Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
| Posted: 21 Apr 2014 10:48 PM PDT Oleh Siti Aishah Yusoff ![]() Dr. Steven Chow (kanan) pada majlis pelancaran vaksin Zostavax di Kuala Lumpur, baru-baru ini. PENGALAMAN Vincent Tan, 75, diserang penyakit kayap sejak 10 tahun dahulu meninggalkan kesan pahit dalam sejarah hidupnya. Tambahan, ketika diserang penyakit kayap, Tan tidak pernah tahu tentang penyakit itu dan tidak menyangka dia akan diserang dalam sekelip mata sahaja. Ternyata kayap yang menyerang Tan secara diam itu bukan sahaja menjejaskan kehidupan sehariannya malahan kesakitan akibat kayap membuatkan hidupnya tidak terurus dan sengsara. Mengimbas kembali pengalamannya, Tan akui semasa kanak-kanak, dia pernah mendapat demam campak selama seminggu dan diikuti dengan kayap apabila dirinya meningkat usia. Demam campak tersebut menyebabkan badan saya gatal dan timbul bintik-bintik merah. Kesannya seluruh badan gatal dan memerlukan penjagaan rapi dari ibu. Kemudian, demam campak tersebut hilang dan pulih seperti biasa. Pada tahun 2001, sekali saya diuji apabila badan saya timbul bintik-bintik merah pada permukaan ketiak dan dada. Sepanjang masa tempat tersebut berasa gatal dan saya akan menggarunya sehingga menyebabkan kawasan yang gatal itu menjadi semakin teruk dan merebak ke bahagian badan lain. Kegatalan itu hanya biasa-biasa sahaja pada permulaannya sehinggalah semakin besar dan merebak menyebabkan badan terasa sakit dan ngilu apabila disentuh," katanya. Tambahnya lagi, kesan daripada kayap tersebut rutin hariannya terganggu dan terjejas kerana setiap masa hanya memikirkan kesakitan, selain masanya banyak dihabiskan untuk mencari ubat dan penawar. Kayap yang semakin merebak pada bahagian badan menyebabkan saya tidak boleh tidur dan tidak melakukan pekerjaan seperti biasa. Malahan paling ketara saya juga tidak boleh memakai baju kerana apabila baju tersentuh pada bahagian kulit akan terasa sakit dan pedih. Dalam masa yang sama, masa terluang banyak dihabiskan di rumah kerana keadaan tersebut memaksa saya mengehadkan aktiviti luar buat sementara waktu," katanya. Katanya, selepas mendapat tahu diserang kayap, pelbagai rawatan alternatif dicuba bagi menyembuhkan penyakit tersebut. Sepanjang tempoh berubat, pelbagai rawatan tradisional dicuba untuk menyembuhkan penyakit tersebut. Dia berjumpa dengan bomoh dan menjalani rawatan tradisional yang dia gelar menangkap ular pada badan iaitu menggunakan jarum yang dicucuk pada tempat yang sakit dan menyapu bedak berubat. Kesemua rawatan tradisional ini tidak berkesan dan badan masih terasa sakit," katanya ditemui pada majlis pelancaran vaksin Zostavax oleh syarikat penjagaan kesihatan MSD, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Vaksin penting Sementara itu, Ketua Bahagian Geriatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Philip Poi menekankan bahawa pemvaksinan penting untuk mencegah penyakit kayap merebak pada badan apabila umur meningkat usia. Berdasarkan kajian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), vaksin adalah satu pilihan terbaik untuk mengurangkan risiko mendapat kayap. Vaksin mewujudkan tindak balas imun (ketahanan badan) . Terdapat vaksin untuk mencegah penyakit bagi orang dewasa. Tanpa mengira usia, imunisasi diperlukan demi kesihatan kita. Selepas beberapa lama, tahap ketahanan badan daripada vaksin yang kita terima semasa zaman kanak-kanak boleh menjadi lemah dan kita mungkin berisiko menghidap penyakit yang baru dan berlainan. Bagi vaksin kayap, pemvaksinan menguatkan ketahanan badan semula jadi yang mula-mula diperoleh oleh pesakit semasa menghidapi cacar air sewaktu kecil. Apabila usia semakin meningkat ketahanan badan semula jadi jadi pesakit semakin lemah. Melalui vaksin akan memperkuatkan kembali sekali gus menghalang virus cacar air menjadi aktif semula," ujarnya. Sementara itu, Konsultan Kanan Dermatologi, Dr. Steven Chow berkata, kayap boleh dikesan dengan beberapa simptom awal pada pesakit seperti kegatalan, gelenyar atau pedih pada bahagian badan yang terlibat. Kayap akan menjadi ruam berupa lepuh berisi cecair yang mungkin diiringi rasa sakit yang ringan hingga teruk dan selalunya berlaku hanya di sebelah badan atau muka. Kayap yang tidak dirawat boleh mengakibatkan neuralgia pascaherpes (PHN), iaitu kesakitan saraf jangka panjang yang boleh berlanjutan sehingga berbulan-bulan dan dalam beberapa keadaan, selama bertahun-tahun. Kayap juga boleh mendapat komplikasi yang serius seperti kehilangan pendengaran, jangkitan kulit, lemah otot dan parut yang lama," katanya. Sementara itu, kini rakyat Malaysia yang berumur 50 tahun ke atas boleh menggunakan vaksin Zostavax. Vaksin ini membantu mengurangkan risiko mendapat kayap terutamanya kepada golongan yang lanjut usia. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |



