Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Posted: Sut eksklusif turun-temurunOleh NIZHA PERIASWAMY
SEBAIK dibuka pintu masuk bangunan itu, seorang wanita yang berpakaian kemas segera tersenyum dan mempelawa penulis masuk. Pada masa sama, cuaca yang panas membahang di luar digantikan dengan suasana dalam bangunan yang cukup nyaman. Pandangan mata juga segera tertawan dengan hiasan dalaman yang menarik. Susun atur pakaian dan aksesori disinari cahaya lampu kuning minimal membuatkannya kelihatan eksklusif. Begitulah suasana bangunan tersebut yang merupakan butik Wardrobe terletak di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur. Ketua Pegawai Eksekutif Wardrobe, Lim Fang Heng, 30-an, melangkah tenang tetapi penuh yakin. Dia kelihatan tampan dalam persalinan sut tuksedo lengkap bertali leher warna kelabu cair dengan kemeja putih dan seluar biru tua, akui ia sebagai pakaian yang paling disukai terutama sekali pada kebanyakan masa dia sedang berurusan atas sebab kerja. Berasal dari generasi kedua keluarga tukang jahit yang pernah menjalankan perniagaan menjahit pakaian sut lelaki secara eksklusif di bawah nama Spark Manshop, Fang Heng dan pasukannya memberi nafas baharu kepada perniagaan yang sama di bawah bumbung Wardrobe. SUT lengkap tuksedo dalam pelbagai warna dan material boleh ditempah pelanggan. Legasi keluarga Menceritakan latar belakang Wardrobe secara mendalam, Fang Heng membuka bicara tentang bapanya dan dua rakan bapanya yang pertama kali membuka perniagaan di bawah nama Spark Manshop pada tahun 1978 di Sungei Wang, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. "Kami berkembang baik sehingga membuka kira-kira 30 butik Spark Manshop. Tetapi pada tahun 1996 dan 1997 di ketika kegawatan ekonomi dan keperluan lain, bapa saya dan rakannya terpaksa menjual perniagaan itu termasuk nama Spark Manshop. Bayangkan betapa banyak kerja keras dan cinta terhadap perniagaan itu sehingga ia bukan sahaja kekal tetapi berkembang dengan baik sekali," kata Fang Heng bangga. Selepas episod itu, iaitu selepas terpaksa meninggalkan perniagaan asal, bapa Fang Heng dan rakan-rakanya, J. J. Lim, A. F. Chai dan K. C. Phuan tidak mahu keghairahan mereka dalam industri tukang jahit terus padam. Justeru, pada tahun 2001, mereka bangkit dengan nama baharu, Wardrobe. "Sejak itu, bermula babak kedua perniagaan kami dalam industri menjahit sut eksklusif lelaki dan pakaian serta aksesori kaum Adam," ujar Fang Heng. WARDROBE mempunyai reka dalam yang kemas dan teratur. Walau bagaimanapun, Fang Heng yang berkelulusan dalam pengajian Pengurusan dan Pemasaran dari Amerika Syarikat dan Australia tidak pernah memasang hajat untuk mengambil alih perniagaan itu, apatah lagi dalam usianya yang sangat muda. "Saya bermula sebagai pelatih pengurusan dengan menjaga bahagian seperti perkhidmatan pelanggan, inventori dan akaun. Tetapi sejak tahun 2010, saya mengambil alih tampuk kepimpinan secara serius," katanya. "Kenapa saya?" Fang Heng mengulangi persoalan, mengapa dia yang dipilih untuk menerajui Wardrobe selepas generasi asal bapanya bersama dua rakan yang melahirkan Spark Manshop dan kemudian Wardrobe. "Saya anak paling tua dan mempunyai kelayakan pendidikan. Saya juga sudah bekerja dengan mereka. Mungkin itu sebabnya," katanya sambil senyum. Wardrobe baharu oleh Fan Heng dan pasukannya kepada khalayak, khususnya pelanggan berkelas tinggi bukanlah Wardrobe yang sama diperkenalkan oleh bapanya itu. Malah lelaki ini mengakui telah melakukan pelbagai perubahan drastik terutama sekali dari segi rekaan dalaman, konsep niaga dan paling penting, penjenamaan semula yang dilakukan secara agak agresif. MATERIAL fabrik pelbagai warna boleh dipilih mengikut kesesuaian si pemakai. Nafas baharu Wardrobe menghuni alamat baharu sejak tiga tahun lalu di Bangsar dan ia merupakan langkah pertama dan terbesar Fang Heng dalam memberi nafas baharu kepada nama Wardrobe. "Kami memperkenalkan logo baharu dan perkhidmatan yang benar-benar profesional dan terbaik. Tawaran produk iaitu pakaian siap dan aksesori ditambah dengan semuanya mengambil kira koleksi baharu untuk pasaran khusus. Kami mengubah segalanya daripada strategi pemasaran hingga komunikasi. Semuanya berasaskan keperluan semasa dan relevan dengan pengguna masa sekarang," katanya. Bercakap lanjut tentang perubahan yang diberitahunya, Fang Heng berkata, dia mula memberi penekanan kepada butik itu sendiri, konsep reka dalam. Dia memilih untuk menampilkan satu rekaan dalaman yang terang dan menepati jangkauan. Dari aspek pertukangan jahit, Feng Heng memperkenalkan teknologi mesin jahit dan bantuan jahit yang canggih. "Biarpun saya memperkenalkan banyak perkara baharu, asas perniagaan kami, iaitu keutamaan kepada helaian yang dijahit tetap dikekalkan. Itu signatur kami sejak zaman-berzaman. Maksudnya, kami tetap mahu tampil sebagai perniagaan fesyen menjahit yang paling sempurna untuk lelaki moden dan profesional," tambahnya. Hasil kerja selama tiga tahun dan penjenamaan Wardrobe sebagai label Malaysia yang ulung dalam industri jahit sut eksklusif lelaki, kini tumpuan Fang Heng hanyalah untuk mengembangkan perniagaan dan menikmati perjalanannya memimpin Wardrobe bersama adik-beradiknya serta anak rakan seniaga bapanya yang lain. "Selain butik ini, kami mempunyai dua lagi di Pavillion dan Hotel Sheraton. Kilang pembuatan pula ditempatkan di lokasi lain dengan menekankan kerja-kerja pertukangan menjahit dan urusan jual beli fabrik," katanya lagi. Fang Heng juga menyatakan, dirinya boleh melakukan kerja asas jahit seperti mereka, memotong kain dan melukis. Itu pun katanya dipelajari daripada pakar-pakar tukang jahit di Wardrobe sewaktu dia masih muda. | |||
Posted: Baju Melayu melangkau waktuOleh ALIF ABU BAKAR
TIDAK khusus untuk musim perayaan ataupun masa beribadat, baju Melayu rekaan moden memiliki fungsi yang meluas. Apatah lagi apabila corak, material dan potongannya diperbaharui selari pergerakan trend semasa. Gumbe antara label tempatan yang membariskan baju Melayu unik untuk kaum Adam. Tarikan Gumbe terletak pada kesederhanaan motif dan kesepaduan warna yang diterapkan. Dengan motif hampir mencecah 50 variasi, baju Melayu cetusan Abie Abdullah itu kini mendapat sambutan menggalakkan meskipun baru muncul dalam pasaran pada Februari lalu. Konsep suai padan baju Melayu bercetak sama ada jalur, kotak atau polka dot bersama seluar polos berona sepadan oleh Gumbe nyata memikat. Seluarnya terdiri daripada warna asas seperti merah, hijau, hitam, coklat, biru navy, kuning air dan putih.
Keselesaan si pemakai juga diutamakan. Justeru, penggunaan fabrik kapas campuran mengelakkan si pemakai cepat berasa panas dan berpeluh, masalah normal yang dialami ramai setiap kali memakai baju Melayu. Gumbe yang bermaksud baju Melayu cekak musang dalam dialek Kelantan dipecahkan kepada dua jenis leher iaitu cekak musang dan teluk belanga. Potongannya juga berbeza daripada baju Melayu klasik. Ia direka mengikut potongan moden dan slim fit tanpa pesak dan kekek. "Baju Melayu Gumbe dijual dalam talian. Gumbe bukan berkonsep baju Melayu tempah, jadi buat masa ini pelanggan hanya boleh memilih tiga saiz yang ditetapkan iaitu S, M dan L. "Ia juga disasarkan untuk pasaran yang luas, tidak tertumpu kepada lelaki Melayu muda sahaja. Sesiapa yang inginkan kelainan berbaju Melayu dan bosan dengan pakaian tradisional yang sedia ada, Gumbe adalah alternatif terbaik.
"Meskipun ia didatangkan dengan seluar, untuk penciptaan gaya lebih santai atau ranggi, pengguna boleh padankan baju ini bersama jean atau kain pelikat. Kreativiti suai padan terletak pada cita rasa individu," jelas Abie ketika ditemui Stailo baru-baru ini. Baju Melayu Gumbe kini boleh diperoleh pada harga RM190 sepasang. Fokus turut diberikan kepada pemborong di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Singapura dengan pembelian minimum 20 pasang. Sementara itu, penyanyi tanah air, Diddy Hirdy yang kini muncul dengan single baharu berjudul Bidadari Hati turut dilantik sebagai duta bagi baju Melayu Gumbe. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |