negeri ini akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Tambah Hassan selain DAP, Pas juga sudah merangka bagi memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk MCA dan MIC. Katanya, parti itu juga sedang menyusun rangka kerja untuk memberi penjelasan kepada semua pihak sama ada umat Islam dan bukan Islam mengenai undang-undang Islam ini. "Insya-Allah akhir bulan ini akan diadakan perjumpaan pimpinan tertinggi pakatan pembangkang. Hasil pertemuan itu, kita cukup optimis menghasilkan natijah yang baik," katanya. Sementara itu, Dewan Ulama Pas negeri turut menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar diwujudkan jawatankuasa teknikal khas di peringkat kebangsaan bagi membincangkan mengenai hudud membabitkan wakil kerajaan Pusat dan negeri. Hassan berkata, sekiranya kewujudan jawatankuasa itu bakal melicinkan pelaksanaan hukum hudud di negeri ini ia merupakan satu perkembangan yang positif. Dalam pada itu, kata Hassan, Kerajaan Pas Kelantan sudah bersedia daripada prinsip dan teknikal bagi melaksanakan hukum hudud menjelang 2015. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |