Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Kenali punca keguguran habitual Posted: 27 Apr 2014 07:55 AM PDT Bersama PROFESOR DR. NIK HAZLINA NIK HUSSAIN Bagi wanita yang sering mengalami keguguran dan memelihara kucing, perlulah sentiasa berhati-hati. - Gambar hiasan SOALAN Saya telah mengalami keguguran sebanyak dua kali. Kandungan saya pada masa itu ialah tujuh hingga 10 minggu. Berapa lama masa yang perlu saya ambil untuk mengandung semula? Jika saya mengandung apakah komplikasinya? n Nur, Kedah Jawapan Kebanyakan keguguran yang berlaku tidak akan berulang melainkan jika puan mengalami kelainan rahim atau menghidap penyakit kronik seperti penyakit kencing manis yang serius, penyakit buah pinggang dan lain-lain. Puan boleh mencuba untuk hamil kembali apabila sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Dari segi perubatan moden, puan sudah mula boleh hamil selepas tiga bulan keguguran. Wanita yang mengandung kemudian gugur sebenarnya biasa tetapi jika berlaku sekurang-kurangnya sehingga tiga kali berturut-turut maka keguguran ini dikenal sebagai keguguran habitual. Setiap kali wanita ini hamil, pengalaman keguguran yang lepas akan sentiasa menghantui pemikiran mereka. Masalah sebegini sudah tentu memberi impak negatif, khususnya bagi wanita yang masih belum dikurniakan zuriat. Malangnya, agak susah untuk kita ketahui dengan tepat kenapa wanita mengalami kejadian ini. Kenyataannya, lebih daripada 50 peratus pasangan tidak akan mengetahui apa yang menyebabkan keguguran ini berlaku. Semasa keguguran berlaku, biasanya seseorang wanita akan mengalami pendarahan. Pendarahan ini berlaku lebih banyak daripada pendarahan haid. Namun ada juga yang mengalami pendarahan yang sedikit sahaja. Meskipun begitu, tak semestinya keguguran yang berlaku mengeluarkan darah. Punca Terdapat beberapa faktor atau punca yang disabitkan dengan keguguran berulang. Faktor utama adalah kerana kebanyakan keguguran dikaitkan dengan masalah janin itu sendiri yang mempunyai masalah genetik atau kromosom yang mengakibatkan janin tidak dapat membesar dengan baik. Janin memerlukan kromosom yang sihat dan tersusun dengan sempurna. Pun begitu, mungkin timbul keadaan kromosom tersebut tertinggal atau tersalah kedudukannya semasa pembentukan janin sebaik-baik selepas persenyawaan. Hasilnya, janin itu akan mati sejak awal lagi. Keadaan ini juga mungkin berpunca daripada penyakit dalam rahim yang sering dikaitkan seperti endometriosis dan fibroid yang boleh menyebabkan keguguran berulang. Wanita yang mengalami penyakit endometriosis dan fibroid ini kadang-kadang mengalami keguguran biarpun usia kandungan sudah mencecah antara empat hingga lima bulan. Jangkitan kuman pada darah wanita yang mengandung adalah salah satu penyebab keguguran berulang. Wanita yang mengandung kadang-kadang tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit atau kesakitan, malangnya mereka mengalami keguguran. Diagnosis dibuat daripada darahnya yang diperiksa, didapati ia dijangkiti kuman. Kuman pada darah itulah yang merosakkan kandungan. Antaranya seperti kesan beberapa jenis virus, iaitu cytomegalo virus (CMV), herpes simplex (HSV) dan juga rubella. Begitu juga dengan sejenis parasit toksoplasmosis yang ada pada badan kucing, boleh menyebabkan keguguran. Oleh itu, bagi wanita yang sering mengalami keguguran dan memelihara kucing, perlulah sentiasa berhati-hati. Biarpun kucing peliharaan itu dijaga dengan baik dan bersih, tetapi parasit tetap ada pada bulu-bulu kucing dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Rawatan Seseorang wanita yang ingin mengandung sepatutnya mengamalkan pemakanan berkhasiat dari peringkat awal lagi selain mengambil asid folik dan vitamin sejak usia awal kandungan. Penting juga kalau boleh wanita yang mengandung diberi atau mengambil cuti rehat pada peringkat awal kehamilan. Mereka digalakkan berehat, banyakkan baring dan tenangkan fikiran. Antara perkara menyebabkan keguguran ialah stres dari segi fizikal dan mental. Mereka boleh diberikan ubat progesteron untuk merehatkan rahim dan mengurangkan berlakunya kejang rahim. |
Posted: 27 Apr 2014 07:55 AM PDT Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM KATARAK merupakan satu keadaan kanta mata yang asalnya bersifat jernih dan lutcahaya telah bertukar menjadi keruh. Masalah tersebut membuatkan penglihatan pesakit kabur atau berkabus kerana tompokan kabur pada kanta matanya. Kanta mata merupakan struktur mata yang lutsinar terletak di belakang pupil atau anak mata (titik hitam di tengah-tengah mata) yang membenarkan cahaya menembusi bahagian belakang mata iaitu retina. Lama-kelamaan keadaan tersebut boleh menyebabkan buta kerana selaput katarak menutupi keseluruhan mata. Katarak biasanya terjadi kepada warga tua atas faktor usia. Namun, menurut Pakar Optalmologi Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr. Khor Sim Ee, katarak boleh berlaku kepada golongan dewasa muda (young adult) atas beberapa faktor, malah kanak-kanak dan bayi turut tidak terkecuali. Katarak selalunya berlaku akibat faktor penuaan iaitu sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan kes berlaku kepada mereka berusia 60 tahun ke atas. Sebanyak 20 hingga 30 peratus kes katarak terjadi kepada golongan dewasa muda manakala dalam empat peratus saja terjadi kepada kanak-kanak. Bagi golongan kanak-kanak dan dewasa muda, ia terjadi atas beberapa faktor seperti genetik dan trauma," ujarnya ketika ditemui di TMC, baru-baru ini. Walaupun katarak dalam kalangan bayi dan kanak-kanak sangat jarang berlaku, dianggarkan tiga hingga empat kanak-kanak setiap 10,000 kanak-kanak di United Kingdom menghidapinya. Katarak kanak-kanak Katarak yang biasa dalam kalangan kanak-kanak ialah katarak kongenital iaitu katarak yang berlaku sejak bayi dilahirkan atau tidak lama selepas dilahirkan. Terang Dr. Sim Ee, katarak kongenital selalunya berlaku akibat genetik ibu bapanya yang mungkin seorang atau kedua-dua daripadanya mempunyai masalah katarak. "Ada juga kes ibu pesakit mengalami jangkitan kuman ketika mengandungkan bayi tersebut. Selain itu, katarak kongenital turut berlaku akibat masalah metabolisma," ujarnya. Jangkitan kuman seperti cacar air, rubela dam herpes. Bayi atau kanak-kanak yang lambat menerima rawatan katarak mungkin boleh menjadi buta kerana kanta yang kabur itu menghalang cahaya daripada pergi ke retina. Apabila retina itu gagal menghantar maklumat kepada otak ketika saat genting mata dan otak sedang bekerjasama untuk belajar melihat, otak mungkin tidak dapat belajar melihat walaupun katarak tersebut dibuang kemudian hari. LANGKAH pencegahan dengan menggunakan gogel yang betul dapat mengelakkan daripada berlakunya katarak akibat kecederaan di tempat kerja. Dewasa muda Menurut Dr. Sim Ee, golongan dewasa muda pula sering mendapat katarak akibat kecederaan terutamanya di tempat kerja. Kanta mata yang sihat ialah jernih dan lutsinar kerana mempunyai metabolisma tertentu. Apabila berlaku kecederaan, ia akan mengganggu metabolisma tersebut. Antara kecederaan yang mungkin berlaku mengakibatkan terbentuknya katarak ialah ketika memotong rumput, terkena hentakan dan lain-lain. Selalunya ia berlaku kerana kecuaian pekerja dan tidak memakai gogal yang benar-benar dapat melindungi mata," ujarnya. Selain itu, katarak sering berlaku kepada mereka yang menghidap diabetes yang semakin ramai golongan muda menghidapinya. Ujarnya, pesakit diabetes mengalami katarak apabila gula memasuki kanta lalu mengeluarkan cecair di dalamnya lalu menyebabkan bengkak dan katarak. Punca lain ialah ubat-ubatan yang diambil seperti steroid dalam tempoh terlalu lama terutamanya bagi pesakit Lupus Eritematosus Sistemik (SLE). Radiasi yang diterima pesakit kanser seperti nasopharyngeal carcinoma juga boleh menyebabkan katarak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |