Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
1,729 dapat lesen memandu percubaan Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT Oleh SHOLINA OSMAN Ismail Ahmad (lima dari kiri) beramah mesra bersama penerima Lesen Memandu Percubaan sambil diperhatikan Sabry Ahmad (tiga dari kanan) selepas merasmikan Majlis Penutup Satu Komuniti Satu JPJ dan Pelancaran Skuad Muda 1 JPJ di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Budriah, Arau, Perlis, semalam. - UTUSAN/Muhamad Iqbal Rosli ARAU 27 April - Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (SKSJ) yang dilaksanakan di Perlis sejak enam tahun lalu telah berjaya memberi manfaat kepada 1, 729 rakyat pelbagai kaum yang berusia 45 tahun ke atas apabila layak memiliki Lesen Memandu Percubaan (P) Kelas B2. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, sejak dilaksanakan pada tahun 2009 sebanyak 278 orang layak mendapat Lesen Memandu P Kelas B2, 2010 (319), 2011 (292), 2012 (261), 2013 (319) dan 2014 (260). Beliau berkata, pada tahun ini menerusi program SKSJ yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Budriah, Arau telah melibatkan 260 peserta yang terdiri dari 185 wanita dan 75 lelaki. "Daripada peserta ini sebanyak 234 orang terdiri dari kaum Melayu, India (tiga), Siam (tujuh) dan selebihnya penduduk tetap Malaysia telah layak mendapat lesen," katanya ketika berucap merasmikan majlis Penutup SKSJ dan Pelancaran Skuad Muda 1JPJ di SMK Tengku Budriah di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri, Sabry Ahmad. Ismail berkata, menerusi program ini para peserta hanya dikenakan bayaran minimum sebanyak RM140 bagi mendapatkan lesen memandu percubaan motosikal berbanding jika diambil melalui Institut Memandu dikenakan bayaran sebanyak RM261. Beliau berkata, kursus, latihan dan ujian memandu dikendalikan oleh anggota JPJ sendiri dalam tempoh masa yang ditetapkan. Sementara itu, Yus Raja Lawak atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 38, diumumkan sebagai Ikon Skuad Muda 1JPJ Perlis sempena pelancaran Skuad Muda 1JPJ peringkat negeri. Dalam ucapannya, Yus mengakui ketika di usia belasan tahun dia pernah terlibat dalam kegiatan Mat Rempit. Katanya, beliau pernah jatuh motor sehingga mengalami kecederaan pada anggota badannya. "Semenjak itu saya mulai sedar bahawa aktiviti seperti ini tidak berfaedah lalu memulakan hobi baru dengan memilih bidang teater sehinggalah bakat saya mula digilap daripada situ," katanya yang dilahirkan di Kampung Nesam, Jalan Batu Pahat, Kangar. Yus memberitahu, beliau juga beruntung kerana ibunya memberi galakan untuknya memiliki lesen memandu sejak berada di tingkatan lima lagi. |
Perjelas isu secara berkesan melalui pidato Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT KUALA KANGSAR 27 April - Penyampaian pidato yang berkesan bukan sahaja mampu merungkai sesuatu isu secara tepat, malah dapat memberi penjelasan jelas kepada para pendengarnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohd. Kamil Shafie berkata, pemidato justeru perlu melengkapkan diri dengan teknik penyampaian tersendiri supaya perkara yang disampaikan mendapat tempat di hati pendengar. "Isu-isu semasa seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), misteri kehilangan pesawat MH370 dan banyak lagi boleh diberitahu kepada orang ramai me-lalui pidato, namun jika salah penyampaiannya, turut menyebabkan orang merasa benci. "Dalam suasana tertentu, pemidato perlu menjernihkan keadaan, membantu menyelesaikan masalah serta menenangkan ahli keluarga terlibat dan bukannya menambah beban terhadap mereka," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan majlis penutupan Pidato 1Malaysia peringkat negeri di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perak di sini hari ini. Johan pertandingan tersebut dimenangi oleh Wong Joe Aun, 21, dari daerah Kinta yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500 diikuti oleh Dashni Yeap Mai Chan, 21, (RM1,000) dan V. Selama Muruygayan, 25, (RM500). Kemenangan itu melayakkan Joe Aun untuk mewakili Perak bagi bertanding di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Miri, Sarawak pada 27 Jun depan. Dalam pada itu, Mohd. Kamil memberitahu, pertandingan pidato berkenaan mampu mengasah bakat kepemimpinan selain menggalakkan generasi muda untuk mendalami dasar-dasar kerajaan termasuk perundangan negara yang lain. "Mereka juga perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana ke-perluan itu merupakan salah satu daripada prasyarat yang ditetapkan dalam pertandingan tersebut," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |