Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Mengambil iktibar politik Turki Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT Oleh Khairudin Mohd Zain KEMENANGAN besar Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AKP) di dalam pilihan raya tempatan baru-baru ini mendapat perhatian yang luar biasa oleh media antarabangsa. Sementara banyak artikel media antarabangsa memuji kemampuan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan memenangi pilihan raya walaupun berhadapan pelbagai skandal dan tuduhan, ada juga media antarabangsa yang tidak senang duduk dengan keadaan itu. Ada media antarabangsa yang menganggap kemenangan AKP dan Erdogan sebagai permulaan kepada zaman pemimpin autoritarian di Turki. Erdogan digambarkan sebagai seorang pemimpin yang terlalu tegas, malahan juga dianggap sebagai seorang yang antidemokrasi. Banyak analisis yang dikeluarkan oleh media antarabangsa mengenai keputusan pilihan raya tempatan tersebut. Ada yang positif dan banyak juga yang negatif. Yang pasti, kemenangan AKP adalah sesuatu yang tidak terlalu dijangka. Ketika AKP dan Erdogan secara peribadi berhadapan pelbagai tuduhan dan skandal, mungkin mengecewakan mereka yang mengharapkan keputusan sebaliknya. Tindakan Erdogan untuk menutup akses kepada Twitter dan kemudiannya YouTube dilihat sebagai tindakan keras dan menafikan sama sekali hak untuk rakyat mendapat informasi dan sebagainya. Kata nista media dan pejuang hak asasi manusia antarabangsa diberikan layanan dingin oleh Erdogan. Malahan, dalam menjawab gembar-gembur bahawa masyarakat antarabangsa mengutuknya di atas tindakan tersebut - Erdogan dikatakan memberikan jawapan yang bila diterjemahkan membawa makna: ....Mereka (masyarakat internasional) akan melihat kekuatan Republik Turki. Ini tidak ada kaitannya dengan kebebasan. Kebebasan tidak menyerang privasi seseorang," tegasnya. Menafikan akses demokrasi total orang muda di dalam Twitter dan Youtube adalah satu tindakan yang seakan-akan tidak kena dengan akal. Memberi marah kepada orang muda yang menjadi suara penentu dalam pilihan raya seakan-akannya akan mempercepat kematian politik AKP dan Erdogan. Ironinya, dalam keadaan itupun, AKP di bawah kepimpinan Erdogan mendapat peratusan undi sokongan yang cukup besar dan padu. Orang muda dan pengundi Turki sempat difahamkan dengan alasan tindakan itu diambil. Bukanlah niat artikel ini untuk mengatakan tindakan Erdogan itu betul dan tepat. Pandangan dan persepsi itu boleh diserahkan kepada diri kita masing-masing. Dan yang lebih penting, kita tidak punya apa-apa kepentingan untuk perkembangan politik di Turki. Rakyat di sana sudah bersuara dan seharusnyalah kita hormat kepada suara yang sedemikian jelas dan lantang. Jika melihat kepada deria politik semasa di mana-mana peringkat sekalipun, tindakan Erdogan ini adalah suatu tindakan kamikaze dan politik berani mati. Tidak ramai rasanya pemimpin dunia yang sanggup mengambil tindakan yang sedemikian ekstrem. Berani kepada sesetengah pihak - namun mungkin sedikit melampau kepada pihak yang lain. Menurut seorang teman yang kebetulan berada di sana untuk berkuliah, karisma dan ketokohan Erdogan itu sudah menjadi terlalu besar untuk diruntuhkan. Bukan soal orang muda terlalu sayang kepada AKP - tetapi parti yang sepatutnya bersaing dengan AKP tidak membawa bersamanya idea dan resipi politik baru. Walaupun bukan dengan pemerhatian yang terlalu akademik, rakan tersebut membayangkan bagaimana parti utama yang menjadi lawan AKP - gagal menjiwai semangat orang muda. Komitmen untuk memberi kuota sebanyak 10 % kepada calon CHP bawah 30 tahun agak lewat dijual kepada pengundi. Lebih separuh populasi di Turki berumur bawah 30 tahun; dan hampir separuh pengundi di bawah umur 40 tahun. CHP (parti lawan utama) AKP hanya mempunyai enam daripada 134 wakil rakyat di bawah umur 40 tahun; dan hanya dua daripada 17 'Majlis Tertinggi' CHP berumur bawah 50 tahun! Ini tidak bermakna AKP membariskan calon orang muda yang lebih ramai. Kalau mengikut peratusan - hanya 4 % calon AKP yang berumur bawah 30 tahun. Mungkin, pengundi melihat kepada kemampuan dan kewibawaan parti secara keseluruhan dan bukan sangat berkenaan umur seseorang calon. Apa yang nyata, AKP sebenarnya sudahpun memberikan cerita yang tepat kepada pengundi. Visi dan matlamat 2023 yang sering dijadikan asas kepada perjuangan AKP nampaknya cukup berkesan kepada pengundi. Keresahan pengundi muda berkenaan prinsip demokrasi dan keterbukaan disadur dengan 'gempita nasionalisme dan cinta negara' yang laku dan berbaloi. Mungkin ada iktibar di sebalik apa yang berlaku di Turki ini kepada mereka yang mempunyai kepentingan politik di Malaysia ini. Walaupun apa sahaja yang dilemparkan kepada AKP sebagai sebuah parti politik - pemimpin dan parti itu kelihatannya sangat wibawa dan diterima rakyat. Kepimpinan yang tegas dan berani, adakalanya sangat dihargai oleh pengundi. Cerita dan naratif prapilihan raya yang konsisten, tepat, mudah dan berkesan adalah antara resipi yang mesti diberikan perhatian oleh mana-mana parti politik sekalipun. AKP kelihatannya agak bijak mencari resipi mendekati pengundi, baik di bandar mahupun di luar bandar. Sementara kekuatan AKP dikatakan lebih utuh di luar bandar, usaha menyusun pembangunan dan infra urbanisasi tidak pernah diketepikan. Ketika mana suasana ekonomi yang agak menduga, kadar pengangguran yang agak tinggi (di kawasan bandar hampir mencecah 26%); kemenangan yang diperoleh Erdogan dan AKP adalah sesuatu yang memerlukan kajian politik yang lebih teliti dan ikhlas. Di atas kertas, tanpa merujuk kehebatan ketamadunan dan sejarah Turki yang panjang, juga tanpa penganalisaan soal konflik kumpulan Islamis dan sekular; kemenangan AKP wajar dikaji dan diperhalusi oleh mereka yang mempunyai minat yang mendalam. Dalam pada kita cukup berhati-hati, mengeluarkan perbelanjaan yang luar biasa besar di dalam usaha kononnya mendominasi media sosial, pemimpin seperti Erdogan menutup segala akses dengan wajah selamba. Dengan tindakan begitupun, 45 % undi rakyat masih diberikan kepada AKP. Iktibar ataupun sempadan politik paling besar di sebalik kemenangan AKP adalah koordinasi naratif pemimpin dan transformasi yang ingin dibawa oleh parti mestilah seiring. AKP sejak awal tahun 2000 melakukan banyak perubahan yang sangat diterima oleh majoriti rakyat. Sifir politik dan strategi Erdogan ini mungkin tidak boleh diaplikasi di semua negara. Apa yang ingin artikel ini sampaikan, adakalanya ketegasan seorang pemimpin itu turut menentu wibawa dan kebolehpercayaan pengundi. Itu sahaja. PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik. |
Penilaian PT3 bersifat menyeluruh Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT Oleh Alimuddin Mohd. Dom RAMAI yang menarik nafas lega apabila Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) baru-baru ini. Menurut beliau pentaksiran itu mampu mengurangkan beban guru sehingga 80%. Apa yang menggusarkan guru selama ini telah terjawab apabila mereka boleh merekodkan data prestasi pelajar mengikut kaedah dan kesesuaian masa mereka sendiri. Guru tidak perlu lagi merekodkan data penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat secara dalam talian. Penambahbaikan PBS dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilaksanakan bermula 1 April. Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih lancar maka semua guru mata pelajaran di sekolah menengah akan diberikan kursus dan latihan mengenainya. Penambahbaikan PBS ini dilakukan menerusi kajian pihak kementerian, input daripada warga pendidik dan kesatuan-kesatuan guru. Sesungguhnya tiga isu besar yang membelenggu guru dalam pelaksanaan PBS telah dapat diatasi. Pertama, penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan penyataan deskriptor dan evidens yang banyak akan dikurangkan. Kedua, pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit dilakukan mengikut kesesuaian masa guru manakala ketiga Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian yang sukar diakses dan memakan masa lama tidak lagi diperlukan. Guru boleh menyimpan rekod pelajar mengikut kaedah masing-masing. Mungkin ada yang bertanya apakah yang membezakan PT3 dengan PMR yang diamalkan sebelum ini. PT3 dilaksanakan berasaskan sekolah sementara PMR adalah peperiksaan berpusat serentak di semua sekolah di seluruh negara. PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan. Bahagian itu turut menyediakan semua soalan, jadual peperiksaan, pelantikan pemeriksa, penetapan standard jawapan, jumlah skor markah dan mengumumkan keputusan peperiksaan di akhir tahun. Walaupun PT3 dikendalikan sepenuhnya oleh pihak sekolah tetapi masih juga memerlukan pelajar menjawab soalan secara bertulis. Misalnya bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris pelajar bukan sahaja menduduki ujian bertulis tetapi juga dikehendaki menduduki ujian lisan. Sementara itu, bagi mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Agama Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun akan ditaksir melalui ujian bertulis. Bagi subjek Sejarah dan Geografi pula pentaksiran dilakukan melalui kerja kursus, penyediaan projek, kerja lapangan dan kajian kes. Ada yang bertanya bagaimana pula kriteria untuk memasuki Tingkatan 4 di sekolah tertentu pada tahun hadapan? Seperti diumumkan oleh Menteri Pendidikan, pelajar boleh menggunakan keputusan PT3 untuk memohon memasuki Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Teknik atau Kolej Vokasional. Menariknya PT3 tidak hanya menilai pelajar dari segi kognitif atau aspek akademik semata-mata tetapi turut menyediakan ujian psikomatrik. Ujian ini adalah untuk mengenal pasti kecenderungan, minat dan bidang kebolehan pelajar. Pada masa sama ujian ini dapat menjelaskan keupayaan pelajar dalam bidang sains dan minat terhadap penyelidikan. Sesungguhnya PT3 merupakan suatu pentaksiran yang bersifat holistik. Ini disebabkan ia turut memberikan pemberatan terhadap pencapaian dalam bidang kokurikulum. Keupayaan pelajar dalam bidang sukan, permainan, olahraga, persatuan, kelab dan pasukan beruniform akan dinilai dan diberikan markah. Dalam masa sama penilaian ini akan dapat mengenal pasti lebih awal bakat dan kebolehan pelajar dari aspek kepimpinan, keupayaan fizikal dan keunggulan sahsiah. Bagi memastikan pengurusan PT3 ditadbirkan dengan berkesan Lembaga Peperiksaan akan sentiasa memantau dan menilai pelaksanaannya. Bahagian itu akan menyediakan garis panduan dari segi standard jawapan dan menyelaraskan skor markah. Oleh itu semua pihak tidak perlu bimbang atau sangsi dari segi kesahihan dan kebolehpercayaan pentaksiran itu kerana akan sentiasa diawasi dan dinilai oleh Lembaga Peperiksaan dari semasa ke semasa. Selain itu keputusan PMR kebiasaannya diumumkan pada akhir tahun kini keputusan PT3 mungkin boleh diumumkan lebih awal oleh pihak sekolah. Sesungguhnya pelaksanaan PBS melalui PT3 akan dapat mengurangkan kritikan sesetengah pihak yang mengatakan sistem pendidikan kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Sudah tentu penekanan terhadap keputusan peperiksaan cemerlang semata-mata akan menyebabkan hala tuju pendidikan tidak menepati matlamat sebenarnya. Matlamat pendidikan seharusnya seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan. Pada masa sama dapat mengembangkan bakat mereka sama ada dalam bidang jasmani, emosi, rohani atau intelek. Akhirnya sistem pendidikan dapat menyediakan warga negara yang akan berbakti dan memberi sumbangan bererti kepada agama, bangsa dan pembangunan negara. Ironinya terlalu memberi penekanan berlebihan terhadap peperiksaan menyebabkan aktiviti kokurikulum terabai. Terbukti bahawa aktiviti kokurikulum dapat membentuk dan membina keupayaan pelajar dalam berbagai bidang. Ia akan dapat mengembangkan bakat kepimpinan, membina sahsiah yang unggul dan keperibadian yang mantap. Oleh itu dalam menghasilkan sistem pendidikan yang berkesan maka pelajar-pelajar perlu digalakkan terlibat secara aktif dalam bidang sukan, permainan, olahraga, persatuan, kelab dan pasukan seragam. Di samping itu aktiviti dalam dan luar bilik darjah seperti lakonan, teater, perbahasan, syarahan, koir, bermain alat muzik, nyanyian, tarian, kuiz, forum, teka silang kata, treasure hunt dan sebagainya hendaklah dijadikan amalan biasa di sekolah. Dalam usaha menjadikan pembelajaran lebih menarik maka sekolah perlu juga merancang aktiviti luar seperti melawat muzium, tempat bersejarah, kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar, membersihkan rumah ibadat, lawatan ke rumah orang tua atau rumah kebajikan. Termasuklah aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung, menerokai kawasan hutan atau bersantai di pantai atau kawasan air terjun. Hakikatnya, aktiviti ini sukar untuk dilaksanakan sekiranya guru-guru sentiasa dihambat untuk mengejar sukatan pelajaran dan persediaan mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Mungkin atas kesedaran tersebut maka Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah kepada pelajar Tingkatan 1 yang bermula tahun 2011. PBS dan PT3 memberi ruang dan peluang kepada pihak sekolah menilai sendiri pelajar mereka. Justeru pentaksiran baharu ini adalah suatu penilaian yang lebih bersifat holistik. PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UniSZA. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |