Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Era hubungan sahabat Malaysia-AS Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT "SELAMAT datang, sahabat saya." Kata-kata itu yang diungkapkan (dalam bahasa Melayu) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Barack Obama, sudah cukup untuk menggambarkan kemesraan antara kedua-dua pemimpin yang sekali gus menjadi cerminan tahap hubungan kedua-dua negara, yang dianggap terbaik ketika ini. Lawatan singkat namun cukup bermakna yang berakhir semalam, tanpa ragu-ragu telah membuka lembaran baharu dalam sejarah hubungan Malaysia-Amerika Syarikat (AS), yang sebelum ini panas-dingin gara-gara dasar luar tidak sehala, Anwar Ibrahim dan sebagainya. Obama bukan George W. Bush, apatah lagi Al Gore. Sama-sama dilantik menjawat kedudukan tertinggi dalam kerajaan pada 2009, Najib dan Obama berkongsi aspirasi serupa iaitu untuk membawa pembaharuan dan transformasi dalam pentadbiran masing-masing, seterusnya memperluaskan aspirasi itu ke seluruh pelosok rantau dan dunia. Kedua-dua pemimpin sedar bahawa hubungan diplomatik yang terjalin sejak Malaysia merdeka pada 1957 tidak harus dikorbankan hanya kerana tekanan ideologi. Kedua-dua pemimpin lebih-lebih lagi enggan hubungan erat yang sedang terjalin itu terjejas gara-gara bantahan sesetengah pihak terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Sebagaimana TPPA mendapat bantahan sesetengah pihak di Malaysia, perjanjian itu menurut Obama, turut menerima bangkangan daripada beberapa kelompok di AS. "Tidak pernah ada perjanjian perdagangan yang dipersetujui bulat-bulat oleh semua, pasti ada yang membantah," kata Obama. Yang penting, Perdana Menteri telah memberi jaminan yang Malaysia tidak akan ke meja rundingan tanpa terma-terma yang memihak kepada negara. AS penting bagi Malaysia, bukan terhad sebagai rakan dagangan terbesar sebaliknya meliputi kerjasama komprehensif dalam pelbagai bidang - ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan banyak lagi. Aturcara terakhir Obama sahaja menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan AS bernilai AS$2 bilion dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans. Sementara program Fulbright yang dilaksanakan sekian lama telah membuahkan hasil dari segi memperkasa penguasaan bahasa Inggeris di sekolah, saban tahun juga menyaksikan sejumlah pelajar kita melanjutkan pengajian di universiti-universiti terkemuka di AS dan pulang dengan sijil dan kepakaran dari sana. Sebagaimana AS penting kepada Malaysia, begitu juga Malaysia penting bagi AS terutama dalam usaha memperluaskan pengaruhnya di rantau Asia Tenggara. Sepatah kata Najib, kehadiran AS dialu-alukan terutama dalam menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau. Kunjungan Obama tepat pada masanya memandangkan Malaysia akan mengambil giliran mempengerusikan ASEAN tahun depan. Dan isu pertikaian bertindih di Laut China Selatan yang melingkari dua pertiga keanggotaan ASEAN dengan dominasi China, memerlukan kuasa besar lain sebagai pengimbang. Kedua-dua pemimpin, Obama dan Najib masing-masing bersetuju pentingnya ASEAN dan China mempercepatkan pelaksanaan Kod Tatacara di Laut China Selatan, bagi mengelakkan keadaan tidak stabil di perairan itu. Sejak dua bulan lalu juga, tahap hubungan Malaysia-AS meningkat setakuk lagi melibatkan kerjasama dalam misi pencarian MH370. Walaupun sudah memasuki hari ke-52, AS adalah antara negara yang masih setia bersama-sama meredah samudera di Lautan Hindi untuk meneruskan usaha menjejaki pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu. Dan Obama sendiri dalam sidang akhbar bersama Najib pada hari kedua lawatannya ke sini, memberi jaminan AS untuk terus menyalurkan apa jua bantuan dalam usaha mencari dan menyiasat punca tragedi. Di sebalik isu TPPA dan MH370 yang sering menjadi tumpuan media sepanjang lawatan singkat ini, sesi perjumpaan tidak formal dengan para pemimpin belia dari Asia Tenggara dan kunjungan ke Masjid Negara - turut mempunyai signifikannya. Perjumpaan dengan belia ASEAN di Universiti Malaya (UM) menunjukkan kepekaan Obama terhadap generasi muda yang akan mengisi wajah pemimpin rantau ini pada masa depan. Kunjungan ke Masjid Negara pula membayangkan pengiktirafan Presiden AS itu terhadap Islam sebagai agama Persekutuan yang dianuti oleh majoriti rakyat Malaysia. Barangkali kenyataan Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Jamaludin Jarjis ketika ditemubual oleh BernamaTV pada Ahad lalu dapat dijadikan rumusan tepat berhubung lawatan Presiden Obama ke negara ini. "Lawatan ini adalah satu penghormatan kepada rakyat Malaysia kerana sebuah negara kuasa besar mengiktiraf kita, negara Islam. Ia sekali gus menggambarkan pengiktirafan dunia terhadap usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan," katanya. Lawatan Obama adalah yang pertama oleh Presiden AS dalam tempoh 48 tahun, iaitu sejak kali terakhir dilakukan oleh Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966. Sebenarnya, tidak perlu kata-kata. Melihatkan betapa eratnya Najib dan Obama berjabat tangan sepanjang lawatan tiga hari Presiden AS itu ke Malaysia, cukup membuang keraguan terhadap status hubungan Washington-Kuala Lumpur dan hala tuju yang akan direntas selepas ini. Era hubungan dingin dan suam-suam kuku sudah berlalu, sebaliknya bermulalah lembaran baru hubungan yang lebih dinamik dan progresif. Mudah-mudahan dengan keakraban Najib-Obama, suara kerdil rakyat Malaysia, rantau Asia, dunia ketiga dan umat Islam seluruhnya akan sampai terus ke telinga pemimpin kuasa besar itu. Buktinya sudah ada apabila hasil lawatan bersejarah Presiden AS itu ke Masjid Negara kelmarin, Imam Besar, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berpeluang membisikkan sendiri ke telinga Obama agar beliau melakukan sesuatu bagi menghentikan penindasan ke atas umat Islam di seluruh dunia. "Pray for me (doakan saya)" kata Obama ketika memberi respons kepada permintaan Syaikh Ismail itu. Sama-samalah kita mendoakan agar kata-kata Obama itu yang diungkapkan dalam rangka lawatan bersejarahnya ke sini menjadi titik-tolak kepada pengwujudan dunia yang lebih baik tanpa keganasan dan penindasan. Dan sebagai `sahabat, kita percaya Obama akan mendengar dan mengambil kira pandangan sahabat dari Malaysia. |
Memperbaiki cara niaga orang Melayu Posted: 28 Apr 2014 12:08 PM PDT Oleh M JASNI MAJED PENULIS hampir ketawa apabila seorang peniaga Melayu di pekan berhampiran tempat tinggal penulis mengeluarkan mesin kira untuk mengira harga dua biji buah epal dan tiga biji oren yang dibeli oleh seorang pelanggan. Mengikut tanda harga yang tertera, sebiji epal berharga 80 sen dan begitu juga dengan harga bagi sebiji oren. Pelanggan itu juga tersenyum kerana dia terlebih dahulu menghulurkan wang sebanyak RM4 kepada peniaga berkenaan dan diletakkannya di atas meja kaunter. Dalam satu kes di kedai runcit orang Melayu, peniaganya menyediakan dua buah kerusi di depan kedainya. Maka apabila ada rakan yang datang, maka melepaklah rakan-rakannya di depan kedai sehingga naik segan orang lain hendak singgah membeli di kedainya. Jika orang perempuan, lebih segan jadinya. Dalam satu kes pula, salah seorang peniaga Melayu yang berniaga kedai runcit yang kebetulan diapit oleh dua buah kedai runcit orang Cina, terpaksa menutup perniagaan kerana tidak tahan dengan saingan harga. Kedua-dua kedai orang Cina itu masih menjalankan perniagaan dan tempat peniaga Melayu tadi juga diambil alih oleh seorang peniaga lain, berbangsa Cina juga. Sejarah perniagaan orang Melayu bukanlah baharu kerana sejak zaman dahulu lagi orang Melayu dikatakan pandai berniaga. Dalam hikayat-hikayat lama, orang Melayu sudah menjalankan aktiviti perdagangan yang bukan sahaja membabitkan barang-barang seperti rempah cabai tetapi menjangkau bidang niaga yang lebih besar. Hanya lama-kelamaan orang Melayu beralih kepada bidang pertanian dan perikanan kerana bidang niaga mula dikuasai oleh orang asing yang dikatakan lebih pandai berniaga, bersistematik, ada ilmu niaga, ada kesatuan, berani menempuh cabaran dan sebagainya. Zaman selepas merdeka, menurut kata bapa penulis, orang Cina masih menjalankan perniagaan runcit di kampung-kampung Melayu kerana tiada orang Melayu yang berniaga. Kemudian apabila orang Melayu sudah mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan, orang Cina berpindah ke pekan-pekan dan terus menjalankan perniagaan mereka di sana, jauh lebih besar daripada apa yang diniagakan di kampung. Sejak dahulu lagi, orang Melayu di kampung-kampung yang ada kenderaan atau mudah bergerak ke pekan atau ke bandar akan terus membeli dengan orang Cina kerana kedai-kedai runcit orang Melayu di kampung menawarkan harga yang mahal, maksudnya jika beli sepuluh barang di kedai Cina, sekurang-kurang untung RM3 atau lebih. Itu zaman dahulu di mana nilai RM3 besar yang hampir sama dengan RM30 zaman sekarang. Sampai zaman sekarang pun, masih ramai peniaga Melayu yang terpaksa menjual lebih mahal kerana dakwa mereka mendapat untung yang tidak begitu banyak kerana barang-barang yang disumbat di dalam kedai mereka dibekalkan oleh peniaga Cina di pekan atau di bandar. Boleh dikatakan masih ada kedai-kedai runcit Melayu di kampung sekarang cuba bertahan kerana mereka ada pelanggan tetap memandangkan pemilik kedainya membenarkan pelanggannya berhutang. Walaupun pekedai terpaksa menanggung risiko, tetapi itulah sahaja sebahagian kaedah untuk meneruskan aktiviti niaga daripada membiarkan perniagaan terus berkubur. Dalam ceramah-ceramah berkaitan bidang perniagaan orang Melayu, ramai yang menjadikan ketam sebagai simbol kepada kaedah dan 'penyakit' orang berniaga. Ketam, jika diletakkan beberapa ekor di dalam sebuah baldi, berebut-rebut hendak panjat ke atas. Bagi orang Cina, jika salah seekornya berjaya naik, ketam itu digambarkan gembira, panggil kawan-kawan di bawah, suruh naik kerana pemandangan di atasnya menarik. Bagi Melayu, seekor sudah hampir berjaya memanjat, yang di bawahnya menarik, sehingga kesemuanya tidak pernah berjaya naik. Jika ada pun yang berjaya naik, tidak dipandangnya lagi ke bawah, dan tidak diambil tahu apa yang terjadi kepada rakan-rakan di bawah. 'Penyakit' dan kelemahan-kelemahan cara niaga orang Melayu perlu diperbaiki jika orang Melayu mahu menjadikan bidang niaga sebagai satu bidang yang boleh memberi pulangan yang lumayan, sebagai satu pekerjaan dan boleh diwarisi oleh anak-anak cucu mereka. Mereka perlu melihat dan belajar daripada bangsa yang pandai berniaga, bagaimana kaedah mereka berniaga dan bagaimana cara mereka mengendalikan perniagaan sejak sekian lama kemudian berjaya pula diwarisi oleh anak-anak cucu mereka. Apa yang pernah penulis lihat, seorang peniaga Cina membiarkan anaknya membuat kerja-kerja sekolah di dalam kedai, iaitu di celah-celah lorong kedai runcitnya. Pada mulanya penulis agak hairan kerana pergerakan pelanggan di dalam kedai itu terganggu sedikit. Tetapi lama-kelamaan penulis dapat memahami bahawa itulah cara mereka mendidik anak-anak supaya menjadi peniaga seperti mereka. Penulis sempat menjengah kerja yang dilakukan oleh anak peniaga itu. Rupa-rupanya Matematik! |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |