{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Irama keroncong menenangkan

Posted:

Irama keroncong menenangkan

Irama keroncong menenangkan

MAHZAN pernah menghasilkan 10 lagu komersial untuk penyanyi-penyanyi popular 80-an.


ADA keluh dalam bicaranya apabila diutarakan kelangsungan irama muzik tradisional keroncong yang semakin terpinggir jauh dari halwa telinga. Mungkin juga, anak-anak muda Melayu sudah tidak dapat membezakan antara keroncong dan dondang sayang?

Rintihan lelaki yang bakal menginjak usia 80 tahun pada bulan Ogos depan itu ada kebenarannya. Hari ini, jarang sekali kita mendengar alunan lagu-lagu klasik di corong-corong radio atau televisyen. Kalau ada pun, jumlah pendengar atau penontonnya boleh dibilang sekali nafas sahaja.

Bukan tidak pernah Mahzan Manan menghasilkan album dengan ciptaan lagu baharu yang dinyanyikan oleh penyanyi muda, namun usahanya itu tidak mendapat perhatian seperti yang diharapkan. Dipandang sepi hingga ia terus terbenam bersama masa-masa berlalu.

"Tidak terdetik di dalam hati saya untuk berkecil hati, sebaliknya saya terima seadanya," kata Mahzan ketika ditemui di kediamannya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mahzan, merupakan salah seorang penggiat muzik keroncong yang aktif sekitar tahun 70-an hingga kini. Dibesarkan dengan lagu-lagu keroncong yang dimainkan oleh radio dari negara seberang, mencambahkan rasa cinta Mahzan terhad muzik tradisional itu.

Muzik ringkas

"Pada saya, irama keroncong sangat menenangkan. Malah bait-bait liriknya mempunyai makna yang mendalam," ujar Mahzan.

Katanya, anak-anak muda sekarang lebih gemar dengan nota-nota muzik ringkas dengan penyatuan lirik yang 'berjiwa' kosong.

"Masa berubah, begitu juga aliran muzik. Selera muzik itu hak peribadi, jangan dipaksa-paksa," ujarnya.

Kurangnya pendedahan kepada generasi baharu menjadi antara faktor ia dipinggirkan arus perdana. Jarang sekali irama keroncong diperdengarkan di stesen radio dan televisyen tempatan.

"Ia menjadi cabaran untuk keroncong terus hidup di negara kita," katanya.

Muzik keroncong mengikut catatan sejarah dibawa oleh pedagang Portugis ke tanah Indonesia. Selepas berlakunya peperangan yang menyaksikan kejatuhan tentera Portugis kepada Belanda sekitar tahun 1648, kesemua tawanan perang dibawa ke Batavia atau kini dikenali sebagai Jakarta.

Terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Benggali, Portugis dan Maluku, mereka menghiburkan kedukaan dengan memainkan sejenis alat muzik yang dipanggil fado. Penerimaan penduduk sekitar akhirnya mencipta akulturasi muzik baharu yang digelar keroncong.

Keindahan muzik itu turut meresap ke dalam jiwa penduduk Tanah Melayu terutamanya di Johor hasil inisiatif pedagang-pedagang berketurunan Jawa sekitar abad ke-19.

Selain menjadi kegemaran rakyat marhaen, kerabat diraja Johor ketika itu juga meminati muzik keroncong yang dimainkan menggunakan alat seperti biola, seruling, ukelele, tenor banjo, gitar, selo dan double bass.

KANAN. Mahzan mempunyai banyak simpanan lagu keroncong baharu yang masih belum dirakamkan.


Kecintaan penggemar keroncong berjaya mencetus sebuah segmen khas di stesen Radio Johor Best 104 yang hanya memainkan lagu-lagu keroncong bagi menyuntik elemen nostalgia kepada sang pendengar. Ia bersiaran dari pukul 10 malam hingga 2 pagi setiap malam.

Tempoh gemilang itu juga melahirkan beberapa pemuzik keroncong dalam penciptaan lagu bercorak Melayu. Antaranya, Zubir Said, Puteh Ramlee, Johar Bahar dan termasuklah Mahzan Manan.

"Namun, berapa kerat sahaja lagu-lagu keroncong Melayu asli yang dicipta oleh komposer tempatan, disebabkan itu kita hanya diperdengarkan lagu-lagu dari seberang," ujarnya yang memiliki enam cucu itu.

Tidak terancang

Mahzan berpendapat, mungkin disebabkan itu juga keroncong Melayu tidak dapat berkembang kerana kurangnya penciptaan lagu-lagu baharu. Ditambah pula dengan kemunculan muzik komersial era 80-an yang mendapat sambutan hangat daripada para pendengar.

Mengimbas penglibatan anak kelahiran Taiping, Perak dalam dunia muzik, Mahzan berkata, ia bermula secara tidak terancang apabila hobinya bermain alat muzik seperti gitar dan akordean menimbulkan minat untuk mencipta lagu.

"Ketika masih bekerja sebagai guru bahasa Inggeris di Sekolah Rendah King Edward, Taiping, Perak, saya mula berjinak-jinak menulis lagu untuk sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Waktu itu, setiap bulan ada pertandingan mencipta lagu baharu di radio RTM. Juara bulanan akan dipertandingkan pada peringkat tahunan. Lagu yang menjadi juara akan menjadi dendangan wajib bagi peserta Bintang RTM sekitar tahun 1960-an," imbas Mahzan.

Tanpa disangka, percubaan kali pertamanya memikat hati juri melalui lagu Hanya Sekejap dan tuahnya berterusan hingga tiga tahun berikutnya.

Pernah juga Mahzan mengubah muzik keroncong untuk dimainkan oleh Orkestra Sinar Malaysia di bawah pimpinan Johar Bahar yang disiarkan secara rakaman di RTM.

"Waktu itu, hiburan orang ramai hanya melalui radio sahaja, belum ada lagi televisyen. Saya sendiri menyumbangkan beberapa gubahan lagu. Penerbitnya, Ibrahim Bachik amat menggemari program tersebut malah mendapat sambutan baik daripada pendengar," kata Mahzan.

Berpindah ke ibu kota untuk berkhidmat di Radio Pendidikan RTM, Mahzan mula mencipta lagu-lagu untuk penyanyi-penyanyi terkenal pada masa itu seperti Dayuk DJ Dave, Gaya Zakry, Noor Kumalasari dan Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad.


KERONCONG tersebar ke Malaysia hingga menghasilkan alunan tersendiri.


Falsafah

Antara lagu-lagu pop yang dihasilkan oleh Mahzan ialah seperti Biarlah Ku Sendiri (Noor Kumalasari), Sepetang Di Pinggir Bukit (Sudirman) dan Bunga Mawar (Gaya Zakry). Namun, Mahzan tidak banyak mencipta lagu-lagu pop kerana kurang memberi kepuasan pada dirinya.

Kepada Mahzan, lagu-lagu yang dapat membangkitkan semangat dan berteraskan falfasah menjadi keutamaannya. Mengisi kekosongan itu, Mahzan ditawarkan menjadi tenaga pengajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.

Kali terakhir beliau menyertai pertandingan adalah pada tahun 2010 menerusi Pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Mempertaruhkan lagu Inginkan Kedamaian dinyanyikan oleh bakat muda Jamilah Abu Bakar, lagu berentak keroncong itu berjaya mengalahkan lapan buah lagu yang turut menyertai pertandingan tersebut.

Bagi Jamilah, 19, Mahzan seorang pendidik yang ikhlas dalam berkongsi ilmu muzik keroncong.

"Ketika merakamkan album Keroncong Jamilah pada tahun 2011, beliau tidak lokek berkongsi ilmu dari segi cara penyampaian lagu.

"Paling ditekankan, sebutan patah-patah lagu yang pada hemat beliau, semakin kurang dipraktikkan penyanyi-penyanyi komersial masa kini," ujarnya.

Usaha pihak atasan untuk memartabatkan lagu-lagu warisan sebegini kata Mahzan, antara solusi bagi mengangkat keroncong ke landasan yang selayaknya.

Biar pengikutnya masih ada, namun bagaimanakah kelangsungan muzik keroncong jika kelompoknya semakin mengecil saban hari?

"Ia merupakan khazanah yang sangat berharga. Usaha yang berterusan perlu untuk memulihara muzik tradisi tersebut," luah Mahzan yang masih menyimpan harapan untuk melihat keroncong terus didengari biar seribu tahun lagi.

Kanvas lukisan cinta baharu Mahzan

Posted:

Kanvas lukisan cinta baharu Mahzan

Kanvas lukisan cinta baharu Mahzan


MAHZAN menumpahkancinta seninya
di atas kanvas-kanvas lukisan.


PERMINTAAN Kosmo! untuk menemu ramah Mahzan Manan berhubung penglibatannya dalam dunia muzik khususnya aliran seni keroncong, pada awalnya ditolak.

Bapa kepada enam orang anak itu dengan rendah diri menyatakan, pencapaian seni beliau tidaklah terlalu tinggi.

"Kalau boleh, fokuskan sahaja kepada muzik keroncong yang hari ini semakin terpinggir daripada pendengaran umum," pinta Mahzan.

Hari ini, Mahzan hanya menjadi pemerhati kepada dunia seni, walau dalam simpanannya masih ada hampir 100 buah lagu baharu keroncong yang belum dirakamkan.

"Bukan tidak mahu merakamkan ia dalam bentuk album tetapi melihatkan senario pasaran muzik tradisional yang tidak menentu, maka lebih baik saya simpan sahaja.

"Jika ada yang berhajat untuk merakam, saya sangat berbesar hati," kata Mahzan.

Mengisi masa-masa emasnya, Mahzan menumpahkan rasa cinta seninya di atas kanvas-kanvas lukisan. Elemen-elemen muzik menjadi latar utama dalam setiap lukisan yang dihasilkan oleh Mahzan.

Baru-baru ini, beberapa lukisannya dipamerkan di Galeri Seni Universiti Malaya, Kuala Lumpur bersama tujuh orang karyawan lain. Dua daripadanya merupakan anak lelaki Mahzan iaitu Hairul Azzahar Mahzan, 48 dan Nazrul Asraff Mahzan, 47.

"Berikutan sambutan yang memberangsangkan, kami bercadang untuk mengadakan pameran bersama. Ia bakal mempamerkan lukisan-lukisan baharu dan sedia ada," optimis Mahzan.

Ditanya mengenai penyambung legasi seninya, Mahzan tersenyum. Beberapa orang anaknya terlibat dalam bidang seni tetapi dalam cabang yang berbeza.

"Ada juga cucu yang meminati muzik tetapi saya tidak pernah mendesak mereka untuk terlibat secara serius, " kata Mahzan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat