Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
Posted: Pengembaraan di Era MesozoikOleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA KEADAAN gelap dalam ruang pameran Dinoscovery by Dinosaurs Live! pada awalnya jelas menimbulkan rasa takut kepada pengunjung terutamanya kanak-kanak. Perasaan takut mulai hilang sebaik mereka diberikan peta yang digunakan oleh ahli paleontologi (pengkaji fosil haiwan). Peta itu merupakan petunjuk untuk melakukan 15 aktiviti interaktif. Sebelum meneroka ke era Mesozoik iaitu bermula 230 juta tahun hingga 63 juta tahun lalu itu, pengunjung diberi peluang untuk menyaksikan tayangan video mengenai kehidupan dinosaur. Melalui tayangan itu, pengunjung diberikan gambaran awal mengenai habitat dan spesies dinosaur yang terdapat sepanjang pameran yang berlangsung sehingga bulan Februari 2015. Menariknya mengenai pameran Dinoscovery by Dinosaurs Live! ialah pengunjung diberikan tag pengenalan radio berfrekuensi seperti gelang yang dipakai pada tangan pengunjung. Setiap pengunjung boleh mengimbaskan gelang getah itu pada setiap titik semakan untuk mendapat informasi dan jawapan persoalan mengenai spesies dinosaur. Seorang pengunjung, Jacqui Burgess memberitahu, Dinoscovery by Dinosaurs Live! merupakan pameran kedua yang dikunjungi oleh keluarganya sejak menetap di ibu negara, tiga tahun lalu. Dia yang datang bersama dua orang anaknya, Dominic Burgess, 7, dan Sophie Burgess, 6, menyifatkan Dinoscovery by Dinosaurs Live! merupakan destinasi terbaik untuk kanak-kanak memperoleh informasi mengenai dinosaur. AKSI riang kanak-kanak ke pameran ini yang menjadi tumpuan lensa jurugambar. Konsep "Konsep pameran ini lebih interaktif. Dominic menggemari aktiviti lumba lari dengan dinosaur spesies Velociraptor yang dilengkapi dengan sistem sensor di trek sepanjang 10 meter. Informasi dan aktiviti untuk kanak-kanak dalam meneroka dunia dinosaur disediakan dengan teknologi canggih," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di pameran tersebut di pusat beli-belah Avenue K, ibu negara baru-baru ini. Pameran tersebut mempamerkan karakter dinosaur yang direka semula berlatarbelakangkan set pengembaraan di habitat sebenar. Pengunjung dibekalkan lampu kepala untuk memudahkan perjalanan dan melakukan tugasan dalam kegelapan ruang pameran. Berpandukan peta dan tag pengenalan radio berfrekuensi, ia merupakan komponen penting bagi pengunjung untuk meneruskan pengembaraan dalam pameran itu. Setiap titik semakan mempunyai soalan yang harus diselesaikan oleh pengunjung. Tampil dengan tema Calling All Cavepeople, pameran itu juga mempamerkan rekaan patung dinosaur yang kelihatan seperti hidup malah ada yang bergerak apabila disentuh. Setiap persinggahan pengunjung di pameran yang berkeluasan 1,208 meter persegi itu menyediakan informasi lengkap mengenai hidupan dinosaur. Sebagai contoh, kanak-kanak mengembara menyelamatkan dinosaur dengan menembak haiwan perosak, menggali kawasan berpasir mencari fosil dan mempelajari tekstur bahan buangan haiwan reptilia itu. Dinoscovery by Dinosaurs Live! menjadi salah satu destinasi wajib dikunjungi oleh para pelancong di ibu negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 kerana pameran itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. MAKLUMAT lengkap mengenai spesies dinosaur disediakan kepada pengunjung sehingga garisan penamat. Tarikan utama Tarikan utama untuk pengunjung di pameran edutainment itu ialah Dino Quest, paintball menembak nyamuk yang mengganggu spesies Diplodocus, memanjat dinding untuk melihat telur spesies Pteranodon yang tergantung dan mempelajari cara Ankylosaurus mempertahankan diri. Selain aktiviti, setiap maklumat yang disampaikan secara santai dan interaktif ternyata menarik minat kanak-kanak untuk meneruskan pengembaraan sehingga ke garisan penamat. Pameran itu dibawakan oleh EMS Holdings Pte. Ltd. (EMS) yang merupakan pemilik dan pengeluar acara hiburan terkemuka dunia. Pengerusi EMS, Datuk Jared Lim memberitahu, pameran yang mendapat kerjasama Avenue K dan Malaysia Major Events itu diharapkan menjadikan tapak Discoveria sebagai destinasi tumpuan pelancongan di Malaysia. "Lokasi Avenue K yang terletak berhadapan Menara Berkembar Petronas menjadikan Dinoscovery by Dinosaurs Live! sebagai satu alternatif lain kepada pelancong di ibu negara. "Sejak dibuka kepada orang ramai sebulan lalu, pameran ini berjaya menarik pelancong dari luar negara terutamanya China dan Indonesia. Idea seperti pameran ini telah dilakukan di Eropah dan Amerika Syarikat sejak 20 tahun lalu. Dinoscovery by Dinosaurs Live! merupakan pameran pertama di rantau Asia Tenggara," ujarnya pada sidang akhbar selepas pelancaran pameran tersebut baru-baru ini. Turut hadir dalam acara pelancaran pameran itu ialah Pengarah Urusan EMS dari Singapura, Greg Suzuki. Para tetamu, ibu bapa dan kanak-kanak yang hadir turut dihiburkan oleh lima orang pelakon rancangan televisyen kanak-kanak popular dari Australia iaitu Hi-5. Tambah Jared, pihaknya menjangkakan seramai 200,000 pengunjung berkunjung ke pameran tersebut sehingga Februari tahun depan.
Objektif pameran Dinoscovery by Dinosaurs Live! ialah untuk menggalakkan golongan dewasa atau kanak-kanak mendapatkan maklumat dengan kaedah interaktif. Aktiviti yang mencabar itu juga mencambahkan minat kanak-kanak terhadap hidupan yang telah pupus itu. Melihat kepada struktur rekaan patung dinosaur yang dibina di Filipina dan China itu, pengunjung pastinya berasa gerun kerana ia seolah-olah seperti hidup. Kanak-kanak juga boleh menyertai peraduan mewarna dengan menggunakan kelengkapan warna yang ditaja oleh Staedtler selepas mengembara di dalam ruangan pameran. Buku Junior Paleontologist Handbook turut dijual kepada pengunjung sebagai satu langkah terbaik untuk kanak-kanak mengulang kaji pembelajaran yang diperoleh pada pameran itu. Menurut Greg, konsep pameran itu akan dibawa dan dipamerkan di beberapa bandar raya di Jepun antaranya, Hiroshima, Osaka, Tokyo dan Nagoya. Selain kanak-kanak, golongan dewasa juga boleh melakukan setiap aktiviti di Dinoscovery by Dinosaurs Live! dengan bantuan pembantu di setiap titik semak. | |
Sepanyol bandar raya luar biasa Posted: Sepanyol bandar raya luar biasaREKA bentuk L'Hemisferic yang menyerupai bebola mata apabila sebahagian imej terpantul dari air tasik turut menjadi tarikan. BERCUTI ke Sepanyol tidak akan lengkap sekiranya tidak menghabiskan masa di bandar raya pelabuhan terkenal iaitu Valencia yang menghadap Laut Mediterranean. Ia merupakan sebuah bandar raya yang sering menjadi buah mulut warga Amerika Syarikat (AS) apabila balik bercuti dari Eropah. Bagi kebanyakan pelancong AS, percutian ke Eropah kurang memberi kepuasan sekiranya tidak memasukkan Valencia dan Barcelona ke dalam senarai destinasi. Sebagai orang AS yang sering mendengar cerita daripada rakan-rakan mengenai Barcelona, saya juga tidak mahu melepaskan peluang menyedut udara segar Laut Mediterranean dari 'jendela' Barcelona. Sebaik menuruni pesawat di Lapangan Terbang Granada, perjalanan saya ke Valencia dan Barcelona bermula tanpa ditemani sesiapa. Saya sengaja untuk tidak mendarat terus di lapangan terbang Valencia dan Barcelona kerana mahu menikmati pengalaman membuat perjalanan darat di sepanjang Laut Mediterranean. Di Lapangan Terbang Granada, saya terus membeli poskad-poskad yang tertera gambar beberapa destinasi pelancongan di Sepanyol. Seorang pekerja kedai poskad di lapangan terbang juga memberitahu supaya singgah di Valencia sebelum meneruskan perjalanan ke Barcelona. Ia membuatkan saya semakin tidak sabar untuk ke Valencia apabila pekerja kedai itu bersungguh-sungguh menyuruh saya singgah di Valencia, tambahan pula saya memang mahu ke sana. Jarak antara Granada dengan Barcelona adalah kira-kira 858 kilometer menggunakan pengangkutan awam di laluan jalan raya sepanjang pantai yang menghadap Laut Mediterranean. Valencia Perjalanan itu mengambil masa kira-kira lapan jam tetapi saya membuat keputusan untuk singgah menghabiskan masa selama satu hari di Valencia terlebih dahulu. Valencia, bandar ketiga terbesar di Sepanyol yang terletak di timur laut bukan tempat menyenangkan bagi pelancong. Budaya masyarakat di situ juga jauh berbeza dengan tempat-tempat lain di Sepanyol. Masyarakat di Valencia tidak suka bertutur dalam bahasa Sepanyol. Mereka lebih gemar bercakap menggunakan bahasa Catalonia. PENGHIBUR jalanan melakukan persembahan di khalayak ramai di Rambla yang menjadi tarikan utama di bandar raya Barcelona. Selain itu, mereka juga menyambut baik sekiranya pelancong menggunakan bahasa selain Sepanyol seperti Inggeris, Perancis, Jerman atau Itali. Keadaan itu tidak pelik sekiranya mengetahui sentimen masyarakat Valencia yang tidak suka berada di bawah pemerintahan Sepanyol sejak beberapa dekad lalu. Di Valencia, saya tidak membuang masa dengan berhenti berehat dan tidur. Saya membelek poskad yang dibeli di lapangan terbang dan tertarik melihat bangunan L'Hemisferic. Perjalanan untuk sampai ke L'Hemisferic menjadi lebih menarik apabila melihat deretan taman yang sangat cantik di sepanjang bandar. Penduduk tempatan memanggil ia sebagai Taman Turia. Taman tersebut merupakan bekas laluan Sungai Turia yang tertimbus selepas kejadian banjir lumpur terbesar di Valencia pada tahun 1957. Selepas tertimbus, ia mula ditumbuhi pokok sebelum diubah suai menjadi taman yang dihiasi air pancut, laluan pejalan kaki serta tempat khas untuk kanak-kanak bermain. Taman Turia juga merupakan salah satu daripada 12 khazanah destinasi semula jadi yang menarik di Sepanyol. Di sepanjang laluan taman itu juga terdapat beberapa jambatan yang pernah menjadi penghubung pekan-pekan kecil di Valencia pada ketika Sungai Turia masih wujud. Di penghujung laluan taman itu, didirikan L'Hemisferic yang sangat menarik perhatian kerana berbentuk seperti bebola mata apabila menerima pantulan dari air Tasik Turia. Ia merupakan sebuah panggung planetarium milik Kompleks Sains dan Seni Valencia yang menyediakan skrin bersaiz 900 meter persegi. Selepas menyaksikan kepintaran seni bina L'Hemisferic yang menjadi mercu tanda Valencia, saya kemudian melawat L'Oceanografic iaitu akuarium terbesar di Eropah. Pengindahan kawasan di sepanjang laluan Taman Turia sehingga Tasik Turia dijalankan pada 1998 oleh Kompleks Sains dan Seni Valencia menerusi kepakaran dua arkitek tempatan iaitu Santiago Calatraya serta Felix Candela. Barcelona Persinggahan di Valencia ternyata tidak sia-sia terutama selepas melihat keajaiban Taman Turia dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk ke Barcelona pada keesokan hari. Perjalanan selama tiga jam ke Barcelona tidak begitu memenatkan. Sebaik tiba di Barcelona, saya berjalan menuju ke Rambla. Ia merupakan sebuah laluan pejalan kaki utama di Barcelona yang menghubungkan kawasan tempat tinggal penduduk dengan pusat bandar raya. Terdapat pelbagai aktiviti menarik di Rambla seperti penghibur jalanan, deretan kedai menjual bunga dan restoran-restoran yang menghidang variasi cita rasa Sepanyol serta Latin.
Paling menarik perhatian ketika berada di Barcelona ialah sebaik menjejak kaki ke deretan bangunan pelik yang dinamakan gaudy. Bangunan pelik itu dibina berdasarkan idea arkitek masyhur di Sepanyol iaitu Antonin Gaudi pada 1880-an yang kemudian tercipta terma konsep binaan yang disebut gaudy sempena nama beliau. Gaudi tidak sekadar mencipta konsep bangunan, dia turut menetapkan jenis bahan binaan dan standard rekaan dalaman secara terperinci termasuk pemilihan perabot, corak lantai dan hiasan dinding. Salah satu karya beliau dianggap terhebat ialah gereja Sagrada Familia yang proses pembinaannya tergendala apabila Gaudi maut dilanggar kereta api pada 1926. Struktur bangunan itu direka mempunyai 18 tiang batu dan hanya sebanyak lapan tiang setinggi 100 meter sempat didirikan sebelum kematian Gaudi. Bagaimanapun, Sagrada Familia disiapkan sepenuhnya pada tahun 2008 sebagai memberi penghormatan terhadap idea seni bina terakhir Gaudi. Setiap pengunjung yang tiba di Barcelona pasti akan diperdengarkan mengenai karya seni bina Gaudi oleh penduduk tempatan. Meluangkan masa mendengar kisah-kisah lisan daripada penduduk tempatan juga merupakan jalan terbaik untuk mendapatkan bantuan tunjuk arah daripada orang di sana. Tidak banyak tempat menarik di Barcelona. Bandar raya itu dipenuhi kelab malam dan budaya popular yang tidak ubah seperti di AS dan negara Eropah lain. Namun, Rambla dan bangunan-bangunan Gaudi menjanjikan pengalaman tidak terhingga kepada setiap pengunjung yang menjejakkan kaki ke bandar pelabuhan itu. - Adventureprone.com | |
Seperti beristirehat di rumah sendiri Posted: Seperti beristirehat di rumah sendiriOleh MOHD. NOOR MAT AMIN STUDIO Suite lengkap dengan perabot untuk kegunaan para tetamu. SUASANA nyaman yang bebas pencemaran asap kenderaan dan kesesakan lalu lintas di tengah ibu kota menyebabkan Shaftsbury Serviced Residences, Cyberjaya menjadi pilihan penginapan tetamu tempatan dan luar negara. Shaftsbury Serviced Residences, Cyberjaya terletak kira-kira 50 kilometer di selatan bandar raya Kuala Lumpur memulakan operasi sejak September 2013 dengan menawarkan pilihan penginapan yang sesuai bagi ahli perniagaan, eksekutif dan keluarga. Terkenal dengan ruang moden dan eksklusif, unit-unitnya turut menawarkan suasana selesa dengan kelengkapan perabot terpilih dan pelbagai kemudahan sampingan. Daripada satu bilik hingga empat bilik tidur, penyediaan gaya penginapan terbahagi kepada ruang untuk dapur, ruang tamu dan tempat makan. Sebanyak 238 unit bilik untuk para tetamu yang terbahagi kepada empat kategori iaitu Studio Suite, One-Room Suite, Two-Room Suite dan Three-Room Suite. Istimewa Menurut Pengarah Eksekutif, Shaftsbury Capital Sdn. Bhd., Tengku Hishammuddin Zaizi, penginapan yang ditawarkan amat istimewa dan memberi keselesaan seperti berada di rumah sendiri. "Pihak kami banyak menerima tempahan daripada pelancong asing. Mereka terdiri daripada golongan ekspatriat terutama dari Asia Barat dan Eropah yang menjadikan Shaftsbury Serviced Residences sebagai rumah sementara ketika berada di negara ini. "Ada dalam kalangan mereka menginap beberapa bulan di suite bersama keluarga kerana bekerja di sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Shah Alam, Sepang mahupun ibu negara.
"Bagi tempoh yang agak lama, kadar caj penginapan dikenakan agak berbeza dan mengikut pakej tertentu," ujarnya. Tambah Tengku Hishammuddin, pelancong juga diberi pakej penginapan selama tiga bulan, enam bulan dan setahun untuk mereka yang ingin menginap dalam jangka masa panjang. Tetamu tidak perlu bimbang kerana setiap tingkat penginapan dilengkapi dengan sistem kunci berkomputer, sistem televisyen litar tertutup (CCTV), kawalan pengawal keselamatan selama 24 jam dan kemudahan tempat letak kereta yang selesa. Jelasnya, bagi keselesaan tetamu, kemudahan riadah turut disediakan termasuk kolam renang, taman kanak-kanak, ruang santai, gelanggang skuasy dan tenis, gimnasium, bilik sauna serta trek larian. Sementara itu, lokasi bersebelahan Shaftsbury Square turut menyediakan banyak kemudahan seperti kedai serbaneka, farmasi, restoran, karaoke dan bilik mainan video, sekali gus memberi lebih banyak kemudahan kepada tetamu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |