Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 30 Mar 2014 12:19 PM PDT SAYA sedih melihat perangai kaum lelaki dan wanita Melayu kita (bukan semua), nama sahaja beragama Islam, tetapi perangai langsung tak menunjukkan mereka Muslim sebenar. Saya tak mahu sentuh bab lain yang lebih teruk, tetapi memadai untuk saya memperkatakan soal nikah kahwin dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Si wanita, bila nak kahwin suami orang, sanggup buat apa saja, macam tak ada maruah, sementara si lelaki berjanji sanggup beri bulan dan bintang. Tapi setelah hajat tercapai atau si wanita sudah dikorbankan, baru kita tahu dia takut bini, bini terkentot langsung tak berani keluar rumah. Itu cerita NorIzzaty dalam e-melnya. Saya tak cakap pasal orang lain, tetapi inilah perangai kakak saya. Daripada awal lagi kami sekeluarga larang dia kahwin suami orang, dia senyap-senyap kahwin lari ke Siam. Masa rahsia belum terbongkar segalanya manis. Bila bom dah meletup, dan dah dapat anak, suami takut balik rumah, mulalah menangis macam orang meroyan. Bila dah sakit, emak mesti tak sampai hati, ambil kakak bawa balik rumah, jaga dua anaknya. Bila dah sihat, mulalah cari suami lagi. Bab ni yang saya tak boleh tahan. Dia boleh tinggalkan anaknya suruh emak jaga dan dia ikut suaminya lagi? Kita tahu suaminya bukan suka sangat kat dia, cuma nak seronok dan kakak boleh bagi duit belanja lagi. Tiga tahun emak jaga anak-anaknya sampai masuk tadika. Bila dia balik sebulan sekali emak nasihatkan suruh ambil anak-anaknya sebab emak dah tua, sebaliknya dia boleh pujuk emak jaga anak dia yang baru berusia tujuh bulan. Emak mulanya marah, tetapi tak sampai hati nak suruh dia ambil anak-anaknya. Waktu itu kami semua bersuara. Maka berlakulah pertengkaran. Kalau dulu kakak fikirkan cuma keseronokan dapat kahwin dengan lelaki yang dicintai, sekarang baru dia terkedu. Cinta tak boleh beri dia makan, apa lagi tanggung nafkah anak-anaknya. Itu belum masuk bab kena serang dengan isteri pertama dengan anak-anak tiri yang mulut laser. Kerana masalah rumah tangga yang tak pernah aman, kerja pun terganggu. Waktu itu baru kakak balik jumpa emak nak minta nasihat. Kakak cuma tahu menangis kerana kakak jenis cepat lemah bila suaminya datang pujuk, dia pasti mengelupur pulang ikut suaminya. Kami nasihatkan emak jangan campur urusan kakak kerana kami tahu bila suaminya datang, kakak pasti ikut. Seperti yang diramalkan lepas tiga hari suaminya datang pujuk, dia kembali ikut suaminya. Tapi dia sempat minta bantuan duit pada emak. Kerana kasihan emak hulur RM300. Saya nasihatkan emak, cara emak salah. Emak bukan mengajar kakak jadi wanita tegas dan kuat semangat, tetapi akan merosakkan lagi hidupnya. Tepat seperti ramalan kami, dua bulan kemudian kakak datang lagi. Kerana emak mudah kasihan, emak bantu kakak setiap bulan selama lebih setahun. Bila kami dapat tahu, kami beri ceramah panjang pada kakak. Memang nampak kurang ajar, tapi inilah sahaja cara untuk sedarkan kakak yang cepat lentuk dan mengalah pada suami. Kami tak marah kalau hidup kakak gembira, terjaga makan minumnya, hidup anak-anak sempurna dan hidup kakak tidak terseksa. Sekali lagi kakak merajuk tak balik ke rumah emak setengah tahun, tambahan kalau dia tahu kami ada di rumah emak. Pendek kata, selama lapan tahun kakak hidup bermadu, dia tak pernah balik berhari raya bersama kami. Banyak sebab kakak tak balik, pertama kerana malu kahwin lari, kedua malu kami tahu dia selalu minta duit emak. Ketiga kakak marah kami larang emak jaga anak-anaknya. Terseksa Kami sayangkan kakak dan anak-anaknya, tapi kami tak mahu hidup kakak terseksa lebih teruk lagi sebab tanggung suaminya yang tidak bertanggung jawab itu. Dan kami tak mahu kakak dicerca dan dimalukan depan jiran, dituduh perampas suami orang. Kami marah apabila suaminya tidak pernah pertahankan kakak bila madunya datang menyerang, sedangkan dia yang menggoda hingga kakak sanggup kahwin lari dan melukakan hati emak dan kami tiga beradik. Kami malu dengan perangai kakak, sepatutnya kakak tunjukkan contoh yang baik kepada kami. Saya pernah nasihatkan kakak, emak ayah dah beri kita pelajaran dan kita bekerja, kalau tak kahwin pun tak apa, kerana jodoh kita belum sampai. Tak payahlah rebut suami orang. Kata kakak, dia tak mahu digelar andartu, di pejabatnya dia saja yang belum kahwin sedangkan budak perempuan lain baru bekerja dah berkahwin. Dipendekkan cerita, tahun lepas kakak balik ke rumah emak bersama tiga orang anaknya. Kakak mengaku kalah bahawa dia tidak akan kembali dengan suaminya, dan dia dalam proses minta cerai. Apa yang pelik, suaminya tak mahu ceraikan dia, sedangkan depan isteri dan anak-anaknya sudah berulang kali dia beritahu telah ceraikan kakak. Kata kakak dia dah bertanya kepada ustaz dan dia disuruh merujuk kesnya ke mahkamah syariah. Kata kakak, dia takut berdosa selagi tinggal bersama suamiya. Sebab sudah berulang kali suaminya mengaku sudah ceraikan kakak depan anak dan isteri pertamanya. Malangnya suaminya tak pernah datang ke mahkamah ketika dipanggil. Akhirnya, awal tahun ini kakak diceraikan, setelah kami pastikan isterinya terima surat memanggil suaminya ke mahkamah syariah. Masalah kakak kini jadi masalah kami bersama, saya dan adik belum terfikir nak kahwin, kecuali adik bongsu yang akan berkahwin tahun depan. Doa kami, nasibnya tidak seperti kakak kerana dia tidak kahwin lari. Namun perkahwinan direstui ibu dan ayah pun bukan jaminan kebahagiaan dan kekal hingga ke akhir hayat. Kesimpulannya seperti yang saya katakan, orang lelaki kalau cakap pasal berpoligami kalahkan alim ulama (bukan semua), tetapi bab tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak hampeh!" Itu cerita NorIzzaty melihat kehidupan kakaknya. |
Posted: 30 Mar 2014 12:19 PM PDT Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM KAMPONG Kravers sesuai untuk pelbagai bangsa. WALAUPUN semakin banyak pastri dan kek resipi dari luar negara yang menjengah ke Malaysia, tetapi rasanya tiada yang dapat dibandingkan dengan hidangan kuih tradisional kita, karipap yang menjadi pilihan pelbagai bangsa dan usia. Minum petang anda pasti terasa lengkap apabila dapat menikmati keenakan karipap yang masih panas bersama air kopi atau teh o panas. Malah, tidak keterlaluan untuk menyatakan kuih karipap juga merupakan kuih rasmi dalam mesyuarat kerajaan ataupun swasta. Namun, bukan mudah sebenarnya untuk menemui karipap yang benar-benar sedap dan berkualiti kerana ramai peniaga yang seolah-olah tidak ikhlas menyediakan hidangan karipap dengan isinya yang sedikit dan kulitnya yang tidak menyelerakan. Bagi pemburu kuih karipap tegar, apa kata singgah ke Kampong Kravers yang baru saja membuka kiosk di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur. Menyediakan karipap premium pelbagai inti, rasanya yang lengkap segala rempah-ratus pasti tidak akan mengecewakan selera Malaysia anda. Selain inti biasa seperti ayam, daging sardin dan kentang, mereka turut menyediakan pelbagai perisa inti iaitu daging masala, tuna pedas, sambal ikan bilis, durian, cempedak, cendawan mayonis, kaya, kastard epal, nanas dan mentega kacang. Paling menariknya ia turut disediakan dalam bentuk sejuk beku untuk mereka yang mahu mengulangi rasa enak karipap ketika di rumah. Karipap didatangi dalam tiga saiz berbeza. Bagusnya lagi karipap pusing digoreng menggunakan teknologi terkini yang menyihatkan iaitu penggoreng tekanan udara yang tidak menggunakan minyak, membuatkan anda dapat menikmatinya tanpa rasa bersalah dek minyak yang tidak elok untuk kesihatan. Menurut Pengarah komersial Kampong Kravers , Monarr F. Basarrah, kiosk Karipap Kravers yang baru dibuka bulan lalu itu kerana memenuhi permintaan ramai terhadap produk mereka yang sebelum ini dijual di kafe yang terletak di Damansara Kim, Petaling Jaya dan beberapa pasar raya sekitar Lembah Klang. Kiosk yang baru dibuka ini bertujuan untuk memuaskan keinginan mereka yang datang ke pusat beli-belah ini terhadap snek tradisi Malaysia yang disediakan dalam cara yang kreatif, terkini dan inovasi penyediaan yang menyihatkan. Ia merupakan yang pertama dan kami bercadang untuk membuka lebih banyak kiosk sebegini pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui di kiosk Kampong Kravers, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini. Selain rasanya yang enak, ia juga tidak mengandungi bahan pengawet, perisa dan pewarna tambahan, tiada MSG, rendah kolestrol dan pastinya dijamin halal. Ujar Monarr, mereka menggunakan teknik blast freeze iaitu karipap yang telah selesai diadun dimasukkan ke dalam penyejuk beku khas yang mencecah suhu serendah -20 darjah Celcius bagi mematikan mikro organisma lalu membuatkan ia tidak memerlukan bahan pengawet untuk tahan lama. Di kiosk Kampong Kravers, anda juga dapat menikmati pelbagai hidangan tempatan yang menyelerakan di samping menyihatkan seperti nasi lemak kukus yang menggunakan beras Basmathi yang terbukti bagus untuk kesihatan yang kemudian dibalut dengan daun pisang bagi menaikkan bau dan rasanya. Atau nikmati roti canai yang dihidang dengan pelbagai pilihan bahan untuk dicicah iaitu masala daging, ayam, dal, nutella, durian dan cempedak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |