Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- RM6j bantu projek pertanian mega
- Ustaz, anak nelayan tawan Gunung Ledang
- Kegagalan cetus semangat Amutharasan
RM6j bantu projek pertanian mega Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK ISMAIL Mohamed (kanan) melihat madu lebah seorang pengusaha selepas merasmikan Pakej Projek Usahawan Lebah Peringkat Negeri di Kompleks Bimbingan Usahawan Tani,Pagoh, baru-baru ini. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD PAGOH 30 Mac - Kerajaan negeri memperkenal satu skim baharu dengan peruntukan sebanyak RM6 juta untuk memulakan projek pertanian, penternakan atau perusahaan berskala besar secara berkelompok pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, keutamaan diberi kepada pihak yang berkemampuan mengendalikannya seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan koperasi petani. "Skim ini akan dikendali Agrobank. Peruntukan ini merupakan simpanan terkumpul daripada dana pinjaman industri kecil berasaskan pertanian dan makanan di negeri ini yang diperkenalkan Agrobank pada tahun 2000. "Bermula tahun tersebut, pinjaman sebanyak RM1 juta diperuntuk khusus bagi merangsang program Satu Daerah Satu Industri tetapi terpaksa ditangguhkan kerana tidak berjaya dan gagal mencapai matlamatnya. Wang yang ada itu dilabur semula sehingga menjadikan jumlahnya terkumpul sebanyak RM6 juta," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pakej Projek Usahawan Lebah Peringkat Negeri di Kompleks Bimbingan Usahawan Tani, di sini kelmarin. Beliau berkata, menerusi skim baharu itu tidak bermakna pengusaha kecil tidak lagi mempunyai sumber pinjaman, sebaliknya mereka digalak meminjam daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dengan jumlah pinjaman awal antara RM5,000 hingga RM15,000 tanpa perlu mengemukakan cagaran. Selain itu, Ismail berkata, menerusi pinjaman TEKUN mereka juga boleh mendapatkan pinjaman secara berperingkat-peringkat sehingga RM100,000 jika prestasi bayaran balik pinjaman dilunaskan dengan baik. Dalam pada itu, beliau meminta pihak Agrobank bertindak tegas terhadap peminjam yang gagal membayar hutang kerana mereka juga perlu bertanggungjawab, amanah dan harus berusaha mencari jalan untuk menjelaskan bayaran berkenaan. |
Ustaz, anak nelayan tawan Gunung Ledang Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT ABD. Mutalib Abd. Rahim ( berdiri lima dari kanan) dan Abd. Razak Minhat ( berdiri lima dari kiri) bersama peserta Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Ledang di Taman Legenda Gunung Ledang, baru-baru ini. LEDANG 30 Mac - Keceriaan jelas terpancar pada wajah 42 peserta Ekspedisi Menawan Puncak Gunung Ledang yang berjaya menyempurnakan misi mereka malam kelmarin selepas lebih empat jam pendakian penuh cabaran. Segala kesukaran dan keperitan mereka menawan puncak Gunung Ledang berketinggian 1,276 meter dari paras laut dengan melalui trek berbatu, gaung dan terpaksa menggunakan tali nyata berbaloi. Malah kejayaan itu lebih manis apabila mereka disambut dan diraikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat. Ekspedisi anjuran Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) DUN Serom dan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Ledang bermula serta berakhir di Taman Legenda Gunung Ledang. Abd. Mutalip dalam ucapan penutupnya berkata, program tersebut unik dan lain daripada biasa kerana menggabungkan warga pendidik, komuniti setempat dan anak nelayan. "Program ini julung kali diadakan. Sebelum ini apabila mahu menganjurkan program seumpama ini kita banyak bangkitkan perkara negatif. Usaha dakwah perlu diubah bagi memastikan dapat bersama-sama orang muda," katanya. Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin pula berkata, program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat, golongan belia dan persatuan nelayan daerah. "Hasrat menganjurkan program ini sudah lama dirancang. Program selama tiga hari ini yang acara kemuncaknya mendaki Gunung Ledang turut diisikan dengan beberapa pengisian rohani, antaranya tazkirah, solat berjemaah dan qiamullail," katanya. Seorang peserta, Mohd. Rohaizat Zainal, 25, wakil belia dari PNK Ledang mengakui gembira dapat bersama-sama menjayakan ekspedisi tersebut walaupun mengalami kesukaran semasa mendaki dan menuruni puncak gunung itu pada waktu malam. "Pelbagai rintangan dilalui. Saya mendapat luka-luka kecil, tergelincir dan sebagainya, namun tidak mematahkan semangat kami. Kesakitan yang dihadapi hilang apabila masing-masing berjaya menawan puncak gunung ini," katanya. |
Kegagalan cetus semangat Amutharasan Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT P. Amutharasan (tengah) bersama penerima Anugerah Projek Terbaik Diploma Rekebentuk Fesyen dan Pakaian, Normazaida Mohd. Mazlan (kiri) dan penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Mohamad Nor Kasmon bersama hadiah yang diterima semasa Majlis Konvokesyen PIS Ke-17 di Pasir Gudang, semalam. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU 30 Mac - Biarpun pernah gagal dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) beberapa tahun lalu, namun perkara itu tidak pernah meninggalkan kesan di hati penerima Anugerah Politeknik Ibrahim Sultan (PIS). Bagi P. Amutharasan, 23, pemegang Diploma Reka Bentuk Grafik, kegagalan tersebut memberinya pengajaran dalam mencorak kehidupan dan masa depan yang lebih gemilang. Anak kedua daripada empat beradik itu tidak melihat kegagalan lalu sebagai penghalang untuk terus melakar kejayaan demi kejayaan masa depannya. "Saya pernah gagal dan kalau boleh saya tak nak gagal untuk kali kedua. Kegagalan lalu juga memberi ruang kepada saya untuk lebih mengenali diri dan tahu bahawa saya berbakat dalam bidang seni. "Terima kasih kepada semua terutama keluarga, pensyarah dan rakan-rakan kerana tidak jemu memberi sokongan dan sentiasa ada ketika jatuh dan bangun saya," katanya yang turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum sempena Majlis Konvokesyen PIS Ke-17, di sini hari ini. Pada majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, seramai 784 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing. Mereka terdiri daripada graduan daripada empat jabatan utama iaitu Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Reka Bentuk dan Komunikasi Visual, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti serta Jabatan Kejuruteraan Elektrik. Sijil dan diploma kepada semua graduan disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamed Diah. Yang turut hadir Pengarah PIS, Datuk Dr. Arshad Kassim. Ditanya tentang resipi kejayaan sehingga menerima dua anugerah, jejaka kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, pembahagian masa antara kuliah dan kokurikulum amat dititikberatkan sepanjang tiga tahun pengajian. Mengenai perancangan masa depan, Amutharasan bercadang menyambung pengajian dalam bidang yang sama secara pengajian jarak jauh (PJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM). "Kini saya bekerja sebagai jurufoto sambilan dan akan meneruskan kerjaya tersebut biarpun sudah melanjutkan pengajian nanti," katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.51. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |