Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Pasangan lega hukuman dikurangkan Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT Oleh FAIZAH IZZANI KUALA LUMPUR 29 Mac - Pasangan Azizul Raheem Awaludin dan Shalwati Nor Shal yang dijatuhkan hukuman penjara di Stockholm, Sweden kerana didakwa mendera anak-anak mereka, lega apabila dimaklumkan Mahkamah Daerah Solna bahawa mereka hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman yang diputuskan semalam. Perkara itu disahkan Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat yang berkata, Azizul Raheem kini hanya perlu menjalani hukuman penjara selama tiga bulan manakala Shalwati pula enam bulan. "Seorang wakil keluarga mereka memaklumkan kepada saya bahawa pasangan tersebut lega dan menganggap pengurangan hukuman itu satu rahmat besar. "Sebaik dibebaskan pada Jun (Azizul Raheem) dan September (Shalwati) nanti, saya dimaklumkan pasangan itu akan terus pulang ke Malaysia untuk bertemu dengan anak-anak mereka," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini. Azizul Raheem dan Shalwati masing-masing dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan dan 14 bulan oleh Mahkamah Daerah Solna semalam kerana mendera anak-anak mereka pada Disember lalu. Mahkamah juga memerintahkan Shalwati dan Azizul Raheem masing-masing membayar ganti rugi 67,200 SEK (RM33,900) dan 36,400 SEK (RM18,362) kepada empat anak mereka. Berikutan penahanan pasangan itu, empat anak mereka diletakkan di bawah jagaan sementara keluarga angkat bukan Islam di Sweden sebelum dibawa pulang ke Malaysia. Kini, keempat-empat anak pasangan itu diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka di Wakaf Tok Wali, Melor, Kelantan. Khairul Anwar berkata, selain hukuman penjara yang berkuat kuasa dari tarikh pasangan itu direman, pihaknya difahamkan pengurangan tersebut juga dibuat berdasarkan perkembangan semasa dan kes-kes seumpama itu di Sweden sebelum ini. Beliau berkata, pasangan tersebut juga reda dengan keputusan mahkamah yang memutuskan mereka bersalah dan sanggup mengharungi hukuman tersebut demi mendidik anak-anak mereka menjadi insan soleh. Katanya, kes pasangan tersebut juga menjadi pengajaran kepada rakyat negara ini agar memahami undang-undang negara lain ketika bertugas atau berada di luar negara. Kejadian yang menimpa Azizul Raheem dan Shalwati itu telah mengejutkan beberapa pakar hak asasi kanak-kanak di Sweden serta mencetuskan kemarahan penduduk di negara ini yang mana tindakan memukul kanak-kanak bukan satu jenayah. Sweden merupakan negara pertama di dunia yang mengharamkan tindakan memukul kanak-kanak pada 1979 sebelum diikuti 36 negara lain. |
Keluarga syukur mahkamah beri hukuman minimum Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT KOTA BHARU 29 Mac - Walaupun sedih, keempat-empat anak pasangan Azizul Raheem Awaludin dan Shalwati Nor Shal tabah dan reda menerima keputusan Mahkamah Daerah Solna, Stockholm yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap kedua-dua ibu bapa mereka. Dalam menahan tangisan saat dimaklumkan mengenai keputusan itu, keempat-empat beradik tersebut tetap menzahirkan rasa syukur apabila ibu bapa mereka hanya dikenakan penjara masing-masing 10 dan 14 bulan berbanding hukuman maksimum di bawah pertuduhan tersebut. Menurut Shaleena, 43, adik kepada Shalwati, ketika dia memaklumkan kepada keempat-empat anak saudaranya itu mengenai keputusan tersebut, mereka hanya tunduk sayu dan pada masa itu kelihatan air mata mula mengalir terutamanya Aishah, 15, dan Ammar, 13. "Mereka sedih, namun tetap tabah menerima keputusan itu. Walaupun dalam keadaan sedih, Ammar mengucap kata syukur, ibu bapa tidak dikenakan hukuman penjara dalam tempoh lebih lama," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Wakaf Tok Wali, Melor di sini hari ini. Semalam Mahkamah Daerah Solna, Stockholm, menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 10 dan 14 bulan kepada pasangan Azizul Raheem dan isteri, Shalwati atas pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan memukul dan mendera. Tambah Shaleena, dia dan keluarga turut menasihati keempat-empat beradik tersebut supaya tidak menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku terhadap kedua-dua ibu bapa mereka. Katanya, dalam situasi itu, Ammar sering kali menyalahkan diri sendiri apabila mengatakan dia adalah punca semua permasalahan terjadi. "Kami sekeluarga sering menasihati mereka supaya tidak menyesal kerana apa yang berlaku itu bukan salah mereka," katanya. Sementara itu, kata Shaleena, seluruh ahli keluarga sebelum ini sudah menjangkakan mengenai keputusan tersebut berasa lega mahkamah mengenakan hukuman minimum kepada pasangan berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |