{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Maafkanlah Nik Aziz

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika di Muktamar Tahunan Pas kali ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam, November tahun lalu.

APABILA Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di atas segala kesilapannya sepanjang 23 tahun mentadbir Kelantan sebagai Menteri Besar, kita memahami ia dilakukan secara ikhlas dari lubuk hatinya.

Dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot dan menganggap ia sebagai kifarat atas dosa yang dilakukan selama memimpin negeri ini, sudah tentulah tiada siapa pun berhak mempertikaikan keikhlasan beliau berbuat demikian.

Sememangnya, sejarah politik negara pasti akan mencatatkan perjalanan hebat Nik Abdul Aziz yang sejak 1967 mengabdikan dirinya dalam perjuangan Pas. Beliau bukan sahaja menjadi Menteri Besar Kelantan paling lama dalam sejarah iaitu bermula 1990 hingga 2013 tetapi juga Mursyidul Am Pas paling kontroversi.

Nik Abdul Aziz satu ketika dianggap simbol kekuatan Pas bukan sahaja di Kelantan malah seluruh negara. Walaupun sering mengalami masalah kesihatan namun demi perjuangan Pas, Nik Abdul Aziz menguatkan diri untuk terus bertanding dalam pilihan raya sehingga beliau membuat keputusan berundur dari kerusi Menteri Besar Kelantan biar pun memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Chempaka.

Mungkin dalam kesempatan berehat tanpa diganggu dengan bebanan tugas memimpin negeri dan parti, Nik Abdul Aziz mempunyai lebih banyak lagi ruang untuk bermuhasabah sehinggalah beliau muncul kelmarin pada majlis kuliah subuh di Kota Bharu untuk menzahirkan permohonan maafnya.

Justeru kita tidak perlu mempolitikkan apatah lagi memandang serong keikhlasan Nik Abdul Aziz berbuat demikian. Sebagai hamba Allah bukan hak kita untuk menghakimi apatah lagi menilai niat seseorang sebaliknya terimalah permohonan maaf Nik Abdul Aziz dengan hati dan fikiran terbuka. Apa pun kita kata kepada Nik Abdul Aziz, beliau tetap mempunyai jasa kepada negara ini.

Kita tidak harus mengikut jejak sesetengah pengikut-pengikut pembangkang yang taksub sehinggakan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan hatta permohonan maaf daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pun dipandang serong.

Kelompok seumpama ini sudah ditutup mata dan pemikiran mereka dengan politik kebencian dan kepartian melampau sehinggakan apa juga yang dilakukan oleh musuh politik mereka biar pun benar tetap ditolak.

Janganlah kita tergolong dalam kelompok seumpama itu kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam dan hanya akan menyebabkan umat Islam menjadi semakin lemah akibat berpecah belah kerana politik.

Memanglah kalau hendak diikuti pemikiran dan hati yang digoda oleh nafsu politik boleh sahaja kita menolak atau mempertikaikan permohonan maaf Nik Abdul Aziz. Apatah lagi, sepanjang karier politiknya terlalu banyak kenyataan kontroversi yang beliau buat sehingga kadang kala cukup menyinggung perasaan.

Nik Abdul Aziz pernah menolak usaha untuk mewujudkan perpaduan antara UMNO dan Pas, Nik Abdul Aziz pernah memohon doa pecah perut untuk Perdana Menteri, Nik Abdul Aziz pernah menyifatkan Islam yang dibawa oleh UMNO adalah Islam plastik, Nik Abdul Aziz pernah berkata, Pas bersedia berkawan dengan syaitan dan Nik Abdul Aziz juga pernah berkata, tidak bangga menjadi orang Melayu.

Tetapi semua itu beliau kata atau lafazkan ketika berada di kemuncak karier politiknya, biar pun dilihat bertentangan dengan ajaran Islam tetapi kadang kala pertimbangan politik boleh menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan.

Begitulah juga Nik Abdul Aziz, sebagai orang politik dan menjadi pemimpin dalam sebuah parti yang bertentangan dengan parti memerintah sudah tentulah beliau mempunyai pendirian sendiri.

Penulis yang berkesempatan bertemu dengan beliau beberapa kali amat memahami kadang kala, Nik Abdul Aziz berhujah sebagai orang politik bukan `tok guru mahupun ulama.

Namun kini semua itu sudah menjadi sejarah politik negara, Nik Abdul Aziz sekarang bukanlah Nik Abdul Aziz dahulu, Nik Abdul Aziz sekarang sedang mengalami keuzuran kerana masalah kesihatan, berulang alik ke hospital setiap masa dan sudah tidak ada masa lagi untuk memikirkan soal politik.

Berikutan keadaan itu adalah tidak wajar sama sekali jika ada mana-mana pihak masih mahu terus membenci beliau dengan mengungkit kesilapan yang beliau lakukan sepanjang menjadi Menteri Besar Kelantan atau Mursyidul Am Pas.

Persoalannya, siapakah ahli politik yang tidak melakukan kesilapan? Siapakah ahli politik yang tidak melakukan dosa?

Sepatutnya, apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz harus dipuji dan dicontohi kerana tidak ramai ahli politik seperti beliau bersedia memohon maaf secara terbuka.

Apa yang kerap kita saksikan ialah ada ahli politik terus mahu bersandiwara, menafikan segala perbuatannya biar pun ada bukti dan terus melakukan tohmahan kepada kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO terhadap apa jua yang berlaku kepada dirinya.

Tetapi Nik Abdul Aziz mengambil kesempatan daripada ruang yang masih diberikan oleh Allah SWT bukan sahaja untuk mengemukakan permohonan maaf tetapi juga menganggap sakit yang dialami "mungkin Allah nak kifarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan.

Soalnya, adakah selepas ini akan wujud ahli politik yang akan mencontohi apa yang Nik Abdul Aziz lakukan khususnya daripada Pas sendiri? Sukar untuk dipastikan tetapi apa yang nyata Nik Abdul Aziz melakukannya dengan ikhlas dan penuh keinsafan.

Justeru adalah tidak wajar jika niat ikhlas beliau dipandang serong apatah lagi disusuli dengan kecaman kerana selagi kita bernama manusia dan selagi kita bergelar hamba Allah selagi itulah kita sentiasa terdedah untuk melakukan kesilapan dan kesalahan sama ada kita sedar atau tidak.

Apa yang penting ialah sejauh manakah kita berkemampuan atau berkesempatan untuk memohon maaf atas apa yang kita lakukan.

Oleh itu, semua pihak khususnya lawan politik beliau perlu berjiwa besar untuk memaafkan Nik Abdul Aziz. Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam surah asy-Syura ayat 40 yang bermaksud;

"Maka barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya atas tanggungan Allah."

Dan Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 263 yang bermaksud:

"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyabar."

Mahu tidak mahu, siapa pun Nik Abdul Aziz, sehebat mana pun beliau sebelum ini dalam dunia politik dan sejauh manapun berlaku pertembungan dengan musuh politiknya daripada UMNO, akhirnya kita tetap saudara sesama Islam.

Sebagai Islam, kita harus berdoa agar Allah akan memberi ketabahan kepada Nik Abdul Aziz dalam menghadapi ujian-Nya berikutan sakit yang dialami dan semoga Allah memberikan kesejahteraan kepada beliau di dunia dan akhirat.

Jangan biarkan perbezaan politik menjadi virus yang menghapuskan dan melunturkan semangat persaudaraan Islam sesama kita. Oleh itu, terimalah permohonan maaf Nik Abdul Aziz.

Pemilihan PKR: Pi mai pi mai duk tang tu juga

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

Oleh HASSAN MOHD. NOOR

LANJUTAN drama Langkah Kajang arahan PKR. Kali ini kisah perebutan jawatan. Melihat senarai yang akan bertanding, maka akan kelihatan hebatnya demokrasi dalam parti itu. PKR, asalnya ditubuhkan atas nama reformasi bagi membela Anwar Ibrahim selepas pemecatannya daripada kerajaan dan UMNO pada September 1998. Sehingga kini, Anwar dan keluarga terus berkuasa dalam PKR. Kuasa itu akan terus dipertahankan melalui pertandingan kali ini. Anwar akan mencabar isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan presiden. Menyelak kembali sejarah, PKR adalah gabungan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang ditubuhkan pada April 1999 (selepas reformasi yang digerakkan Anwar) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang ketika itu dipimpin oleh Dr. Syed Husin Ali. PRM sebelum itu dikenali sebagai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).

Hasil gabungan itu pada Ogos 2003, jawatan presiden disandang oleh Wan Azizah (Keadilan) dan timbalannya disandang oleh Syed Husin. Tidak pasti sama ada komposisi dua parti itu masih wujud dalam PKR atau dimonopoli sepenuhnya oleh bekas pemimpin Keadilan. Apa yang pasti, keluarga Anwar dan sahabat-sahabat terdekat menguasai PKR. Ketika beberapa kerat pemimpin PRM selesa dalam PKR, sekumpulan anggota parti mendaftarkan semula PRM pada tahun 2005. Itu cerita PKR.

Kelmarin, berlangsung pencalonan bagi jawatan-jawatan dalam PKR yang jelas menampakkan sekali lagi episod menarik sepanjang proses pemilihan ini. Bayangkan suami lawan isteri di pentas politik. Satu perkara lagi apabila Tian Chua bertanding dua jawatan - Timbalan Presiden dan mempertahankan Naib Presiden. Tian Chua sebenarnya mahu jawatan apa? Timbalan atau Naib Presiden? Apakah kebarangkalian beliau menang kedua-dua jawatan?

Ketika Karpal Singh yang masih menunggu rayuan kes hasutan mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan, Anwar yang juga sedang menunggu rayuan hukuman kes liwat menawarkan diri bertanding. Kenapa Karpal sanggup berbuat demikian tetapi tidak bagi Anwar? Pelik tetapi inilah drama politik yang sedang dipentaskan. Mungkin lebih hebat daripada Langkah Kajang. Gimik politik ini walaupun nampak seperti satu jenaka tetapi pi mai pi mai tang tu juga. Pi mai pi mai, keluarga Anwar menerajui PKR. Bayangkan jika ada parti politik di pihak Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kepemimpinan keluarga seperti ini, sudah pasti `dibelasah habis-habisan. Anwar tidak berani menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang tetapi bersedia mencalonkan diri untuk pemilihan parti. Mungkin risiko calon PRK lebih besar berbanding calon untuk pertandingan dalam PKR. Apabila Anwar dicalonkan, sudah tentu tidak ada orang lain yang berani menawarkan diri. Azmin yang dikatakan akan mencabar Wan Azizah tidak mungkin melanggar mentornya. Akhirnya, Azmin hanya mempertahankan jawatan No.2. Sekiranya, dalam tempoh ke arah pemilihan nanti, Anwar hilang kelayakan bertanding, maka sudah tentu Wan Azizah akan mengekalkan jawatannya tanpa bertanding. Atau Wan Azizah akan memberi laluan kepada pemimpin anugerah Tuhan ini?

Masihkah ingat pemilihan 2007? Cuba selak kembali kongres yang berlangsung di Seremban. Ketika itu, pertandingan sepatutnya melibatkan tiga penjuru - Anwar, Azizah dan Rahman Othman. Anwar menarik diri. Selepas Anwar memberi penjelasan hampir satu jam pada kongres, Abdul Rahman pula menarik diri. Akhirnya Wan Azizah menang tanpa bertanding. Hasrat Anwar untuk bertanding terhalang setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan Anwar tidak layak bertanding kerana tempoh sekatan politik yang dikenakan ke atasnya masih berjalan hingga April 2008. Alasan penarikan diri juga adalah kerana rata-rata perwakilan mahu memberi laluan kepada Wan Azizah memimpin parti bagi menghadapi pilihan raya umum. Adakah peristiwa yang sama akan berulang? Anwar tentu sedar risiko hilang kelayakan jika menang jawatan itu ekoran hukuman penjara lima tahun yang dihadapinya. Kenapa Anwar tetap menghantar borang pencalonan? Ada yang beranggapan, tindakan itu sebagai usaha memastikan tiada calon lain akan bertanding jawatan No.1 yang disandang isterinya sejak 1998. Ada juga yang bertanya, bagaimana kalau Anwar tetap bertanding dan menang? Mungkin itu rezekinya. Apa pula berlaku jika jawatan itu `gugur dengan sendirinya apabila rayuannya ditolak atau hukuman yang diterima akan tetap menghilangkan kelayakannya?

Sudah tentu, Azmin sekiranya ditakdirkan berjaya mempertahankan jawatan No.2 akan dilantik sebagai Pemangku Presiden PKR. Sejauh mana pula peluang Azmin? Selain Azmin, turut menawarkan diri bagi jawatan timbalan presiden ialah Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang @ Tian Chua, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, bekas calon DUN Batang Kali, K.Ramachandram dan Murali Subramaniam. Kenapa ramai yang menawarkan diri untuk jawatan ini? Jangkaan awal melibatkan Azmin dan Khalid. Adakah calon-calon ini sudah mendapat `lampu hijau untuk `melanggar orang kuat Anwar? Sekali lagi, mungkinkah untuk jawatan No.2 ini akan berlaku episod tarik diri?

Pada pemilihan 2010, Zaid Ibrahim yang disebut-sebut sebagai calon paling layak mencabar Azmin menarik diri, menjadikan pertandingan melibatkan Azmin dan Mustaffa Ayub. Zaid juga meletakkan semua jawatannya dalam PKR. Zaid mengakui tersilap apabila menawarkan diri bertanding kerana menganggap PKR boleh membawa politik yang progresif, mengembangkan demokrasi dan meningkatkan ketelusan. Zaid mendakwa, sepanjang pemilihan PKR, kepemimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

"Akhir sekali, saya berharap peminat Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai spoiler yang akan menghalang perarakan mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka," kata Zaid. Adakah pemilihan yang ditetapkan mulai 25 April hingga 11 Mei depan mampu berjalan lancar? Kita tunggu dan lihat kehebatan parti politik ini dalam tempoh tiga minggu pengundian dan keputusannya yang bakal diumumkan selewat-lewatnya pada 13 Mei.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat