{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


37 petani bakal raih RM1 juta

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.co.my

Mat Yusoff Mat (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Md.Nasir Ibrahim dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara FAMA dengan Peladang di Jeli, kelmarin. - UTUSAN/ Hapizah Aziz

JELI 10 April - Seramai 37 petani bakal memperoleh pendapatan berjumlah kira-kira RM1 juta selepas menandatangani perjanjian jual beli dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di tapak Projek Diraja Daerah Jeli, Kuala Balah di sini semalam.

Bayaran tersebut akan diterima petani terbabit selepas mereka menuai hasil kira-kira 380 tan metrik pada Jun ini.

Timbalan Pengarah FAMA Wilayah Timur dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan, Muhamad Fadlee Hassan berkata, sebanyak 18 petani terlibat dalam tanaman pisang, 14 orang untuk tanaman tembikai boci manakala lima orang mengusahakan sayur-sayuran timun, cili, petola dan bendi.

Beliau berkata, bayaran tersebut akan diagihkan kepada petani mengikut jumlah hasil yang dikeluarkan mereka.

"Keseluruhannya kita akan membayar sebanyak kira-kira RM1 juta kepada semua petani terbabit berdasarkan kontrak pembelian yang ditandatangani di antara mereka dengan FAMA.

"Ini merupakan salah satu kebaikan program ladang kontrak yang diadakan oleh FAMA untuk membantu para petani agar hasil mereka dapat dijual dengan harga yang berpatutan," katanya pada majlis menandatangani ladang kontrak di sini semalam.

Yang turut hadir, wakil pemborong, Md. Nasir Ibrahim, Pegawai FAMA Daerah Jeli, Hassan Basri Abdul Aziz dan Pegawai Pertanian Daerah Jeli, Ahmad Hisham Abdul Rahim.

Muhamad Fadlee berkata, petani perlu menepati kualiti dan jumlah permintaan pemborong bagi memastikan barangan petani itu dapat dijual dengan harga yang tinggi.

"Sekurang-kurangya mereka perlu mengeluarkan antara tujuh hingga lapan tan pada setiap kali tuaian bagi membolehkan pemborong menghantarnya keluar dari Kelantan.

"Kurang dari jumlah tersebut menyebabkan harga pasaran rendah dan merugikan petani," katanya.

Sementara itu, dua petani menyifatkan langkah FAMA memperkenalkan projek ladang kontrak menyebabkan mereka tidak bimbang untuk memasarkan hasil tanaman mereka.

Shamsuddin Yahya, 50, berkata, dia menanam tembikai boci di kawasan seluas kira-kira dua hektar sejak empat tahun lalu.

"Dengan pasaran yang diuruskan oleh FAMA, saya memperoleh pendapatan lumayan sehingga RM5,000 semusim.

"Saya juga selesa berurusan dengan semua pihak termasuk Jabatan Pertanian yang memberikan khidmat nasihat berkaitan tanaman tersebut,''katanya.

Mat Yusoff Mat, 60, berkata, dia berpuas hati dengan hasil pisang jelai berangan yang diusahakan di kawasan kira-kira dua hektar.

Katanya, dengan perjanjian jual beli dengan FAMA, hasil tanamannya dapat dipasarkan dengan harga yang lebih tinggi berbanding pasaran tempatan yang memberikan kelebihan kepada pemborong sahaja.

Koperasi ternakan ayam daging pertama di Terengganu

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

KUALA TERENGGANU 10 April - Koperasi Siswa UniSZA Berhad (Kosiswa) muncul sebagai koperasi pertama di negeri ini yang melibatkan diri dalam bidang penternakan ayam daging melalui projek yang dianggar menelan kos RM600,000.

Pengarah Pusat Keusahawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Fakhrul Anwar Zainol yang juga penasihat koperasi berkenaan berkata, projek itu dikenali sebagai Inkubator Usahawan Tani atau I-Agripreneur.

Katanya, perkara itu merupakan salah satu pendekatan bagi menjadikan penternakan dan pertanian sebagai satu cabang perniagaan secara terancang.

Bercakap kepada pemberita selepas mengunjungi pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri di sini hari ini, beliau memberitahu, projek berkenaan turut mendapat kerjasama Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan UniSZA.

Untuk tujuan ini, UniSZA telah membina sebuah reban ayam tertutup dan berhawa dingin seluas 37X4.6 meter persegi di kawasan seluas 180 hektar di Pasir Akar, Besut dan projek ini melibatkan penyertaan 50 pelajar.

"Buat permulaan, sebanyak 20,000 ekor anak ayam akan dibekalkan dan proses tersebut dijangka bermula minggu depan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bekalan dan pasaran untuk anak ayam itu diuruskan oleh pengedar yang turut menguruskan penjualannya kelak.

"Kita menggunakan konsep reban ayam berhawa dingin kerana lebih mesra, hijau dan bersih serta mengurangkan peratusan kematian anak-anak ayam berbanding dengan sistem reban terbuka yang diguna sekarang," katanya.

Selain ternakan ayam daging, Kosiswa turut menjalankan penternakan biri-biri, ayam kampung dan pertanian bersifat komersial seperti sayur-sayuran dan buah-buahan di ladang berkenaan.

UMW bantu baiki surau SK Kg. Laut

Posted: 10 Apr 2014 11:28 AM PDT

ZALINA Zainal Abidin (dua dari kanan) menyimen pagar surau Sekolah Kebangsaan Kampung Laut sempena program gotongroyong perdana membaiki surau tersebut di Tumpat, Kelantan, kelmarin.

TUMPAT 10 April - UMW Corporation mengagihkan sumbangan berjumlah RM18,000 kepada pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut dekat sini bagi membaik pulih keadaan surau di sekolah tersebut.

Pengurus Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Korporat UMW, Zalina Zainal Abidin berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya kepada masyarakat di kawasan itu.

"Harapan kami agar bantuan ini dapat memberikan sinar baharu kepada pihak sekolah dan pelajar untuk menikmati kemudahan surau yang lebih selesa selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut di sini semalam.

Yang hadir sama, Guru Besarnya, Roslan Mohamed, dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kampung Laut, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad.

Zalina berkata, UMW akan terus menyumbang kepada masyarakat melalui program CSR untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Selain memberikan sumbangan kepada pihak sekolah kita turut menjayakan program gotong-royong perdana membaiki surau tersebut dengan bantuan komuniti Kampung Laut.

"Gotong-royong perdana ini adalah sebahagian program minggu Saham Amanah Malaysia anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang berlangsung pada 20 hingga 27 April di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu," katanya.

Katanya, UMW salah sebuah syarikat di bawah PNB yang menjadi rakan premium untuk program tersebut perlu melibatkan diri dalam program CSR sebelum berlangsungnya minggu saham tersebut.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat