Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Iktibar dasar luar Kuala Lumpur Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT Oleh Azmi Hassan Najib Tun Razak bersalaman dengan Barack Obama ketika mengadakan pertemuan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Nusa Dua, Bali, 18 November lalu.- BERNAMA PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam agenda melakukan kunjungan ke empat ibu kota utama Asia iaitu Tokyo, Seoul, Manila dan Kuala Lumpur yang telah pun bermula semalam, merupakan lawatan yang kritikal kerana ia mampu memberi isyarat paling nyata bahawa Washington akan tetap memberi tumpuan tanpa berbelah-bahagi kepada rantau tersebut. Kritikal kerana telah mula timbul persepsi bahawa Washington di bawah pentadbiran Obama tidak begitu berminat dengan keadaan geopolitik yang melibatkan Asia kerana kemelut di Syria dan paling terkini di Ukraine telah mempamerkan manifestasi bahawa setiap keputusan yang melibatkan strategi ketenteraan begitu sukar untuk di laksanakan. Tiga sekutu utama Washington di Asia iaitu Tokyo, Seoul dan juga Manila begitu mengharapkan sesuatu yang nyata terbit daripada hasil lawatan Obama kerana ketiga-tiga ibu kota Asia tersebut memerlukan isyarat positif bahawa Washington akan membantu sekutunya di Asia apabila berhadapan dengan tekanan ketenteraan dari negara lain. Tokyo umpamanya yang mempunyai masalah tuntutan sempadan maritim bertindih dengan China yang melibatkan kepulauan Senkaku atau dikenali sebagai Diaoyu oleh Beijing amat memerlukan sokongan AS untuk berhadapan dengan kuasa besar Asia itu. Keputusan Tokyo untuk menghebahkan perancangan pembinaan radar di Pulau Yonaguni bagi memantau perairan dan ruang udara Senkaku/Diaoyu selang beberapa hari sebelum lawatan Obama sudah pasti menimbulkan kesangsian Beijing. Begitu sensitifnya pembinaan radar tersebut bukan sahaja kerana ia melibatkan isu tuntutan bertindih Senkaku/Diaoyu tetapi juga lokasinya yang begitu hampir dengan Taiwan. Perlu ditegaskan Beijing menganggap Taiwan adalah sebahagian daripada wilayah China. Jika Tokyo dengan berita pembinaan radar, Seoul pula tidak ketinggalan mengambil peluang daripada lawatan Obama dengan desas-desus bahawa Pyongyang sedang bersiap-sedia untuk melancarkan ujian ledakan nuklear. Belum dapat dipastikan kesahihan berita tersebut tetapi amat jelas bahawa ancaman Pyongyang di Semenanjung Korea merupakan satu isu yang perlu dihadapi oleh Washington. Isu pembangunan senjata nuklear Pyongyang sukar mencari jalan penyelesaian kerana sedikit-sebanyak faktor sokongan yang diberikan oleh Beijing terhadap pemimpin Korea Utara. Begitu juga dengan Manila yang terpaksa berhadapan dengan kekuatan tentera laut China kerana masalah tuntutan bertindih di Kepulauan Paracel di Laut China Selatan amat memerlukan sokongan dari Washington. Peristiwa pertembungan di Beting Scarborough dan Thomas Kedua baru-baru ini adalah manifestasi jelas kepentingan kehadiran tentera AS di Filipina. Besar kemungkinan satu perjanjian baharu akan dimeterai antara kedua-dua sekutu ini yang melibatkan penempatan tentera AS di pangkalan tentera Filipina. Perjanjian ini dinilai paling signifikan selepas pembubaran pangkalan tentera Teluk Subic dan Clark milik AS pada tahun 1991. Sokongan yang cuba diraih oleh Tokyo, Seoul dan Manila melibatkan pemangkin yang serupa, iaitu persepsi ancaman dari Beijing. Sebab itu Washington amat berhati-hati dalam menyusun agenda lawatan Obama kerana tidak mahu Beijing membuat tafsiran yang berat sebelah terhadap sokongan Washington kepada ketiga-tiga sekutu Asianya. Sebarang sokongan yang agak keterlaluan oleh Washington sudah pasti akan ditimbal balik oleh Beijing dengan strategi yang sama dan pasti akan menjadikan rantau Asia menjadi tidak stabil. Sebab itu, begitu penting bagi Washington untuk menilai kembali strategi Asia mereka kerana pertembungan dengan Beijing mesti dihindarkan selagi termampu. Seperti mana Tokyo, Manila dan Seoul yang mempunyai masalah tuntutan sempadan maritim bertindih dengan Beijing, Kuala Lumpur juga menghadapi isu yang serupa terutama sekali yang melibatkan gugusan Kepulauan Spratly dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia. Tetapi Kuala Lumpur tidak menggunakan lawatan Obama untuk memperkukuhkan jalinan ketenteraan kedua-dua negara kerana konsep tersebut tidak mempamerkan dasar luar Malaysia yang sebenar. Isu Beting Scarborough dan Thomas Kedua yang begitu hampir menjerumus kepada pertembungan ketenteraan di antara Manila dan Beijing beberapa bulan yang lepas adalah senario yang tidak diingini bukan sahaja oleh kedua-dua pihak yang bertelagah tetapi juga oleh semua negara di rantau Asia Pasifik. Pendekatan dasar luar yang diamalkan oleh Kuala Lumpur terutama sekali yang berkaitan dengan tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu dijadikan model bukan sahaja oleh negara yang terbabit secara langsung tetapi juga kuasa besar seperti Washington. Peristiwa pengawal pantai China menceroboh kawasan perairan Beting Serupai yang terletak dalam EEZ Malaysia dan strategi Kuala Lumpur menangani insiden tersebut adalah selari dengan apa yang dihadapi oleh Manila, terutama sekali yang melibatkan Beting Scarborough. Pendekatan konfrantasi yang diambil oleh Manila gagal mengekalkan status-quo Beting Scarborough tetapi pendekatan pragmatik Kuala Lumpur berjaya mengekalkan keadaan kepada seperti biasa iaitu Beting Serupai tetap dalam kawalan Malaysia tanpa menimbulkan suasana provokasi terhadap Beijing. Tidak diketahui apakah agenda perbincangan di antara Obama dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad ini tetapi seharusnya ia pasti turut melibatkan isu kestabilan dan keselamatan Laut China Selatan. Najib perlu mengambil peluang bahawa strategi dasar luar Kuala Lumpur yang berpaksikan kepada konsep kesederhanaan adalah kaedah terbaik yang perlu diamalkan oleh Washington terutama sekali apabila ia melibatkan Beijing dan tingkah-lakunya di Laut China Selatan. PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM |
Bahasa dan budaya jambatan perpaduan Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT Oleh DR. AMINUDIN MANSOR PERANAN bahasa sangat penting dalam mengeratkan perpaduan kaum. Bahasa yang baik dan berilmu akan menjadi bahasa pengantar, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti bahasa Melayu kepada sesebuah negara seperti Malaysia. Begitu juga peranan budaya dapat mengeratkan perpaduan kaum. Justeru, bahasa Melayu sebenarnya sudah lama mampu dan berfungsi sebagai peranannya dalam menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini. Di sekolah murid diajar menulis dan bercakap serta berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa penerokaan ilmu. Tidak ada kelebihannya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris setiap hari sama ada di rumah atau di tempat kerja. Malah tiada kekurangan pun jika berbahasa Melayu di rumah dan juga di tempat kerja dan di majlis rasmi. Bahasa Melayu lebih hebat dan indah kerana mempunyai kesantunan dan keindahan melalui pantun, peribahasa dan kata-kata hikmat. Apa yang paling penting, para pengguna bahasa tidak mencampuradukkan kedua-dua bahasa dalam percakapan seharian. Ini diibaratkan seperti "Sekerat ular dan sekerat belut" yang boleh merosakkan bahasa terutama bahasa Melayu. Manakala budaya juga dapat mengeratkan pelbagai kaum dalam kepelbagaian budaya di sesebuah negara. Setiap rakyat di negara ini yang memahami budaya kaum-kaum lain akan menghormati budaya dan adat resam mereka. Malaysia mempunyai 30 juta penduduk dan terdiri daripada lebih 200 etnik yang pelbagai berdasarkan bangsa/kaum, struktur atau kelas sosial, bahasa, kepercayaan, dan adat resam sesuatu kelompok masyarakat yang sangat unik. Takrif sosiobudaya adalah berkaitan ilmu antropologi, iaitu ilmu berkaitan hubungan masyarakat dengan budaya (seperti cara hidup, adat istiadat, dan lain-lain). Justeru, ahli masyarakat sewajarnya memahami ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama di mana asalnya adalah serupa sifatnya. Hubungan antara anggota masyarakat dengan budaya atau amalan hidup mereka hendaklah difahami dan diamalkan. Setiap budaya mempunyai keindahan dan keunikan yang perlu dipelihara sebagai warisan bangsa dan negara. Budaya yang unik dan dapat diterima oleh pelbagai kaum juga dapat menarik para pelancong luar negara sebagai aset pelancongan yang mendatangkan sumber ekonomi negara. Hikmah kepelbagaian sosial dan budaya perlu diraikan oleh setiap masyarakat. Setiap kaum perlu menginsafi dan menghormati kelainan tersebut. Kelebihan ini akan dapat menambahkan pengetahuan anggota masyarakat selain kaum itu sendiri tentang sesuatu keistimewaan kaum tersebut. Hal ini akan meningkatkan penyelidikan kajian etnik di Malaysia. Kepelbagaian sosial budaya ini boleh menjadi produk pelancongan negara. Moto pelancongan Malaysia Truly Asia dapat menggambarkan bahawa pelancong asing boleh mendapatkan pengalaman budaya yang banyak dan menarik hanya dengan melancong di Malaysia sahaja. Di samping itu, pendekatan sosial dan kebudayaan sebenarnya boleh dibentuk melalui perkongsian nilai-nilai murni yang diamalkan oleh pelbagai kaum. Misalnya nilai menghormati antara satu sama lain. Menurut pakar pengkaji etnik di Institut Kajian Etnik (KITA) dan Ketua Pegawai Penyelidik dan Fellow Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Denison Jayasooria, ketika ditanya tentang hal ini menyatakan setakat ini peranan bahasa dan sosial budaya amat berkesan dalam mengekalkan perpaduan kaum di negara ini. Menurutnya, perpaduan kaum melalui bahasa kebangsaan telah diamalkan sejak dulu dan berlaku di sekolah rendah dan menengah di negara ini yang membuktikan semua murid boleh berkomunikasi dan berhubung melalui bahasa Melayu dengan baik dan berkesan. Justeru, katanya melalui pendidikan di sekolah, perpaduan dapat diterapkan melalui bahasa dan juga pemahaman budaya kaum-kaum lain melalui aktiviti budaya yang diamalkan dan diajar dalam kegiatan kokurikulum. Oleh itu, setiap kaum atau etnik mempunyai ciri-ciri tersendiri yang dapat menunjukkan identiti diwarisi dan akan diwariskan kepada generasi mereka pada masa akan datang. Antara ciri utama pengenalan identiti kaum ialah bahasa pertuturan, pakaian, adat resam, dan agama yang diamalkan dalam kehidupan mereka. Perlu juga difahami bahawa sosial budaya menerangkan tentang hal-hal berkaitan dengan masyarakat. Pemahaman ini juga perlu diterapkan sejak di peringkat sekolah lagi dan dimantapkan dalam masyarakat. Kepelbagaian dalam budaya perlu diraikan tetapi mestilah berpaksikan kepada ketaatan dan kecintaan kepada negara dengan berlandaskan kefahaman, keadilan, keharmonian dan saling menghormati. Kepelbagaian ini juga mestilah berpaksikan semangat Perlembagaan yang telah dipersetujui bersama. Memetik pandangan Crassy Morrison, kebudayaan mana pun yang tidak mempunyai landasan akidah dan agama, pasti akan hancur. Cabaran dalam masyarakat majmuk amat banyak. Oleh itu, sifat bertolak-ansur antara kumpulan kaum sangat dituntut. Pihak kerajaan juga perlu mencari strategi yang lebih kreatif untuk meningkatkan integrasi kaum di negara ini melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan seperti seminar bahasa dan budaya merentasi kepelbagaian kaum. PENULIS ialah pengamal media berkelulusan Ph.D Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |