{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Interaktif, eksklusif, ringkas dan padat

Posted:

Interaktif, eksklusif, ringkas dan padat

Interaktif, eksklusif, ringkas dan padat

DILANCARKAN secara rasmi pada 19 April 2013, portal berita 1News masih terlalu baru dalam industri media negara yang sudah bermula sejak zaman sebelum merdeka. Namun, di sebalik usianya yang 'hijau', ia tetap menonjol sebagai alternatif dan pelengkap kepada siaran berita sedia ada.

Tampil dengan konsep lebih santai, 1News menyuntik elemen interaktif, eksklusif, ringkas dan padat dalam usaha menarik perhatian penonton yang menggunakan medium internet.

Memberi fokus kepada penyampaian berita semasa secara dwibahasa, portal ini turut memanfaatkan laman sosial seperti Twitter, YouTube, Facebook dan Instagram untuk memaparkan maklumat yang diperoleh.

Beroperasi secara web, portal 1News turut mempunyai studio tersendiri yang dihoskan oleh muka-muka baharu dalam dunia penyiaran tanah air.

Menurut Editor Berita 1News yang merupakan antara individu perintis dalam pembentukan portal tersebut, Noraini Wahib, 34, antara idea utama penubuhan mereka ialah untuk ke udara 30 minit lebih awal daripada televisyen atau radio.

"Zaman kini memperlihatkan perkembangan teknologi canggih yang membolehkan setiap maklumat diperoleh di hujung jari. Telefon pintar, tablet atau komputer riba menjadi perantara dalam melayari maklumat di internet.

"Justeru, kami juga tidak mahu ketinggalan mengikut peredaran masa dan trend dalam memaparkan maklumat terkini kepada masyarakat di luar sana," ujar Noraini yang mempunyai pengalaman selama 11 tahun bekerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM).


SEBAHAGIAN kakitangan barisan hadapan 1News yang sentiasa komited menjalankan tanggungjawab mereka.


Tambah Noraini, antara kelebihan kakitangan 1News ialah mereka mampu melakukan pelbagai tugas dan mengguna pakai konsep kerja 24 jam sehari.

"Daripada wartawan, editor, artis grafik termasuk jurugambar atau juruvideo semuanya mempunyai kemahiran dalam setiap aspek tugasan," jelas graduan Sarjana dalam jurusan Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia ini lagi ketika ditemui Kosmo! di pejabat 1News, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mempunyai seramai 40 kakitangan setakat ini, 1News beroperasi di bawah pemantauan Unit Berita Semasa RTM. Namun, mereka bebas menyampaikan pelbagai maklumat melalui paparan buletin dan segmen di laman web www.malaysia1news.my.

Bagi Nik Aidawati Yusoff, 36, penyertaan dalam 1News sebenarnya memberi cabaran tersendiri dalam kamus kehidupan kerjayanya.

Mengorak langkah

Ia lantaran, anak kelahiran Besut, Terengganu ini merupakan seorang deejay radio selama hampir 17 tahun. Kerjayanya bermula di radio Kelantan FM selama tujuh tahun sebelum berhijrah ke radio KL FM pada tahun 2003. Justeru, banyak perbezaan yang perlu dihadapi ketika mula-mula bergelar penyampai atau hos portal tersebut.

"Jujurnya, saya rasa amat terharu kerana dipilih oleh pihak pengurusan untuk terlibat dalam pengasasan portal ini. Oleh itu, saya mengambil cabaran tersebut sebagai satu tanggungjawab besar yang telah diamanahkan.

"Sewaktu 1News mula ditubuhkan, hanya terdapat beberapa orang kakitangan sahaja termasuk saya. Jadi, semua kerja perlu dilakukan dua atau tiga kali ganda oleh setiap individu. Malah, ada yang sampai berumah di pejabat.


SETIAP kakitangan 1News mampu melakukan pelbagai tugas daripada membuat berita, menyunting hinggalah menjadi juruvideo.


"Alhamdulillah, kini 1News mula mengorak langkah untuk diterima dalam masyarakat. Diharap portal ini akan terus berkembang maju dan menjadi saluran berita No. 1 negara," ungkap Nik Aidawati yang mengendalikan program kesihatan dan menjadi penyampai segmen Berita Pagi, Tengah Hari dan Petang serta Biz News.

Apa yang dihadapi Nik Aidawati senada dengan rakan seperjuangannya, Nadia Maduarin, 31, yang berlatar belakang undang-undang dan langsung tiada bekal pengalaman dalam bidang media.

Diibaratkan seperti frasa 'dari mahkamah ke bilik berita', bagaimanapun, semangat pemegang Ijazah Sarjana Muda Perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu untuk menceburi dunia kewartawanan harus dipuji.

"Saya lahir dalam keluarga yang memiliki perniagaan dalam bidang perundangan. Boleh dikatakan ramai ahli keluarga dan sanak saudara merupakan peguam. Selepas tiga tahun berada dalam arena perundangan sejak tahun 2007 hingga 2010, saya mula terfikir untuk bergelar wartawan.

"Selepas terpilih dalam temu duga di 1News, saya bertekad untuk menimba ilmu sebanyak mungkin. Tiga hingga enam bulan pertama di sini merupakan tempoh yang paling sukar untuk saya hadapi.

"Macam-macam perkara yang saya fikirkan termasuklah bagaimana rupa dan penampilan di hadapan kamera. Tetapi, lama-kelamaan saya semakin selesa dan dapat menyesuaikan diri dalam bidang ini. Apa yang penting, jangan terlalu risau atau takut untuk melakukan kesilapan kerana ia satu proses pembelajaran dalam kehidupan," kongsi anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu yang mengelolakan segmen berita tempatan dan luar negara.

Sangat meminati pembaca berita veteran RTM, Farid Ismet Emir, Nadia mempunyai harapan untuk mencipta nama seperti beliau.

"Secara peribadi, saya merasakan Farid mempunyai aura dan karisma tersendiri ketika membaca berita. Suara, bahasa tubuh dan lenggok bahasanya menjadi identiti yang sukar dicari ganti," tutur Nadia yang mula berhijab pada Januari 2014.

LIMA sahabat yang berbeza usia dan latar belakang (dari kanan) Nadia, Nik Aidawati, Noraini, Mohd. Syafiq dan Rahman Khairuddini, sepakat untuk menaikkan nama 1News sebagai satu portal berita yang terkemuka di negara ini.


Sediakan artikel

Sementara itu, bergelar kumpulan kakitangan kedua 1News sejak Jun 2013, Mohd. Syafiq Mohamad Puad, 25, atau lebih mesra disapa Bubu mengakui, amat mencintai kerjaya pertama yang diperoleh selepas tamat pengajian itu.

Ujar Mohd. Syafiq, disebabkan mempunyai minat dalam nyanyian hingga pernah menyertai uji bakat Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, dia dipertanggungjawab mengendalikan segmen hiburan di portal berkenaan.

"Setiap hari saya perlu menyediakan lima artikel hiburan untuk disiarkan dalam segmen Spotlight bermula dari hari Isnin hingga Jumaat.

"Selain itu, saya juga bertanggungjawab menyiapkan program Carta Muzik Top 7 yang bersiaran pada setiap hari Ahad. Untuk menampakkan kelainan, saya perlu lebih kreatif dalam penyampaian.

"Sebagai contoh, sewaktu temu bual bersama artis, saya gemar bertanya soalan yang di luar jangkaan secara spontan berbanding soalan-soalan biasa mengenai aktiviti atau kehidupan privasi mereka," terang Mohd. Syafiq yang dahulu merupakan remaja obes dengan berat badan 135 kilogram ketika mengikuti Diploma Perhotelan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari universiti yang sama, Mohd. Syafiq kini tekun menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam jurusan Komunikasi di UiTM.

Golongan muda terajui 1News

Posted:

Golongan muda terajui 1News

Golongan muda terajui 1News


EDITOR visual sedang mengendalikan mesin penukar saluran yang diselaraskan dengan montaj yang sesuai sewaktu rakaman berita dijalankan.


WALAUPUN bernaung di bawah bumbung Radio Televisyen Malaysia (RTM), 1News mempunyai hala tuju yang berbeza. Dengan konsep segar, portal yang bakal menyambut ulang tahun pertama pada bulan April ini menjadikan golongan muda sebagai sasaran utama.

Penggunaan laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram merupakan salah satu langkah terbaik dalam usaha memberi maklumat terkini kepada golongan muda melalui penyampaian berita.

Bagi yang pernah melayari portal 1News, anda pasti melihat ciri-ciri interaktif terutama aspek grafik yang ditonjolkan. Grafik juga memainkan peranan utama yang membantu menarik perhatian pembaca sewaktu melayari portal 1News.

Pereka Grafik 1News, Mohd. Suhail Mohamed Rahmat, 26, memberitahu, dia bersama empat orang unit grafik yang lain merupakan tulang belakang dalam rekaan montaj untuk setiap berita yang akan disiarkan.

Unit Grafik

Menurut graduan Fakulti Seni dan Reka Bentuk (Grafik), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu, tugas Unit Grafik tertumpu kepada rekaan latar belakang program berita yang akan disiarkan di portal tersebut.

"Empat berita bahasa Melayu dan empat berita dalam bahasa Inggeris akan disiarkan setiap hari. Tugas grafik lebih tertumpu kepada rekaan montaj setiap berita dan program. Setiap program dan berita portal 1News seperti Sportlight, Wawancara Khas dan Carta Muzik Top 7 mempunyai montaj yang berbeza.

"Selain itu, kami juga bertungkus lumus memproses berita kepada gambaran grafik yang interaktif dan santai untuk diletakkan di laman Facebook. Kaedah itu juga merupakan salah cara 1News mempromosikan berita menerusi laman sosial," ujarnya.

Matlamat asal penubuhan 1News ialah untuk menyampaikan berita yang boleh diakses oleh segenap lapisan masyarakat.

Laporan yang disiarkan melalui portal 1News merangkumi berita tempatan, dunia, bisnes, gaya hidup, sukan dan kesihatan. Selain itu, program bercorak wawancara khas pula terbahagi kepada dua iaitu Di Sebalik Islam dan Laporan Khas.

Unit Grafik 1News terbahagi kepada dua pasukan iaitu grafik gerakan untuk montaj dan grafik untuk berita di laman portal serta Facebook.

Mesyuarat antara pihak pengurusan dan Unit Grafik yang diadakan pada setiap bulan juga merupakan salah satu langkah terbaik untuk menjana idea baharu dalam usaha mempertingkatkan kualiti grafik portal tersebut.


ABDUL RAHMAN meminati penyampaian berita sukan yang dirasakan perlu lebih bersemangat tetapi dalam suasana santai.


Berkongsi pengalaman sebagai Pembaca Berita portal 1News, Abdul Rahman Khairuddin, 23, memberitahu, sekurang-kurangnya dia akan menyampaikan berita sebanyak tiga kali sehari.

Menurut anak jati Shah Alam, Selangor itu, penyertaannya bersama 1News kerana meminati dalam penyampaian berita yang berkonsepkan isu-isu rakyat di negara ini.

"Sebelum menceburi bidang pembacaan berita di 1News, saya pernah menjalankan latihan industri di salah sebuah syarikat televisyen swasta ketika menuntut di semester akhir dalam jurusan Kewartawanan di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC). Saya gunakan pengalaman itu sebagai bekalan untuk memulakan karier di 1News.

"Setelah menyertai 1News, saya diberi tugasan untuk menyampaikan berita sukan. Daripada tugasan itu, saya mula meminati berita sukan. Penyampaian berita sukan perlu lebih bersemangat dan dalam masa yang sama elemen santai harus diterapkan," ujarnya yang mengagumi cara pembacaan penyampai Berita Dunia saluran TV1, Farit Ismeth Emir.

Menurutnya, pembahagian masa sewaktu menyampaikan berita portal 1News berbeza siaran menerusi televisyen. Dia diperuntukkan masa selama lima hingga lapan minit untuk membaca enam atau lapan berita.

Abdul Rahman juga perlu membaca berita yang padat dengan maklumat dalam masa seminit. Kaedah itu merupakan salah satu langkah terbaik untuk mengasah bakatnya dalam penyampaian berita.

"Kebiasaannya, saya sendiri akan menyunting berita yang diperoleh daripada Bernama dan Unit Berita Televisyen RTM kerana 1News tidak mempunyai wartawan sukan. Sesi penyuntingan berita itu juga mengajar saya cara untuk menyelaraskan penulisan dan pembacaan berita dalam masa yang ditetapkan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mencari bahan

Selain itu, Abdul Rahman turut membantu aspek teknikal seperti pengendalian kamera ketika rakan-rakan penyampai berita yang lain mengadakan rakaman.

Tidak lengkap sesebuah portal berita tanpa wartawan yang bertungkus lumus mencari bahan untuk siaran.

Wartawan Meja Bisnes portal 1News, Nor Amalina Abdul Karim, 24, berkongsi pengalaman, setiap hari dia bersama seorang jurukamera akan keluar mencari satu bahan berita bisnes untuk siaran di portal tersebut.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dalam bidang Penyiaran, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, dia juga perlu mencari bahan untuk laporan khas yang akan disiarkan dalam segmen Bisnes.

"Walaupun gaya penulisan untuk laporan bisnes lebih serius, saya dilatih agar menjadikan berita itu lebih santai dan mudah difahami. Pada masa yang sama, olahan ayat yang ringkas juga perlu untuk menyelaraskan dengan skrip yang bakal dibaca oleh pembaca berita di studio.

"Usai mendapatkan bahan berita, setiap wartawan 1News perlu mempunyai komunikasi yang baik dengan jurukamera dan editor visual. Mereka merupakan individu penting yang membantu memudahkan tugasan wartawan untuk menyiapkan laporan dan skrip," ujar anak jati Seberang Perai, Pulau Pinang itu.


MOHAMAD ZULAZRI (kiri) berbincang mengenai rekaan montaj untuk siaran berita 1News bersama salah seorang pereka grafik.


Tambahnya, bertugas sebagai wartawan menuntut dirinya untuk menjalankan pelbagai tugasan dalam satu masa. Tidak hanya tertumpu kepada penghasilan laporan, Nor Amalina juga perlu menyunting video daripada jurukamera untuk kegunaan ketika sesi rakaman penyampaian berita.

Sebagai seorang wartawan di sebuah portal baharu, Nor Amalina tidak menafikan bahawa amat sukar untuknya memperkenalkan portal tersebut kepada syarikat-syarikat dan orang ramai ketika menjalankan tugasan.

"Saya bangga bekerja sebagai wartawan di portal 1News walaupun sering dibayangi oleh Unit Berita RTM. Ia bukan menjadi satu masalah kerana saya berpeluang menerangkan kewujudan portal 1News secara lebih terperinci kepada mereka," jelasnya.

Sementara itu, Editor Visual 1News, Mohamad Zulazri Suradi, 26, memberitahu, unit tersebut bertanggungjawab untuk merekod berita yang disampaikan oleh pembaca di studio.

Skrip

Menurutnya, lapan orang editor visual juga dilatih untuk mengendalikan mesin Tricaster (penukar saluran) ketika pembaca membaca berita.

"Video pembacaan berita yang dirakamkan pada skrin hijau akan disunting menggunakan perisian Adobe Premier. Editor visual juga akan memastikan skrip yang dibaca oleh penyampai berita diselaraskan dengan video yang dipaparkan.

"Selain rakaman, portal 1News juga menyampaikan berita secara langsung pada waktu pagi berdasarkan bahan laporan yang diperoleh semalam. Tugasan visual editor visual lebih mencabar ketika berita disiarkan secara langsung. Kami perlu lebih cekap menyelaraskan visual dengan berita yang dibaca oleh penyampai," ujar graduan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dalam bidang penyiaran UiTM, Shah Alam itu.

Bagi Mohamad Zulazri, dia sentiasa berkolaborasi dengan wartawan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai penulisan berita agar memudahkan tugasnya untuk memilih visual dan video yang bersesuaian untuk siaran.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat