Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR SEBAHAGIAN daripada 202 graduan bergambar kenangan selepas majlis konvokesyen di Dewan Politeknik Nilai, Seremban, Negeri Sembilan semalam. - MINGGUan/MOHD. NOOR MAT AMIN SEREMBAN 29 Mac - Seramai 202 pelajar dari tiga buah politeknik dianugerahkan diploma dalam Majlis Konvokesyen 2014 di Dewan Politeknik Nilai, Bandar Enstek di sini hari ini. Kesemua mereka dari Politeknik Nilai (Negeri Sembilan), Politeknik Banting (Selangor) dan Politeknik METrO (Kuala Lumpur) menerima diploma Pengajian Perniagaan, Kewangan dan Perbankan Islam, Penyenggaraan Pesawat serta Peruncitan. Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar berkata, pelajar berkenaan merupakan pengambilan bagi sesi Disember 2012 dan Jun 2013. "Penerima diploma terdiri daripada pelajar Pengajian Perniagaan (e-Dagang) (67 orang), Kewangan dan Perbankan Islam (70) daripada Politeknik Nilai. "Turut menerima diploma ialah 30 graduan Penyenggaraan Pesawat dari Politeknik Banting dan Pengurusan Peruncitan seramai 35 orang," katanya. Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Latihan Kerja Jabatan Pengajian Politeknik, Mohd. Ghaus Ab. Kadir. Menurutnya, politeknik kini giat melaksanakan Pelan Transformasi Politeknik 2010 hingga 2020 yang dijalankan dalam tiga fasa. "Pelan ini menumpukan usaha mempertingkatkan keupayaan inovasi dan kreativiti, penghasilan graduan yang menepati kehendak pasaran selain memperkasakan jenama dan reputasi politeknik. "Untuk tahun ini, politeknik akan terus menggalas usaha transformasi dengan menawarkan kursus baharu peringkat diploma, lepasan diploma dan ijazah melibatkan bidang tujahan dan teknologi," jelasnya. Sementara itu, penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Abdul Muhaimin Salleh berharap keputusan cemerlang yang diperoleh akan membantunya melanjutkan pengajian di universiti tempatan. "Saya akan berusaha lebih gigih pada masa akan datang untuk mengecap kejayaan yang lebih manis," kata graduan jurusan Penyenggaraan Pesawat itu yang menamatkan pengajian dengan keputusan purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 4.0. Graduan Kewangan dan Perbankan Islam, Sharifah Nur Jannah Yussof yang turut terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum pula berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak terutamanya ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantu dalam pengajiannya. "Saya akan terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan berharap diterima masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia ke arah mencapai cita-cita untuk berjaya dalam industri perbankan Islam," katanya. |
66 anak angkat Bistari Melaka terima anugerah Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT MELAKA 29 Mac - Seramai 66 orang pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 di negeri ini yang juga merupakan anak angkat Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (Bistari) Melaka menerima anugerah masing-masing. Yang Dipertuanya, Datin Seri Fadilah Abdullah berkata, anugerah tersebut diberikan sebagai suntikan semangat kepada para pelajar terbabit untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan. "Kesemua pelajar yang menerima anugerah ini datang dari 23 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diwakili Barisan Nasional (BN). "Daripada 66 pelajar itu, seramai 27 orang memperoleh semua A merangkumi lima pelajar mendapat 9A dan 22 pelajar, 8A. "Seramai 21 pelajar pula memperoleh 6A atau lebih manakala 18 orang lagi mencatat keputusan yang memuaskan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian anugerah itu di Seri Bendahara, Ayer Keroh, semalam. Yang turut hadir, Penasihat Bistari, Datuk Seri Idris Haron yang juga merupakan Ketua Menteri. Fadilah berkata, pelajar yang memperoleh 9A menerima sumbangan RM120, 8A (RM100) manakala 6A ke bawah mendapat RM50. Dalam pada itu katanya, Bistari Melaka tidak akan berhenti untuk terus membimbing anak-anak angkat mereka yang disifatkan sebagai harapan bangsa, agama dan negara. "Apa yang diharapkan pelajar-pelajar ini tidak leka dengan keputusan cemerlang yang diperoleh sekarang kerana perjuangan hidup sebenarnya baru bermula," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |