Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
CeIO jadi pakar rujuk subjek integriti Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT Oleh MOHD. REZAIDI MOHD. ISHAK Kakitangan Institut Integriti Malaysia (IIM), (dari kiri) Nor Faizah Aziz dan Sherina Salahuddin melihat buku laporan selepas majlis Pembentangan dan Penyerahan Laporan Tekad Integriti 2009-2013 di Kuala Lumpur, baru-baru ini - BERNAMA SATU perkembangan menarik dapat disaksikan sejak program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) diperkenalkan. Semakin ramai pegawai sama ada kerajaan atau swasta menunjukkan minat untuk mengikuti Program CeIO ini. Sejak tiga tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melahirkan 248 pegawai CeIO. Berdasarkan trend ini, penulis pasti angka ini akan meningkat secara ketara dalam beberapa tahun lagi. Ia akan meningkat memandangkan kerajaan telah pun mewajibkan setiap agensi awam memiliki pegawai yang bertanggungjawab ke atas pengurusan integriti, begitu juga dengan syarikat berkepentingan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan ataupun negeri. Trend positif bilangan peserta yang meningkat juga menunjukkan kesedaran menjadikan integriti sebahagian daripada komponen dalam pengurusan sesebuah organisasi turut semakin penting. Permintaan yang begitu mendesak untuk penempatan pegawai-pegawai integriti bertauliah di agensi-agensi awam dan swasta juga mendorong SPRM mengambil langkah menyediakan program CeIO Eksekutif bagi pegawai pegawai berkenaan. Justeru, penulis yakin program CeIO, yang kini dijalankan dalam tempoh empat bulan, sedang bergerak di laluan yang betul bagi melahirkan persekitaran berintegriti dalam jangka panjang. Kita tidak boleh memerangi rasuah atau elemen salah guna kuasa di tempat kerja dengan serta-merta, dalam jangka pendek atau dalam sehari. Sebaliknya, kita perlu mengambil pendekatan jangka panjang ke arah itu. Penyediaan program CeIO, menerusi Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dimaksudkan. Diyakini CeIO akan melaksanakan tugas dan amanah yang berat ini dengan berkesan. Ini cabaran penting perlu dilalui oleh CeIO. Program CeIO juga merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran jangka panjang bagi mewujudkan nilai-nilai positif pengurusan dan pentadbiran. Malah, ia juga perlu seiring dengan adanya pengetahuan yang lengkap dan perlu ada penyelarasan semula melalui peranan alumni supaya perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara pegawai kerajaan dan pegawai dari sektor swasta harus dikongsi bersama. Penulis juga yakin barisan CeIO akan menjadi satu kumpulan profesional yang eksklusif sebagaimana persatuan-persatuan profesional lain sebagai sebuah entiti yang dikenali sebagai Persatuan CeIO yang didaftarkan secara rasmi bagi membantu pelaksanaan agenda integriti nasional dan SPRM memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan dengan integriti. Juga terdapat cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh CeIO untuk menjadikannya terus relevan. Cabaran utamanya ialah sebagai agen untuk membudayakan dan merakyatkan integriti dalam kalangan rakyat Malaysia. Untuk itu Persatuan CeIO perlu mengalas cabaran membantu Unit Pembangunan Integriti Korporat membangunkan rekabentuk latihan yang komprehensif yang sesuai dan menepati objektif latihan. Bagi mencapai impak maksimum, diharap ketua-ketua jabatan meletakkan pegawai yang telah menyertai kursus CeIO menjalankan tugas-tugas berkaitan integriti. Satu kerugian yang amat besar apabila kepakaran dan kemahiran berkaitan CeIO yang diperolehi ini tidak dimanfaatkan organisasi. Ini kerana pegawai-pegawai yang menyertai program CeIO didedahkan dengan peraturan dan undang-undang yang boleh digunakan di kementerian masing-masing. Saya percaya sekiranya CeIO diberi peluang memberi nasihat dalam mesyuarat yang melibat pengurusan tadbir urus, nescaya ia boleh menghelakan banyak perlakuan dalam perolehan dan pengurusan. Lebih-lebih lagi ia penting di agensi awam yang seringkali mendapat perhatian apabila Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan di Parlimen. Program CeiO dirangka khusus untuk melahirkan Pegawai Integriti Bertauliah bagi menjalankan tugas berkaitan integriti dalam memantapkan penyampaian perkhidmatan awam dan swasta. CeIO yang dilantik dalam sesebuah jabatan dapat meningkatkan integriti bagi memerangi rasuah di dalam agensi atau jabatan masing-masing. CeIO berperanan untuk merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program-program integriti dan pihaknya berharap ia dapat memantapkan lagi amalan integriti di jabatan dan agensi CeIO berkenaan. Difahamkan SPRM menerima banyak permohonan kementerian, agensi, badan berkanun, GLC dan swasta untuk menghantar pegawai menyertai program itu. Ia merupakan perubahan yang positif di mana ketua-ketua jabatan integriti sebagai suatu perkara yang penting dalam organisasi masing-masing. Sebagaimana diharapkan oleh SPRM, penempatan CeIO sudah pasti akan menjadi benteng kawalan dalaman organisasi. Ia akan menjadi pelengkap kepada usaha memperkasakan integriti dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa. PENULIS lebih gemar melihat program CeIO akan mampu mewujudkan nilai-nilai positif ke arah mewujudkan pengurusan dan pentadbiran berintegriti. Pada 23 April lalu genap 10 tahun kerajaan memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN). Justeru, kita perlu mengambil langkah susulan bagi memastikan kerajaan meneruskan komitmen untuk menjayakan agenda Pelan Integriti Nasional dan program CeIO ini secara berkesan dan menyeluruh bagi menwujudkan masyarakat Malaysia yang berintegriti, selaras dengan aspirasi antarabangsa. Program CeIO menumpukan kepada soal integriti dan pematuhan kepada prinsip-prinsip moral dan etika yang bernilai tinggi dan merupakan satu program baharu di Malaysia. Seperti diketahui umum program CelO bertujuan melatih pegawai-pegawai kerajaan dan sektor swasta untuk mempelajari integriti organisasi yang merangkumi bidang tadbir urus, etika pengurusan, undang-undang dalam memerangi rasuah, penyelewengan dana dan penyalahgunaan kuasa. Kewujudan CeIO seperti mana yang dirancang dan dicatatkan dalam buku PIN perlu diintegrasikan dengan kesepaduan nilai, roh dan semangat integriti agar pembudayaan integriti dapat difahami, dihayati dan dipraktikkan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam kehidupan. CeIO sebenarnya merupakan ejen perubahan dan pakar rujuk subjek integriti bagi setiap organisasi dan harapan besar kami dalam pengungkap kata hati rakyat bagi menjadikan Malaysia mencapai negara maju menjelang tahun 2020. PENULIS ialah Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah |
Posted: 29 Apr 2014 11:51 AM PDT Oleh Zaini Hassan SAYA mengenali wartawan hebat Kamaruzaman Mohamad atau dikenali sebagai Pok Me atau Kam ini lebih 26 tahun lalu. Semasa itu saya pelajar ITM dan menjalani latihan amali di Utusan Malaysia pada 1987 dan kemudian menyertai akhbar itu sepenuh masa pada 1989. Seorang yang cukup ceria, happy-go-lucky dan peramah. Jarang orang Kelantan yang kita kenali, tidak menunjukkan ciri-ciri kekelantanannya, namun Kamaruzaman yang berasal dari Bukit Abal, Pasir Putih, Kelantan, cukup universal. Kita mengenalinya sebagai wartawan jenayah Utusan Malaysia yang hebat, sekitar 80-an dan pertengahan 90-an. Dia bergandingan dengan rakan-rakan seangkatannya di Utusan menghidu, menjejak dan memburu berita-berita jenayah. Meja jenayah Utusan Malaysia masa itu cukup terkenal. Pemberita-pemberita yang mengendalikan meja itu juga cukup dedikasi. Malah, mempunyai gelaran masing-masing. Yang senior sedikit daripada Pok Me di meja jenayah Utusan pada ketika itu dikenali sebagai Chico (Hassim Sharudin), Sheriff Lobo (Ahmad Tarmizi) dan Dirty Harry atau Mike (Mohd. Nor Samad). Pok Me sendiri mempunyai gelaran sebagai Stingray. Masing-masing mempunyai perwatakan tersendiri. Karakter dia paling aku tak dapat lupakan. Sambil tersenyum, dia akan usap lembut misai kontot ala Hitler itu," kata Mike dalam mesejnya kepada saya. Mungkin mereka terlalu obses dengan watak-watak siri detektif di televisyen pada zaman retro itu, seperti watak Tony Baretta, Starsky and Hutch dan lain-lain. Chico, yang mencipta sendiri gelaran itu untuk dirinya, akan datang ke pejabat memakai bush jacket, atau tie besar, seluar bell bottom serta kasut tapak tebal. Sheriff Lobo pula berperwatakan ultra-tenang walaupun kes jenayah sedang berlaku, dia masih di pejabat menghembus rokoknya. Namun, beritanya tetap mantap. Pada zaman mereka itu, ada banyak kepala gangster besar bertaraf nasional seperti Botak Chin, Batang Kali dan juga watak-watak polis yang brutal seperti (Tan Sri) Zaman Khan dan Tuan Bahadon dari D9 - yang masing-masing seperti tikus dan kucing antara satu sama lain. Setiap malam semasa meja jenayah bekerja ada sahaja operasi polis membabitkan kes tembak mati penjenayah dan kongsi gelap. Maka aktiviti meja jenayah di media juga turut hebat dan memberi kesan kepada pembaca akhbar. Siapa alpa akan kena scoop dengan akhbar lain. Chico dan Sheriff Lobo sudah lama bersara. Difahamkan Sheriff Lobo kini juga tidak sihat kerana diabetes dan kakinya terpaksa diamputasi. Kontemporari wartawan jenayah mereka yang hebat semasa itu adalah Tony Emmanuel (NST), Lourdes Charles (The Star) dan Eddie Chua (The Malay Mail). Pada masa itu, bukan macam sekarang. Mereka perlu mendengar radio gelombang pendek polis bagi mengetahui aktiviti setiap hari polis atau bomba. Mereka memerlukan sumber atau orang hubungan yang rapat untuk mendapatkan maklumat. Maklumat yang tepat membolehkan wartawan berada di crime scene, pada detik-detik sebelum sesuatu insiden tembak-menembak berlaku. Walaupun Pok Me pernah berkhidmat sebagai Ketua Biro Utusan di Negeri Sembilan dan Selangor, beliau cukup dikenali sebagai wartawan jenayah yang hebat. Beliau juga amat dikenali di kalangan pegawai tinggi polis dan juga menteri-menteri besar di mana-mana sahaja dia berkhidmat. Pok Me mempunyai PR yang hebat. Pencapaian terbesar Pok Me ialah apabila dihantar oleh Ketua Pengarang Utusan ketika itu, (Datuk) Khalid Mohd. membuat liputan peristiwa penculikan oleh puak Abu Sayyaf di Pulau Sipadan pada Mei 2000. Penculik melarikan diri bersama tebusan ke selatan Filipina. Ketika itu Pok Me memegang jawatan Penolong Pengarang Berita. Pok Me dan jurugambar Zulazhar Shebley @ Apai, kini jurugambar The Star, pergi ke kepulauan Jolo (sebutan Holo) di selatan Filipina. Saya semasa itu sebagai Pengarang Berita, sementara Pengarang Tugasan pula ialah Mike. Kami berhubungan dengan beliau dari semasa ke semasa melalui telefon. Detik-detik kecemerlangan Pok Me ialah apabila dia - satu-satunya wartawan dunia - berjaya menembusi Kem Abu Sayaf dan menemui dengan Komander Robot, ketua penculik. Di kem itu, dia juga berjaya menemui mangsa-mangsa penculikan itu. Satu hari saya menerima panggilan daripada Pok Me menyatakan kejayaannya itu. Kami di Utusan cukup gembira dan teruja. Melalui telefon ganggang, tiada lagi telefon secanggih sekarang, kami berhubungan. Dia memberi butir-butir pertemuan bersejarah itu. Sambil telefon didakapkan ke bahu, kedua-dua tangan saya menaip. Maklumat yang dihantar bukan dalam bentuk berita. Pok Me kau bagi fakta saja, nanti aku goreng..., kata saya kepadanya. Goreng bermaksud ditulis semula dalam bentuk yang menarik. Pok Me berjaya menempuh perjalanan ke kem itu dengan menyamar sebagai orang awam, menaiki sebuah kenderaan setelah membuat sedikit pembayaran dalam dolar Amerika (yang dirahsiakan jumlahnya sehingga sekarang) dan berjaya menemui Komander Robot. Komander Robot, yang kemudian terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina bersama anggotanya, dikenali sebagai pemberontak yang cukup ganas. Jurugambar Apai menghantar gambar mereka bergambar dengan Komander Robot. Apa ni Pok Me sangkut tuala good morning di leher dia. Macam lepas basuh pinggan kendurilah..." jerkah Khalid Mohd. dalam loghat Penangnya, sebaik sahaja melihat gambar itu. Kami semua ketawa terbahak-bahak. Cari gambar lain...!" katanya. Namun tiada gambar lain, yang tiada tuala! Gambar itu disiarkan di muka depan Utusan Malaysia pada 26 Mei 2000. Tuala good morning itu kemudian menjadi gurauan yang tidak akan dilupakan. Dengan kejayaan itu, Kamaruzaman dijulang menjadi wartawan terbaik negara pada Anugerah Hadiah Kajai anjuran Institut Akhbar Malaysia pada tahun 2000. Sesungguhnya Pok Me cukup hebat. Daripada keperibadiannya yang tidak tahu marah orang, sentiasa tersenyum, cukup mesra - kami menjadi rakan baik. Beliau pernah menerajui Meja Jenayah Utusan di samping anak-anak buahnya yang dilatihnya menjadi hebat; Mohd. Romzi Samsudin (meninggal dunia akibat kanser dua minggu lalu), Fauziah Arof, Teon Eg, Borhan Abu Samah (berjaya memasuki ke kem al-Maunah semasa insiden Sauk), Radzuan Hassan, Radhuan Hussin dan Wan Sandari. Dalam kesibukan tugas, Pok Me terus mencatat kecemerlangan peribadinya apabila mengambil kursus luar kampus sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM). Tahun lalu apabila saya melihat kakinya mulai bengkak dan menghitam, saya menasihatinya supaya dapatkan rawatan segera kemungkinan disebabkan buah pinggang akibat diabetes. Abangnya sebelum itu juga meninggal dunia kerana diabetes. Keadaan kesihatan Pok Me semakin merudum. Doktornya, yang juga doktor saya di Sime Darby Medical Center (SDMC) selalu memberitahu saya, dia tak mahu pantang..." Namun semasa keadaannya cukup uzur dan di bawah rawatan dialisis tiga kali seminggu, beliau tetap mahu meneruskan tugasnya sebagai Pengarang Prosesan Utusan Malaysia. Ada masa beliau akan pulang ke rumahnya dengan saya kerana kami tinggal berhampiran di Shah Alam. Ada ketika semasa dalam perjalanan pulang di tengah-tengah malam, Pok Me minta diberhentikan kereta ke tepi lebuh raya NKVE kerana mahu muntah. Di saat-saat terakhirnya di pejabat, kira-kira seminggu lalu, dia sudah tidak banyak bercakap. Awal pagi Ahad lalu, dia dikejarkan ke hospital oleh isteri dan anak-anaknya kerana tidak sedarkan diri. Saya menerima mesej Whatsapp daripada anaknya Shafiq jam 2.44 pagi mengatakan ayah tidak sedarkan diri. Subuh hari Isnin, isterinya menelefon saya pada jam 5.35 pagi memberitahu, dia sudah tiada." Kamaruzaman menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isterinya, seorang guru, Rosmazlin Sulong dan anak-anak di dalam bilik CCU, SDMC. Kamaruzaman berusia 53 tahun. Allahyarham meninggalkan lima orang anak; Amir Safwan, 23, sedang mengikuti kursus Bachelor of Corporate Communication; Muhammad Syafiq, 22, sedang mengikuti Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance; Ummi Athirah, 20, sedang mengikuti Ijazah Doktor Perubatan di Bandung; Ahmad Syahmi, lepasan SPM, Arif Imran di Tingkatan 3 serta, ibunya Mek Eshah Yusof, 82. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya selepas dikafan dan disembahyangkan di masjid kariahnya di Masjid Bukit Jelutong Shah Alam, kelmarin. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah... |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |