Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 80 anggota KPKJ berdoa untuk MH370
- Ulat kembali serang tiga kampung
- Pelajar lepasan SPM didedahkan kehidupan IPT
80 anggota KPKJ berdoa untuk MH370 Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT Sebahagian anggota Kelab Pesawat Kawalan Jauh Kelantan dan Terengganu menjalankan aktiviti penerbangan di Gong Kulim, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Torek sulong PASIR PUTEH 30 Mac - Kira-kira 80 anggota Kelab Pesawat Kawalan Jauh (KPKJ) Kelantan dan Terengganu berkumpul di Lapangan Penerbangan Pesawat Kawalan Jauh di Gong Kulim di sini hari ini untuk berdoa bagi memohon supaya usaha mencari pesawat MH370 dipermudahkan. Majlis doa selamat itu diadakan sejurus sebelum kesemua anggota kelab itu memulakan pertandingan pesawat kawalan jauh bagi peringkat negeri Kelantan dan Terengganu. Pengerusi KPKJ Tok Bali, Razali Hassan berkata, majlis itu diadakan bagi menunjukkan rasa simpati anggota kelab itu kepada keluarga mangsa penerbangan tersebut. Katanya, pihaknya telah merancang pertandingan itu lebih awal dan bersama seluruh masyarakat dunia bersimpati tragedi yang penuh misteri itu. "Kami hanya mampu berdoa dan semoga mendapat keberkatan. Kami juga bangga dengan kesungguhan kerajaan menangani kes ini yang menjadi isu antarabangsa. "Sebagai penggemar pesawat mainan kawalan jauh adalah perlu isu semasa berkaitan kehilangan pesawat didedahkan dengan maklumat yang tepat tanpa sebarang spekulasi. "Apa yang penting kita laksanakan mengikut keupayaan iaitu berdoa dan memberi sokongan moral terhadap usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dan negara-negara lain dalam misi mencari pesawat berkenaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Sementara itu Razali berkata, pertandingan pesawat kawalan jauh melibatkan beberapa kategori seperti kemahiran mendarat secara tepat di landasan dan penerbangan paling lama. Katanya, pertandingan itu dianjurkan bagi menguji kemahiran ahli mengendalikan pesawat kawalan jauh mereka. "Semua anggota kelab memiliki kepakaran dan kemahiran untuk membaiki sendiri kerosakan pesawat mereka dalam tempoh yang segera dengan perbelanjaan yang paling murah. "Pelbagai keunikan dari reka bentuk hinggalah kepada penciptaan pesawat mainan yang menggunakan minyak serta mengeluarkan asap sebagaimana pesawat sebenar dapat disaksikan walaupun ianya dipandu secara kawalan jauh," katanya. |
Ulat kembali serang tiga kampung Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT Oleh YATIMIN ABDULLAH Nik Mah Nik Lah menunjukkan lokasi ulat yang dipercayai menyerang rumah mereka di Kampung Kuar Baru, Geting, Tumpat,semalam. - Utusan/YATIMIN ABDULLAH TUMPAT 30 Mac - Penduduk di tiga buah kampung di kawasan Geting dekat sini kembali diselubungi keresahan apabila rumah mereka sekali lagi diserang ulat. Ini merupakan kali kedua ulat itu menyerang rumah penduduk selepas kejadian pertama di Kampuang Kuar Baru pada 6 Mac lalu. Seorang penduduk, Nik Mah Nik Lah, 53, berkata, kehadiran tetamu tidak diundang itu menjejaskan aktiviti seharian mereka. "Saya minta pihak berkenaan tampil membantu kami dengan menghapuskan ulat ini. Kami sudah tidak tahan untuk hidup dalam suasana begini. "Serangan ulat kali ini hampir sama dengan kejadian sebelum ini. Keadaan ini menyebabkan kami tidak tidur malam memikirkan cara untuk mengatasi masalah ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Sebelum ini akhbar melaporkan rutin hidup penduduk di Kampung Kuar Baru, Genting di sini menjadi tidak keruan apabila ribuan ulat yang tidak tahu dari mana datangnya, menyerang kediaman mereka selama hampir seminggu sebelum hilang begitu sahaja. Nik Mah memberitahu, ulat tersebut dipercayai datang dari sebuah kawasan lapang yang mempunyai pokok jarak dan terletak kira-kira sepuluh meter dari rumahnya. Katanya, kesemua daun pokok berkenaan musnah dimakan ulat tersebut. Sementara itu, Noor Azila Yaso, 30, berkata, serangan ulat itu menyebabkan dia terpaksa bermalam di rumah mentuanya. "Sudah tiga hari saya terpaksa berbuat demikian kerana khuatir serangan ulat tersebut memberi kesan kepada kesihatan keluarga," katanya. |
Pelajar lepasan SPM didedahkan kehidupan IPT Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT Sebahagian peserta program Kem Kenali Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan, kelmarin. KOTA BHARU 30 Mac - Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu diberi pendedahan mengenai kehidupan dan cara pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai persediaan mereka untuk memasuki alam tersebut. Justeru sebuah pusat latihan, Neo Synergy Training Centre telah menganjurkan Kem Kenali Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dekat sini selama tiga hari bermula Khamis lepas. Pengarah projek, Nur Eyka Maisarah Khairul Anuar berkata, peserta program itu bukan sahaja diberi motivasi malah berpeluang melawat kawasan universiti supaya dapat merasai pengalaman menjadi penuntut IPT. "Program yang dianjurkan ini juga untuk mendidik peserta supaya lebih berpandangan jauh dalam menguruskan kehidupan. "Saya berharap program ini diteruskan lagi dan peserta yang menyertainya berjaya pada masa hadapan," katanya selepas majlis penutup Kem Kenali IPT di sini semalam. Program itu telah disertai lebih 50 pelajar lepasan SPM dari daerah ini. Sementara itu, seorang peserta, Nurulhuda Yaakub, 18, berkata, banyak pendedahan mengenai IPT diperoleh selepas menyertai program tersebut. "Saya harap program sebegini diteruskan lagi pada masa hadapan kerana memberi banyak manfaat kepada pelajar," katanya. Seorang peserta, Siti Nur Nazihah Che Ab. Rahim, 18, memberitahu, ini merupakan kali pertama dia menyertai program seperti itu yang memberi peluang kepadanya cara hidup dan cabaran di IPT. "Saya harap program ini dapat diteruskan dan ditambah baik lagi pada masa hadapan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |