{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Perkahwinan Perdana 1Terengganu

Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT

Oleh ROSALINDA MD. SAID
utusanterengganu@utusan.com.my

Muhammad Pehimi Yusof (dua dari kiri) menyampaikan replika cek Pinjaman Modal Program Jaya Diri YPKT kepada seorang peniaga di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 28 April - Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan memperkenalkan Program Perkahwinan Perdana 1Terengganu dalam usaha membantu meringankan beban kewangan pasangan muda yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, selain meringankan beban pengurusan perkahwinan, ia juga sebagai pendorong kepada generasi muda untuk melalui ikatan pernikahan yang sah dan mengekang trend berkahwin lewat.

Katanya, buat permulaan sebanyak 400 pasangan daripada lapan kawasan Parlimen akan dipilih dalam program itu dan kesemua mereka bakal diraikan dalam majlis perkahwinan secara beramai-ramai di daerah masing-masing yang dijangka diadakan antara Ogos hingga Disember depan.

"Inisiatif yang julung kali diadakan ini terbuka kepada pasangan yang bernikah buat kali pertama, rakyat negeri berusia antara 21 hingga 30 tahun, berkemampuan daripada segi mental, mempunyai punca kewangan, berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan mendapat restu ibu bapa.

"Lebih menarik YPKT juga akan menghadiahkan sebanyak RM1,000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium kepada setiap pasangan dan bantuan tidak terhad kepada itu sahaja kerana selepas mereka berkahwin, kita akan bantu meningkatkan pendapatan mereka menerusi penglibatan dalam perniagaan malah kita akan ikhtiar agar mereka memperoleh kediaman selesa menerusi penyediaan rumah mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Kursus Pengurusan Kewangan Keluarga dan Penyampaian Pinjaman Modal Program Jaya Diri YPKT, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Menurut Muhammad Pehimi, permohonan boleh dibuat melalui pejabat YPKT di daerah masing-masing bermula bulan depan.

Katanya, setiap pasangan boleh menjemput seramai 200 tetamu bagi menghadiri hari bersejarah mereka itu.

"Menariknya, pasangan yang terpilih akan turut dipantau dalam tempoh enam tahun bagi memastikan mereka terus hidup bahagia sebagai suami isteri," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Muhammad Pehimi berkata, inisiatif itu tercetus hasil kajian yang dilakukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mendapati 30 peratus wanita antara 25 hingga 29 tahun belum mendirikan rumah tangga manakala 25 peratus bagi lelaki antara usia 30 hingga 34 tahun.

"Kajian sama mendapati faktor tidak yakin dengan kedudukan kewangan merupakan salah satu punca kepada fenomena tersebut, maka atas kesedaran dan kebimbangan itu kita tampil untuk melaksanakan program Perkahwinan Perdana 1Terengganu demi manfaat pasangan muda di negeri ini," katanya.

Kesesakan lalu lintas di HRPZ II

Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT

Oleh ROSMIZAN RESDI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 28 April - Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini bukanlah satu perkara yang luar biasa bagi pengunjng hospital itu di negeri ini.

Walaupun sudah sekian lama masalah ini berlarutan, namun ia masih belum menemui jalan penyelesaian sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar HRPZ II baru-baru ini mendapati terdapat banyak kenderaan yang diletakkan di bahu jalan berikutan masalah tempat letak kereta yang terhad.

Tindakan pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sekali gus turut menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu pagi dan petang.

Selain itu, mereka juga terpaksa mengambil risiko kemungkinan kereta mereka dilanggar serta terpaksa berhadapan dengan saman daripada pihak berkuasa.

Seorang suri rumah, Zohra Kadim Hussin, 43, berkata, ketiadaan tempat letak kereta adalah masalah utama yang sering berlaku setiap kali dia ke hospital tersebut.

"Setiap kali menghantar anak saya untuk mendapatkan rawatan di HRPZ II, saya terpaksa meletak kenderaan di luar kawasan hospital dan perlu berjalan jauh.

"Kadang kala, saya juga terpaksa mengambil masa yang lama semata-mata untuk mencari tempat meletak kereta sehingga terlewat untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Zohra berkata, dia turut mengharapkan supaya pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dapat memberi pertimbangan atas situasi ini dan mencari jalan untuk mengatasi masalah tempat letak kereta.

Seorang lagi suri rumah, Siti Minah Deraman, 74, berkata, masalah tersebut amat memberi kesan kepadanya apabila terpaksa berjalan jauh dari kawasan tempat letak kereta dengan usia yang semakin tua.

Katanya, dia sering berulang alik ke hospital itu sejak beberapa tahun lalu untuk mendapatkan rawatan kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.

"Saya berharap masalah ini dapat diberi perhatian bagi memberi kemudahan yang lebih selesa kepada orang ramai yang berkunjung ke hospital berkenaan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammad berkata, masalah kekurangan tempat letak kereta di HRPZ II perlu diteliti bagi memberi keselesaan kepada orang ramai.

"Sekiranya masalah ini tidak diselesaikan dengan kadar segera, ia mungkin akan bertambah rumit memandangkan pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital ini semakin bertambah.

"Justeru, pihak-pihak yang terlibat diminta untuk mencari kaedah yang sesuai bagi menyelesaikan masalah tempat letak kereta yang terhad dengan lebih sistematik," katanya.

Beliau mencadangkan supaya pihak MPKB-BRI menyediakan ruang letak kereta yang lebih luas serta mewujudkan satu pasukan trafik untuk memudahkan aliran trafik di kawasan hospital.

"Selain itu, saya juga ingin mencadangkan supaya tempat letak kereta bertingkat dapat diwujudkan bagi menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Tambahnya, selain mewujudkan tempat letak kereta bertingkat, hospital baharu khusus untuk penduduk sekitar Kota Bharu juga perlu dibina bagi menangani masalah kekurangan katil untuk pesakit-pesakit di HRPZ II yang turut menjadi tumpuan seluruh rakyat di negeri ini.

Kesesakan boleh dielakkan jika bekerjasama

Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT

Orang ramai meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sekali gus turut menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas di HRPZ II, Kota Bharu, Kelantan terutamanya pada waktu pagi dan petang.

KOTA BHARU 28 April - Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyifatkan masalah kesesakan lalu lintas akibat kekurangan tempat meletak kereta di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini tidak akan berlaku sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak.

Setiausahanya, Rosnazli Amin berkata, masalah tempat meletak kereta berlaku di semua hospital utama di negara ini dan ia bukan suatu yang luar biasa.

Beliau berkata, sekiranya semua pihak mempunyai kesedaran yang tinggi dan bertimbang rasa kesesakan disebabkan kekurangan tempat meletak kereta dapat dielakkan.

"Masalah tempat meletak kereta terhad ini berlaku kerana sikap pengunjung yang lebih suka meletakkan kenderaan mereka dalam kawasan hospital walaupun mereka tahu tempat letak kereta yang disediakan tidak mencukupi.

"Selain itu, pelawat juga suka meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya dan boleh menghalang laluan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Rosnazli berkata, ruang yang lebih luas untuk meletakkan kenderaan sebenarnya telah disediakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad V.

"Kita sebenarnya mempunyai banyak ruangan tempat letak kereta di kawasan sekitar stadium yang boleh digunakan untuk pelawat-pelawat memandangkan ia terletak berhampiran dengan hospital.

"Orang ramai yang menggunakan ruangan tempat meletak kereta itu hanya perlu berjalan dengan jarak yang dekat untuk melawat saudara mara mahupun mendapatkan rawatan di HRPZ II," katanya.

Tambah beliau, MPKB-BRI juga telah berusaha melaksanakan tempat letak kenderaan bermeter di kawasan hospital bagi mengelak berlaku kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu melawat.

"Dengan adanya tempat letak kereta bermeter, kenderaan yang diletakkan di kawasan tersebut akan lebih tersusun dan tidak akan menghalang lalu lintas.

"Selain itu, kita juga telah mengenakan caj minimum sebanyak 40 sen bagi setengah jam pertama supaya pengguna dapat merancang tempoh meletakkan kenderaan mereka dan tidak menggunakan untuk kepentingan diri sahaja," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak hospital juga telah mewujudkan sejumlah lebih 200 ruang tempat letak kereta untuk pegawai perubatan serta kakitangan lain di bangunan baharu.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar