Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
"Pembunuhan beramai-ramai" di Mesir Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT Ku Seman Ku Hussain Rakyat Mesir telah bangkit menentang campur tangan politik ke atas institusi kehakiman yang membawa kepada hukuman mati 529 penyokong Mursi Selasa lalu. KETIKA seluruh dunia bersimpati di atas tragedi kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal, 529 orang di Mesir dihukum mati dalam perbicaraan yang paling singkat di sebuah mahkamah di Minya, selatan Kaherah Selasa lalu. Malah pada masa hampir semua pemimpin di dunia mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat mengesan pesawat itu, pemimpin Mesir memperalatkan mahkamah untuk menghalalkan pembunuhan beramai-ramai terhadap musuh politik. Dalam keadaan dunia menangisi 239 nyawa yang terkorban dalam tragedi paling misteri dalam sejarah penerbangan, di sebuah negara Islam yang bertamadun tinggi pula 529 nyawa menjadi begitu murah. Walaupun semua tertuduh yang dihukum mati belum menjalani hukuman tetapi ruang rayuan telah ditutup dan keputusan telah dimuktamadkan. Dalam perbicaraan yang paling singkat iaitu dua hari dan penghakiman kurang lima minit, 529 penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamad Mursi berada di penghujung hayat. Pemimpin tentera yang menggulingkan Mursi tahun lalu, Abdel Fattah al-Sisi telah mengembalikan Mesir sebagai negara tentera yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS). Untuk rekod, sebelum ini AS menyalurkan sebanyak AS$2 bilion (RM6.4 bilion) setahun kepada Mesir sebagai imbuhan memeterai perjanjian damai dengan Israel era Anwar Shadat dan menindas Palestin. Tetapi AS$1.3 bilion (RM4.16 bilion) daripada pembiayaan itu digunakan untuk memperkukuhkan angkatan tentera Mesir. Mursi yang mewakili gerakan Islam, Ikhwanul Muslimin menjadi Presiden Mesir pertama bukan tentera yang dipilih dalam pilihan raya bebas. Presiden Mesir sebelum ini seperti Gamal Abdel Nasser (22 Februari 1958 - 28 September 1970), Anwar Shadat ( 2 September 1971 - 14 Oktober 1981), Hosni Mubarak ( 4 November 1981 - 11 Februari 2011) adalah pemimpin tentera. Semua tertuduh yang dihukum mati adalah penyokong Mursi yang menentang pencabulan demokrasi oleh tentera. Ini adalah lanjutan daripada pengharaman Ikhwanul Muslimin selepas Mursi digulingkan. Hukuman mati yang mencatat titik hitam dalam institusi kehakiman Mesir membuka topeng sebenar Abdel Fattah yang menjadi proksi AS untuk menyusun atur politik negara itu. Malah hukuman yang disifatkan oleh pemerhati politik sebagai pembunuhan beramai-ramai" ini menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara itu. Pesalah Jumlah pesalah yang dihukum mati kali ini mengatasi rekod yang sedia ada. Pada era Hosni Mubarak tahun 1990-an sebanyak 106 orang dihukum mati oleh mahkamah tentera. Maknanya kecenderungan memperalatkan mahkamah untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai" adalah modus operandi dalam kalangan pemimpin boneka AS di Mesir. Mursi yang dipenjarakan sejak digulingkan beberapa bulan lalu juga dinafikan hak untuk mendapatkan keadilan. Mursi juga dijangka akan dihukum mati di atas tuduhan membunuh yang sengaja dicipta untuknya. Ini mengesahkan kedudukan institusi kehakiman berada bawah pengaruh politik, dikuasai dan diperalatkan untuk kepentingan pemimpin. Khamis lalu pula Ketua Pendakwaraya mendakwa 919 tertuduh di mahkamah di atas tuduhan yang sama; mencetuskan rusuhan, merosakkan harta benda awam dan mengakibatkan seorang polis maut. Difahamkan sebahagian besar yang didakwa juga akan dijatuhkan hukuman mati. Akibat campur tangan politik ke atas institusi kehakiman, Ikhwanul Muslimin akan menjadi bertambah garang dan bersemangat sekalipun diharamkan oleh Abdel Fattah. Sebelum ini pun pada era Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin telah diharamkan kerana pengaruhnya yang besar dalam kalangan rakyat. Nampaknya tidak ada apa lagi yang boleh dipercayai di Mesir. Sistem demokrasinya korup, dipulihkan oleh Mursi tetapi akhirnya kembali seperti asal oleh Abdel Fattah. Begitu juga dengan institusi kehakiman yang menafikan keadilan serta diperalatkan secara tidak berperikemanusiaan. Mimpi pejuang Arab Spring hanya tinggal mimpi. Malah menggulingkan Hosni Mubarak bukanlah kejayaan kerana boneka itu tidak diperlukan lagi oleh AS. Akhirnya menjadi mimpi lebih buruk apabila AS meletakkan boneka baharunya, Abdel Fattah. Keadaan menjadi seperti asal di mana semua presiden Mesir dalam kalangan pemimpin tentera yang mendapat sokongan AS. Dalam pilihan raya Jun 2012, Mursi memenangi 52 peratus undi. Tetapi sebenarnya hanya mendapat sokongan satu perempat daripada 50 juta rakyat Mesir yang layak mengundi. Bagaimanapun jatuhnya Hosni Mubarak bukanlah berakhir pemerintahan diktator. Kejatuhan Malah kejatuhan Mubarak bukan hasil kebangkitan rakyat. Rakyat diperdayakan oleh AS seolah-olah berjaya menukar diktator kepada pemimpin yang dipilih menerusi sistem pilihan raya yang bebas. Tetapi yang sebenarnya gerakan menjatuhkan Mubarak dipersiapkan oleh AS sejak 2008 lagi. Buktinya pada 2008 aktivis gerakan massa dari Mesir berhimpun di New York pada pelancaran Alliance of Youth Movement (AYM). AYM memainkan peranan penting dalam menentukan agenda AS di Mesir. Ini adalah perkakas AS untuk menggerakkan rakyat untuk menjatuhkan Mubarak yang sudah tidak diperlukan lagi. Tugas AYM bukan sahaja menjatuhkan Mubarak tetapi mana-mana pemimpin yang tidak sehaluan dengan dasar AS. Apa itu AYM? Ini sebuah organisasi yang melibatkan aktivis massa bergerak secara terancang dalam talian dan mencatatkan sejarah sebagai yang pertama pada abad ke-21. Jabatan Negara AS berganding dengan gergasi dalam media sosial seperti Facebook, Howcast, MTV, Google dan Youtube menggerakkan AYM untuk mencetuskan gerakan massa. Tembelang AS dan Abdel Fattah terbongkar. Khamis lalu Abdel Fattah yang mengetuai kerajaan sementara dan Menteri Pertahanan telah meletakkan jawatannya dalam angkatan tentera. Dia mengumumkan akan bertanding sebagai Presiden dalam pilihan raya Mei depan. Ini kerana dalam perlembagaan Mesir tentera dilarang bertanding jawatan Presiden. Tetapi ironinya semua Presiden Mesir adalah tentera kecuali Mursi. Semasa gerakan menggulingkan Mursi, tentera Mesir telah membunuh lebih 3,000 orang penyokong Mursi sebahagian besar ahli Ikhwanul Muslimin. Bagaimanapun dalam kejadian yang sama 529 penyokong Mursi ditangkap, didakwa dan dihukum mati kerana membunuh seorang anggota polis. Kalau benarlah institusi kehakiman Mesir bebas daripada tekanan politik, sudah tentu ada tindakan terhadap tentera yang membunuh lebih 3,000 orang penyokong Ikhwanul Muslimin. Bagaimanapun ini tidak berlaku kerana pembunuhan itu adalah arahan Abdel Fattah untuk mematahkan kemaraan Ikhwanul Muslimin. |
Analisis Mingguan: BISIK-BISIK AWANG SELAMAT Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT Nik Aziz dan maaf Syukur. Beliau yang juga Mursyidul Am Pas, mengambil langkah terpuji. Memohon maaf adalah sebahagian daripada proses penyucian jiwa yang sangat dituntut oleh ajaran Islam. Awang tidak mahu ulas panjang lebar. Biarlah kita semua mengambil semangat yang betul. Tidak perlu untuk mengimbas segala kontroversi, kegagalan dan kelemahan beliau serta pendiriannya dalam banyak isu yang dianggap telah memudaratkan kepentingan Islam, lebih-lebih lagi berkaitan perpaduan ummah. Awang sendiri walaupun selalu menggeleng kepala dengan kenyataan Nik Aziz, sebenarnya sudah lama memaafkan beliau. Siapalah kita untuk terus menghukum beliau yang telah dimamah usia serta semakin uzur. Nik Aziz juga insan biasa yang tidak terlepas daripada salah dan silap. Rata-rata masyarakat apatah lagi penduduk Kelantan tiada masalah untuk memaafkan beliau. Apa pun, Tok Guru punya jasa dan sumbangan besar yang tidak boleh dinafikan. Nik Aziz banyak kekuatan. Kepimpinannya membolehkan Pas menguasai Kelantan selama lima penggal dan mengukuhkan parti itu atas cengkaman pengaruh beliau yang dicemburi kawan mahupun lawan. Rekod itu pastinya sukar ditandingi oleh pemimpin lain selepas ini. Kehidupan yang serba sederhana, tidak dilingkari dengan isu integriti dan moral, menyebabkan ramai pengikut menyayanginya. Awang berdoa agar Nik Aziz dipanjangkan usia, stabil kesihatannya dan diberikan kekuatan untuk menempuh sisa-sisa usia termasuk boleh terus menyampaikan kuliah Subuh. Semoga perbuatan mulia beliau memohon maaf dengan hati yang jernih dan kudus, dicontohi pemimpin lain. Terdetik pertanyaan dalam hati, apakah ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang dilaporkan hadir pada sesi kuliah Subuh Nik Aziz semalam, mahu mengambil iktibar. Awang berdoa agar beliau dibuka pintu hati untuk memohon maaf atas segala keterlanjuran, kesalahan dan dosa. Mudarat yang Anwar bawa kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara jauh lebih besar daripada mana-mana pemimpin di tanah air ini. Buktilah keberanian untuk membersihkan diri' dan mengambil sikap bertanggungjawab sementara belum terlewat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |